Wednesday, January 31, 2018

Terpaksa berpelukan atas pokok



DUA beradik yang dilaporkan hilang petang semalam, ditemui berpelukan di atas pokok bakau di Kampung Alur Limbong, Paka, Dungun, malam tadi.
Mohd Zaidanie Amsyar Zaidi, 6, dan adiknya Mohd Zaidanie Ammar Zaidi, 4, memanjat pokok bakau terbabit sebaik air di kawasan paya itu mulai pasang sebelum ditemui 9.50 malam tadi.
Ibu saudara kanak-kanak berkenaan, Rosalinda Zakaria, 39, berkata, dua beradik itu ditinggalkan seketika di rumah oleh ibu mereka Norjihah Mohamad Razali, 28, untuk membeli barangan dapur di Bandar Paka pada 4 petang.
Menurutnya, sebaik pulang, ibu mereka mendapati kedua-dua mangsa tiada di rumah dengan kedua-dua seluar jeans yang dipakai kanak-kanak terbabit tergantung di tiang pagar manakala selipar mereka berada di tepi sungai.

DUA beradik yang dilaporkan hilang ditemui berpelukan di atas pokok bakau. FOTO Rosli Ilham
"Khuatir kedua beradik itu lemas, ibunya membuat laporan polis di Balai Polis Paka.
"Kami sekeluarga yang bimbang turut keluar mencari mereka bersama polis dan bomba namun selepas lima jam masih belum berjumpa.
"Saya kemudian tergerak hati pergi ke kawasan paya bakau dan sampai di sana, terus melaungkan nama kedua beradik itu.
"Alangkah leganya hati apabila laungan saya disahut mereka dan saya segera mendapatkan anggota bomba untuk mengesan arah suara itu.
"Bila sampai di lokasi, terkejut saya nampak kedua mereka sedang berpelukan di atas pokok," katanya ketika ditemui, malam ini.
Sementara itu, Pegawai Zon II Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Zailani Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira 8 malam.
Katanya, 14 anggota dari Balai Bomba Paka melancarkan gerakan mencari dan menyelamat.
"Kita terpaksa memanjat pokok terbabit sebelum berjaya membawa dua beradik itu turun," katanya.

-Metro

Thursday, January 25, 2018

Orang tengah sakit pun kau cabul!


RAKAMAN video menunjukkan seorang kakitangan National Hospital Surabaya memohon mengakui dan memohon maaf daripada pesakit wanita yang dicabulnya kini tular di media sosial Indonesia.
Dalam rakaman itu, pesakit wanita terbabit yang berada di atas katil hospital kedengaran menyoal siasat lelaki terbabit yang didakwa meraba payudara wanita itu ketika menyorong mangsa keluar dari bilik bedah ke wad dan lelaki berkenaan akhirnya mengakui melakukan perbuatan keji itu.
Kakitangan terbabit kemudian memohon maaf kepada wanita itu dan anggota keluarganya.
Menurut laporan Tribun News, suami wanita itu, Yudi Wibowo Sukinto, berkata kejadian berlaku Selasa lalu, ketika isterinya disorong keluar dari bilik bedah.
Menurutnya, kakitangan lelaki itu yang dikenali sebagai Junaidi menyorong isterinya yang belum sedar sepenuhnya daripada bius.
“Junaidi berbual dengan isteri saya, termasuk asal dari mana sebelum meraba payudara isteri saya tiga kali.
“Isteri masih tidak berpakaian kerana baru keluar dari bilik bedah. Isteri sedar namun tidak berdaya,” katanya.
Berikutan itu, Yudi membuat laporan kepada polis hari ini.
Menurutnya, walaupun pelaku sudah memohon maaf namun dia tidak menerima lalu membuat laporan polis.
“Jika maaf diterima, belum tentu kejadian ini tidak akan berlaku lagi,” katanya.
Ketua Polis Surabaya, Rudi Setiawan, berkata pihaknya sudah memulakan siasatan sebelum laporan dibuat selepas kejadian itu tular di media sosial.
Menurutnya, kakitangan lelaki itu masih belum ditahan namun sudah diambil keterangan dan menunggu hasil siasatan lanjut.
Beliau berkata, suspek boleh didakwa dengan tuduhan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun.

