SAYA teringat kisah seorang sahabat Nabi SAW di Syam bernama Abu Darda. Beliau bernikah dengan seorang wanita bernama Hujaimah yang kemudian dikenal dengan gelaran Ummu Darda.
Abu Darda beberapa puluh tahun lebih tua daripada isterinya. Namun jarak usia tidak menghalangi pasangan ini mengecap kebahagiaan berumahtangga. Kedua-duanya terikat dengan rasa cinta, hormat dan keinginan mendapatkan reda Allah SWT.
Suatu hari Ummu Darda berdoa di hadapan suaminya. Beliau berkata: Ya Allah, sesungguhnya Abu al-Darda meminang diriku daripada ibu bapaku di dunia. Aku lalu menerima pinangannya. Sekarang ini aku meminang dirinya daripada-Mu. Aku ingin ia menjadi suamiku di syurga nanti."
Mendengar doa ini, suaminya berkata: Jika engkau ingin menjadi isteriku di syurga, maka janganlah menikah dengan orang lain selepas aku meninggal dunia."
Setelah Abu Darda wafat, Ummu Darda tidak menikah lagi. Beliau menolak setiap pinangan yang datang kepadanya. Termasuk pinangan Muawiyah bin Abi Sufyan, khalifah dan amirul mukminin pada masa itu. Cinta pertama dan terakhirnya hanya untuk Abu Darda.
Kisah Ummu Darda ini diceritakan oleh al-Zahabi dalam Siyar Alam al-Nubala.
Kesefahaman
Keluarga bahagia bermula daripada kesefahaman. Pasangan suami dan isteri mesti memiliki kesefahaman dalam menentukan hala tuju perkahwinan mereka. Mereka mesti menjadikan destinasi terakhir perkahwinan tersebut ialah syurga abadi di akhirat kelak.
Pasangan yang menjadikan syurga sebagai matlamatnya mesti membincangkan perkara ini sejak sekarang. Susunlah perancangan untuk meraih matlamat tersebut. Dan pastikan setiap ahli keluarga terlibat sama dalam aktiviti meraih syurga.
Perhatikan keluarga Abu Hurairah berikut ini. Setiap ahli keluarga beliau saling membantu dalam beribadah di tengah malam.
Abu Usman al-Nahdi bercerita: Aku menginap di rumah Abu Hurairah selama tujuh hari. Beliau bersama isteri dan pembantunya selalu bergantian berjaga setiap malam. Jika salah seorang daripada mereka bangun di tengah malam, ia terus melakukan solat. Lalu ia membangunkan salah seorang yang lain untuk solat. Selepas solat, orang ini lalu membangunkan yang ketiga.
Sungguh indah sebuah keluarga Muslim yang menjadikan syurga sebagai matlamatnya.
Berkumpul kembali
Sebuah keluarga yang terjalin dalam keimanan akan berkumpul kembali di syurga. Jika terdapat kekurangan diri salah seorang daripada mereka, ahli keluarga yang lain akan memberi syafaat baginya.
Allah berfirman yang bermaksud: Orang yang beriman dan yang anak cucunya mengikuti mereka dalam keimanan, kami hubungkan anak cucu mereka dengan mereka dan kami tiada mengurangi sedikit pun daripada pahala amal mereka. Tiap-tiap manusia terikat dengan apa yang dikerjakannya. (al-Thuur: 21)
Ibnu Abbas berkata: Apabila seorang mukmin masuk syurga, ia bertanya tentang ibu bapanya, isterinya dan anak-anaknya. Maka dikatakan kepadanya: mereka tidak mencapai darjat setinggi darjatmu. Orang itu lalu berkata: Wahai tuhan, aku beramal untuk diriku dan mereka. Allah lalu memerintahkan untuk mengumpulkan mereka kembali." (riwayat al-Tabarani)
Semoga Allah menyatukan kita di syurga bersama orang yang kita cintai di dunia. Amin ya rabbal alamin.
-Utusan
No comments:
Post a Comment