Monday, October 31, 2016

Tidakku pinta dilahir begini


Teluk Intan: Berat mata memandang tidak seberat derita ditanggung bayi perempuan berusia tidak sampai sebulan yang menderita penyakit 'hydrocephalus' iaitu lebihan cecair dalam kepala menyebabkan kepalanya kian membesar dan kini sudah mencapai 56 sentimeter (sm).
Bayi malang berusia 27 hari itu turut disahkan menghidap penyakit Spina Bifida yang menyebabkan masalah tumbesaran tulang belakang dan saraf tunjang ketika dilahirkan pada 5 Oktober lalu.
Menurut ibunya Siti Norjamilah Ewan, 25, perubahan saiz kepala Nor Insyirah Sadli dikesan ketika kandungannya berusia tujuh bulan dan dia dilahirkan melalui pembedahan dengan saiz kepala 54 sm, lebih besar berbanding kepala bayi normal.
"Kepala anak saya membesar sedikit demi sedikit. Sebagai ibu, saya sedih melihat keadaannya saya namun apakan daya, ini semua ujian Allah SWT dan kami sekeluarga perlu tabah menghadapinya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Lampam Kiri dekat sini, hari ini.
Berita mengenai bayi kepala besar itu yang tersebar di media sosial, turut mendapat perhatian beberapa badan bukan kerajaan (NGO), wakil rakyat setempat dan orang ramai.
Siti Norjamilah berkata, pihak hospital tidak mencadangkan anak bongsu daripada empat beradik itu menjalani pembedahan kerana berisiko tinggi dan peratusan untuk sembuh agak tipis.
Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, mereka sekeluarga menghadapi masalah kesempitan wang kerana suaminya Sadli Jalani, 45, kini sudah tidak dapat bekerja akibat radang mata sejak tiga tahun lalu.
Mata kanan suaminya kini sudah tidak berfungsi manakala penglihatan kiri semakin kabur yang membataskan pergerakannya untuk bekerja.
"Kami terpaksa bergantung bantuan kewangan daripada Baitulmal yang digunakan untuk membayar bil elektrik, air serta menanggung tiga lagi anak berusia antara dua hingga tujuh tahun," katanya.
Orang ramai yang mahu membantu keluarga itu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik Sadli (08230-41-00005723-7) atau menghubunginya di talian 016-4093158 atau akaun Maybank Siti Norjamilah (1583-9612-3298).

-Metro

Sunday, October 30, 2016

Nenek, cucu terpelanting dirempuh


London: Seorang nenek dan dua cucunya cedera dilanggar lari sebuah kereta dalam kejadian dirakam kamera litar tertutup yang turut menunjukkan mangsa terpelanting di udara.
Ketika kejadian di Newham, London, wanita berusia 50 tahun bersama dua cucunya, seorang budak lelaki, 12, dan perempuan, 11, melintas jalan bersama dua lagi murid sekolah apabila sebuah kenderaan dipandu laju tiba-tiba muncul.
Rempuhan yang kuat itu menyebabkan seorang mangsa tercampak sementara seorang lagi dilihat terpelanting sebelum terhentak pada penghadang jalan.
Pemandu kenderaan yang ditemani seorang penumpang itu memberhentikan keretanya seketika di tepi jalan sebelum melarikan diri. Dua budak perempuan yang terselamat kemudian dilihat bergegas menyeberangi jalan untuk meminta pertolongan.
Akibat kejadian itu, wanita terbabit dilaporkan patah tulang belakang serta kaki.
Rakaman itu disiarkan di media sosial dengan harapan dapat membantu siasatan polis dan mengesan pesalah berkenaan.
Polis dalam satu kenyataan mengesahkan kejadian itu.
“Kenderaan yang merempuh mangsa berhenti tidak jauh dari tempat kejadian selepas ditinggalkan dua suspek lelaki yang melarikan diri,” kata kenyataan itu. 

