Thursday, January 29, 2015

Ribuan kucing China diselamatkan dari jadi hidangan

Hanoi: Ribuan kucing yang diseludup dari China untuk dijadikan hidangan berjaya diselamatkan, kata polis semalam.

Hidangan daging kucing dianggap istimewa di Vietnam dan penduduk setempat menggelarnya sebagai “harimau kecil.”

Jurucakap polis semalam berkata, mereka menahan sebuah lori sedang dalam perjalanan ke ibu negara Vietnam pada Selasa lalu.

“Ketika diperiksa kami mendapati bahagian belakang lori berkenaan penuh dengan kucing.

“Secara keseluruhan kucing itu seberat 3,000 kilogram,” katanya.

Kerajaan sudah mengharamkan daging kucing untuk dijadikan hidangan di Vietnam, namun ia masih disajikan dengan meluas di beberapa restoran tertentu.

Kata jurucakap itu, pemandu lori mengaku dia membawa kucing itu dari wilayah Quang Ninh yang bersempadan dengan China.

“Menurut undang-undang, semua kucing ini sepatutnya dilupuskan tetapi kami masih memikirkannya kerana jumlah yang terbabit adalah sangat banyak,” katanya dalam satu kenyataan.

Imej yang didedahkan media tempatan menunjukkan kucing itu berada dalam keadaan amat menyedihkan.

Ia dikurung dalam sangkar buluh yang sempit dan disusun berhimpit-himpit antara satu sama lain.

- AFP

Wednesday, January 28, 2015

Adik rampas suami kakak

KISAH ini telah lama berlaku kira-kira 20 tahun yang lalu. Namun kisah pahit ini amat sukar dilupakan oleh Junaidah (bukan nama sebenar), ibu kepada empat orang anak, dua lelaki dan dua perempuan. Dalam sepucuk suratnya kepada saya, Junaidah berkata, tujuannya menulis surat itu bukan kerana mahu membongkar semula kisah sedihnya.

Dia hanya mahu berkongsi kisah tersebut kerana sejak akhir-akhir ini dia sering teringatkan kisah yang suatu ketika dahulu membuatkan dia berendam air mata. Menurut Junaidah, perkahwinannya dengan Mustafa (bukan nama sebenar) adalah atas dasar suka sama suka setelah berkenalan selama dua tahun. Mustafa seorang kakitangan kerajaan.

Perkahwinan tersebut direstui kedua-dua keluarga dan majlis perkahwinan diadakan dengan meriah. Selepas berkahwin, mereka berpindah dan tinggal di Kuala Lumpur. Junaidah yang bekerja di sebuah syarikat swasta berhenti kerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Rumah tangga mereka kekal bahagia sehingga dikurniakan empat orang cahayamata.

Masalah-masalah kecil yang melanda rumah tangga mereka, adatlah. Rumah tangga mana yang tidak ditimpa badai. Bagaimanapun badai atau lebih tepat tsunami meruntuhkan sama sekali rumah tangga mereka. Junaidah tidak habis fikir mengapa musibah itu berlaku kepadanya dan anak-anak yang tidak berdosa.

Tanpa bergaduh, tanpa bertengkar, suaminya mahu menceraikannya. Puas dia bertanya mengapa dengan tiba-tiba suaminya mahu menceraikannya. Tidak adakah sedikit pun perasaan kasih dan kasihan kepadanya dan anak-anak. Namun kata Mustafa, hatinya sudah tekad mahu menceraikannya. Mustafa akhirnya berterus terang mengatakan dia mahu berkahwin dengan adik iparnya, iaitu adik Junaidah bernama Jamilah. Jamilah masih belum berkahwin dan bekerja sebagai guru. Dia seorang yang tidak banyak cakap dan boleh dikatakan pemalu.

