Thursday, May 29, 2014

Empat cedera dalam rempuhan di Masjidil Haram


MAKKAH - ARAB SAUDI. Empat orang cedera selepas mereka terperangkap dalam rempuhan di Masjidil Haram, semalam.

Bagaimanapun, polis Makkah menafikan khabar angin yang tersebar di laman media sosial bahawa tiga jemaah terbunuh dalam kejadian itu, lapor Arab News.

"Tiga daripada mereka - semua wanita - telah dirawat di tempat kejadian dan mangsa keempat telah dipindahkan ke sebuah hospital tempatan ," kata jurucakap polis Makkah, Aati Al-Qurashi.

Menurut pegawai yang lain, terdapat seorang mangsa lelaki mengalami kecederaan teruk di kepala.

Beliau berkata, sebaik sahaja pintu Kaabah itu dibuka untuk dibersihkan, beberapa jemaah cuba menghampiri pintu Kaabah bagi mendapatkan gambaran bahagian dalam Kaabah.

"Waktu itulah apabila lelaki itu terjatuh," katanya.

Ketika kejadian, Gabenor Makkah, Putera Mishaal Abdullah juga mengambil bahagian untuk membasuh Kaabah.

Kaabah dicuci dari dalam dua kali setahun dalam bulan Muharam dan Shaaban, iaitu bulan pertama dan kelapan dalam kalendar Hijrah.

Sementara itu, menurut sumber lain, Leftenan Kolonel Atiyah Al-Qurashi mengesahkan bahawa empat orang cedera dalam kejadian tersebut.

Beliau menafikan khabar angin yang tersebar di media sosial bahawa terdapat cubaan membunuh diri semasa operasi membersihkan Kaabah dijalankan.

-Sinar

10 tahun pin, jarum dalam badan


JARUD BANNER, China - Seorang wanita yang mengalami sakit luar biasa sejak 10 tahun lalu mendapati dalam badannya mempunyai sembilan pin dan jarum selepas menjalani ujian X-ray, lapor akhbar MailOnline semalam.

Beberapa doktor yang memeriksa Alatan Hsia mendapati pin dan jarum berkenaan terdapat pada bahagian paru-paru, hati, kaki dan berhampiran dengan jantung.

Dalam pada itu, wanita itu yang merupakan penggembala lembu berkata, dia pernah melalui situasi perkahwinan yang teruk sebelum ini.

"Bekas suaminya saya, Chung Hsiao selalu memukul saya. Pada akhir tahun 2002, saya ke rumah ibu bapa saya untuk mengelak daripada dia.

"Pada suatu hari, apabila saya berada di sana dan kedua orang tua saya keluar, dia datang dan memukul saya. Dia menjerit: "Jika kamu tidak pulang ke rumah, saya akan membunuh kamu. Saya dipukul hingga koma," jelasnya.

Apabila Hsia tersedar daripada koma lima hari selepas itu, ibu bapanya memberitahu yang mereka menemui sembilan jarum di sisinya ketika kejadian berlaku.

"Saya percaya selepas memasukkan sedikit jarum ke dalam badan saya, dia kemudian melarikan diri dan membiarkan selebihnya di atas lantai," katanya lagi.

Bagaimanapun, wanita itu kini memerlukan kos sebanyak £17,000 (RM91,372) untuk menjalani pembedahan bagi mengeluarkan pin dan jarum-jarum tersebut.

- Agensi/Kosmo

Tuesday, May 27, 2014

Wanita hamil direjam keluarga di Pakistan


LAHORE, Pakistan: Seorang wanita hamil direjam dengan batu hingga mati oleh ahli keluarganya di luar mahkamah di Lahore kerana berkahwin dengan lelaki yang dicintainya.

Wanita berkenaan dibunuh ketika dalam perjalanan ke mahkamah bagi menjawab kes dakwaan culik yang difailkan keluarganya terhadap suami beliau.

Pegawai penyiasat, Rana Mujahid, berkata bapa wanita itu segera ditangkap dan polis sedang memburu mereka yang terbabit dalam "jenayah kejam" itu.

Perbuatan itu dilakukan secara terbuka pada waktu siang sambil disaksikan orang ramai.

Seorang pegawai polis, Naseem Butt, menyatakan wanita itu ialah Farzana Parveen, 25, dan mengahwini Mohammad Iqbal, 45, tanpa restu keluarga.

Peguam wanita itu, Mustafa Kharal, berkata bapa mangsa, Mohammad Azeem, memfailkan kes culik terhadap Iqbal.

Katanya, wanita itu hamil tiga bulan.

- AP

Ramai bunuh diri kerana tak mahu mayat dibakar


Anhui (China): Berpuluh-puluh warga tua China membunuh diri untuk mengelak daripada undang-undang mengharamkan pengebumian yang akan dikuatkuasakan tidak lama lagi.

Keputusan drastik itu diambil bagi memastikan kematian mereka sempat didaftar sebelum 1 Jun ini apabila pihak berkuasa wilayah Anhui menutup semua tanah perkuburan.

Mayat mereka yang mati selepas tarikh berkenaan akan dibakar kerana masalah kekurangan tanah.

Pihak berkuasa berkata, tanah perkuburan mengambil ruang yang banyak.

Bagi menyampaikan mesej berkenaan, pegawai majlis mengunjungi pusat pengurusan mayat untuk memusnahkan keranda.

