Thursday, May 14, 2020

Perogol paling kejam mati sakit jantung

PENJARA Casuarina tempat Paul menghabiskan sisa hidupnya.

PERTH: Paul Stephen Keating, antara perogol paling kejam, meninggal dunia akibat penyakit jantung di Penjara Casuarina, Perth, Selasa lalu.
Banduan berusia 60 tahun itu amat berbahaya kerana pernah merogol dua kakitangan wanita di penjara. Sejak itu, dia diletakkan di sel khas dan berasingan serta tiada kakitangan wanita dibenarkan mendekati lelaki berkenaan.
Pada 2005, ketika menjalani hukuman penjara, dia merogol tutor wanita selepas menyimbah mangsa dengan cecair bahan bakar dan mengugutnya dengan pisau.
Dia juga mengurung mangsa di dalam bilik stor selama enam jam.
Suspek juga meliwat seorang kakitangan penjara wanita pada 1992

Ketika itu, dia menjalani hukuman penjara seumur hidup atas kesalahan merogol seorang wanita pada 1979.
Dia juga menyerang dua pelacur selepas melarikan diri dari penjara pada 1984.
Itu hanya sebahagian daripada jenayah rogolnya. Pada 1977 dan ketika baru berusia 17 tahun, dia dijel kerana merogol jururawat.
Sumber memberitahu The West Australia bahawa hanya kakitangan lelaki dibenarkan berada berhampiran Keating.
"Dia dianggap terlalu berbahaya apabila berada berdekatan wanita," katanya.

-Metro



Monday, June 11, 2018

Wanita hidap kanser otak tahap akhir langsungkan perkahwinan


KENTUCKY, Amerika Syarikat – Seorang wanita yang menghidap kanser otak tahap akhir dan dijangka oleh pasukan doktor akan mati kira-kira seminggu lagi melangsungkan perkahwinan baru-baru ini.
Jessica Oldwyn, 37, didiagnosis menghidap astrositoma diffusep pada April 2010 selepas mengalami sakit kepala yang teruk dan pitam. Sejak itu, dia telah menjalani lebih daripada tiga pembedahan otak besar untuk mengekang kansernya.
Bagaimanapun, kebanyakan pakar bedah meramalkan wanita itu tidak mampu untuk hidup lama berikutan kansernya yang semakin merebak.
Melalui klip video episod terdahulu CW’s The Last Days, Jessica membuat kejutan kepada suaminya dengan membuat persiapan majlis perkahwinan mereka.
“Kami telah bekerjasama secara diam-diam di belakang Dan untuk acara ini. Terima kasih Dan kerana menyintai saya sepenuh hati,” kata Jessica. 

- Agensi/Kosmo

Sunday, June 10, 2018

Kanak-kanak dijadikan korban beramai-ramai 600 tahun lalu


WILAYAH TRUJILLO, Peru – Sekumpulan penyelidik menjumpai 56 rangka kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa korban satu upacara ritual tamadun purba Chimu di bandar Huanchaco di sini baru-baru ini.
Kanak-kanak yang masih belum diketahui jantina mereka itu dikebumikan bersama 30 ekor llama. Amalan itu dipercayai dilakukan untuk menghindari hujan lebat dan banjir yang dibawa oleh fenomena perubahan cuaca yang mana ia mengakibatkan kemusnahan di wilayah berkenaan kira-kira 600 tahun lalu.
Kumpulan pengkaji yang menemui kubur purba itu pada bulan Mei lalu menganggarkan kesemua mangsa berumur antara 11 hingga 14 tahun itu dan dikebumikan antara 1200 dan 1400 Tahun Masihi. Saintis masih menjalankan ujian untuk mengenal pasti menyiasat punca kematian sebenar.
Ahli arkeologi menyatakan bahawa penemuan beberapa kubur menjadikan Huanchaco sebagai ‘salah sebuah lokasi pengorbanan manusia yang belum pernah berlaku dalam sejarah dunia’.
Pengarah Program Arkeologi Huanchaco, Dr. Gabriel Prieto Burmester memberitahu portal berita Peru, El Comercio: “Tiada tempat lain di planet ini yang mempunyai begitu banyak kubur seperti ini (kanak-kanak yang dijadikan korban).” – Agensi/Metro

