Tuesday, October 27, 2015

Polis AS ‘belasah’ pelajar perempuan

Rakaman video seorang anggota polis Amerika Syarikat bertindak kasar terhadap seorang pelajar perempuan berkulit hitam di sebuah sekolah tinggi di sini, termasuk mengepit kepala dan menarik pelajar itu hingga jatuh dari kerusi sebelum mengheretnya keluar kini menjadi viral di media sosial.
Ia menambah imej buruk polis Amerika Syarikat yang dikecam kerana bertindak kasar serta keganasan terhadap penduduk kulit hitam.

Kejadian terbaru itu berlaku Sekolah Tinggi Spring Valley di Columbia, Carolina Selatan, hari ini dan menurut stesen televisyen tempatan, WIS, ia mendapat dua rakaman video kejadian itu.
Rakaman video dengan hashtag #AssaultAtSpringValleyHigh kini merebak pantas di Twitter.
Dalam video itu yang dirakam pelajar lain dalam kelas berkenaan, anggota polis berkenaan memasuki kelas dan bercakap sebentar dengan mangsa yang duduk di mejanya sebelum mencekak leher, menariknya hingga jatuh dari kerusi sebelum mengheretnya keluar sambil dilihat pelajar lain yang terdiam kerana terkejut dan takut.
Pelajar perempuan itu dilihat tidak memberi sebarang tentangan dan dia sememangnya tidak berpeluang untuk menentang.
Jurucakap Jabatan Syeriff Daerah Richland, Curtis Wilson, berkata pelajar itu sudah beberapa kali diarahkan meninggalkan kelas tanpa menyatakan sebabnya tetapi dia enggan.
Media Amerika menyatakan anggota polis itu ialah Ben Fields, seorang daripada dua anggota yang ditugaskan ke sekolah berkenaan. Fields sudah diberi tugas pentadbiran ketika siasatan kejadian itu.
Menurut NBC, Fields pernah dinamakan sebagai defendan dalam kes saman pada 2013 yang mendakwa dia bertindak tidak adil mensasarkan pelajar Afrika-Amerika dengan menuduh mereka anggota kumpulan samseng.


-Metro       

Monday, October 26, 2015

Kecoh jumpa budak




Port Dickson: “Dia tidak menangis, tetapi kelihatan seperti ketakutan. Kami menyangka keluarganya sengaja meninggalkan kanak-kanak ini di sini kerana tidak ada sesiapa datang hingga dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut,” kata pekerja sebuah stesen minyak yang menemui kanak-kanak lelaki, di Batu 4, Jalan Pantai, dekat sini, semalam.


Kanak-kanak berusia sekitar lima tahun itu dilihat seperti tidak sihat ditemui di stesen minyak berkenaan jam 10.30 malam kelmarin.
Berita penemuannya menjadi viral dalam laman sosial termasuk WhatsApp.
Dia yang enggan dikenali mengakui selepas sejam menunggu, tiada ahli keluarga kanak-kanak itu datang menyebabkan dia menghubungi polis sebelum dibawa ke Balai Polis Port Dickson untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Baharudin Mustapha ketika dihubungi mengesahkan penemuan kanak-kanak terbabit.


-Metro

Sunday, October 25, 2015

Gadis napalm buang parut selepas hampir 40 tahun




Florida: Wanita yang satu ketika dulu pernah dikenali sebagai ‘gadis napalm’ apabila imejnya menangis dalam keadaan bogel selepas diserang bom kimia pada Perang Vietnam dirakam jurugambar dari Associated Press (AP) akhirnya berpeluang membuang parut lecuran teruk dialami dalam kejadian itu.
Kini, hampir 40 tahun selepas serangan pada 1972 itu, Kim Phuc yang dianggap simbol keperitan Perang Vietnam mungkin tidak lagi perlu menutup parutnya yang menjadi peringatan penderitaan dialami ketika itu.