“Saya tidak menyangka adik kandung sendiri sanggup meruntuhkan rumah tangga saya dan merampas suami saya. “Mana pergi sifat seorang wanita yang lemah lembut dan pendiam yang dimilikinya. Mengapa dia begitu kejam terhadap saya. Tidakkah dia teringat bagaimana saya begitu sayangkannya sejak kecil lagi. “Saya yang paling rapat dengannya kerana dia adik di bawah saya. Saya yang banyak mengasuhnya semasa emak pergi menoreh getah atau bekerja di sawah. Saya yang menyiapkannya ke sekolah. “Namun seribu soalan pun yang bermain di kepala saya dan rintihan demi rintihan, saya telah diceraikan juga.

Jamilah tidak berkata apa-apa langsung kepada saya dan enggan berjumpa dengan saya. “Emak pula tidak berusaha memarahi Jamilah atau suami saya. Emak seperti bersetuju mereka berdua berkahwin. Adik beradik yang lain pun tidak ada seorang pun yang membuka mulut. Mereka seperti takut kepada emak, Jamilah dan suami saya. “Selepas diceraikan, saya keluar dari rumah suami. Saya meminta suami supaya memberikan saya rumah kecil yang kami beli bersama supaya saya dan anak-anak ada tempat berteduh. Suami bersetuju dan tinggallah kami lima beranak.

“Dengan keadaan saya yang tidak bekerja dan empat orang anak yang saya jaga, kehidupan amat serba kekurangan. Saya tidak mempunyai wang simpanan yang banyak. Tidak sampai RM2,000,” kata Junaidah. Tambahnya, dia harus melakukan sesuatu dan tidak boleh lagi menangis. Seorang jiran yang simpati kepadanya memberitahu ada sebuah kilang sedang mencari pekerja. Jiran tersebut menyuruhnya untuk mencuba mendapatkan pekerjaan di kilang itu. Nasib Junaidah baik kerana diterima bekerja.

Walaupun kilang itu agak jauh dari rumah, kira-kira sejam perjalanan dengan bas, dia sanggup kerana jika dia tidak bekerja, bagaimana dia hendak memberi makan kepada anak-anaknya. Bekas suaminya pula selepas berkahwin dengan Jamilah langsung tidak menghulurkan nafkah apa lagi menjenguk anak-anaknya. Junaidah tidak mahu mengemis atau meminta tolong dari emak dan adik beradik yang lain. Hatinya begitu terguris dan rajuknya sukar di pujuk. Emaknya pula meninggalkan kampung dan tinggal bersama Jamilah di bandar.

Adik beradik pun langsung tidak menjenguk Junaidah. Junaidah seperti tiada keluarga lagi dan hidup sebatang kara. Setiap pagi dia akan keluar rumah pukul 5 pagi untuk ke tempat kerja. Pulangnya hari sudah gelap. Mujur jirannya yang baik hati sanggup menjaga anak-anak tanpa mengenakan bayaran. Bukan dijaga sahaja malah anak-anaknya turut diberi makan. “Saya amat terhutang budi dengan jiran saya itu. Mereka sekeluarga sudah seperti keluarga sendiri. Adik beradik sendiri pun tidak mempedulikan saya.

“Saya sering memohon doa supaya anak-anak saya menjadi anak-anak yang pintar dan berjaya dalam pelajaran mereka. Pun demikian, saya tidak mengabaikan didikan agama kepada anak-anak saya. “Alhamdulillah anak-anak saya cemerlang di sekolah. Setiap kali peperiksaan, mereka akan mendapat keputusan cemerlang. Setelah tamat sekolah rendah, mereka diterima memasuki sekolah berasrama penuh. Mereka juga mendapat biasiswa. Jadi kurang sedikit bebanan saya. “Seorang demi seorang anak saya tamat sekolah menengah dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke universiti. Saya masih lagi bekerja di kilang dan turut mengambil tempahan menjahit pakaian bagi membantu anak-anak saya yang memerlukan banyak perbelanjaan.