Bayi ajaib hidup ditanam lapan jam



Sao Paulo: Seorang bayi perempuan dijumpai selamat selepas lapan jam ditanam hidup-hidup oleh keluarganya di Brazil.
Daily Mail melaporkan, keluarga terbabit dari puak orang asli Brazil menyangka bayi itu sudah meninggal dunia lalu mengebumikannya.
Bagaimanapun, pihak berkuasa menyiasat kelahiran berkenaan selepas dihubungi seorang jururawat yang mendapat tahu bayi itu ditanam sejurus kelahirannya, Selasa lalu, di Taman Negara Xingu di negeri Mato Grosso.
Dalam rakaman video disiarkan polis, dua anggota dilihat melutut di sebelah lubang dan menyuluhkan lampu untuk melihat ke dalamnya sebelum terkejut mendengar bayi itu merengek.
Rakaman itu menunjukkan anggota terbabit pantas mengorek pasir keluar dari lubang cetek sedalam kira-kira 50 sentimeter pada waktu malam, kemudian menarik bayi bogel yang diselaputi lumpur, dengan tali pusatnya masih ada.
Sementara itu, AFP melaporkan moyang perempuan bayi itu dari puak Kamaruya, ditahan, kata pendakwa Paulo Roberto do Prado.
“Kami menyiasat sama ada ini adalah cubaan membunuh bayi atau dia menyangka bayi berkenaan sudah meninggal dunia.
“Walaupun ditanam selama lapan jam, maklumat yang kami peroleh mengatakan bayi itu sihat,” katanya.
Bayi itu dibawa ke Cuiaba, ibu negeri Mato Grosso, kelmarin dan diletakkan dalam unit rawatan rapi neonatal.
Keluarganya memberitahu polis bayi berkenaan jatuh selepas dilahirkan dalam bilik air.
Namun, polis mengesyaki mereka cuba menyembunyikan perkara sebenar.
“Disebabkan bapanya enggan mengaku bayi itu anaknya dan ibu pula baru berusia 15 tahun, mereka disyaki cuba membunuh bayi itu,” kata polis. - Daily Mail/Metro

Thursday, June 7, 2018

Dah jumpa Nur Aisyah

Ibu mangsa, Siti Noorfadilah Yusofe memeluk erat anaknya, Nur Aisyah Hasmizan selepas diselamatkan oleh pihak polis apabila dilarikan individu yang memecah masuk ke kediaman keluarga mangsa di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar. - Foto Adi Safri

MUAR: Selepas hampir 15 jam dilaporkan dilarikan oleh individu tidak dikenali yang bertindak memecah masuk rumah keluarganya di Kampung Parit Lanjut, Mukim Sungai Terap di sini, akhirnya bayi perempuan berusia 17 bulan, Nur Aisyah Hasmizan berjaya diselamatkan oleh pasukan polis.
Berita itu disahkan oleh wakil keluarga, Fah Nur-Aini Syed Mustapha, 36, ketika ditemui pemberita di unit kecemasan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) yang turut dihadiri oleh saudara mara dan kenalan keluarga mangsa.
Fah Nur-Aini mewakili keluarganya juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang turut sama mendoakan keselamatan Nur Aisyah sejak dari awal hingga dia diselamatkan.
Selain itu, pihak keluarga juga mengucapkan terima kasih kepada pihak PDRM kerana berusaha keras dan bertungkus lumus mengesan kedudukan serta seterusnya menyelamatkan Nur Aisyah.
Ahli keluarga menyambut Siti Noorfadilah Yusofe dan anaknya, Nur Aisyah Hasmizan selepas berjaya diselamatkan oleh pihak polis apabila dilarikan individu yang memecah masuk ke kediaman keluarga mangsa di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar. - Foto Adi Safri
Sementara itu, suasana di Unit Kecemasan HPSF bertukar menjadi tenang apabila sanak saudara dan kenalan keluarga mangsa menarik nafas lega serta bersyukur dengan berita positif terbabit.
NSTP difahamkan, keadaan Nur Aisyah dilaporkan stabil tetapi terpaksa memerlukan pemeriksaan daripada doktor berikutan terdapat kesan gigitan serangga.
Nur Aisyah dipercayai ditemui pada kira-kira jam 4 petang oleh sepasukan polis di sebuah kawasan semak berhampiran pencawang elektrik di kawasan tidak jauh dari rumah keluarga mangsa.
Ibu mangsa, Siti Noorfadilah Yusofe,30, kini bersama Nur Aisyah di dalam wad di HPSF untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, manakala bapanya, Hazmizan Othman,35 kini berada di balai polis bagi menyelesaikan beberapa urusan berkaitan kes.
Difahamkan, pihak polis masih melakukan siasatan lanjut berhubung kes terbabit dan akan memberikan kenyataan dalam tempoh terdekat.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi tadi, Nur Aisyah dilaporkan hilang dan dipercayai dibawa lari oleh individu tidak dikenali yang juga bertindak memecah masuk ke rumah keluarganya.

