Penemuan lelaki berkenaan, Armando de Andrade, 36, berlaku secara tidak sengaja ketika pihak polis menggeledah rumah ber­kenaan untuk mencari anggota kumpulan dadah.
Armando yang disangkakan hilang ketika berusia 16 tahun ditemukan dengan keadaan diikat pada katil dalam bilik kecil yang tidak mempunyai tingkap manakala lantai bilik dipenuhi najis.
Saksi berkata, semasa ditemukan lelaki tersebut mempunyai kuku kaki dan tangan yang besar manakala pihak polis yang mene­mukan Armando menyifatkan lelaki itu tidak mendapat zat makanan secukupnya.
Menurut laporan Mail Online, Ketua Polis, Celso Marchiori yang menyiasat kes berkenaan berkata, semasa ditemukan Armando bangun dengan keadaan yang lemah dan tidak bercakap sepatah perkataan.
“Kami tidak tahu sama ada dia takut atau berada dalam keadaan khayal malah tidak mengenali kami sebagai anggota polis,” katanya.
Menurut jiran mangsa, ketika berusia 16 tahun, Armando kelihatan seperti remaja lain yang suka bermain papan luncur dan gitar namun hilang secara tiba-tiba.
Keluarga mangsa mendakwa Armando telah berpindah ke tempat lain di Brazil dan berada dalam keadaan sihat serta telah berkahwin.
Seorang jiran, Aparecido Rocha Brasil memberitahu stesen tele­visyen Globe News, dia percaya bapa dan ibu tiri mangsa mengurungnya selepas remaja itu mula meminum arak.
Walau bagaimanapun bapa mangsa, Amancio de Andrade me­nafikan semua tuduhan dan mendakwa anak lelakinya itu me­ninggalkan rumah ketika berusia 18 tahun dan baharu kembali minggu lalu serta telah meminta untuk dikurung di dalam bilik kerana mahu membersihkan diri daripada ketagihan dadah.
Armando kini ditempatkan dalam wad pesakit mental di hospital tempatan namun masih tidak mampu bersuara selain mengangguk atau menggeleng kepala ketika ditanya.
Dalam pada itu, ibu bapa Armando dilaporkan telah melarikan diri setelah diserang oleh jiran-jiran yang berang dengan tindakan pasangan itu.

-Utusan