Moscow: Seorang anggota Parlimen Russia dilapor tersekat di dalam sebuah kereta kebal selama lima jam dan mengancam menembak mereka yang berdiri di sekitar kereta kebal itu jika dia tidak boleh melepaskan dirinya.
Kejadian berlaku apabila Setiausaha Parlimen Igor Zotov yang berbadan gempal memasuki kereta kebal itu di Ekspo Senjata Russia di Nizhny Tagil.
Zotov dalam kenyataannya mengesahkan dia berada di dalam BMP-3, kenderaan tempur amfibia infantri Russia, tetapi menolak laporan yang mendakwa dia tidak boleh keluar.
“Berita itu mengarut. Memang saya masuk ke dalam kereta kebal itu, duduk di tempat pemandunya dan keluar semula.
“Memang saya gempal dan tinggi, tetapi saya tidak terperangkap di dalam kereta kebal itu,” katanya kepada agensi perkhidmatan berita Russia.
Bagaimanapun, penyelaras ekspo Alexander Pisarevsky berkata: “Zotov, kerana badannya yang besar, sukar untuk keluar dari kereta kebal itu. Dia berada di dalamnya selama lima jam.”
Televisyen Russia juga melaporkan: “Timbalan Speaker Parlimen yang gemuk terperangkap dalam kereta kebal.”
Zotov akhirnya keluar dari kenderaan tentera itu dengan bantuan anggota Kementerian Keadaan Darurat dan pasukan keselamatan ekspo. - Agensi
No comments:
Post a Comment