Thursday, May 28, 2015

Air hujan selamatkan bayi ditanam hidup-hidup

GUANGXI - CHINA. Berpantang maut sebelum ajal, itulah ungkapan sesuai untuk menggambarkan nasib seorang bayi di China, walaupun telah dikuburkan oleh ‘orang tuanya’ selama lapan hari namun ajaibnya dia masih hidup.

Memetik laporan Dailymail.Co.Uk. bayi ajaib berkenaan merupakan seorang bayi lelaki yang dilapor ditanam hidup-hidup ibu bapanya kerana malu dengan keadaan bayi berkenaan, yang didakwa dilahirkan sumbing.

Bayi berkenaan ditanamkan hidup-hidup di sebuah pergunungan di wilayah Guangxi, bahagian China Selatan dan ditemui seorang wanita bernama Lu Fenglian, apabila secara tidak sengaja mendengar suara tangisan bayi tatkala dia sedang mencari ‘pucuk kayu herba’ China di pergunungan tersebut.

Fenglian yang terkejut mendengar suara tangisan bayi di kawasan itu segera berlari ke sebuah kuil Buddha berhampiran untuk meminta bantuan.

Selepas bantuan diminta, seorang sami, Zhao Shimin, akhirnya menyedari bahawa tangisan bayi tersebut datang dari bawah tanah di kawasan pergunungan tersebut.

Rupa-rupanya bayi malang yang tengah menangis itu telah dikuburkan hanya 5 cm di bawah permukaan tanah,dia dimasukkan ke dalam sebuah kotak dan ditutupi tanah.

Setelah menemui bayi malang itu, dia segera menelefon polis dan bayi itu dibawa ke Hospital Tian Dong untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Doktor hospital yang dikenali sebagai Bibi Liu, mengatakan bayi itu berada dalam kondisi yang sangat tenat dan ia harus disimpan dalam inkubator selama beberapa hari.

“Ketika kami membersihkan kotoran dari tubuh bayi itu, dia batuk dan ada tanah tebal yang keluar daripada mulutnya. Kotoran tersebut akibat tanah yang tertelan ketika di dalam tanah,” katanya.

Beliau turut mengesahkan kemungkinan besar bayi itu selamat dan masih hidup kerana ‘terminum’ air hujan.

Mengikut perkiraan mereka, bayi itu telah minum air hujan yang secara tidak sengaja masuk ke dalam kotaknya.

Difahamkan, air hujan telah menjaga kelembapan di sekitar tubuhnya, sehingga bayi tersebut mampu bertahan.

Akhirnya, setelah beberapa hari mendapatkan rawatan , kondisi bayi tersebut telah stabil.

Polis sedang menyiasat isu ini dan sedang mencari keluarga bayi berkenaan yang disyaki pasangan muda yang berasal dari Desa Siping, Kota Ping Ma, China.

-Sinar

No comments:

Post a Comment