“Selama ini saya sangka parut berkenaan akan dibawa sampai mati. Saya memujuk hati bahawa bila mati saya tidak akan rasa lagi kesakitan akibat parut saya.
“Tetapi kini saya mempunyai harapan untuk hidup dengan lebih normal,” katanya,
Kim kini berada di Miami untuk menemui ahli dermatologi yang mempunyai kepakaran dalam rawatan laser bagi pesakit yang mengalami lecuran.
Bulan lalu, Kim, 52, memulakan beberapa siri rawatan laser dengan doktornya, Jill Waibel yang mampu melembutkan dan melicinkan tisu parut tebal sepanjang lengan kiri, leher serta tengkuk dan hampir sepenuhnya pada belakangnya.
Lebih penting lagi, rawatan itu akan mengurangkan kesakitan yang masih dialami sehingga hari ini.
Kim ditemani suami Bui Huy Toan dan wartawan AP, Nick Ut, 65, yang merakam gambar pada 1972 itu dan masih berhubung dengannya sehingga hari ini.
“Dia yang merakam gambar saya ketika berusia sembilan tahun dulu dan kini dia jugalah yang akan melihat penghabisan kisah ini,” katanya.
Ut merakam gambar itu pada 8 Jun 1972 selepas tentera Vietnam Selatan secara tidak sengaja melepaskan napalm ke atas penduduk di perkampungan Kim, Trang Bang.
Ut berkata, dia masih ingat Kim menjerit ‘Panas! Panas!’ dalam bahasa Vietnam sebelum dia membawanya masuk ke van AP.
Kim kemudian menangis teresak-esak sambil berkata ‘Saya akan mati, panas sangat, matilah saya.’
Setiap rawatan Jill menelan belanja antara AS
$1,500 hingga AS$2,000 (RM6,400-RM8,500) tetapi dia menawarkan khidmatnya secara percuma ketika Kim menghubunginya.
Katanya, Kim yang kini tinggal di Kanada memerlukan kira-kira tujuh rawatan dalam tempoh lapan atau sembilan bulan akan datang. - Agensi/Metro

Thursday, October 22, 2015

Seksa telan pencungkil gigi




Buenos Aires: Seorang lelaki terseksa selama enam bulan selepas tertelan pencungkil gigi ketika sambutan tahun baru yang tanpa disedari mencucuk jantungnya. Selama tempoh itu, Horacio Rodriguez Videla, 42, mengalami rasa sakit mencucuk-cucuk, demam panas dan batuk berdarah, lapor portal berita Clarin. Doktor menyangka dia menghidap AIDS dan terkejut apabila hasil pembedahan menemui pencungkil gigi di dalam jantungnya. Videla berkata: “Memang saya banyak makan kudapan ketika meraikan Tahun Baru bersama kawan-kawan. Mungkin saya tertelan pencungkil gigi itu.” - Agensi






- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/87045#sthash.Thh8slT9.dpuf

Wednesday, October 21, 2015

Tak sayang anak




Riyadh: Seorang lelaki ditangkap selepas dia memandu di lebuh raya selaju 104 kilometer sejam dengan anaknya bergayut di luar tingkap kenderaan itu.
Kejadian itu dirakam seorang pemandu lain sebelum ia menjadi viral di media sosial.
Polis berjaya menjejaki lelaki berkenaan menerusi video itu dan menahannya atas tuduhan membahayakan nyawa kanak-kanak dan pengguna jalan raya lain.
Sehubungan itu, orang ramai menggesa pihak berkuasa mengenakan hukuman berat terhadap lelaki itu dan mencadangkan kanak-kanak berkenaan diletakkan di bawah penjagaan agensi kebajikan.
Polis sehingga ini enggan mengulas sama ada kanak-kanak itu didera atau berseronok dengan tindakan bapanya.
Keselamatan jalan raya adalah isu besar di Arab Saudi.
Pada 2013, sebanyak 485,831 kemalangan jalan raya dicatatkan dengan 6,458 kematian, atau seorang terbunuh akibat kemalangan setiap 90 minit. - Agensi/Metro


     

Tuesday, October 20, 2015

Ambil kesempatan kahwin kakak menantu

Riyadh: Seorang lelaki berusia 70-an diselar dalam media sosial kerana berkahwin dengan kakak ipar anaknya. Dalam kejadian seperti sebuah drama televisyen, lelaki itu pergi ke rumah sebuah keluarga di Al Qunfudha, bandar di wilayah Tihamah, untuk memutuskan pertunangan anak lelakinya, atas desakan dua isterinya.
Ketika berada di rumah berkenaan dan sebelum menyuarakan niat kedatangannya, seorang wanita berusia 30 tahun keluar ke ruang tamu untuk menyajikan minuman. “Apabila lelaki itu melihatnya, dia bertanyakan kepada bapa wanita itu, sama ada wanita itu tunang anaknya.
Tuan rumah itu menjawab, dia kakak tunang anaknya dan baru sahaja menjadi janda,” lapor akhbar Okaz.
Lelaki tua itu serta-merta menukar hajat kedatangannya dan memberitahu tuan rumah bahawa dia datang untuk membincangkan perkahwinan anak lelakinya. “Dia juga memberitahu dia mahu meminang dan berkahwin dengan wanita yang menyajikan minuman tadi.
Tuan rumah itu bersetuju terhadap kedua-dua permintaan itu,” lapor akhbar berkenaan. Berita mengenai kejadian itu menjadi viral.
Ramai pembaca menyifatkan lelaki itu miang. “Apabila umurnya sudah mencecah 70-an tahun, dia sepatutnya lebih mendekatkan diri kepada Tuhan, bukan mencari isteri lebih muda,” kata seorang pembaca. - Agensi