- Agensi/Metro

Thursday, October 27, 2016

Baguma kini penyanyi pop


Kampala: Seorang lelaki dengan muka yang cacat teruk serta pernah memenangi pertandingan lelaki paling hodoh di Uganda, kini semakin popular sebagai penyanyi di negara itu.
Populariti Godfrey Baguma, 47, bermula dengan kepalanya yang unik. Kecacatannya itu membantunya menjadi selebriti tempatan. Tetapi kini, ia juga membantunya melancarkan kariernya dalam muzik pop Afrika.
Video muziknya yang dimuat naik di YouTube setakat ini sudah mencatatkan lebih tiga juta tontonan.
Bercakap mengenai detik awal dia terbabit dalam bidang baru itu, Baguma berkata: “Saya sedang membetulkan kasut saya apabila seorang lelaki yang terbabit dalam dunia hiburan meminta saya mengambil bahagian dalam satu pertunjukan.
“Sejak itu, saya mempunyai ramai rakan dan peminat. Saya dipanggil untuk membuat persembahan dan diberikan upah. Ia membantu saya membesarkan anak saya,” katanya.

-Metro

Wednesday, October 26, 2016

Lelaki hilang sejak remaja ditemukan

BRASILLIA 26 Okt. - Misteri kehilangan seorang lelaki secara tiba-tiba ketika berusia 16 tahun berakhir apabila ditemukan dikurung selama 20 tahun oleh bapa dan ibu tirinya dalam bilik bawah tanah rumahnya di Guarulhos, Sao Paulo.
Penemuan lelaki berkenaan, Armando de Andrade, 36, berlaku secara tidak sengaja ketika pihak polis menggeledah rumah ber­kenaan untuk mencari anggota kumpulan dadah.
Armando yang disangkakan hilang ketika berusia 16 tahun ditemukan dengan keadaan diikat pada katil dalam bilik kecil yang tidak mempunyai tingkap manakala lantai bilik dipenuhi najis.
Saksi berkata, semasa ditemukan lelaki tersebut mempunyai kuku kaki dan tangan yang besar manakala pihak polis yang mene­mukan Armando menyifatkan lelaki itu tidak mendapat zat makanan secukupnya.
Menurut laporan Mail Online, Ketua Polis, Celso Marchiori yang menyiasat kes berkenaan berkata, semasa ditemukan Armando bangun dengan keadaan yang lemah dan tidak bercakap sepatah perkataan.
“Kami tidak tahu sama ada dia takut atau berada dalam keadaan khayal malah tidak mengenali kami sebagai anggota polis,” katanya.
Menurut jiran mangsa, ketika berusia 16 tahun, Armando kelihatan seperti remaja lain yang suka bermain papan luncur dan gitar namun hilang secara tiba-tiba.
Keluarga mangsa mendakwa Armando telah berpindah ke tempat lain di Brazil dan berada dalam keadaan sihat serta telah berkahwin.
Seorang jiran, Aparecido Rocha Brasil memberitahu stesen tele­visyen Globe News, dia percaya bapa dan ibu tiri mangsa mengurungnya selepas remaja itu mula meminum arak.
Walau bagaimanapun bapa mangsa, Amancio de Andrade me­nafikan semua tuduhan dan mendakwa anak lelakinya itu me­ninggalkan rumah ketika berusia 18 tahun dan baharu kembali minggu lalu serta telah meminta untuk dikurung di dalam bilik kerana mahu membersihkan diri daripada ketagihan dadah.
Armando kini ditempatkan dalam wad pesakit mental di hospital tempatan namun masih tidak mampu bersuara selain mengangguk atau menggeleng kepala ketika ditanya.
Dalam pada itu, ibu bapa Armando dilaporkan telah melarikan diri setelah diserang oleh jiran-jiran yang berang dengan tindakan pasangan itu.

-Utusan

Monday, October 24, 2016

Kekasih darah



Louisiana (Amerika Syarikat): Seorang peniaga bunga sanggup mengelar badannya menggunakan pisau cukur semata-mata mahu memenuhi keinginan teman lelakinya yang kononnya pontianak, untuk menghirup darah.
Blut Klatzchen, 28, sanggup melukakan diri sendiri untuk memberikan darahnya kepada kekasihnya, ‘Raja Pontianak’ Michael Vachmiel, 44, dalam ritual yang dilakukan beberapa kali setahun.
Vachmiel mendakwa darah Blut memberinya tenaga untuk terus hidup. Pasangan kekasih itu berkenalan dua tahun lalu di majlis Vampire Ball di Houston, Texas.
Blut, dari Shreveport, Louisiana, sebelum ini sanggup menjelajah ribuan kilometer untuk memenuhi keinginan beberapa lelaki dan wanita yang yakin mereka perlu minum darah untuk hidup.


