Wednesday, April 29, 2015

Sumpah Asim - Mayatnya dipelihara Allah daripada kaum musyrikin

PADA tahun keempat selepas hijrah, Rasulullah SAW mengutus sekumpulan sahabat untuk mengintip aktiviti kaum musyrikin di sekitar Madinah. Baginda menunjuk Marthad bin Abi Marthad sebagai pengetua misi tersebut. Turut serta dalam kumpulan ini ialah Asim bin Thabit al-Ansari.

Beliau seorang tokoh sahabat Nabi yang membunuh ramai kaum musyrikin di perang Badar. Apabila berada di satu kawasan bernama Had’ah, antara Usfan dan Mekah, suku Bani Lihyan menyedari kehadiran mereka. Kaum musyrikin ini lalu mengutus kurang lebih 100 orang pasukan untuk menjejaki mereka.

Takdir Allah menentukan mereka berjaya mengejar lalu mengepung para sahabat Nabi ini. Merasa berada di atas angin, Bani Lihyan berkata: “Jika kalian menyerah, kami berjanji tidak akan menyakiti seorang pun daripada kalian.” Kaum musyrikin ini penuh dengan sifat khianat. Janji mereka sangat sukar untuk dipercayai. Justeru, Asim bin Thabit dan Marthad berkata: “Demi Allah, kami tidak menerima janji kaum musyrikin selama-lamanya.”

Kedua-dua sahabat Nabi ini lalu memutuskan untuk bertempur hingga syahid. Rakan kedua-duanya memutuskan untuk menyerah. Namun setelah mereka meletakkan senjata, kaum musyrikin memungkiri janji. Para sahabat ini dijual kepada ahli Mekah yang keluarganya terbunuh di perang Badar. Mereka lalu dibunuh untuk mengubati dendam mereka. Sungguh tepat firasat Asim dan Marthad.

Sebahagian kaum musyrikin ini berniat untuk memenggal kepala Asim bin Thabit. Mereka hendak menjualnya kepada Sulafah binti Saad di Mekah. Wanita musyrik ini pernah bernazar untuk meminum arak di atas kepala Asim. Itu kerana Asim telah membunuh kedua-dua anaknya semasa perang Badar.

Apabila mereka mendekati mayat Asim, tiba-tiba sekumpulan tebuan seperti awan berkeliling di sekitar mayat tersebut. Kaum musyrikin tidak berani mendekat. Mereka lalu berkata: “Mari kita tunggu hingga petang hari. Pada saat itu, mungkin haiwan ini telah pergi.”

 Setelah mereka pergi, Allah menurunkan hujan yang sangat deras. Air tersebut menyebabkan banjir yang menghanyutkan tubuh Asim. Allah menyelamatkan tubuh sahabat yang mulia ini. Menurut Abu Nuaim dalam Hilyat al-Aulia, penjagaan Allah ini berkait rapat dengan sumpah Asim bin Thabit.

Beliau pernah bersumpah untuk tidak menyentuh ataupun disentuh oleh musyrik. Agaknya, kebencian beliau kepada syirik yang membuat beliau bersumpah seperti itu. Berkata Abu Nuaim: “Asim telah memenuhi janjinya kepada Allah semasa hidup.

Justeru, Allah mencegah mereka daripada menyentuh mayatnya setelah beliau mati, sebagaimana beliau mencegah dirinya daripada menyentuh mereka ketika hidup.” Antara pengajaran daripada kisah ini, siapa yang menjaga janjinya kepada Allah, maka Allah akan menjaga janji-Nya kepada orang itu.

Sesungguhnya Allah tidak pernah memungkiri janji. Sebagaimana firman Allah kepada Bani Israil yang bermaksud: Penuhilah perjanjian-Ku, Aku akan memenuhi perjanjianmu… (al-Baqarah: 40) Perjanjian terbesar antara seorang hamba kepada Allah ialah mentauhidkan Allah, melaksanakan ibadah dan menjauhkan maksiat.

Jika kita menjaga perjanjian ini dengan baik, Allah akan mengotakan janji-Nya untuk memberikan syurga dunia dan syurga akhirat. Wallahua’lam.

- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/agama/sumpah-asim-1.85449#sthash.rsxr2SdP.dpuf

Monday, April 27, 2015

Pasangan pengantin paling tua di dunia

SUSSEX – Sepasang kekasih di sini yang akan melangsungkan perkahwinan pada Jun ini bakal diiktiraf sebagai pengantin tertua di dunia.

Pasangan itu, George Kirby, 103, dan kekasihnya, Doreen Luckie, 91, akan mendirikan rumah tangga pada 13 Jun ini selepas bercinta selama 27 tahun.

Kirby dan Luckie akan berkahwin di Hotel Langham yang terletak di Eastbourne, Sussex Timur, England.

Menurut Luckie, dia terkejut apabila mengetahui mereka bakal mencatat rekod kerana menjadi pasangan pengantin yang tertua di dunia.

“Kami tidak sangka bakal diiktiraf sebagai pengantin tertua di dunia memandangkan masih ramai yang berkahwin pada usia 90 tahun,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0428&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz3YZQaCkwu
 

Sunday, April 26, 2015

Dukung rakan OKU ke sekolah

BEIJING 26 April – Atas dasar semangat setia kawan, seorang pelajar sanggup membantu mendukung rakannya yang kurang upaya (OKU) ke sekolah setiap hari sepanjang tiga tahun lalu. Mail Online melaporkan, Xie Xu, 18, menemui Zhang Chi, 19, ketika sama-sama melanjutkan pelajaran di Sekolah Tinggi Daxu, Xuzhou, utara wilayah Jiangsu.

Chi mengalami penyakit distrofi otot atau keadaan yang menyebabkan otot seseorang pesakit lemah, sehingga menyebabkannya mengalami kesukaran untuk berjalan dan bergerak. Simpati atas nasib yang menimpa Chi, Xu yang mempunyai ketinggian 1.73 meter nekad untuk membantu dengan mendukung rakannya itu ke sekolah.

Kedua-dua rakan baik itu tinggal berhampiran dengan sekolah dan setiap hati Xu bukan sahaja mendukung Chi ke sekolah, malah turut membantunya menyediakan makanan dan membasuh baju. “Kisah dua pelajar ini begitu menyentuh perasaan dan memberi inspirasi.

Mereka tiada sebarang pertalian darah dan Xu sudah melakukan perkara ini selama tiga tahun,” kata Naib Pengetua Sekolah Tinggi Daxu, Guo Chunxi. Kata Chunxi, kedua-dua mereka merupakan antara pelajar cemerlang di sekolah dan bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke universiti tempatan.

  - See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/dukung-rakan-oku-ke-sekolah-1.84961#sthash.KwO7XRlD.dpuf

Thursday, April 23, 2015

Foto 'hantu samurai' timbulkan cemas

KANAGAWA - JEPUN. Sekeping foto yang dimuatnaik ke laman forum Reddit menimbulkan perdebatan mengenai ketulenan entiti yang terdapat dalam gambar tersebut.

Menurut pelayar Reddit, Obiaruf berkata, entiti berkenaan kelihatan memakai 'but samurai'.

Gambar berkenaan dilaporkan diambil berdekatan dengan makam samurai di Kanagawa, tahun lepas.

Obiaruf yang merupakan kawan kepada jurugambar berkenaan berkata, dalam foto lain di lokasi sama, tidak ada apa-apa entiti pelik kelihatan.

Terdapat juga pelayar Reddit mengandaikan kemungkinan 'hantu' tersebut dari zaman Perang Dunia Kedua.

"Datuk saya berada di Okinawa (Jepun) ketika Perang Dunia Kedua dan saya mengecam but yang dipakai. Itu but Tentera Laut Amerika Syarikat (ketika) Perang Dunia Kedua." jelas pelayar tersebut.

Bagaimanapun, pelayar laman Reddit yang lain bersikap skeptikal terhadap foto tersebut.

Mereka memberitahu ianya adalah 'ilusi' atau permainan cahaya dan kehadiran manusia sebenar yang lain dalam foto berkenaan.

-sinar

Pekerja jumpa 43 fosil telur dinosaur

BEIJING – Sekumpulan pekerja menemui 43 objek yang dipercayai fosil telur dinosaur ketika melakukan kerja-kerja pemasangan paip saluran kumbahan di pusat bandar Heyuan baru-baru ini.