Tindakan kejam demikian hanya meningkatkan lagi jumlah kes bunuh diri dalam kalangan warga tua kerana mahu memastikan mayat mereka sempat ditanam.

Media tempatan melaporkan puluhan kes warga tua wilayah itu membunuh diri kerana mahu mayat mereka layak ditanam.

Undang-undang yang hendak dilaksanakan itu tidak memberikan impak besar kepada penduduk bandar, tetapi di kawasan luar bandar pembakaran mayat dianggap hina dan tidak dipersetujui ramai.

- AP/Metro

Monday, May 26, 2014

Tak sanggup anak ditebuk


Melaka: “Saya sudah kering air mata menangisi penderitaan ditanggung Aiman dan reda jika Allah ambil Aiman kembali kepada-Nya daripada dia terus hidup begini,” rintih Siti Norhajar Suratman, 30, ibu kepada kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun Haziq Aiman Hidayat yang menderita penyakit tulang belakang dan barah saraf.

Menurutnya, anak keempat daripada enam beradik itu dikesan menghidap penyakit tulang belakang sejak lahir sebelum pihak hospital melakukan pembedahan bagi mengambil air tulang belakang. Katanya, lebih menyedihkan apabila suami Hidayat Abd Majid, 36, diberhentikan kerja sebagai pengawal keselamatan sebelum terpaksa bekerja sendiri secara sambilan dengan pendapatan RM900 sebulan untuk menyara mereka lapan beranak.

“Doktor memberitahu struktur tulang belakang Aiman mempunyai masalah sebelum pihak hospital melakukan pembedahan di kepala dan selepas itu Aiman kelihatan sihat seperti kanak-kanak lain, namun saya dan suami menyedari keadaannya semakin lemah sejak Oktober tahun lalu.

“Kami merujuk Aiman kepada Pakar Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk menjalani ujian lanjutan dengan harapan tiada penyakit lain menimpanya, namun telahan kami meleset apabila doktor memaklumkan dia menghidap kanser barah dan perlu melakukan pembedahan mengambil spesimen air tulang belakang sekali lagi,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Gedung, Tanjung Kling, kelmarin.

Menurutnya, melihatkan keadaan Aiman yang terlalu lemah, dia tidak sanggup membiarkan anaknya menjalani pembedahan mengambil air tulang belakang dan terus menderita ditebuk di badan pada usia dua tahun sebelum doktor mencadangkan supaya anaknya menjalani rawatan kemoterapi pada Disember tahun lalu tetapi cuma bertahan satu jam.

-Metro

Sunday, May 25, 2014

Nenek ‘tambat’ cucu OKU di perhentian bas


Mumbai: Seorang budak lelaki berusia sembilan tahun memakai baju biru diikat dengan tali di kaki pada tiang sebuah perhentian bas tidak diendahkan orang ramai yang lalu-lalang.

Lakhan Kale dikatakan mengidap penyakit cerebral palsy dan epilepsi, menyebabkan dia tidak mampu mendengar dan bercakap.

Bagi memastikan Lakhan selamat ketika neneknya bekerja, dia diikat sebelum wanita itu pergi menjual alat permainan dan kalungan bunga di tepi jalan di bandar itu.

Sakhubai Kale, 66, yang membesarkan Lakhan di jalan berhampiran perhentian bas tidak mempunyai rumah berkata: “Apa lagi yang mampu dilakukan saya? Dia tidak boleh bercakap, bagaimana dia boleh memberitahu orang lain jika dia tersesat?”.

Sakhubai memberitahu media dia menjalankan tanggungjawab sebagai ibu dan bapa Lakhan setelah budak itu kematian bapanya beberapa tahun lalu dan emaknya lari meninggalkan keluarga.

Gambar Lakhan diikat yang disiarkan dalam akhbar minggu ini mencetuskan kebimbangan antara pertubuhan kebajikan dan polis yang menyelamatkannya dan membawanya ke pusat jagaan kendalian kerajaan.

Namun, kumpulan aktivis berkata nasib Lakhan yang hidup di jalanan tidak mengejutkan kerana negara itu kekurangan kemudahan untuk membantu golongan kurang upaya yang ditindas.

Ketika Sakhubai dan cucu perempuannya Rekha, 12, mencari rezeki, Lakhan sering merayau di jalan raya dan tidak ada siapa yang mempedulikannya.

Pada sebelah malam malam, Sakhubai akan mengikat kaki Lakhan pada kakinya ketika mereka tidur bagi memastikan cucunya itu tidak melarikan diri.

- AFP/Metro

Thursday, May 22, 2014

Mohon terasa komen dari Ustaz Kazim ni..

Mohon terasa komen dari Ustaz Kazim ni..


Bagus punya sindiran ustaz Kazim Elias kpd lebai Alim bin Taik Kucing(bukan nama sebenar).
Mohon terasa..


Sumber :di sini.

Solat lima waktu anugerah paling berharga untuk mukmin


Israk peristiwa besar dan bersejarah dalam Islam satu bukti kebesaran, kekuasaan dan kehebatan Allah SWT. Sebagai orang beriman, kita wajib meyakini Allah SWT memperjalankan Nabi Muhammad SAW pada waktu malam dari bumi Masjid al-Haram di Makkah al-Mukarramah ke Masjid Al-Aqsa di Palestin.

Al-Mi’raj pula adalah perjalanan yang dimulakan dari Masjid al-Aqsa ke langit ketujuh ditemani Malaikat Jibril.