“Sejak kecil saya memang kagum dengan budaya pontianak. Semuanya bermula selepas saya menemui buku mengenai pontianak milik kakak saya.

-Metro

Sunday, October 23, 2016

Tak padan kepala setengah, jahat rupanya



Florida: Seorang lelaki yang sebelum ini terkenal selepas laporan mengenai keadaannya yang cuma mempunyai setengah kepala tersebar di media di seluruh dunia mengaku tidak bersalah atas tuduhan cuba membunuh selepas sengaja membakar tilam di rumah ibunya yang mengancam nyawa orang ramai.
Carlos Rodriguez, 31, yang terkenal dengan gelaran Halfy dalam kalangan rakannya, dilaporkan membakar tilam itu sebelum ditemui polis di tengah halaman rumahnya.
Rangkaian berita tempatan 7News melaporkan lelaki yang setengah kepalanya penyek itu melakukan kesalahan berkenaan pada awal pagi Isnin (waktu tempatan).
Ketika kejadian, dua lelaki lain turut berada di dalam kediaman jenis dupleks yang bersambung dengan rumah utama.


Seorang mangsa terbabit ibunya sendiri, Anicia Rodriguez adalah pemilik bangunan.

-Metro

Thursday, October 20, 2016

Tekak berlubang lepas makan lada paling pedas

Ghost Pepper

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT . Satu lubang terbentuk di tekak seorang lelaki selepas memakan salah satu lada paling pedas di dunia, Ghost Pepper.

Laporan Fox News mengatakan, lelaki berumur 47 tahun berkenaan memasukkan lada tersebut ke dalam burgernya untuk satu pertandingan makanan.

Selepas memakan lada tersebut, mangsa mula muntah tanpa henti dan menyebabkan tekaknya berlubang.

Keadaan tersebut yang dikenali sebagai sindrom Boerhaave mempunyai risiko maut yang tinggi.

Walaupun berjaya diselamatkan selepas dibedah doktor, mangsa terpaksa ditahan untuk rawatan di hospital selama 23 hari.

Kepedasan lada diukur menggunakan skala Scoville dan Ghost Pepper mempunyai ukuran lebih sejuta.

Untuk perbandingan, lada hitam 'sweet bell' mempunyai ukuran 0, lada Tobasco (100) dan lada Jalapeno mempunyai ukuran 2,500.

-Sinar

Wednesday, October 19, 2016

Haiwan kacukan zebra, keldai tarikan baru


Beijing: Sebuah zoo mendapat tarikan baru apabila haiwan kacukan keldai dan zebra dilahirkan di situ.
Haiwan comel digelar zedonk - gabungan perkataan n zebra dan donkey (keldai) - itu mempunyai kepala dan badan mirip keldai tetapi kakinya serta bahagian sisi badannya berbelang seperti zebra.
Video dirakam pada 5 Oktober lalu menunjukkan zedonk itu mula berjalan di Suqian, wilayah Jiangsu selepas dilahirkan zebra betina di zoo berkenaan.
Kakinya yang berbelang menampakkan haiwan itu seperti memakai stokin.
Pengunjung ke zoo itu juga dilihat merebut peluang untuk melihat kelahiran baru yang pelik itu.
Pada 2013, haiwan seperti itu juga dilahirkan keldai betina di sebuah pusat pemuliharaan haiwan di Florence, Itali.
Haiwan dinamakan Ippo itu mempunyai warna seperti keldai tetapi berbelang dan dilaporkan dalam keadaan sihat. 