Menurut akhbar People Daily, ia merupakan penemuan pertama seumpama itu di bandar tersebut. Sebanyak 19 biji telur masih berada dalam keadaan baik.

Beberapa pakar dari Muzium Dinosaur Heyuan sedang menjalankan penyelidikan bagi menyiasat jenis dinosaur yang menghasilkan telur berukuran 10 hingga 12 sentimeter lebar itu.
SEBANYAK 19 daripada 43 fosil telur dinosaur ini berada dalam keadaan baik ketika ditemui di pusat bandar Heyuan baru-baru ini.

Ketua kurator muzium tersebut, Du Yanli berkata, fosil telur dinosaur banyak terdapat di bahagian bawah tanah di bandar ini, cuma jarang ditemui kerana terletak di lapisan batu pasir merah yang dalam.

“Namun, apabila kerja-kerja pemasangan paip saluran kumbahan dijalankan, ia berjaya ditemui,” kata Yanli sambil memberitahu, kerja-kerja pemasangan paip terpaksa dihentikan sehingga penyelidikan selesai dijalankan. Sejak 1996, sebanyak 17,000 serpihan fosil telur dinosaur telah ditemui di China. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3Y7W1KIrz

Tuesday, April 21, 2015

Pemerdagangan organ

Koleksi gambar berikut memaparkan keadaan pesakit yang lemah dan terdesak ketika menjalani pembedahan berisiko di hospital yang kotor yang dieksploitasi kumpulan yang terbabit dalam pemerdagangan organ manusia.

Penderma yang menggadai nyawa hanya memperoleh AS$5,000 (RM18,400) daripada kumpulan itu yang kemudian menjual organ berkenaan hingga mencecah harga AS$200,000 (RM735,000).
Di India, tempat gambar ini dirakam, kira-kira 2,000 orang menjual buah pinggang mereka secara haram setiap tahun.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), aktiviti itu meningkat sehingga sekitar 10,000 pembedahan seumpama itu di seluruh dunia setahun lebih satu pembedahan sejam.
Namun anggaran ini dianggap sangat konservatif.

Hospital di China saja dipercayai memperoleh sehingga 11,000 organ daripada tahanan politik setiap tahun.

Pasaran bagi buah pinggang lebih tinggi berbanding jantung, paru-paru dan organ lain kerana penderma masih boleh meneruskan hidup dengan satu buah pinggang saja.

Walaupun undang-undang mengharamkan penjualan organ, pemerdagangan secara haram berlaku seiring dengan peningkatan permintaan bagi buah pinggang ekoran penyakit kencing manis yang semakin meningkat di seluruh dunia.

Sementara itu, satu laporan dari China menyatakan, sebahagian pesakit yang masih hidup dibakar di bilik dandang hospital selepas organ mereka diasingkan.

Seorang bekas pelajar perubatan mendedahkan bagaimana dia memotong seorang pesakit walaupun dia masih hidup selepas organnya diambil.

Seorang pekerja kesihatan pula memberitahu bagaimana suaminya, pakar bedah, mencungkil kornea daripada orang yang masih hidup.

Butir mengerikan itu disiarkan di dalam dokumentari SBS Dateline.

Menurutnya, doktor dan pelajar perubatan dikendalikan tentera dan hospital awam di China mengambil ribuan organ setahun daripada penderma ketika mereka masih hidup.

Seorang bekas pekerja kesihatan dipetik sebagai berkata: “Saya boleh memberikan keterangan terhadap jenayah kejam yang dilakukan hospital yang mengambil hati dan kornea daripada ahli keluarga Falun Gong yang ditahan pihak berkuasa. Mereka kemudian dibakar walaupun masih hidup.”

Seorang pelajar perubatan pula mengaku bagaimana dia mengambil hati dan dua buah pinggang mangsa dalam satu pembedahan yang hanya mengambil masa 30 minit.

Pegawai China menyangkal dakwaan itu dengan mengatakan organ berkenaan diambil daripada sukarelawan.

-Metro

Monday, April 20, 2015

Bapa rogol anak ketika ibu keluar

JOHOR BAHRU – Luluh hati seorang ibu selepas dimaklumkan hasil pemeriksaan doktor mendapati anak tunggalnya itu telah diperkosa dan paling memeranjatkan perbuatan terkutuk itu adalah angkara suaminya sendiri.

Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Johor Bahru, Manayi Ibrahim berkata, kanak-kanak enam tahun dan ibunya berusia 50 tahun itu, kini di tempatkan di rumah perlindungan JKM disebabkan faktor keselamatan sementara kes dalam siasatan.

“Kanak-kanak terbabit memaklumkan dia berasa sakit di bahagian sulit kepada ibunya, namun mangsa tidak menceritakan dia telah dirogol bapanya.

“Disebabkan wanita itu tidak sedap hati, dia membawa anaknya ke sebuah klinik untuk menjalani pemeriksaan. Bagaimanapun pihak klinik telah mencadangkan kepada ibu mangsa supaya merujuk kepada pihak hospital.

“Ketika itu, wanita yang bekerja sebagai tukang sapu itu masih belum tahu apa yang telah terjadi ke atas anaknya sehinggalah dia membawa anaknya ke hospital dan doktor menasihatkannya membuat laporan polis,” katanya.

Manayi berkata, ibu mangsa yang juga warga negara Indonesia turut mendakwa suaminya berusi, 60 tahun yang bekerja sebagai pemotong rumput kerap memukulnya jika berlaku perselisihan faham.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal JKM, lelaki pemegang status penduduk tetap itu, bertindak melakukan perkara terkutuk ketika isterinya tiada di rumah.

“Kita telah merujuk kanak-kanak terbabit untuk menjalani sesi kaunseling berikutan dia menunjukkan tanda kemurungan dan kurang bercakap,” katanya.

Manayi berkata, wanita itu juga terlalu sedih apabila suami yang diharapkan melindungi keluarga tergamak merosakkan anak sendiri.

Berikutan kejadian tersebut, ibu mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Permas Jaya di sini, pada 1 April lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh sahkan menerima laporan terbabit dan suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

Kes itu disiasat ikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

-sinar

Sunday, April 19, 2015

Jakim keluar garis 
panduan hiburan

KUALA LUMPUR 19 April - sebarang penganjuran program berbentuk hiburan selepas ini tidak dibenarkan mengandungi unsur percampuran antara lelaki dan perempuan dalam kalangan penonton serta tidak membawa kepada pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan semasa latihan atau raptai. Perkara tersebut terkandung dalam garis panduan hiburan dalam Islam edisi kedua yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi laman web rasminya.

Garis panduan baharu itu lebih terperinci berbanding garis panduan terdahulu malah memberi penekanan khusus berhubung panduan penampilan artis dan penganjuran sesebuah program hiburan. Dalam garis panduan tersebut, Jakim turut menyatakan penganjur juga perlu memastikan program yang diadakan tidak mempunyai unsur ritual, tanda atau simbol yang bertentangan dengan ajaran Islam dan perbuatan yang diharamkan dalam Islam atau perkara yang boleh mendorong kepada keadaan-keadaan tersebut.

Katanya, program tersebut juga tidak boleh membawa kepada kekacauan atau gangguan terhadap ketenteraman awam dan bersifat provokasi yang boleh menimbulkan sikap prejudis atau permusuhan. “Beberapa rujukan berhubung penampilan seseorang artis juga digariskan antaranya pemakaian artis haruslah sopan dan sentiasa dikekalkan walaupun berada di luar persembahan dan artis perlu berpakaian menutup aurat, kemas dan sopan serta tidak memakai pakaian yang boleh mendedahkan diri kepada eksploitasi penonton dan tidak bercanggah dengan kehendak Islam. “Malah, adab berpakaian, tatarias dan dandanan rambut artis haruslah tidak menyerupai jantina yang berlainan serta hiasan dan dandanan hendaklah pada kadar yang bersesuaian dan sederhana sesuai dengan masyarakat,” kata Jakim.

Garis panduan tersebut diperaku oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali ke-107 yang berlangsung pada Februari lalu. Dalam pada itu, program hiburan juga tidak mengandungi sebarang ucapan, gerak laku dan sebagainya yang tidak mengandungi simbol yang dapat ditafsirkan secara tersurat atau tersirat yang bertentangan dengan akidah, syariah dan nilai-nilai Islam. Malah, program tersebut tidak boleh mengandungi sebarang unsur yang menyentuh sensitiviti mana-mana agama, budaya dan bangsa dan perlu diadakan dalam keadaan yang bersesuaian untuk mengelakkan rasa tidak disenangi oleh orang yang mendengar dan menonton.