-BH

Wednesday, June 6, 2018

Kari ayam punya pasal, anak bunuh ibu



NEW DELHI: Seorang lelaki India marah dan membunuh ibunya yang tua selepas wanita itu tidak menyediakan memasak lauk kari ayam untuk makan tengah hari.
Dalam kejadian di Badepuram, Guntur, Andhra Pradesh itu, Bejjam Kishore, 45, membeli ayam pada Ahad lalu dan memberi kepada ibunya, Bejjam Mariamma, 80, lapor Times of India.
Dia yang juga kaki botol pulang beberapa jam kemudian dalam keadaan mabuk sebelum naik berang selepas mendapati makanan diminta itu tidak dihidangkan.
Kishore, yang pernah bekerja sebagai pengamal perubatan tempatan, menjerit memarahi ibunya sebelum menikamnya.
Mangsa mati di tempat kejadian manakala Kishore kini diburu polis.

-Metro

Wanita lumpuh selepas digigit kutu


WALES UTARA, Britain – Seorang wanita menderita lumpuh dan tidak mampu bercakap selama dua tahun selepas mengalami jangkitan kuman akibat digigit kutu.
Rachel Foulkes-Davies, 43, yang berasal dari Denbighshire, dekat sini digigit serangga itu pada lehernya ketika berada di taman di hadapan rumahnya pada Jun 2015.
Pada mulanya, dia tidak berasa apa-apa, namun kemudian, bibirnya kebas dan wajahnya berubah senget. Rachel kemudian dihantar ke hospital dan doktor mengesahkan dia menghidap Bell Palsy atau lumpuh saraf muka dan diberikan rawatan steroid.
Bagaimanapun, dia gagal pulih dan keadaannya menjadi semakin teruk sehingga tidak mampu bercakap atau makan. Ibu kepada tiga orang anak itu kemudian disahkan menghidap penyakit Lyme akibat jangkitan kuman yang dibawa serangga tersebut.
“Kelumpuhan pada wajah bermula dengan bibir saya menjadi kebas beberapa hari selepas digigit. Ia menyebabkan anak-anak tidak memahami apa yang saya katakan,” kata Rachel.
Rachel kini semakin sembuh dan boleh bercakap secara perlahan-lahan.
 

- Agensi/Kosmo

Monday, June 4, 2018

Gambar puteri Arab Saudi memandu undang kontroversi



DUBAI: Muka depan majalah Vogue yang memaparkan puteri Arab Saudi memandu kereta merah tanpa bumbung mencetuskan perbahasan hangat, susulan penangkapan aktivis wanita yang memandu.
Imej Puteri Hayfa bint Abdullah al-Saud, di kerusi pemandu memakai sarung tangan kulit dan kasut tumit tinggi, disiarkan pada muka depan majalah Vogue versi Arab edisi Jun, diterbitkan ketika negara itu bersedia menarik balik larangan memandu ke atas wanita.
Isu itu ditujukan kepada wanita Arab Saudi yang inovatif dan memuji pembaharuan dilancarkan Putera Mahkota, Mohammed bin Salman, yang mahu mengendurkan sekatan sosial di negara itu dan mengekang kuasa golongan ulama.
"Di negara kami, ada golongan konservatif yang takutkan perubahan. Bagi ramai yang lain, itu sahaja yang mereka ketahui.
"Secara peribadi, saya menyokong perubahan itu dengan amat gembira," Puteri Hayfa, anak perempuan kepada Raja Abdullah, dipetik sebagai berkata oleh majalah itu.
Gambar itu dirakamkan di padang pasir di luar Jeddah.
Namun imej berkenaan tidak menarik minat kumpulan wanita yang membantah penangkapan sekurang-kurangnya 11 aktivis, kebanyakannya dikenal pasti kumpulan hak sebagai wanita yang menyokong hak memandu dan menamatkan sistem penjagaan lelaki di negara itu. - AFP/BH