“Walaupun anak-anak meminta saya berhenti kerja, namun saya enggan kerana selagi saya kuat, saya akan bekerja. Saya tidak mahu menyusahkan anak-anak. Saya mahu menyimpan duit sendiri untuk masa depan saya. “Kini saya merupakan ibu yang sangat bahagia dan bersyukur kerana keempat-empat anak saya sudah berjaya dalam pelajaran dan kehidupan. Anak pertama saya merupakan seorang peguam, anak kedua seorang akauntan, anak ketiga jurutera dan anak bongsu saya seorang doktor. “Ada ketikanya apabila bersendirian, saya sendiri tidak menyangka saya berjaya mendidik anak-anak dalam keadaan yang serba kekurangan.

Syukur Alhamdulillah. Saya percaya semua yang berlaku ada hikmahnya. “ Anak-anak saya sudah pun berkahwin. Menantu-menantu saya juga baik dan melayan saya seperti ibu mereka sendiri. Masing-masing berebut mahu saya tinggal bersama mereka. “Jadi saya gilirkan ke rumah mereka. Bila saya teringatkan rumah saya, saya minta mereka menghantar saya pulang. “Saya sudah pun menunaikan haji dan jiwa saya kini begitu tenang.

Emak masih jauh daripada saya dan anak-anak. Saya tidak faham mengapa emak sanggup ‘membuang’ saya dan anak-anak yang juga cucu-cucunya. “Walaupun hati saya sedih dengan perbuatan emak namun saya telah memaafkannya,” ujar Junaidah pada penghujung kalamnya.

 - See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/adik-rampas-suami-kakak-1.53549#sthash.7Z2i53QK.dpuf

Perogol 12 nenek masuk perangkap

Nakhon Pathom, Thailand: Lelaki yang dipercayai bertanggungjawab melakukan lebih 10 kes rogol - kebanyakannya ke atas wanita warga emas - ditangkap Isnin lalu di daerah Nakhon Chaisi.

Setakat ini, menurut polis, wajah suspek sepadan dengan gambaran diberikan mangsa. Timbalan Komander Bahagian Pencegahan Jenayah Nakhon Pathom, Akkaradet Pimolsri berkata, DNA suspek juga sedang diuji bagi mendapatkan padanan.

“Maklumat lanjut akan dimaklumkan tidak lama lagi,” katanya. Polis mula memburu seorang lelaki ganas yang sangat bernafsu terhadap wanita tua. Dia dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya 12 kes rogol dan dua pembunuhan. Suspek dikatakan mula mengganas di Nakhon Pathom dan Sumut Songkhram sejak 2011.

Kali terakhir dia mengganas ialah di Nakhom Pathom pada Ahad lalu, membabitkan wanita berusia 73 tahun yang diserang ketika tidur. Sebelum mengganas suspek didakwa memotong talian telefon di rumah itu sebelum membunuh seekor anjing. Selain dirogol, mangsa juga kehilangan beberapa barang berharga dari rumahnya.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/27040#sthash.HWaInBmC.dpuf

Kisah Gerai Mak Cik Sombong


TELOK AIR TAWAR - Nama sebuah gerai makanan yang terletak bersebelahan Pangkalan Udara Butterworth ini pastinya mencuit hati sesiapa sahaja.

Mak Cik Sombong, demikian nama gerai makanan yang terletak di Taman Senangan yang menjadi tumpuan penduduk sekitar Teluk Air Tawar dan Kepala Batas.

Menceritakan sejarah nama Mak Cik Sombong ini, pemilik gerai, Saiful Bahri, 43, berkata, nama gerai ini menjadi salah satu tarikan utama bagi pengunjung ke sini.

“Dahulu kami berniaga di Bagan Lebai Tahir, waktu itu perniagaan makanan ini diuruskan arwah ibu yang mempunyai raut wajah yang garang, berat melemparkan senyuman, waktu itu ada pelanggan yang takut-takut untuk bertandang ke kedai makanan kami di sana.

“Jadi disebabkan itu, ada pelanggan yang memanggil nama kedai dengan gelaran Gerai Mak Cik Sombong dan gelaran itu kekal sehingga ke hari ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, kedai asal mereka yang terletak di Bagan Tahir terpaksa ditutup dan kemudiannya berpindah ke Taman Senangan.