Ulama dalam kalangan salafussoleh, khalafussoleh, ahli hadis, ahli kalam, ahli tafsir, ahli fiqih dan ulama Islam bersepakat peristiwa agung ini berlaku dengan roh dan jasad dalam keadaan Baginda sedar, bukanlah mimpi.

Bahkan, tidak ada sebarang perselisihan dalam kalangan ulama berhubung peristiwa itu kerana terdapat nas al-Quran yang jelas mengenainya.

Seperti ayat yang dibacakan pada permulaan khutbah yang bermaksud: “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jugalah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Israk, ayat 1)

Dalil bagi peristiwa mi’raj tidak dapat dipastikan secara jelas daripada al-Quran melainkan terdapat pendapat menyatakan dalil peristiwa itu melalui firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Muhammad telah melihatnya (Jibril dalam rupanya yang asal) pada waktu yang lain, di Sidratul Muntaha.” (Surah al-Najm, ayat 13-14)

Hikmah di sebalik Israk dan Mikraj

Hikmah di sebalik peristiwa Israk dan Mikraj ini, Allah SWT mengurniakan satu perkara yang amat bernilai iaitu kewajipan bersolat lima waktu. Percayalah, solat adalah tangga kejayaan seorang Mukmin di dunia mahupun akhirat terutama bagi mereka yang bersungguh-sungguh mendapatkan khusyuk.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun, ayat 1-2)

Inilah kejayaan paling besar bagi seorang Mukmin sejati kerana ia tidak akan dapat dicapai jika kita masih lagi beranggapan solat itu hanya sekadar tuntutan yang wajib ditunaikan walhal Allah SWT telah menjanjikan ganjaran sangat berharga kesan dari solat yang khusyuk.

Sedarlah, amat malang bagi mereka yang mendirikan solat, tetapi tidak mendapat apa-apa hasil daripada solatnya bahkan hanya penat lelah semata-mata.

Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Bolehkah aku tunjukkan kepada kamu sekalian perkara yang menghapuskan segala kesalahan yang kamu kerjakan dan mengangkat darjatmu? Mereka berkata: Silakan wahai Rasulullah.

Sabda Rasulullah: Melakukan wuduk dengan sempurna, memperbanyakkan langkah menuju ke masjid, menunggu-nunggu solat fardu yang seterusnya setelah menunaikan solat, maka ini adalah pengikat (yang mengikat dirinya dengan ketaatan).”

Percayalah, solat adalah jalan terbaik bagi orang yang bertakwa mengadu dan menyerah diri kepada ketentuan dan petunjuk Allah SWT. Yakinlah, Allah SWT pasti memberi jalan penyelesaian atau memberi kekuatan dan kesabaran.

Hikmah di sebalik tuntutan solat

Hikmah di sebalik tuntutan solat, hati tenang menghadapi ujian. Solat yang didirikan semata-mata kerana Allah, akan memberi ketenangan. Hati yang tenang tidak akan mudah kecewa, bosan, putus asa dan marah ketika berhadapan dengan kegagalan, kesakitan atau kekurangan dalam hidup.

Sesungguhnya hanya Allah SWT yang memberi rezeki kepada hamba-Nya. Rezeki bukan hanya dilihat kepada harta ia merangkumi setiap aspek kehidupan seperti ahli keluarga yang soleh dan solehah, umur panjang, kehidupan bahagia di dunia serta akhirat.

Berdasarkan situasi dan cabaran masa kini, inilah ketikanya kita semua perlu sedar dan jadikanlah solat terutama solat berjemaah sebagai penawar, sumber kekuatan serta jalan keluar bagi sebarang masalah.

Khutbah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan -BH

Monday, May 19, 2014

Pemuzik main biola guna rambut manusia


VILNIUS, Lithuania - Seorang lelaki, Tadas Maksimovas menjadi popular di internet selepas rakamannya bermain biola menggunakan rambutnya yang panjang disiarkan di laman perkongsian video YouTube.

Maksimovas menjadikan helaian rambutnya sebagai tali biola.

Dia menggunakan idea tersebut untuk mempromosikan Hari Pemuzik Jalanan yang disambut di Lithuania pada Sabtu pertama bulan ini.

Maksimovas menghubungi seorang pemuzik jalanan lain, Eimantas Belickas supaya menggesek rambutnya seperti biola.

Biola rambut itu dapat menghasilkan bunyi dan melodi yang merdu.

- Agensi/Kosmo

Kisah si kembar, kahwin dan mati bersama


SOMA - TURKI. Pasangan kembar di Turki ini bukan sahaja berkahwin dengan wanita pilihan masing-masing bersama, malah mereka juga ditemui meninggal dunia bersama, Selasa lalu.

Mayat Ismail dan Suleyman Cata, 32 ditemui pasukan penyelamat berpegangan tangan tertimbus akibat letupan lombong arang batu yang dilaporkan telah meragut 301 nyawa.

Isteri Suleyman, Murside berkata, suaminya seorang yang mementingkan keluarga juga cinta sejatinya.

“Dia bekerja keras untuk upah yang sedikit dan dalam keadaan sukar. Impian dia adalah untuk bersara awal dan menghabiskan lebih banyak masa dengan keluarga.

“Sekarang dia dah tak ada dan tak akan pernah kembali,” katanya yang dipetik portal berita Daily Mirror.

Pasangan ini mempunyai seorang anak berusia empat tahun, Ahmet manakala Ismail dan isterinya, Fatima dikurniakan anak kembar, Sude dan Buse yang sudah berusia dua tahun.