- Agensi/Metro

Monday, October 17, 2016

13 kena sebat di Aceh


Banda Aceh: Pihak berkuasa Aceh melaksanakan hukuman sebat terhadap 13 pesalah kerana melanggar undang-undang syariah di wilayah itu semalam.
Hukuman berkenaan dijalankan di Masjid Baiturrahman di Kampung Kramat di sini dan disaksikan beratus-ratus penduduk.
Menurut media tempatan, sepatutnya 14 pesalah dihukum sebat semalam tetapi hukuman terhadap seorang wanita ditangguhkan selepas dia disahkan hamil.
Wanita berusia 21 tahun itu ditangkap kerana berkelakuan tidak sopan dengan kekasihnya beberapa bulan lalu.
Wanita itu dan kekasihnya dilaporkan sudah berkahwin tetapi hukuman terhadap mereka tetap dilaksanakan.
Pasangan wanita itu bersama 10 lagi pasangan dihukum sebat 21 hingga 25 kali kerana didapati bersalah berkelakuan tidak sopan di tempat awam.
Satu lagi pasangan pula dihukum sebat sebanyak sembilan kali selepas didapati bersalah berdua-duaan di tempat tersembunyi.
Timbalan Datuk Bandar Aceh, Zainal Arifin berkata, hukuman sebat itu bukannya bertujuan menghukum dan memalukan pesalah.
“Hukuman ini sebagai peringatan dan pengajaran kepada semua supaya menghormati undang-undang Islam,” katanya. 


- Agensi/Metro

Sunday, October 16, 2016

Dukun dakwa ambil wang dari bank dijaga jin




Pekanbaru: Polis di sini menahan seorang dukun, Ki Purbo Lalang Jati, atas tuduhan menipu orang ramai selepas dia mendakwa dapat menggandakan wang mangsa dengan mengambil wang di ‘bank ghaib yang dijaga jin.’
Ketua Polis Pekanbaru, Toni Hermawan berkata, dalam modus operandinya, lelaki berusia 35 tahun itu akan meminta sejumlah wang daripada mangsa, kononnya untuk dijadikan umpan, sebelum dia boleh mengambil wang dari bank ghaib itu.
“Dia akan melakukan pelbagai ritual pelik untuk mengelabui mangsa. Mangsa pula akan dikehendaki menyediakan wang berkenaan beberapa kali. Tetapi wang yang dikatanya akan diambil dari bank ghaib itu tidak ada,” kata Toni.
Menurutnya, pihaknya menangkap Ki Purbo selepas menerima aduan daripada 10 mangsa, termasuk seorang penuntut yang berkata, dia ditipu sebanyak Rp63 juta (RM20,000).
Selain itu, menurut Toni, lelaki itu juga dikatakan menjual ‘toyol’ dengan harga Rp5 juta (RM1,600) setiap satu.

 - Agensi/Metro

Thursday, October 13, 2016

Pengemis punyai RM29,000



Jakarta: Seorang lelaki ditahan di bandar raya ini kelmarin bersama wang tunai Rp90 juta (RM29,000), hasil daripada mengemis sejak enam tahun lalu.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Jakarta Selatan, Mursidin berkata, lelaki itu, Muklis yang berusia 64 tahun dan berasal dari Padang, Sumatera Barat, ditahan di bawah jalan raya bertingkat di Kebayoran Lama.
Menurut Mursidin, wang berkenaan ditemui selepas pihaknya berjaya memujuk Muklis mengeluarkannya dari beberapa bungkusan yang disimpan rapi di dalam seluarnya.
“Dia mulanya berkeras tidak mahu menunjukkan wang yang ada padanya. Tetapi, selepas dipujuk, dia mengeluarkannya dari seluarnya. Semuanya tersusun rapi dalam beberapa bungkusan,” katanya Mursidin.
Ketika disoal siasat, Muklis mengaku dia memperoleh wang berkenaan dengan mengemis sejak enam tahun lalu.
Bagaimanapun, katanya, ia masih belum mencukupi untuk membolehkan dia pulang ke kampung asalnya.
“Dia menyasarkan Rp150 juta (RM50,000). Katanya, dia masih kekurangan Rp60 juta sebelum boleh pulang ke Padang,” kata Mursidin.
Katanya, pihaknya tidak merancang untuk merampas wang berkenaan atau mendakwa Muklis. Sebaliknya, lelaki itu akan ditahan seketika untuk menjalani pemulihan sebelum dihantar pulang ke Padang.
“Ini juga pengajaran kepada orang ramai di Jakarta supaya tidak mudah simpati kepada peminta sedekah. Sudah banyak kes seperti ini dibongkar. Mereka mengambil jalan mudah untuk memperoleh wang,” kata Mursidin.