'Tergamak ibu berlaku kejam...'



PENGUTIP sampah tidak menyangka objek yang disangka anak patung di dalam sebuah plastik di tapak pelupusan sampah dekat Kampung Bukit Lat, Dungun, hari ini adalah mayat bayi lelaki.
Mayat bayi yang masih bertali pusat itu ditemui wanita warga Kemboja, Suji Amin, 39, pada 2.30 petang ketika sedang mengutip sampah di tapak pelupusan itu.
Suji berkata, kebiasaannya dia akan membuka setiap bungkusan sampah untuk memeriksa jika ada sisa buangan yang boleh dikitar semula atau dijual.
“Namun, saya terkejut apabila plastik sampah yang saya koyak hari ini berisi mayat bayi lelaki yang disangka anak patung pada mulanya.
“Saya sudah enam tahun mencari rezeki dengan mengutip sampah di sini, dan menemui anak patung yang dibuang itu satu perkara biasa.
“Tetapi ini kali pertama saya menemui mayat bayi,” katanya yang sedih dengan penemuan itu.
Katanya, dia yang menggigil ketakutan melihat mayat itu kemudian memaklumkannya kepada dua rakannya, Noriati Hamzah, 49, dan Sazlina Ismail, 40.
“Saya kemudian memaklumkan kepada pihak pengurusan tapak pelupusan yang berada di lokasi sebelum mereka memaklumkan kejadian kepada polis.
“Berdasarkan keadaan mayat bayi itu, saya percaya ia sudah beberapa hari meninggal dunia dan dibuang ke dalam tong sampah awam sebelum diangkut lori dan dibuang ke tapak pelupusan ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.
Katanya, pihaknya sedang menjalankan siasatan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat dapat menyalurkan kepada pihak polis.

-Metro

Sunday, June 3, 2018

Gadis Melayu pertama sertai Miss Universe New Zealand

Gadis Melayu pertama sertai Miss Universe New Zealand
                        Nurul Shamsul merupakan seorang penuntut di University of Waikato.

ENYERTAAN peserta wanita beragama Islam dan berhijab dalam pertandingan ratu cantik bukanlah sesuatu yang baharu.
Halima Aden, peserta separuh akhir Miss Minnesota USA 2016, merupakan contoh terbaik yang berjaya membawa imej ratu cantik beragama Islam yang berhijab dengan sempurna.
Begitu juga dengan pertandingan Puteri Indonesia, di mana saban tahun beberapa peserta yang dipilih mewakili wilayah tertentu juga tampil berhijab. Namun pertama kali dalam sejarah, apabila seorang gadis Melayu berdarah campuran Indonesia yang berasal dari Malaysia berjaya disenarai pendek sebagai peserta Top 20 dalam pertandingan Miss Universe New Zealand.
Nurul Shamsul, 20 tahun, dilahirkan di Ampang, Selangor, dan dibesarkan di New Zealand, merupakan peserta berhijab pertama yang berjaya mara ke pentas akhir pertandingan ratu cantik tersebut.
Menerusi beberapa entri di laman media sosial miliknya, Nurul menyifatkan penyertaannya itu sebagai sesuatu yang memecahkan stereotaip dan berharap agar niatnya itu tidak disalah tafsir.
Beliau mengakui mempunyai ibu berketurunan Indonesia dan ayahnya seorang rakyat Malaysia. - Astro Awani.

-Sinar