Wednesday, January 24, 2018

Bunuh, potong, rebus mayat bekas isteri



ANGGOTA tubuh Magdalena Aguilar Romero, 28, Taxco, Guerrero, Mexico, yang hilang sejak lebih seminggu lalu, ditemui dalam periuk di atas dapur dipercayai dibunuh sebelum mayatnya dipotong-potong oleh bekas suaminya.
Daily Mail melaporkan, selain dalam periuk di atas dapur, bahagian lain mayat wanita beranak dua itu ditemui dalam beg plastik yang disimpan dalam peti sejuk di rumah bekas suaminya, Cesar Lopez Arciniega.
Jurucakap polis negeri Roberto Alvarez berkata: “Kami mengesyaki anggota tubuh wanita itu direbus.”
Menurut laporan Fox News, kaki dan tangan wanita itu ditemui dalam periuk di atas dapur manakala bahagian pinggulnya yang sudah siap direbus, berada dalam beg plastik dekat dapur.
Magdalena kali terakhir dilihat pada 13 Januari lalu, ketika meninggalkan rumahnya di Taxco untuk mengambil anak-anaknya di rumah bekas suaminya.
Polis kini memburu Arciniega yang dipercayai melarikan diri selepas mengetahui dia disyaki sebagai suspek utama.
Polis sedang menyiasat motif pembunuhan itu.

-Metro

Tuesday, January 23, 2018

Derita remaja tumor 4.5kg di muka berakhir

Derita remaja tumor 4.5kg di muka berakhir

MIAMI - AMERIKA SYARIKAT. Seorang remaja di Cuba yang terbang ke Amerika Syarikat (AS) untuk membuang tumor wajah seberat 4.5 kilogram di mukanya meninggal dunia beberapa hari selepas menjalani pembedahan.

Emanuel Zayas, 14,  menderita gangguan fibrosis tiba di Florida, November lalu.
Menurut pakar bedah, pembedahan yang dilakukan di Hospital Kanak-Kanak Holtz mengambil masa 12 jam dan Zayas menunjukkan tanda positif untuk pemulihan.

Bagaimanapun, keadaan kesihatannya merosot selepas dia mengalami kegagalan buah pinggang dan paru-paru. - CNA/Sinar

Monday, January 22, 2018

Kaki putus selepas tersepit pintu lif

Kaki putus selepas tersepit pintu lif

SHANGHAI - CHINA. Kaki seorang wanita terputus selepas tersepit pada pintu lif yang kemudian bergerak.

Menurut Dailymail, kejadian tersebut berlaku pada 21 Jun tahun lepas dan rakaman ngeri kejadian berkenaan tular baru-baru ini.

Dalam rakaman tersebut, mangsa yang sedang melihat telefon bimbitnya dilihat berjalan memasuki lif sebelum terjatuh.

Pintu lif kemudian tertutup dan lif mula bergerak.

Kaki mangsa yang tersepit dari paras lutut ke bawah kemudian dipercayai terputus selepas terkena aras yang seterusnya.

Hanya selepas tiga tingkat, baru lif tersebut berhenti dan mangsa kelihatan jelas menahan kesakitan.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di sebuah bangunan di Shanghai, China.