-Metro

Wednesday, October 12, 2016

Mereka masih kecil, kasihanilah



Beirut: Orang ramai dan pasukan penyelamat menarik keluar kanak-kanak dari bawah runtuhan bangunan di Aleppo, Syria, kini bagaikan kejadian biasa seperti kanak-kanak lelaki ini diselamatkan selepas serangan udara oleh pesawat Russia semalam.
Namun, kali ini kanak-kanak berkenaan diselamatkan dalam keadaan masih hidup, tidak seperti kanak-kanak lain yang dikeluarkan selepas sudah menjadi mayat.
Pesawat Russia yang menyokong Presiden Bashar al-Assad berterusan mengebom kawasan pemberontak di Aleppo, termasuk kawasan penempatan dan dalam serangan di Bustan al-Qasr dan Fardous, semalam, 14 terbunuh.
Kanak-kanak yang mati atau cedera parah dikeluarkan dari bawah runtuhan akibat dibom sudah menjadi kebiasaan kerana hampir setiap hari ia berlaku. Keluarga bagaikan menunggu hari bila anak, adik atau abang bakal mati.
Begitulah keadaan kanak-kanak, termasuk bayi di Aleppo yang hampir musnah akibat dibedil setiap hari oleh semua pihak yang berperang di Syria dan kini dianggap padang maut.
Antara 250,000 orang yang terperangkap dalam bandar di utara Syria itu, 100,000 adalah kanak-kanak yang menunggu masa menjadi sasaran pengeboman, sama ada oleh tentera Syria dan sekutunya Russia atau serangan pemberontak.

-Metro

Tuesday, October 11, 2016

Terkoyak kulit kepala ketika berselfie


New Delhi: Seorang pelajar perempuan mengalami detik mengerikan ketika berselfie di atas feri apabila rambutnya tersepit pada roda buaian berputar di satu karnival di Uttar Pradesh menyebabkan sebahagian besar kulit kepalanya terkoyak.
Menurut Daily Mail, dalam kejadian mengerikan yang berlaku di luar sebuah kolej di Baraut, bandar kecil kira-kira 60 kilometer di utara New Delhi, minggu lalu, pelajar itu dipercayai sekitar 16 tahun, mahu berselfie dekat buaian berputar itu.
Namun dia pergi terlalu dekat menyebabkan rambutnya tersangkut pada roda buaian menyebabkan kulit kepalanya terkoyak apabila buaian itu bergerak.
Rakan-rakan serta orang ramai dilihat berusaha menenangkannya manakala pekerja berusaha melepaskan mangsa dari buaian.
Menurut laporan media India, pelajar itu kini sedang dirawat di hospital.