“Gerai makanan di sana dibina pada 1972, namun terpaksa ditutup tiga tahun lalu untuk memberi laluan kepada kerja pembangunan di sana.
“Disebabkan nama gerai sudah menjadi ingatan pelanggan, saya mengambil keputusan untuk mengekalkan nama ini,” katanya.

Menurut Saiful, ada juga yang sanggup datang jauh semata-mata untuk melihat sendiri gerai makanan Mak Cik Sombong kerana gerai ini unik.

Tidak cepat melatah dengan kehadiran ramai ‘peminat’, Saiful berkata, perkara itu secara tidak langsung mengingatkannya kepada arwah ibu.

“Arwah ibu tidak sombong seperti nama gerai, namun disebabkan raut wajahnya yang tegas, pelanggan menggelar gerai makanan ini dengan nama Mak Cik Sombong.

“Walaupun ibu meninggal lapan tahun lalu, namun saya bersyukur sambutan yang diterima masih tetap sama seperti dahulu,” katanya.

Menurutnya gerai Mak Cik Sombong dibuka dari jam 11 pagi hingga 5 petang dan menyajikan pelbagai hidangan menarik kepada pelanggan.

Monday, January 26, 2015

Bank cap ayam

Nanjing: Sebuah koperasi luar bandar dilaporkan mengumpul deposit lebih 200 juta yuan (RM116 juta) daripada 200 pelanggan sejak tahun lalu dengan menyamar sebagai sebuah bank di wilayah Jiangsu.

Agensi berita Xinhua semalam melaporkan, koperasi itu dipersiapkan dengan baik dan tampil meyakinkan orang ramai sebagai sebuah bank berdaftar. Antara kemudahan yang disediakan di situ ialah skrin LED, dokumen palsu dan kakitangan lengkap berpakaian seragam.

Menurut Xinhua, koperasi itu berjaya menarik ratusan pelanggan dengan memberi jaminan mereka akan mendapat pulangan faedah lebih tinggi daripada biasa.

Seorang pelanggan berkata, bangunan koperasi itu kelihatan sama seperti bank biasa.“Bahagian depan, kaunter dan mesin giliran, semuanya dibuat dengan baik dan meyakinkan kami.“Pengurus di situ pula sentiasa memastikan perkhidmatan diberi dengan baik.“Saya sangat yakin ia benar-benar sebuah bank,” katanya.

Setakat ini, seorang wakil koperasi berkenaan dan empat pengurusnya telah ditahan bagi siasatan lanjut. Polis menjangkakan lebih ramai mangsa akan tampil selepas terbongkarnya kes itu. Jurucakap polis berkata, kebanyakan mangsa adalah golongan ahli perniagaan dari wilayah Zhejiang yang terletak bersebalahan Jiangshu.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/26558#sthash.Fl0f2Lze.dpuf

Sunday, January 25, 2015

Hakim: Terserah kepada keluarga jika mahu pancung

Doha: Sebuah mahkamah semalam menyerahkan kepada ibu bapa mangsa bunuh untuk menentukan sama ada suspek yang dikaitkan dengan kes itu perlu dipancung atau tidak. Menurut hakim, keluarga Jennifer Brown di Pennsylvania, Amerika Syarikat boleh memilih sama ada suspek perlu menjalani hukuman mati, membayar pampasan atau diampunkan.
“Walaupun suspek diampunkan pun, kemungkinan besar dia perlu menjalani hukuman penjara,” katanya. Jennifer, 40, ditemui mati di kediaman disediakan majikannya pada November 2012.

Dia baru saja tiba di negara kaya itu dua bulan sebelumnya untuk mengajar bahasa Inggeris di bandar al-Wakrah. Seorang pengawal keselamatan dari Kenya ditangkap dan didakwa membunuh Jennifer, namun proses perbicaraan berlangsung perlahan. Ia pernah ditangguhkan beberapa kali.