-Sinar

Sunday, January 21, 2018

Bunuh diri tak dapat beli-belah



KECEWA suami menangguhkan rancangan membeli-belah daripada Sabtu ke Ahad kerana sibuk dengan keja, seorang wanita di Lucknow, India, membunuh diri dengan menggantung dirinya.
Daily Mail melaporkan, dalam kejadian Sabtu lalu, Deepak Dwivedi memberitahu isterinya, Deepika, 23, mereka tidak dapat keluar bersama kerana dia sibuk dengan kerja.
“Sepupunya akan berkahwin bulan depan dan dia mengajak saya keluar beli-belah untuk majlis perkahwinan itu.
“Sabtu lalu, Deepika mengajak saya membeli-belah, namun kerana banyak kerja di pejabat, saya menangguhkan permintaannya kepada esok (Ahad),” katanya.
Menurut laporan dailybhaskar.com apabila Deepak pulang pada petang Sabtu, pintu biliknya berkunci dan dia enggan keluar.
“Apabila dia tidak mahu membuka pintu, saya tidur di luar. Keesokannya saya memecahkan pintu dan menemui mayatnya,” kata Deepak.
Pegawai polis, Cantt Tannu Upadhyay, berkata keluarga wanita terbabit tidak menyalahkan Deepak atau keluarganya atas kejadian itu.
Menurutnya, selepas dipujuk, barulah mereka membenarkan mayat wanita itu dibedah siasat namun keputusan bedah siasat belum diperolehi.

-Metro

Cacing pita salmon mentah [Amaran: Menjijikkan. Baca dengan kerelaan sendiri]



SEORANG lelaki di California, Amerika Syarikat, yang gemar makan sushi terutama daging ikan salmon mentah, terkejut apabila cacing pita sepanjang lebih 1.6 meter keluar dari duburnya ketika ke tandas.
Dr Kenny Bahn yang memberitahu rancangan laman web ‘This Won’t Hurt A Bit’ semalam, berkata pesakit dari Fresno itu pergi ke unit kecemasan Pusat Perubatan Komuniti meminta rawatan masalah cacing dan buang air besar berdarah.
Daily Mail melaporkan, menurut Bahn, apabila ditanya mengenai cacing itu, lelaki berkenaan menunjukkan bukti, cacing pita yang dibelit pada gulungan tisu tandas.
“Ukuran cacing itu lebih 1.6 meter dan menurut lelaki berkenaan, parasit terbabit ‘menggeltik’ keluar dari duburnya ketika dia duduk di atas tandas.
“Lelaki itu menyangka ususnya yang terkeluar. Dia kemudian dia menarik cacing itu keluar,” katanya.
Lelaki itu berkata dia tidak pernah ke luar negara namun makan salmon mentah setiap hari.
Tahun lalu, jabatan kesihatan Amerika memberi amaran salmon yang ditangkap di perairan Alaska mungkin mempunyai cacing pita.
Ikan itu yang dimakan mentah boleh menyebabkan jangkitan membawa kepada masalah penghadaman serta masalah jantung dan hati.

-Metro

Wednesday, January 17, 2018

Suspek pembunuh Zainab ditahan

POLIS Pakistan hari ini, mengumumkan menahan lelaki yang disyaki suspek utama merogol dan membunuh kanak-kanak perempuan tujuh tahun, Zainab Ansari, di Kasur, minggu lalu.
Mayat kanak-kanak itu ditemui di tempat pembuangan sampah di tepi jalan bandar berkenaan, empat hari selepas dia hilang
Reuters melaporkan, menurut jurucakap polis, lelaki itu ditahan sebagai suspek utama selepas mereka menyoal siasat puluhan orang.
“Bukti yang kami perolehi menunjukkan lelaki itu sebagai suspek utama,” kata seorang pegawai polis yang tidak mahu dikenali.
Ketua Menteri Punjab, Shahbaz Sharif, yang melawat Kasur hari ini, tidak menyebut mengenai penahanan itu tetapi berkata, polis sudah hampir menyelesaikan kes berkenaan.
Beliau sebelum ini menawarkan ganjaran 10 juta rupees (RM356,365) bagi maklumat hingga tertangkapnya pembunuh Zainab.
Rekod polis menunjukkan 12 kes kanak-kanak, termasuk Zainab dirogol sebelum dibunuh sejak 2016 dan pembunuhan Zainab mencetuskan tunjuk perasaan mengecam pihak berkuasa menyebabkan dua penduduk maut ditembak polis.
Sementara itu, AFP melaporkan, pihak berkuasa sedang menyiasat kemungkinan semua 12 pembunuhan itu dilakukan orang yang sama kerana mayat Zainab dan semua mangsa lain ditemui dalam kawasan radius dua kilometer.
Pengarah Hospital Daerah Kasur, Dr Nazir Ahmed, memberitahu DNA yang sama ditemui pada enam mangsa.
Selain itu, bedah siasat mendapati tubuh mangsa mempunyai kesan kecederaan yang sama iaitu dicekik, dicucuh api, parut dan luka pada pergelangan tangan.