Garis panduan itu turut menggariskan plot penceritaan yang bukan realiti dan berasaskan khayalan adalah dibenarkan untuk me­nyampaikan sesuatu mesej yang baik namun lawak jenaka hendaklah berpada-pada dan tidak melampaui batas sehingga membawa kepada ketawa yang melampau.

“Lawak jenaka tidak boleh dilakukan terhadap perkara yang serius dan yang perlu ditangisi dan tidak mengandungi unsur pendustaan pada sesuatu fakta, kata-kata kesat, lucah atau fitnah serta tidak mengandungi unsur yang menimbulkan penghinaan terhadap mana-mana individu atau organisasi.

“Sesebuah program seni pentas juga tidak mengandungi unsur keganasan, tidak menimbulkan trauma atau gangguan emosi serta tidak melakonkan watak menyerupai jantina yang berlainan,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/nasional/jakim-keluar-garis-8232-panduan-hiburan-1.82849#sthash.NXyjpX89.dpuf

Gadis bela wanita Islam dihina dalam kereta api

SYDNEY – Seorang gadis berkulit putih di sini berani mempertahankan satu pasangan beragama Islam yang dituduh sebagai penyokong kumpulan militan Islamic State (IS) ketika mereka menaiki sebuah tren komuter baru-baru ini.

Wanita tersebut, Stacey Eden, 23, berkata, seorang warga emas yang duduk di hadapan pasangan itu mendakwa mereka merupakan penyokong IS hanya kerana wanita itu berhijab.
Satu rakaman video yang tersebar di internet menunjukkan Stacey kelihatan berang apabila wanita tua itu menuduh pasangan tersebut.
“Dia memakai hijab untuk dirinya, kerana agamanya. Tolong hormat orang dan tutup mulut anda jika tiada kata-kata yang baik untuk diungkapkan,” katanya.

Stacey yang telah memuat naik rakaman video itu di laman sosial Facebook menyebabkan video itu kini menjadi viral selain mendapat pujian dalam kalangan orang Islam dan bangsa lain di seluruh dunia.

“Terima kasih. Ia merupakan satu tindakan yang membanggakan apabila anda mengetahui mengapa wanita itu memakai tudung. Anda seorang yang hebat,” kata seorang pengguna, Mudassar Mumtaz Khokhar.

Sementara itu, pihak polis meminta mangsa tampil untuk membuat laporan polis. – Agensi

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0418&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3XoW75Fh2

Wednesday, April 15, 2015

Dunia oh dunia : Jadi kuda untuk ubat anak

Beijing: Seorang lelaki sanggup mengemis memakai topeng kuda dan menawarkan orang ramai ‘menunggangnya’ dengan bayaran lima kuai (RM4) semata-mata mahu mengumpulkan wang untuk rawatan leukemia.

Anaknya didiagnos menghidap penyakit itu pada 2011 dan lelaki terbabit dilaporkan memerlukan 200,000 RMB (RM120,000) dan masih menanggung hutang sebanyak 160,000 RMB (RM96,000). Malangnya penyakit anaknya kembali Mac lalu menyebabkan dia tiada pilihan selain mengemis bagi membolehkanya membeli ubat serta mendapatkan rawatan lanjut untuk budak itu.

Gambar disiarkan Tencent menunjukkan bapa berusia 38 tahun itu melutut di sebelah papan tanda yang menunjukkan gambar anaknya dan keterangan mengenai keadaan mereka secara ringkas selain merayu orang ramai menyokong usahanya.

“Tunggang sekali untuk lima kuai. Mereka yang baik hati pasti memilih menunggang sekali saja,” kata papan tanda itu. Lelaki itu berkata dia menerima beberapa ratus yuan sehari malah ada juga yang bermurah hati mendermakan lebih banyak wang.