-Metro

Monday, October 10, 2016

DICERAI SUAMI TIADA NAFSU


BAGAI kaca terhempas ke batu, itulah gambaran perasaan seorang
isteri apabila suami yang disayangi berubah hati setelah dua minggu diijabkabul.
Sedih dan kecewa bercampur malu yang amat sangat. Malu kepada keluarga, jiran dan kawan-kawan. Semuanya gara-gara perkahwinan yang diatur keluarga.
“Deritanya saya tanggung sendiri,” demikian cerita Puteri (bukan nama sebenar) kepada saya dalam satu pertemuan singkat, baru-baru ini.
Ini cerita Puteri.
“Saya berusia 28 tahun, seorang eksekutif di sebuah bank berkelulusan universiti tempatan. Saya sudah tiga tahun bekerja sekembalinya dari luar negara. Saya ke luar negara kerana membawa diri.
“Kisah ini berlaku tiga tahun lalu. Saya, anak kedua daripada empat beradik. Abang sulung telah bekerja dan dua adik masih belajar di unversiti.
“Semasa di universiti, saya tidak mempunyai teman lelaki, sebab saya sangat pemalu.
“Saya mahu lulus dan bekerja terlebih dahulu. Soal jodoh, biar saya selesai belajar, itu impian saya. Sebaik sahaja tamat belajar, saya dapat kerja.
“Satu hari, saya bersama mak menghadiri kenduri di rumah kawannya. Di rumah itu, saya diperkenalkan dengan tuan rumah, seorang wanita yang cantik dan baik hati, yang saya panggil makcik Ema (bukan nama sebenar).
“Sekembalinya dari rumah tersebut, saya lihat perangai mak berubah. Dia asyik tersenyum dan bertanya saya bila hendak kahwin. Terpulanglah kepada mak, baik kepada mak, baiklah untuk saya.
“Akhirnya, saya dapat jawapan kenapa mak selalu tersenyum. Rupa-rupanya, dia sudah berpakat dengan makcik Ema untuk menjodohkan saya dengan anak lelakinya yang baru balik dari luar negara, seorang jurutera.
“Hajat mak, saya terima sebab saya yakin dengan pilihan mak. Katanya, lelaki itu sudah melihat gambar saya dan berkenan. Dia juga tidak menolak hajat ibunya untuk mengambil saya sebagai menantu.
“Kami berjumpa buat kali pertama sebelum bertunang. Dia memperkenalkan dirinya sebagai Iwan (bukan nama sebenar). Pertama kali saya melihatnya, memang saya jatuh cinta. Dia pun begitu, pada anggapan saya.
“Tiga bulan kemudian, kami dinikahkan. Inilah kebahagiaan yang saya impikan. Saya sangat bersyukur. Pada malam pertama kami, Iwan minta izin untuk keluar rumah. Ada hal katanya. Tengah malam, baru dia balik, itupun saya telah tidur.
“Begitulah sepanjang seminggu. Iwan tidak sentuh saya langsung. Walau tertanya-tanya juga sebabnya, saya sabar, mungkin dia sedang mencari keserasian antara kami. Perkara ini, saya rahsiakan dengan mak.
“Dua minggu kemudian, Iwan beritahu saya dia hendak pergi kursus di Johor Baharu selama seminggu. Itulah kali terakhir, saya berjumpa dia.
“Rupa-rupanya, dia balik ke rumah ibunya dan tinggalkan saya di rumah mak tanpa sebarang pesanan.
“Akhirnya, saya mengaku setelah keluarga syak sesuatu. Ayah dan abang mengamuk. Keluarga Iwan dan keluarga saya bersemuka. Bersaksikan kedua-dua ibu bapa, Iwan menjatuhkan talak satu ke atas saya dengan alasan dia tidak boleh hidup dengan saya.
“Dia mengaku tersilap buat keputusan semasa mengaku untuk berkahwin dengan saya kerana tidak mahu menghampakan hajat ibunya. Bapanya bangun dan hampir menamparnya tetapi ayah saya menghalang.
“Saya pula hampir pengsan mendengar pengakuannya. Sampai hatinya. Saya sangat kecewa dan sedih. Saya sudah diceraikan. Saya menangis sepuas hati. Seminggu saya berkurung dalam bilik, tidak pergi kerja kerana malu.
“Apa yang hendak saya beritahu kawan-kawan dan keluarga yang bertanya. Di mana saya hendak letak muka? Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya ketika itu.
“Saya tidak salahkan sesiapa, juga ibu bapa saya. Mungkin jodoh saya ditakdirkan begitu, saya reda. Akhirnya saya buat keputusan minta tukar ke tempat lain. Itupun tidak lama.
“Permohonan saya untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara diluluskan. Kini, tiga tahun sudah berlalu. Saya juga sudah lupakan semuanya.
“Saya balik dengan azam baharu, dengan harapan dan impian untuk mulakan hidup baru. Doakan saya.
“Lega saya dapat bercerita dengan puan. Saya dan mak memang pengikut setia ruangan puan. Banyak yang boleh dimanfaatkan dengan catatan puan. Semoga kisah saya menjadi iktibar kepada orang lain,” katanya sebelum kami berpisah.
Saya sempat berbisik dan bertanya, sudahkah dia tahu punca suaminya tinggalkan dia. Sambil tersenyum, Puteri berkata, “orang belajar di luar negara, kehidupan sosialnya sudah terlampau, dia tidak suka perempuan.”
Ibu bapa patut ambil iktibar dengan kisah Puteri. Jangan sembarangan mengatur jodoh untuk anak-anak. Fikirkan masa depan mereka, kecuali benar- benar kenal hati budi dan perangai calon menantu.
Saya terkedu, hilang kata-kata. Merenung wajahnya yang cantik dan bijak pula, hati saya berkata, bodoh lelaki yang tidak menghargai hamba Allah yang baik ini.
Insya-Allah Puteri, Allah akan gantikan dengan lelaki yang lebih baik dan layak untukmu.
Menamatkan catatan, pesanan saya, tersenyumlah walau hati sedang diduga. Sesungguhnya, senyum itu penawar segala derita yang di penghujungnya ada bahagia.
Salam