Polis berkata, pengawal keselamatan itu mengaku membunuh Jennifer tetapi sabitan belum dibuat di mahkamah. Bapa Jennifer, Robert Brown, menyatakan kekecewaannya terhadap proses perbicaraan berkenaan. Walaupun hukuman mati dibenarkan di Qatar, kali terakhir ia dijalankan ialah 12 tahun lalu. Mahkamah kemudian menangguhkan perbicaraan sehingga 8 Mac ini untuk mendengar keputusan keluarga Jennifer.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/26268#sthash.PGCKp39x.dpuf

Thursday, January 8, 2015

Hampir maut ketika persembahan baling pisau

VILNIUS, Lithuania – Sebuah kumpulan pembaling pisau hampir membuatkan seorang anggota mereka terbunuh selepas berlaku beberapa kesilapan dalam persembahan berkenaan yang disiarkan secara langsung oleh sebuah stesen televisyen di sini baru-baru ini.

Kumpulan berkenaan yang menyertai satu pertandingan realiti mencari bakat mempamerkan kecekapan seorang lelaki membaling pisau ke arah seorang rakannya yang memegang daun terup dan buah tembikai.

Bagaimanapun, aksi tersebut tidak menjadi apabila rakannya yang memegang daun terup luka di jari selepas terkena pisau yang dibaling oleh lelaki berkenaan.
Aksi kedua dilihat semakin mencemaskan apabila lelaki itu cuba membaling pisau ke arah sebiji buah tembikai yang diletakkan di atas kepala rakannya.

Beberapa balingan yang dibuat lelaki berkenaan langsung tidak konsisten dan dia terus menghentikan persembahan apabila sebilah pisau yang dibaling hampir mengenai muka rakannya itu.

Sejurus selepas persembahan berkenaan berakhir lelaki itu dilihat cuba menghilangkan kesan darah di pentas yang menitis dari luka di jari rakannya menggunakan kasut. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0109&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3OI5N7G

Wednesday, January 7, 2015

Jakim siasat gambar persendakan solat

PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyiasat gambar tersebar di media sosial yang menunjukkan sekumpulan lelaki seolah-olah mempersendakan ibadah solat.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha yang menyelar perbuatan itu berkata, ia adalah satu penghinaan kepada agama Islam.

“Kalau betul (mereka) Islam yang sudah tahu selok belok agama, bererti itu satu penghinaan. Kita sedang siasat perkara itu.

“Jika mereka masyarakat yang baru peluk Islam dan tidak tahu tata tertib tentang solat, itu kita boleh maaf. Sebab dia baru belajar, walaupun pakaian sebegitu,” katanya.

Gambar yang tersebar di media sosial menunjukkan enam lelaki seperti sedang solat berjemaah namun tiga daripada mereka tidak memakai baju sehingga mendedahkan pusat, seorang berseluar pendek di atas lutut, seorang seperti sedang menggunakan telefon bimbit dan
seorang lagi memegang rokok.

-Sinar

Tuesday, January 6, 2015

Monyet beri bantuan kecemasan

SEEKOR monyet menggigit rakannya yang pengsan.

New Delhi: Orang ramai di sebuah stesen kereta api di utara India sempat memerhatikan bagaimana seekor monyet menyelamatkan rakannya yang terkena renjatan elektrik dan pengsan di landasan.

Monyet yang terkena renjatan elektrik itu jatuh di tengah landasan selepas tersentuh kabel elektrik berkuasa tinggi di stesen berkenaan di Kanpur, bandar di utara India.

Rakannya datang untuk menyelamatkannya dan dia dirakam mengangkat monyet yang tidak sedarkan diri itu, menggoncangnya serta merendamkan seketika dalam lopak berlumpur sebelum menggigit kepala dan kulit sehingga mangsa sedar beberapa minit kemudian.

Monyet yang menjadi mangsa renjatan elektrik itu, dengan berlumpuran lumpur dilihat membuka mata dan bergerak semula tidak lama selepas itu. - AP

Sunday, January 4, 2015

Polis bongkar khidmat ibu susuan


Beijing: Polis China menahan 15 orang yang terbabit dengan laman web yang berkait dengan perkhidmatan menyediakan susu badan untuk lelaki dewasa. Laman web itu menghubungkan ibu muda dengan lelaki yang ingin menyusu terus dari payudara mereka.