Dia mengakui pengalaman itu amat menginsafkan dan tidak menafikan ramai yang memandang hina cara dia mendapatkan wang. Malah anaknya juga tidak mengetahui cara dia mendapatkan wang kerana dia menyorokkan topeng kuda itu. - Agensi

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/44129#sthash.0r4rEERL.dpuf

Monday, April 13, 2015

Lahir bayi dari sperma ayah yang meninggal dunia

CANBERRA - AUSTRALIA. Seorang wanita telah melahirkan seorang bayi lelaki melalui kaedah 'In Vitro Fertilisation' (IVF) dengan menggunakan sperma yang diambil selepas 48 jam bapanya meninggal dunia.

Sebelum itu, ibu kanak-kanak tersebut terpaksa berjuang di Mahkamah Agung Australia untuk mendapatkan kebenaran untuk menggunakan sperma suaminya yang terbunuh dalam kemalangan motosikal.

Pada mulanya doktor tidak pasti sama ada prosedur tersebut akan berjaya kerana keputusan mahkamah mengambil masa selama dua hari.

Ia bukan kali pertama sperma diambil dari orang mati untuk melahirkan bayi, tetapi ia adalah 18 jam lebih lama daripada yang telah dilakukan pada masa lalu.

Pakar IVF, Steve Robson berkata, ia menjadi luar biasa untuk melibatkan diri dengan membantu seorang wanita yang mempunyai begitu banyak cinta dan keberanian.

“Sebagai sebuah kumpulan kami kagum dengan cinta yang dipunyai wanita ini dan mempunyai daya tahan yang luar biasa terhadap segala rintangan yang dihadapi beliau,” katanya dipetik metro.uk.

Bagaimanapun, wanita tersebut terpaksa pergi ke Canberra dari Adelaide untuk menjalankan prosedur berkenaan kerana prosedur ini diharamkan di Adelaide.

-Sinar

Sunday, April 12, 2015

Lubang neraka?

Beijing: Kemunculan sebuah lubang misteri yang mengeluarkan api dan haba di lereng bukit di pinggir bandar Urumqi menarik perhatian ahli geologi dan media sejak beberapa minggu lalu. Menurut laman People’ Daily, suhu haba dari lingkaran api di gunung yang terpencil itu setinggi 792 darjah Celcius yang boleh dirasai dari jarak dua kilometer, malah pakar tidak dapat menganggarkan kedalamannya disebabkan suhu yang panas melampau. .

Rakaman video menunjukkan penduduk tempatan menyalakan ranting pokok dan rumput dengan api daripada lubang selebar satu meter itu yang turut digelar ‘pintu masuk neraka’ oleh pengguna Internet tempatan. Penduduk tempatan memberitahu media bahawa mereka mendapati tanah kawasan perumahan mereka panas sejak akhir-akhir ini.

Bukit itu tidak terletak di kawasan bergunung api dan pakar berpendapat lubang itu akibat pembakaran arang batu di bawah tanah menyebabkan lapisan permukaannya runtuh. Penyelia Biro Kejuruteraan Kebakaraan Xinjiang Meitian, Chen Long berkata, ada lebih 12 lombong arang batu kecil di situ pada 1970-an.

“Perlombongan primitif dan teknik memadamkan api menyebabkan arang membakar di dalam tanah. Lombong yang tidak ditutup dengan betul selepas tamat operasi menyebabkan api membakar ke arah permukaan bumi,” katanya. - Agensi

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/42988#sthash.4cPb53GG.dpuf

Thursday, April 9, 2015

Ibu durjana

Wilkes-Barre (Amerika Syarikat): Seorang ibu sepatutnya melindungi anaknya sendiri, tetapi lain pula ceritanya dengan seorang wanita di sini yang meminta lelaki yang baru dikahwininya merogol anak perempuannya sendiri. Wanita itu, Misty Machinshok, 33, dilaporkan meminta suaminya, Gary, 29, merogol anak perempuannya yang berusia 15 tahun semata-mata mahu mempunyai anak.

Lebih mengejutkan Misty turut ‘mengajar’ Gary bagaimana untuk merogol anaknya supaya gadis berkenaan hamil. Misty juga didakwa memegang tangan anaknya ketika Gary merogol mangsa hampir setiap hari sepanjang 2013. Sekiranya mangsa hamil, wanita itu merancang memberitahu orang ramai anaknya membuat hubungan seks ketika menghadiri satu parti.