-Utusan

Rotan tak solat Jumaat


Puwakarta (Jawa Barat): Pada setiap Jumaat, kelibat seorang wanita berjubah hitam dan memegang rotan sambil berjalan dengan wajah garang sangat digeruni kaum lelaki di kampung Empangsari di Desa Plered di sini.
Apabila wanita itu muncul, kaum lelaki yang leka melepak di warung atau di tepi jalan raya segera bergegas ke masjid untuk solat Jumaat.
Sejak hampir 10 tahun lalu, itulah aktiviti Siti Hindun, 64, yang meronda di setiap ceruk kampungnya bagi memastikan tiada lelaki dewasa ponteng solat Jumaat.
Siti Hindun atau lebih dikenali sebagai Mak Gober oleh penduduk kampung berkata, dia membuat rondaan itu semata-mata kerana ibadah.
“Apa yang penting kaum lelaki wajib solat Jumaat dan tiada yang berkeliaran di jalan raya,” katanya ketika dipetik akhbar Radar Karawang.
Menurutnya, sejak 2007, dia dan beberapa rakannya meronda setiap ceruk kampung termasuk kedai, restoran dan lorong kecil bagi mencari lelaki yang ponteng solat Jumaat.
“Kalau ada yang saya jumpa berkeliaran ketika waktu solat Jumaat saya akan pukul mereka.
“Saya bukannya pukul dengan kuat tetapi hanya mahu membuatkan mereka malu dan sedar kewajipan sebagai orang Islam,” jelasnya.
Siti Hindun memberitahu, dia mengambil tindakan itu selepas ramai orang kampung mengadu sikap sebilangan lelaki yang tidak pergi ke masjid untuk solat Jumaat.

-Metro

Sunday, October 9, 2016

Pilunya pembantu rumah dilayan sebegini


Jakarta: “Pembantu kamu adalah sebahagian daripada kehidupan, cerminkan sifat kemanusiaan kamu. Hargai dan kasihanilah pembantu, pemandu dan tukang kebun kita,” antara coretan Michael Fanny di akaun Facebook bersama gambar seorang pembantu rumah duduk seorang diri melihat keluarga majikannya makan di sebuah restoran di sini, kini merebak di laman sosial Indonesia.
Menurut Daily Mail, catatan status Michael itu sudah dikongsi lebih 60,000 kali dengan puluhan ribu memberi pelbagai reaksi, rata-rata simpati dengan pembantu rumah berkenaan serta mengecam majkannya.
Gambar menunjukkan pembantu rumah itu duduk seorang diri di meja berasingan tanpa makanan atau minuman, hanya melihat keluarga majikannya duduk di meja berasingan yang penuh dengan pelbagai makanan.
Tersentuh dengan keadaan itu, Michael merakam gambar berkenaan dan memuat naik ke Facebook pada 23 September lalu.
Selepas coretannya mendapat perhatian ramai Micahel meminta orang ramai jangan mempersalahkan keluarga berkenaan.
“Tolong jangan hakimi keluarga majikan itu, kita ambil nilai positif dan buang nilai negatif daripada kejadian ini.
“Hidup ini harus penuh dengan rendah diri dan jangan ada perasaan benci sesama kita. Kasihanilah sesama kita walaupun siapapun dia,” jelasnya.

-Metro