Kedua pasangan ini berkahwin pada 2010.

-Sinar

Hijrah di hari kelahiran


Seringkali dalam kita menyambut hari kelahiran, lumrah umat Islam kita meraikannya dengan memotong kek dan meniup lilin. Apa pandangan Islam dengan cara sebegini dan bagaimana sebenarnya, sambutan hari lahir yang dianjurkan Islam?

Jawapan

Tidak salah untuk menyambut ulang tahun hari kelahiran. Ia adalah tanda syukur dengan nikmat Allah SWT. Maka sepatutnya ulang tahun kelahiran menjadi titik tolak untuk menjadi insan yang lebih baik. Dalam al-Quran, disebutkan umur 40 tahun. Dalam riwayat hadis, disebutkan bahawa umur umat ini antara 60 hingga 70 tahun.

Sambutan tarikh lahir dengan upacara potong kek dan meniup lilin juga tidaklah salah. Ia cuma suatu adat sahaja. Begitu juga adat masyarakat yang menyediakan pulut kuning apabila ada majlis-majlis tertentu.

Namun adalah lebih baik jika sambutan tarikh lahir disambut dengan ingat kepada Allah SWT. Dalam riwayat hadis, Nabi SAW berpuasa pada hari Isnin. Antara sebabnya ialah kerana Nabi SAW dilahirkan pada hari tersebut.

Oleh itu, sambutan tarikh lahir adalah majlis untuk menghubungkan tali silaturahim. Majlis para tetamu berdoa agar seseorang diberkati usianya dengan iman dan amal soleh. Majlis untuk bersedekah dengan menjamu para tetamu dengan jamuan makanan dan sebagainya.

- Utusan

Wednesday, May 14, 2014

Puasa 15 tahun dapat 'ijazah'


BUTTERWORTH - Seorang pengasas pusat perubatan tradisional yang mengaku dirinya sebagai ketua wali dan boleh menyeru roh Nabi Muhammad SAW serta malaikat menerusi perantara, ditahan dalam operasi dijalankan sepasukan Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), kelmarin.

Dalam serbuan jam 11.30 malam, pengasas pusat perubatan yang digelar ustaz berusia 46 tahun itu, ditahan bersama seorang lelaki dan dua wanita di sebuah rumah teres di Permatang Pauh.

Ketua Unit Operasi Penguatkuasaan JHEAIPP, Khairul Azman Azizan berkata, seorang wanita yang ditahan bertindak sebagai perantara dalam keadaan separa sedar, mendakwa ustaz terbabit merupakan insan terpilih yang memiliki keistimewaan berinteraksi dengan roh termasuklah Saidina Ali.

Pusat rawatan tradisional itu menyediakan pengijazahan tenaga dalam dan perubatan dengan bayaran fidyah sebanyak RM950.

"Individu yang tidak mampu berpeluang mendapat ijazah itu dengan berpuasa selama 15 tahun tanpa henti walaupun pada hari tasyrik (hari diharamkan berpuasa).

“Kita dapati syarat yang dikenakan bertentangan dengan ajaran Islam dan serbuan dibuat bagi mengelakkan lebih ramai terjebak dalam kegiatan ini. Berdasarkan siasatan awal, seorang lagi lelaki yang ditahan berusia 41 tahun, menguruskan cawangan pusat perubatan terbabit yang beroperasi di Seberang Jaya,” katanya.

Suspek ditahan di bawah tiga seksyen iaitu Seksyen 4 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 kerana mengamalkan dan menyebarkan doktrin palsu serta mengikut Seksyen 6 dan 13 enakmen yang sama kerana menggelar diri sebagai wali dan memiliki bahan penerbitan agama bertentangan hukum syarak.

Seorang lagi lelaki dan dua wanita yang masing-masing berusia 40 dan 32 tahun, didakwa di bawah Seksyen 43 enakmen sama atas tuduhan bersubahat.

Khairul Azman berkata, berdasarkan brosur diedarkan, pesakit yang ingin mendapatkan rawatan diwajibkan membawa sekilogram limau nipis, garam kasar dan lada hitam.

"Tiada pengeras dan pesakit bebas bersedekah atau hadiah kepada ustaz.

“Berdasarkan risikan penguat kuasa sejak enam bulan lalu, pusat perubatan ini disyaki menyediakan rawatan bagi penyakit berkaitan roh dan saka bertentangan hukum syarak.

“Segala peralatan dan kelengkapan digunakan bagi tujuan perubatan seperti cincin, minyak wangi termasuk beberapa buku disita untuk siasatan lanjut,” katanya.

-Sinar

Syurga sebagai matlamat


SAYA teringat kisah seorang sahabat Nabi SAW di Syam bernama Abu Darda. Beliau bernikah dengan seorang wanita bernama Hujaimah yang kemudian dikenal dengan gelaran Ummu Darda.

Abu Darda beberapa puluh tahun lebih tua daripada isterinya. Namun jarak usia tidak menghalangi pasangan ini mengecap kebahagiaan berumahtangga. Kedua-duanya terikat dengan rasa cinta, hormat dan keinginan mendapatkan reda Allah SWT.

Suatu hari Ummu Darda berdoa di hadapan suaminya. Beliau berkata: “Ya Allah, sesungguhnya Abu al-Darda meminang diriku daripada ibu bapaku di dunia. Aku lalu menerima pinangannya. Sekarang ini aku meminang dirinya daripada-Mu. Aku ingin ia menjadi suamiku di syurga nanti."