Bagaimanapun, kekejaman pasangan itu terbongkar apabila mangsa memberitahu rakan sekolahnya yang terus memaklumkan kejadian berkenaan kepada guru mereka. Pasangan itu ditangkap pihak polis dan mereka didakwa di mahkamah atas tuduhan mendera, rogol dan jenayah lain. Misty yang mengaku bersalah atas beberapa tuduhan dihukum penjara selama 15 hingga 30 tahun.

Dia mengaku bersalah atas tuduhan merogol, konspirasi, serangan ganas, membahayakan kanak-kanak dan beberapa tuduhan jenayah lain. Gary yang berkenalan dengan Misty di sebuah laman sesawang mencari jodoh pula akan dihukum sedikit masa lagi selepas mengaku bersalah merogol kanak-kanak.

Dia juga mengaku melakukan serangan seksual terhadap adik perempuan mangsa berusia 11 tahun. Pegawai pendakwa raya, Nancy Violi berkata, kes itu adalah yang paling kejam yang pernah dikendalikannya sepanjang 14 tahun dia bertugas.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/42490#sthash.9iMvjzls.dpuf

Monday, April 6, 2015

30 tahun kaji agama, sami peluk Islam

MELAKA - Hampir 30 tahun mengkaji setiap agama di dunia ini, akhirnya seorang sami Buddha berusia 66 tahun mengambil keputusan memeluk Islam.

Pengalaman menjadi sami selama 28 tahun di Taiwan mendorong lelaki yang enggan identitinya itu didedahkan, mencari kebenaran dan akhirnya mengakui Islam merupakan satu agama yang indah dan sempurna.

Semalam, lelaki terbabit mengucap dua kalimah syahadah dalam satu majlis ringkas di Masjid Cina, di sini.

Presiden Persatuan Cina Islam Malaysia Cawangan Melaka (Macma), Lim Jooi Soon berkata, sepanjang menjadi sami di Taiwan, lelaki berkenaan banyak menghabiskan masa mengkaji setiap agama di dunia ini.

"Semasa menjadi sami, dia begitu banyak mengkaji tentang banyak agama di dunia ini. Dalam pengkajian itu, dia cuma menemui Islam sebagai sebuah agama paling lengkap dan meliputi segala aspek setiap kali berhujah.

“Dia banyak melihat agama Islam ini semakin berkembang, tetapi dia tidak tahu puncanya," katanya.

Menurutnya, lelaki yang berasal dari Johor itu datang ke negeri ini sejak tiga minggu lalu.

"Akhirnya, dia berjumpa saya dan saya telah menerangkan dengan menggabungkan bagaimana logik, sains dan hujah dapat dikaitkan dengan pencipta alam ini menyebabkan dia tertarik untuk memeluk Islam,” katanya selepas majlis itu semalam yang
disempurnakan penaung Macma, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (Maim), Datuk Yaakub Md Amin dan Mufti negeri, Datuk Dr Mohadis Yasin.

Jooi Soon berkata, kini tugas Macma adalah untuk membimbingnya agar dapat mengetahui ajaran Islam secara mendalam.

“Kerja kami baru hendak bermula untuk mengajarnya dan kami hanya boleh mengajar dalam bahasa Mandarin kerana dia tidak fasih bahasa Melayu dan Inggeris. Ia mungkin menuntut sedikit kesabaran,” katanya.

Sementara itu, pada majlis sama semalam turut menyaksikan pengislaman seorang lelaki kurang upaya (OKU) berusia 31 tahun.

Menurut Jooi Soon, lelaki dikenali sebagai Teo itu dikatakan ditemui ketika hidup di dalam gelandangan dan hanya mengharapkan belas ihsan orang ramai untuk sesuap nasi.

“Dia mengalami kecacatan anggota kaki dan tangan. Rakan-rakan kami menemuinya sehingga akhirnya kami dakwah dia untuk tertarik terhadap Islam.

“Paling mencabar lagi bagi kami, OKU ini juga tidak berpelajaran dan tidak tahu membaca,” katanya.

-Sinar

Sunday, April 5, 2015

Lima tahun 'sembunyi' di sebalik dinding


SEEKOR kucing telah diselamatkan selepas terperangkap dalam lubang di dinding sebuah stesen keretapi selama lima tahun di Kaherah, Mesir.