-Metro

Tuesday, January 16, 2018

Habis satu bas berbau!


SEORANG wanita mencetuskan tidak senang di Singapura apabila membuka kasutnya yang berbau dalam bas dan kemudian mengangkatnya ke saluran pendingin hawa bagi mengeringkan kasut itu.
Menurut laporan stomp.straitstimes.com, kejadian berlaku pada 9 Januari lalu, di atas Bas 857 ketika hujan lebat.
Seorang penumpang dikenali sebagai Glenn yang menyaksikan kejadian itu kemudian merakamnya.
Dalam rakaman itu, wanita terbabit dilihat duduk bersila di atas bangku dengan kedua-dua kasutnya dibuka.
Dia kemudian mengangkat kasut itu ke saluran udara pendingin hawa bagi mengeringkannya.
Glenn said: “Saya berasa amat jijik kerana pendingin udara kemudian mengeluarkan bau busuk dalam bas.
“Lelaki yang duduk di sebelahnya juga kelihatan terganggu.”

-Metro

Thursday, January 11, 2018

Bunuh isteri tukar program TV

LELAKI dituduh menikam isterinya hingga mati kerana menukar siaran televisyen ketika menyaksikan perlawanan bola sepak Amerika.
Tertuduh, Tony Thomas, 58, dari Carlisle, Arkansas, Amerika Syarikat (AS) mengamuk dengan tindakan isterinya, Elke yang menukar siaran ketika Thomas keluar rumah untuk merokok.
Polis berkata, Thomas mengaku membunuh isterinya dan didakwa atas tuduhan itu, Isnin lalu.
Menurutnya, pasangan itu bertengkar selepas wanita itu menukar siaran televisyen sebelum dia ditikam.
Penyiasat menemui kesan darah di beberapa kawasan termasuk lantai, dinding, meja serta televisyen.
Thomas turut dipercayai mengheret mayat isterinya melalui dapur ke halaman belakang dan menutupnya dengan selimut serta kanvas.
“Thomas bertanya mengenai skor perlawanan kepada isterinya sebelum mangsa menengkingnya,” € kata Detektif Jabatan Sherif Daerah Lonoke, Anthony Counts dalam afidavitnya.
Thomas turut mendakwa dia pengsan ketika menyerang mangsa dan hanya ‘sedar’ ketika berdiri di sebelah mayat isterinya sambil memegang pisau.