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/86394#sthash.YvinSghL.dpuf

Sunday, October 18, 2015

Selamat kerana tengok filem gengster


Beijing: Seorang remaja mendakwa berjaya meloloskan diri dari sekumpulan penculik walaupun tangan dan kakinya diikat selepas menggunakan aksi ditiru daripada filem gengster.
Xinhua melaporkan budak digelar Yi itu diculik ketika berjalan sendirian pada 24 September lalu di kampungnya, Fuxin. Yi mendakwa dibawa ke sebuah rumah yang ditinggalkan sebelum tangannya diikat ke belakang dan kakinya juga diikat. Kepalanya ditutup beg plastik dan diikat menggunakan pita pelekat, dengan lubang ditebuk untuk memuatkan straw bagi membolehkannya bernafas.
Yi berkata, sebaik mendengar penculiknya meninggalkan lokasi itu, dia terus bangun dan melompat-lompat sehingga berjaya keluar dari situ ke jalan.
Katanya, aksi itu ditiru daripada kisah filem gengster. Seorang penunggang motosikal yang melihatnya berhenti untuk membantu dan menghubungi polis. Polis berkata, seorang suspek sudah ditahan dalam kes itu. - Agensi




- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/86134#sthash.YseIxBRH.dpuf

Thursday, October 15, 2015

Mati tayang wang

                                
Pennsylvania: Perbuatan seorang lelaki berjenaka mengenai duit yang dimuat naik ke akaun Facebooknya membawa padah apabila menyebabkannya menjadi sasaran perompak yang membunuhnya. Tony Harris, 50, memuat naik gambar tunangnya Amber Crane memegang beberapa ikat not wang kertas AS$100 dengan keterangan: “Saya tersalah letak AS$60,000 (RM248,000). Harap-harap isteri saya tidak membelanjakan semuanya.” Malangnya, seminggu kemudian tiga lelaki bertopeng memecah masuk ke rumahnya dan menuntut supaya dia menyerahkan wang berkenaan. Harris dilaporkan sentiasa membiarkan pintu rumahnya dalam keadaan tidak berkunci.
Amber berkata, seorang daripada lelaki terbabit mengacukan pistol ke kepala Harris, manakala dia diacukan pistol seorang lagi perompak. Mereka menggeledah rumahnya mencari wang dan apabila Harris berkata duit itu tidak wujud mereka berang lalu menembaknya di kepala sebelum melarikan diri. Katanya, tiga anak mereka berusia lima dan dua tahun serta 10 bulan juga berada di dalam rumah ketika itu. Kejadian berlaku sehari selepas menyambut ulang tahun kelima anak perempuan mereka. Harris meninggal dunia lapan jam kemudian ketika pembedahan di Hospital Universiti Pennsylvania. Ketua Siasatan Pembunuhan Polis Philadelphia, James Clark tidak menolak kemungkinan Harris dibunuh kerana apa dimuat naik ke Facebooknya. “Sebenarnya wang itu tidak wujud. Perompak berkenaan berusia antara 17 hingga 19 tahun,” katanya. Anak saudara Harris, Anthony Fleming mengesahkan gambar dimuat naik Harris itu sekadar satu gurauan.




 - See more at: http://www.hmetro.com.my/node/85494#sthash.rqHnoYyv.dpuf

Wednesday, October 14, 2015

'Dulu aku malu ayah bawa lori sampah'

 
BAGI menzahirkan rasa terima kasih anak kepada seorang ayah yang membesarkannya sehingga berjaya, seorang siswazah dari Thailand bersujud di kaki ayahnya selepas dia berjaya memperoleh ijazah.

Memetik laporan Bangkok Post, siswazah tersebut, Klanarong Srisakul melakukannya di hadapan lori sampah yang menjadi punca pencarian bapanya untuk menampung kehidupan mereka sekeluarga.

"Dulu aku selalu berasa malu dengan ayah dan sering bertanya mengapa ayah saya tidak seperti bapa rakan saya yang lain.

"Bapa rakan aku bekerja di pejabat dan ada yang memakai seragam askar dan polis," luah Klanarong di laman sosial Facebook milknya.

Perkongsian itu menyebabkan gambar dia sujud di kaki ayahnya menjadi viral di Thailand.