Mendengar doa ini, suaminya berkata: “Jika engkau ingin menjadi isteriku di syurga, maka janganlah menikah dengan orang lain selepas aku meninggal dunia."

Setelah Abu Darda wafat, Ummu Darda tidak menikah lagi. Beliau menolak setiap pinangan yang datang kepadanya. Termasuk pinangan Muawiyah bin Abi Sufyan, khalifah dan amirul mukminin pada masa itu. Cinta pertama dan terakhirnya hanya untuk Abu Darda.

Kisah Ummu Darda ini diceritakan oleh al-Zahabi dalam Siyar A’lam al-Nubala.

Kesefahaman

Keluarga bahagia bermula daripada kesefahaman. Pasangan suami dan isteri mesti memiliki kesefahaman dalam menentukan hala tuju perkahwinan mereka. Mereka mesti menjadikan destinasi terakhir perkahwinan tersebut ialah syurga abadi di akhirat kelak.

Pasangan yang menjadikan syurga sebagai matlamatnya mesti membincangkan perkara ini sejak sekarang. Susunlah perancangan untuk meraih matlamat tersebut. Dan pastikan setiap ahli keluarga terlibat sama dalam aktiviti meraih syurga.

Perhatikan keluarga Abu Hurairah berikut ini. Setiap ahli keluarga beliau saling membantu dalam beribadah di tengah malam.

Abu Usman al-Nahdi bercerita: Aku menginap di rumah Abu Hurairah selama tujuh hari. Beliau bersama isteri dan pembantunya selalu bergantian berjaga setiap malam. Jika salah seorang daripada mereka bangun di tengah malam, ia terus melakukan solat. Lalu ia membangunkan salah seorang yang lain untuk solat. Selepas solat, orang ini lalu membangunkan yang ketiga.

Sungguh indah sebuah keluarga Muslim yang menjadikan syurga sebagai matlamatnya.

Berkumpul kembali

Sebuah keluarga yang terjalin dalam keimanan akan berkumpul kembali di syurga. Jika terdapat kekurangan diri salah seorang daripada mereka, ahli keluarga yang lain akan memberi syafaat baginya.

Allah berfirman yang bermaksud: Orang yang beriman dan yang anak cucunya mengikuti mereka dalam keimanan, kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka dan kami tiada mengurangi sedikit pun daripada pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya. (al-Thuur: 21)

Ibnu Abbas berkata: “Apabila seorang mukmin masuk syurga, ia bertanya tentang ibu bapanya, isterinya dan anak-anaknya. Maka dikatakan kepadanya: mereka tidak mencapai darjat setinggi darjatmu. Orang itu lalu berkata: Wahai tuhan, aku beramal untuk diriku dan mereka. Allah lalu memerintahkan untuk mengumpulkan mereka kembali." (riwayat al-Tabarani)

Semoga Allah menyatukan kita di syurga bersama orang yang kita cintai di dunia. Amin ya rabbal ‘alamin.

-Utusan

Pelajar dakwa dicabul ustazah


JERTIH - Seorang pelajar perempuan tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di daerah ini mendakwa dicabul oleh guru agama perempuan sekolahnya pada waktu persekolahan pagi Jumaat lalu.

Difahamkan, kejadian itu berlaku jam 9 pagi ketika mangsa berada di koridor bangunan kelas untuk menunggu kedatangan bapanya ke sekolah bagi bertemu guru untuk membincangkan masalah mangsa yang dipukul pelajar perempuan lain sehari sebelum itu.

Menurut sumber, ketika berada di koridor itu, mangsa terserempak dengan ustazah tersebut yang menegur kain tudung dipakainya selain bertanya khabar mengenai kejadian dia dipukul.

Mangsa kemudian mendakwa ustazah tersebut telah meramas buah dadanya ketika memeriksa tudung dipakainya sehingga menyebabkan mangsa berasa sakit.

“Mangsa menangis kesakitan dan memaklumkan kejadian itu kepada bapa dan ahli keluarganya sebelum bapa mangsa membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja,” katanya.

Difahamkan juga ustazah terbabit turut membuat laporan polis terdahulu sebelum itu.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kejadian itu.

-Sinar

Tuesday, May 6, 2014

Kurung janda dalam bilik bawah tanah


Sichuan: Seorang lelaki ditahan atas dakwaan mengurung bekas isterinya dalam bilik bawah tanah kerana wanita itu meninggalkannya.

Lin Dajun, 40 dilaporkan membina ‘sarang rahsia’ di bawah rumahnya di Deyang selepas isteri pertama dan kedua meninggalkannya.

Suspek didakwa mengumpan isteri pertama, Lin Yan ke rumah untuk ‘berbual’ sebelum merantainya di dalam bilik bawah tanah.

Ketika dalam tahanan, wanita berusia 35 tahun itu diancam bunuh jika cuba meninggalkan rumah, kata polis.

Dia didakwa dibenarkan berjalan di sekeliling rumah jika suspek tidak ke mana-mana

Jurucakap polis berkata semalam: “Dia obses terhadap mangsa dan tidak dapat menerima kenyataan yang dia telah ditinggalkan. Suspek membuat keputusan untuk mengurungnya.

“Sebaik dikurung di dalam bilik itu, dia diugut bunuh jika tidak mendengar arahan dan cuba melarikan diri.”

“Mangsa yang takut dengan ugutan itu tidak berani cuba melarikan diri.

