Florida: Wanita yang satu ketika dulu pernah dikenali sebagai ‘gadis napalm’ apabila imejnya menangis dalam keadaan bogel selepas diserang bom kimia pada Perang Vietnam dirakam jurugambar dari Associated Press (AP) akhirnya berpeluang membuang parut lecuran teruk dialami dalam kejadian itu.
Kini, hampir 40 tahun selepas serangan pada 1972 itu, Kim Phuc yang dianggap simbol keperitan Perang Vietnam mungkin tidak lagi perlu menutup parutnya yang menjadi peringatan penderitaan dialami ketika itu.
“Tetapi kini saya mempunyai harapan untuk hidup dengan lebih normal,” katanya,
Kim kini berada di Miami untuk menemui ahli dermatologi yang mempunyai kepakaran dalam rawatan laser bagi pesakit yang mengalami lecuran.
Bulan lalu, Kim, 52, memulakan beberapa siri rawatan laser dengan doktornya, Jill Waibel yang mampu melembutkan dan melicinkan tisu parut tebal sepanjang lengan kiri, leher serta tengkuk dan hampir sepenuhnya pada belakangnya.
Lebih penting lagi, rawatan itu akan mengurangkan kesakitan yang masih dialami sehingga hari ini.
Kim ditemani suami Bui Huy Toan dan wartawan AP, Nick Ut, 65, yang merakam gambar pada 1972 itu dan masih berhubung dengannya sehingga hari ini.
“Dia yang merakam gambar saya ketika berusia sembilan tahun dulu dan kini dia jugalah yang akan melihat penghabisan kisah ini,” katanya.
Ut merakam gambar itu pada 8 Jun 1972 selepas tentera Vietnam Selatan secara tidak sengaja melepaskan napalm ke atas penduduk di perkampungan Kim, Trang Bang.
Ut berkata, dia masih ingat Kim menjerit ‘Panas! Panas!’ dalam bahasa Vietnam sebelum dia membawanya masuk ke van AP.
Kim kemudian menangis teresak-esak sambil berkata ‘Saya akan mati, panas sangat, matilah saya.’
Setiap rawatan Jill menelan belanja antara AS
$1,500 hingga AS$2,000 (RM6,400-RM8,500) tetapi dia menawarkan khidmatnya secara percuma ketika Kim menghubunginya.
Katanya, Kim yang kini tinggal di Kanada memerlukan kira-kira tujuh rawatan dalam tempoh lapan atau sembilan bulan akan datang. - Agensi/Metro
No comments:
Post a Comment