Pegawai di beberapa bandar raya di China, termasuk Beijing, Hebei, Hubei dan Jiangxi sebelum itu membongkar dua sindiket pelacuran yang menawarkan khidmat berkenaan. Menurut seorang ibu muda berusia 23 tahun yang terbabit dalam sindiket berkenaan, ahli laman web terbabit membayar 40,000 yuan (RM22,000) sebulan untuk mengakses pangkalan data wanita yang menawarkan khidmat menyusu badan, membabitkan susu saja.

Bagaimanapun, bayaran tambahan sebanyak 10,000 yuan (RM5,600) akan membolehkan mereka mengakses satu lagi laman yang menyediakan perkhidmatan menyusu dan seks. 

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/20593#sthash.N2oe4tqF.dpuf

Pemandu lori mati bersama al-Quran


KENINGAU – Misteri penemuan sebuah lori tiga tan yang sudah lebih tujuh bulan terhumban ke dalam gaung sedalam 30 meter membawa kepada penemuan satu rangka dan tengkorak manusia bersama senaskhah al-Quran di Kilometer 16, Jalan Keningau-Kimanis dekat sini kelmarin.

Rangka yang ditemui pukul 3.55 petang itu dikenali identitinya sebagai Sharif Marzuki, 28, yang bekerja sendiri sebagai penghantar barang.

Mangsa yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dan masih bujang dikatakan membeli lori tersebut daripada sebuah syarikat tempatan pada beberapa tahun lalu.

Ketua Polis Dae­rah Keningau, De­pu­ti Superitendan Douglas Taong ber­kata, rangka manusia berkenaan ditemui oleh seorang petani yang sedang membersihkan kawasan tanah miliknya.
Katanya, sebaik memasuki kawasan yang dipenuhi semak, petani berkenaan ternampak lori tersebut yang tersangkut di celah pokok sebelum menghubungi pihak polis.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0105&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm#ixzz3NuSs2kEb
Hakcipta terpelihara

Thursday, January 1, 2015

Bayi maut kelaparan ketika ibu bapa sedang makan


FLORIDA - AMERIKA SYARIKAT. Seorang bayi berumur 22 hari ditemui mati kelaparan di dalam sebuah kereta ketika ibu dan ayah tirinya sedang menikmati bufet di sebuah restoran.

Ibu tersebut, Ruby, 33, dan ayah tiri kepada bayi tersebut, Roy, 48 didakwa di atas tuduhan membunuh bayi berusia 22 hari tesebut.

Bayi tersebut, Betsey Kee Stephens hanya berat 1.8 kilogram ketika ditemui mati minggu lepas, kurang lebih dari sekilogram ketika dia dilahirkan.

"Pada pendapat saya, bayi tersebut terseksa semenjak dilahirkan sehinggalah dia meninggal dunia," kata Penolong Ketua Polis Mike Link.

Pegawai kesihatan mengisytiharkan Betsey maut 3 jam sebelum ibu dan ayah tirinya memanggil nombor kecemasan.

Pasangan tersebut memberitahu bahawa mereka meninggalkan bayi tersebut bersama dua beradiknya di dalam kereta ketika mereka pergi makan di Golden Corral, sebuah restoran yang menghidangkan makanan ala bufet.

Mereka memanggil nombor kecemasan selepas mendapati kaki Betsey sejuk sekembalinya ke kereta, lapor mirror.co.uk.

Adik beradik Betsey, berumur satu dan dua tahun berkeadaan sihat dan sedang dijaga oleh pihak kebajikan.

"Kalau kamu tidak mahu anak tersebut, berikan anak tersebut kepada orang lain (untuk dijadikan anak angkat)," kata Mike.

"Kamu tak perlu biarkan dia mati kelaparan," tambahnya.

-Sinar