Menulis dalam kaspyen itu lagi, Klanarong berkata, tindakan dia sujud di hadapan ayahnya adalah sebagai tanda membalas jasa.

"Ini cara aku mengucapkan terima kasih dan membalas setiap keringat, air mata dan saat bahagia bersama ayah.

"Sekarang saya membalas setiap pengorbanan ayah, aku kini tidak lagi malu dan sangat bangga dengan ayah," katanya.


-Sinar

Sunday, October 11, 2015

35 tahun tak gunting rambut

Yunnan: Seorang wanita memiliki rambut sepanjang 2.52 meter selepas tidak mengguntingnya sejak 35 tahun lalu.
Gu Meiying, etnik Miao yang menetap di wilayah Yunnan amat mudah dikenali kerana dia satu-satunya penduduk tempatan yang memiliki rambut sepanjang itu.
Menurutnya, dia tidak pernah menggunting rambutnya sejak berusia 24 tahun dan ia akan tumbuh sepanjang enam atau tujuh meter setahun.
“Saya menganggap rambut saya sebagai harta dan juga tangkal,” kata Meiying yang juga percaya rambut panjang menyumbang kepada kesihatannya.
Menurutnya, dia pernah ditawarkan 19,000 yuan (RM11,000) untuk rambut itu, tetapi menolaknya.
“Saya mahu terus menyimpan rambut ini dan berhasrat untuk mencatatkan rekod dunia Guinness,” kata wanita itu.
Setiap kali bekerja di ladang, Meiying akan melilit lima kali rambut itu pada kepalanya atau tiga setengah pusingan pada pinggangnya.
Dia juga mengeluh kerana rambutnya mengambil masa seminggu untuk kering apabila dia membasuhnya. - Agensi

  

Thursday, October 8, 2015

Bunuh ibu, belah dada, keluarkan hati

Fremont: Seorang lelaki mengaku membunuh ibunya sebelum membelah dada dan mengeluarkan hati mangsa menggunakan tangan. Omar Mark Pettigen, 31, ditahan kelmarin, lima hari selepas melakukan pembunuhan ngeri di rumahnya di Fremont, California.
Dia ditahan selepas bapanya yang tinggal di New Mexico meminta bantuan polis untuk mencari bekas isteri dan anaknya setelah mereka tidak menghubunginya sekian lama.
Polis tiba di rumah Omar dan menemui mayat Nailah, 64, di dalam bilik dengan seluar dalamnya terlucut hingga ke pergelangan kaki dan perutnya terburai.
Hasil bedah siasat menunjukkan bekas guru matematik itu dikerat dari leher hingga ke serviks dan turut ditembak sekurang-kurangnya tujuh das. Omar berkata dia bertengkar dengan ibunya yang didakwanya mengacukan pistol kepadanya sebelum dia mencapai tukul pada dinding bilik untuk menyerang wanita itu.
Dia keluar dari bilik itu, masuk semula dengan kapak dan menyerang ibunya sebelum menembak belakang mangsa empat kali. Omar kemudian dipercayai membelah dadah ibunya dengan pisau, mengeluarkan hatinya sebelum meletakkannya semula.
Omar dilapor memberitahu polis, dia membunuh ibunya kerana wanita itu mahu membunuh diri dengan memakan ubat penahan sakit oksidon, Katanya, ibunya ketagih ubat berkenaan selepas menjalani pembedahan pinggul dan lutut. - Agensi


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/83637#sthash.6Ra2tcQB.dpuf

Wednesday, October 7, 2015

Tolak RM111,656 dapat RM30,133

Kuwait: Seorang lelaki yang tamak menolak tawaran untuk menjual helangnya dengan harga 100,000 riyal (RM111,656) kerana berharap mampu meraih keuntungan lebih tinggi pada acara lelongan burung di Kuwait.
Bagaimanapun, lelaki itu hampa apabila burung terbabit hanya dijual pada harga 27,000 riyal (RM30,133) pada lelongan berkenaan. Lelaki itu dilaporkan ditawar sebanyak 100,000 riyal oleh seorang peminat helang terkenal di Arab Saudi selepas dia menangkap burung pemangsa berkenaan di bandar Rafha.
“Dia menolak tawaran itu dengan harapan mampu meraih keuntungan lebih tinggi pada acara lelong burung di Kuwait. “Namun, burung itu hanya dijual dengan harga 27,000 riyal dan dia bersetuju untuk menjualnya,” kata akhbar Sada. - Agensi


 - See more at: http://www.hmetro.com.my/node/83438#sthash.RXVlZDGW.dpuf