Kucing yang dipanggil Biso itu teperangkap di dinding tersebut sejak 2010 masih bernyawa kerana diberi makan dan minum oleh seorang lelaki dikenali sebagai Uncle Abdo.

Menurut Uncle Abdo, kucing itu sering menjadikan lubang di dinding tersebut sebagai tempat persembunyian daripada kucing lain yang lebih besar.

Namun mungkin gara-gara memberi makan kepada Biso di situ, kucing tersebut membesar dan akhirnya tidak boleh keluar.

Usaha menyelamat Biso sebenarnya telah dilakukan sejak beberapa tahun lalu namun gagal kerana kucing itu terlalu malu dan melarikan diri menjauhi lubang dinding tersebut.

Usaha menyelamat itu bermula dengan kempen di media sosial pada 12 Mac lalu dengan mesej berbunyi 'ekor Biso kelihatan dari lubang ini'.

Kempen itu kemudiannya menarik perhatian aktivis haiwan, Dina Zulfikar, Marwa Elgebaly dan Rania el-Kordy.

Dina membuat laporan polis dan beberapa hari kemudian perintah pendakwaan untuk menyelamatkan Biso dikeluarkan.

Dinding itu dirobohkan dan Biso akhirnya diselamatkan.

-Sinar

Thursday, April 2, 2015

Penganggur didakwa cabul ibu kandung

ALOR GAJAH 2 April – Seorang penganggur berusia 26 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan mencabul ibu kandungnya sendiri, hujung bulan lalu. Lelaki itu didakwa dengan sengaja menggunakan kekerasan jenayah terhadap ibunya yang berusia 46 tahun dengan niat hendak mencabul kehormatan mangsa di rumah mereka di Durian Tunggal, di sini pada pukul 10 pagi, 25 Mac lalu.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman itu. Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Nizam yang mengendalikan pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan ke atas tertuduh atas faktor keselamatan mangsa yang tinggal bersama tertuduh serta dua anak perempuannya yang masih bersekolah.

Namun tertuduh yang tidak diwakili peguam bela merayu agar dibenarkan bebas dengan ikat jamin sambil mendakwa dia tidak sedar apa yang berlaku dan langsung tidak tahu apa yang dilakukannya. Majistret Nor Azizah Yusof kemudian membuat keputusan tidak membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin demi keselamatan mangsa yang juga pengadu dalam kes itu. Beliau turut menetapkan 29 April ini untuk sebutan kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/mahkamah/penganggur-didakwa-cabul-ibu-kandung-1.76603#sthash.7XuqkdO3.dpuf

Wednesday, April 1, 2015

Ibu bunuh anak sebagai hadiah kepada bapa


BAJA CALIFORNIA, Mexico – Seorang ibu yang tidak berperi kemanusiaan di sini dihukum penjara selama 42 tahun kerana bersubahat merancang pembunuhan anak lelakinya untuk membalas dendam terhadap bapa anaknya itu.

Wanita berkenaan, Karina Luna Sandoval, 26, menuduh bekas kekasihnya, Miguel Beltran merosakkan kehidupannya selepas membuang dia dan anak mereka, Miguel Saul.
Justeru, dia berkomplot bersama kekasih baharunya, Gonzalo del Rio Hernandez, 23, agar kanak-kanak berusia tujuh tahun itu ditikam hingga mati sebagai hadiah pertukaran sempena hari lahir Beltran.

“Tiada hadiah yang lebih bermakna untuk diberi melainkan kematian anaknya, iaitu sesuatu yang tidak mungkin dia lupa,” kata Sandoval kepada Hernandez.

Pembunuhan itu berlaku apabila Sandoval meminta anaknya menunggu ketibaan bapanya di halaman rumah mereka sebelum dia ditikam oleh Hernandez dengan kapak ais pada 20 Disember lalu.

Paramedik yang tiba di tempat kejadian memberitahu, Saul menangis dan berkata: “Saya tidak mahu mati, saya mahu membesar dan menjadi seorang pemain bola sepak.”

Bagaimanapun, Saul meninggal dunia dua minggu kemudian di sebuah hospital di Tijuana. Hernandez pula dihukum penjara 40 tahun. – AGENSI


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0402&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3W7aWVBl4