-Metro

Wednesday, January 10, 2018

'Brengsek' punya pengantin



SEORANG pengantin perempuan di Kecamatan Kebumen, Jawa Tengah, melarikan diri pulang ke rumah ibu bapanya sehari selepas majlis perkahwinan kerana mas kahwin pihak lelaki adalah barang kemas emas palsu.
Wanita itu yang tidak dinyatakan namanya, diijab kabul dengan Abi Dwi, 25, pada 26 Disember lalu, namun selepas itu keluarganya mendapati barang kemas iaitu gelang tangan dan rantai sebagai mas kahwin adalah palsu.
Selain itu, Menurut portal berita Liputan6, Abi juga gagal menunaikan janji untuk membiayai majlis perkahwinan yang diadakan keluarga pengantin perempuan.
Kini wanita itu sedang dalam proses membatalkan perkahwinannya manakala Abi sudah polis.
Bapanya, Ateng Wahyudi, 47, berkata keluarganya menganggap pernikahan itu tidak sah kerana mas kahwin tidak sama dengan yang dipersetujui sebelum ini sedangkan ia adalah syarat sah nikah.
Berikutan itu, beliau membuat laporan polis mendakwa Abi menipu menyebabkan lelaki berkenaan ditahan polis.
Menurutnya, lelaki itu bukan saja menipu mas kahwin, malah gagal menunaikan janji membiayai kos majlis perkahwinan 150 juta rupiah.
Ketua Polis Kebumen, Iptu Mardi, berkata semalam, pihaknya menahan lelaki selepas menerima laporan mengenai penipuan mas kahwin dan gagal menunaikan janji membiayai kos majlis perkahwinan
Polis juga menerima laporan daripada perancang majlis perkahwinan yang mendakwa Abi gagal menjelaskan kos majlis perkahwinan berkenaan.

-Metro

Monday, January 8, 2018

900 tuduhan rogol, perlakuan seksual ganas


Seorang lelaki yang menjadi bapa angkat kepada anak-anak yatim didakwa atas lebih 900 tuduhan rogol dan perlakuan seksual ganas kebanyakannya membabitkan budak perempuan berusia 14 tahun ke bawah dalam jagaannya, dalam kes dipercayai fidofilia paling teruk di Russia.
Viktor Lishavsky, 37, didakwa mendera secara seksual lima budak perempuan yang secara sah di bawah jagaannya dengan melayan mereka seperti ‘gundik’ dan ‘hamba seks.’ Dia ditahan pada Jun lalu tetapi identitinya baru didedahkan dalam pada lebih banyak butiran perbuatannya semakin terbongkar.
Lishavsky yang mengusahakan kedai membaiki kasut dipercayai mendera seksual budak perempuan dalam jagaannya sejak lima tahun lalu. Dia ditangkap selepas seorang mangsanya mengadu kepada guru yang membuat laporan polis.
Susulan itu, budak perempuan lain dalam jagaannya membongkarkan perbuatannya terhadap mereka.
Dia didakwa atas 248 tuduhan rogol dan 358 ‘tindakan seksual kejam’ selain 22 lagi ‘tindakan ganas berunsur seksual’ semuanya terhadap budak perempuan berusia 14 t
ahun ke bawah.
Lishavsky juga didakwa atas 11 lagi tuduhan rogol dan serangan seksual ganas yang membabitkan ancaman bunuh atau kecederaan.
Beberapa lagi tuduhan turut dikemukakan membabitkan penyeksaan mangsa dan penyalahgunaan peranannya sebagai penjaga rasmi mereka.
Selain itu, Lishavsky didakwa atas 122 tuduhan lagi ‘jenayah berunsur seksual dengan penggunaan keganasan atau ancaman keganasan,’ dan 151 tuduhan ‘mengadakan seks mengambil kesempatan terhadap mangsa yang tidak berdaya’ yang semuanya membabitkan budak berusia antara 14 hingga 17 tahun, lapor portal berita Mash.
Lishavsky dan teman wanitanya Olga dilaporkan mempunyai tiga anak bersama dan mengambil sehingga sembilan budak lain sebagai anak angkat. Tiada tuduhan dikemukakan terhadap Olga.
Tertuduh dilaporkan menerima £265 (RM1,400) untuk setiap seorang daripada lima gadis yang dijaganya.