“Apabila suspek berada di rumah, dia dibenarkan berjalan di sekeliling rumah, tetapi semasa ketiadaan suspek, mangsa dirantai semula,” katanya.

-Metro

Monday, May 5, 2014

Sewa rahim di India beri pulangan lumayan


SIAPA sangka perkhidmatan ibu tumpang kini menjadi industri komersial paling menguntungkan di India walaupun dikritik banyak pihak kerana dianggap sebagai kegiatan mengeksploitasi wanita miskin di negara itu.

Semakin ramai pasangan dari luar India terutamanya dari Barat tertarik dengan ‘perkhidmatan’ tersebut kerana kosnya jauh lebih murah selain peraturan dan undang-undang yang longgar di negara terbabit.

Bayaran dikenakan untuk melakukan proses persenyawaan in-vitro (IVF) itu adalah kira-kira AS$20,000 (RM65,300) berbanding AS$50,000 (RM163,300) jika dilakukan di Amerika Syarikat (AS).

Isu besar membabitkan soal etika mula timbul selepas golongan kaya didakwa mengambil kesempatan terhadap wanita miskin di India bagi mendapatkan zuriat untuk mereka hingga menyebabkan negara itu digelar sebagai ‘kilang bayi’ pada masa ini.

Tahun lalu, New Delhi bertindak mengenakan peraturan melarang pasangan homoseksual dan individu belum berkahwin mendapatkan perkhidmatan tersebut selepas undang-undang negara itu membenarkan prosedur itu pada 2002.

Sehingga kini, tiada angka rasmi berhubung jumlah sebenar hasil diperoleh daripada industri itu.

Bagaimanapun, hasil laporan kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati, perkhidmatan ibu tumpang di India mampu menjana hasil keuntungan secara anggaran AS$2.5 bilion (RM8 bilion) pada setiap tahun.

Pada masa ini, lebih 3,000 pusat ibu tumpang sedang beroperasi dan ribuan bayi telah dilahirkan hasil daripada prosedur persenyawaan in-vitro (IVF) yang semakin popular di India.

Kesemua pusat terbabit turut menyediakan penjagaan kesihatan sepanjang tempoh kehamilan tersebut selain memberi panduan untuk persediaan mental selepas bersalin.

-Sinar

Rawat kegatalan Miss V!


KEGATALAN di bahagian sulit pastinya membuatkan seseorang perempuan itu berasa kurang selesa dan emosinya juga terganggu. Apatah lagi, bagi remaja perempuan bawah umur yang kurang pengetahuan mengenai penjagaan kebersihan alat kelamin.

Topik yang ingin dikongsi oleh .com pada minggu ini mungkin dianggap ringan oleh golongan remaja perempuan yang baharu sahaja mengalami akil baligh namun ia boleh menyebabkan kesan buruk seperti berbau busuk di bahagian tersebut sehingga menggangu orang lain yang berdekatan dengan anda.

Oleh itu, ayuh ikuti beberapa tip yang dikongsikan .com pada minggu, mudah-mudahan ia dapat menghentikan kegatalan di bahagian sulit kamu!

GUNTING, CUKUR

GUNTING atau cukur rerambut apabila anda mendapati ia telah menjadi panjang. Rerambut yang telah digunting atau dicukur pendek akan memudahkan kamu untuk menjaga bahagian sulit tersebut.

Untuk pengetahuan kamu, rerambut yang tidak dijaga dengan rapi dan dibiarkan panjang terdedah kepada pembiakan kuman. Sekali gus, ia akan menyebabkan bahagian sulit menjadi kemerahan, mengalami kegatalan dan menyebabkan berbau busuk.

HENTIKAN GUNA SABUN MANDIAN

UNTUK pengetahuan kamu, sabun mandian berfungsi untuk membunuh segala bakteria yang terdapat pada tubuh badan manusia termasuk bakteria baik yang terdapat pada bahagian sulit perempuan.

Hal ini akan menyebabkan kulat mudah membiak kerana kurangnya bakteria baik di bahagian sulit tersebut. Sebaik-baiknya gunakan pencuci khusus untuk mencuci bahagian sulit ataupun dengan air yang bersih.

JANGAN BIAR LEMBAB

JANGAN terus memakai seluar dalam selepas bahagian sulit kamu baharu sahaja dicuci. Hal ini akan menyebabkan seluar dalam kamu lembab lalu menyebabkan pembiakan bakteria, kuman dan kulat. Langkah tepat ialah megelap dahulu dengan tuala atau tisu tandas sehingga kering cuma berhati-hati ketika mengelap bahagian tersebut kerana sekiranya terlalu kasar akan melukannya pula.

TUKAR SELUAR DALAM

SELUAR dalam yang dipakai berulang kali bukan sahaja menjadi kotor malah boleh mendatangkan kegatalan kepada pemakainya akibat pembiakan bakteria ke seluruh kulit di bahagian sulit.

Oleh itu, jadikan rutin menukar seluar dalam sekurang-kurangnya dua kali sehari utuk mengelak perkara ini berlaku.

-- DHIYA'ZULHILMI DAUD/Utusan

Sunday, May 4, 2014

Rahsia Kunyit Penawar Penyakit


RAMAI yang tidak sedar di sebalik simbolik warna kuning emas, kunyit yang merupakan tumbuhan yang mempunyai 1,001 khasiat yang mampu mencegah dan mengurangkan penderitaan akibat penyakit-penyakit berprofil tinggi seperti kanser, Alzheimer dan diabetes.