-Metro

Dijual ibu sendiri

Jakarta: Tujuh orang disyaki terbabit menghasilkan video porno kanak-kanak dengan wanita dewasa, termasuk dua ibu kepada mangsa berkenaan di Bandung.
Ketua Polis Daerah Inspektor Jeneral Agung Budi Baryoto berkata, suspek utama dikenali sebagai M Faisal Akbar, 32, dipercayai menjual video lucah membabitkan budak lelaki dengan wanita kepada seseorang hanya dikenali sebagai ‘R’ dipercayai warga Russia yang dikenalinya melalui kumpulan sembang di Facebook.
“Berdasarkan pemeriksaan awal, ia bermula dengan perkenalan di Facebook. Faisal adalah ‘pengarah’ video dan mengaut keuntungan jutaan rupiah. Harga ditetapkan bergantung kepada bahannya.
“Contohnya untuk gambar dia memperoleh 6 juta rupiah (RM1,700), manakala video dua budak lelaki terbabit mengaut kira-kira 16 juta rupiah (RM4,700). Ada juga video lain dia mendapat bayaran 9 juta rupiah (RM2,700).
“Keseluruhan bayaran diterimanya sekitar 31 juta rupiah (RM9,200) malah dipercayai video itu turut dijual di luar negara,” katanya.
Agung berkata, Faisal mengaku mendapat permintaan daripada warga Russia terbabit yang selepas disiapkan, ia dihantar kepadanya melalui laman media sosial Telegram sebelum menerima bayaran.
Video berkenaan kemudian tersebar di media sosial.
Menurutnya, setakat ini, enam orang termasuk dua ibu kepada mangsa kanak-kanak terbabit sudah ditahan di sekitar Bandung, Ahad lalu, manakala seorang lagi suspek masih diburu.
Katanya, Faisal mengenali seorang wanita yang cuma dikenali sebagai I yang merekrut kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun melalui ibu mangsa.
“Faisal kemudian mengenali seorang wanita lain, Cici yang memperkenalkannya kepada wanita lain, Imel sebelum seterusnya dibawa menemui mangsa kedua, juga berusia sembilan tahun serta ibunya.
“Keadaan ini amat menyedihkan kerana ibu bapa mangsa sendiri ‘menjual’ mereka,” katanya.

-Metro

Sunday, January 7, 2018

Wajah baru gadis berbulu selepas kahwin


REMAJA perempuan dari Thailand  yang digelar ‘Perempuan Paling Banyak Bulu Dunia’ kini mencukur semua bulu pada mukanya selepas berkahwin dengan lelaki yang berjaya mencuri hatinya.
Supatra 'Natty' Susuphan, 17, dari Bangkok menampilkan gambarnya yang tiada lagi bulu pada muka di media sosial, termasuk gambar bersama suaminya itu.
Supatra mengalami masalah genetik dikenali sebagai Sindrom Ambras yang menyebabkan badan tidak boleh mengawal pertumbuhan bulu pada tubuh.
Beliau yang diiktiraf sebagai perempuan paling banyak bulu oleh Rekod Dunia Guinness pada 2010, mempunyai bulu yang tebal di muka, telinga, kaki dan belakang.
Menurut bapanya kepada media tempatan, rawatan laser juga gagal menghalang pertumbuhan bulu pada tubuhnya dan kini, dia sering mencukur.

Supatra bersama keluarganya dan bersama rakan di sekolah.
Sebelum masalah itu difahami, mereka yang menghidap sindrom berkenaan digelar ‘serigala jadian’ dan sekarang, ramai yang diketahui menghidapnya di seluruh dunia.
Suparta sendiri mengakui dia digelar Perempuan Serigala, malah Chewbacca (watak dalam Star Wars) di sekolah.
“Saya tidak rasa berbeza dengan manusia lain dan saya ada ramai kawan di sekolah. Berbulu begini menjadikan saya istimewa.
“Dulu ada yang mengejek saya dengan gelaran ‘muka monyet’, sekarang tidak lagi.
“Saya sudah biasa dengan keadaan ini, seolah-olah tiada bulu pada muka.
“Namun, ia juga memberi kesukaran seperti menghalang pandangan. Selain daripada itu, Ok saja,” katanya.

-Metro