Jika diteliti, kanser prostat merupakan kanser kedua terbesar yang mengancam nyawa lelaki di Amerika Syarikat dengan jumlah kes kira-kira 500,000 setiap tahun.

Sebaliknya kanser tersebut jarang berlaku dalam kalangan lelaki India yang banyak mengamalkan pemakanan berasaskan kari, rempah ratus dan sayur-sayuran dalam masakan mereka.

Kunyit atau nama saintifiknya, Curcuma longa banyak digunakan dalam perubatan tradisional Melayu seperti menghilangkan gatal-gatal, kesihatan dalaman wanita dan pelbagai lagi.

Curcuma longa bukan sekadar merawat simptom-simptom kecil alahan atau herba untuk wanita selepas bersalin sebaliknya fungsi universal merangkumi semua golongan.

Menurut pengkaji herba dari Universiti Oxford, Profesor Gerard Bodeker, kunyit antara herba yang tinggi khasiat dan telah banyak kajian dilakukan mengenainya.

Menurut Bodeker, kunyit mempunyai bahan aktif yang dikenali sebagai kurkumin yang berperanan untuk mencegah dan mengurangkan penderitaan pesakit seperti kanser prostat, payudara dan merendahkan kadar kolesterol.

“Bahan aktif ini juga mampu menguatkan sistem imun atau pertahanan badan untuk menangkis serangan penyakit serta bersifat antioksidan yang boleh menjadikan kulit seseorang menjadi awet muda dengan pengambilan yang konsisten.

“Radikal bebas yang menjadi penyebab kanser juga boleh dineutralkan melalui antioksidan yang terkandung dalam herba pelbagai guna ini,” ujar beliau.

Bodeker yang turut mengamalkan minum jus kunyit menjelaskan, kunyit perlu dilihat sebagai herba yang bukan semata-mata untuk perubatan tradisional tetapi mempunyai potensi untuk dimajukan sebagai penawar pelbagai penyakit.

Curcuma longa mengandungi komponen bioaktif polyphenol membantu untuk mencegah tanda awal kanser dan merosakkan sel kanser yang bermutasi.

Kurkumin yang bertindak mengganggu proses mutasi sel kanser ini menyebabkan sel-sel tersebut tidak dapat mengembang atau menjadi lembap dan kurang aktif terutamanya kanser payudara dan prostat.

Tambahnya, kunyit mempunyai pakej yang cukup lengkap dalam penjagaan badan manusia, iaitu untuk menjaga kesihatan dan kecantikan yang menjadi idaman setiap orang.

Generasi muda perlu sedar tentang kepentingan herba ini dan kembali mengamalkan tradisi perubatan yang pernah diamalkan oleh generasi terdahulu serta mempelbagaikan penggunaannya dalam diet harian.

Mereka perlu sedar bahawa herba dan ulam-ulaman merupakan penawar semula jadi yang tidak boleh dipertikaikan khasiatnya terhadap kesihatan manusia.

Bodeker telah melakukan kajian tentang herba dan perubatan tradisional lebih 20 tahun dan mengkaji tentang herba kunyit kira-kira 10 tahun.

Penulis buku bertajuk Health and Beauty from The Rainforest itu juga banyak mengulas tentang khasiat-khasiat herba yang terdapat di Malaysia.

Beliau turut menyarankan supaya usaha membukukan khasiat herba dan ulam-ulaman yang menjadi amalan masyarakat terdahulu dibukukan supaya ia tidak lenyap ditelan zaman.

Jelasnya, masyarakat kini dan akan datang perlu tahu tentang khasiat dan peranannya. Ilmu perubatan tradisional adalah khazanah berharga untuk generasi kita.

-Kosmo

Pembantu rumah berzina dihukum rejam


Abu Dhabi: Sebuah mahkamah di sini menjatuhkan hukuman rejam sampai mati ke atas seorang pembantu rumah warga Asia selepas dia didapati bersalah berzina.

Pembantu rumah berkenaan yang sudah berkahwin sebelum ini dikejarkan ke hospital apabila dia mengadu mengalami sakit perut.

Ujian mendapati dia hamil selepas tidur dengan lelaki lain.

Menurut laporan akhbar semalam, pembantu rumah berkenaan mengaku bersalah kerana perbuatan zina dan hakim mengenakan hukuman yang setimpal berdasarkan pengakuannya, selaras dengan undang-undang Islam.

Ini kali pertama selepas beberapa tahun seseorang dikenakan hukuman rejam sehingga mati dalam kes sedemikian di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Bagaimanapun, jurucakap mahkamah berkata, pembantu rumah berkenaan boleh mengemukakan rayuan.

-Metro

Thursday, May 1, 2014

Dajal dan antara fitnahnya


MENURUT Kamus Dewan pengertian Dajal ialah makhluk yang akan muncul untuk menyesatkan manusia sebelum terjadi kiamat, tetapi akhirnya dapat dibunuh oleh Nabi Isa as. Pengertian kedua makna dajal ialah orang yang berperangai jahat (penipu) dan lain-lain.

Dengan kata lain, antara Dajal dan fitnah dajal adalah kedua-dua hal yang berbeza, sebab ada pendapat lain yang nampaknya cukup akomodatif.

Syeikh Nashir Abdul Rahman as-Sa’di, seorang ulama Timur Tengah yang bermanhaj salaf, sekali gus guru dari sekian banyak syeikh di Saudi mengeluarkan kenyataan yang sangat bermanfaat.

Beliau menjelaskan, berdasarkan nas-nas yang ada, Dajal akan muncul dengan membawa dua fitnah besar. Fitnah yang berupa suatu fahaman dan sistem serta fitnah Dajal dalam bentuk wataknya yang benar-benar akan muncul pada akhir zaman dengan membawa fitnah bagi seluruh manusia.

Dajal sebagai suatu sistem (simbol) terarah kepada tiga fitnah besar: meterialisme, atheisme dan zionisme. Ketiga-tiganya merupakan fitnah yang hampir seluruh umat manusia terkena fitnahnya.

Sedangkan Dajal sebagai watak seseorang merupakan fitnah yang selama ini kita kenal sebagai fitnah Dajal yang sebenarnya, di mana pada akhir zaman nanti watak manusia jahat itu akan keluar untuk menipu kaum Muslimin dan mengakui ketuhanan dirinya.

Dajal yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dalam banyak riwayat dipastikan menunjukkan kepada watak tertentu. Sedangkan fitnah Dajal adalah suatu keadaan tertentu atau beragam bentuk fitnah yang menyalahi kebenaran. Bahkan boleh disimpulkan bahawa semua yang menyalahi kebenaran adalah bahagian daripada fitnah Dajal.

Dengan memahami hakikat fitnah atheisme, materialisme dan zionisme sebagai bahagian penting daripada fitnah Dajal, kita boleh mengetahui seberapa besar dan impak yang ditimbulkan darinya berupa kerosakan dunia.

Fitnah atheisme, materialisme dan zionisme merupakan ketiga-tiga fitnah terbesar di mana fitnah Dajal dibangunkan di atas landasannya. Ketiga-tiganya merupakan perangkap awal untuk menggiring manusia agar boleh menerima ideologi Dajal.

Fitnah atheisme mengajar akan kenihilan tuhan dan zat yang menciptakan, sehingga manusia tidak meyakini adanya ALLAH SWT sebagai pencipta dan pentadbir alam semesta.

Fitnah meterialisme mengajarkan bahawa semua yang ada di dunia kerana kewujudan material (kebendaan). Sesuatu yang tidak nampak (ghaib) adalah kosong, dan nilai mahupun norma sesuatu hanya boleh diukur dengan material atau wujud yang nampak.

Fahaman meterialisme juga akan menggiring manusia untuk meyakini tidak adanya hari kiamat, alam barzakh, syurga dan neraka. Pada gilirannya manusia hanya kan menerima konsep syurga dan neraka sesuai dengan apa yang kelak akan dibawa oleh Dajal, iaitu sungai dan air yang berada di tangan Dajal.

Saat Dajal menawarkan air dan api di hadapan manusia, mereka akan meyakini bahawa itulah hakikat neraka dan syurga yang sebenarnya.

Sedangkan fitnah Zionisme akan mengambil peranan untuk menggiring seluruh manusia akan kebenaran Dajal, meyakini bahawa Dajal adalah tuhan dan pemimpin mereka pada akhir zaman.

Fitnah Zionisme juga mengajar manusia membenarkan apa pun yang dilakukan oleh orang-orang Yahudi Zionis dan memberikan dukungan kepada mereka.

Pada akhirnya, fitnah inilah yang menjadi puncak terdahsyat di muka bumi sebelum kemunculan Dajal yang sesungguhnya.

Ajaran Zionis yang dibungkus dalam baju teologi global dan teosofi akan menggiring dunia tentang satu-satunya tuhan dari semua agama. Itulah Dajal yang akan muncul pada akhir zaman.

Dapat disimpulkan, Dajal benar-benar watak manusia keturunan Adam yang muncul membawa fitnah. Semua tanda dan ciri-ciri yang disebutkan oleh Rasulullah SAW tentang Dajal benar-benar bermakna hakiki, bukan kiasan. Tetapi bentuk dan wujud fitnah yang dibawa oleh Dajal ada juga yang bersifat maknawi.

Dalam hal ini bangsa-bangsa Barat termasuk Israel merupakan sekumpulan bangsa yang berusaha untuk mewujudkan semua impian Dajal dalam wujud yang bersifat material seperti berbagai teknologi moden yang merupakan bahagian dari propaganda pengikut Dajal termasuk teknologi yang membunuh umat Palestin di bumi Gaza dan lain-lainnya.

-IBRAHIM ABDULLAH/Sinar

Bunuh lepas diminta putus hubungan


Jakarta: Kerana berang selepas diminta memutuskan hubungan dengan teman wanitanya, seorang lelaki, bertindak membunuh tiga anggota keluarga gadis berkenaan.

Ramadhan Gumilang, 25, ditangkap polis semalam selepas membunuh bapa kekasihnya, Dukut, 50, dan ibu gadis itu, Heriyanti, 45, dan adik lelaki, Fras, 13.

Dia dilapor membunuh mangsa beberapa jam selepas makan tengah hari bersama mereka.

Teman wanitanya, Dewi, 24, tidak berada di rumah ketika kejadian.

Seorang lagi adik lelakinya, Bagus, 16, cedera dalam kejadian itu Ketua Polis Tangerang, Sutarmo berkata, Ramadhan kecewa dan berang selepas ibu bapa Dewi memintanya memutuskan hubungan dengan anak mereka kerana mahukan Dewi berkahwin dengan lelaki lain yang lebih berada.

-Metro