Sunday, July 30, 2017

Mati terperangkap dalam peti derma



Los Angeles: Seorang gelandangan ditemui mati selepas kepalanya tersangkut di dalam peti derma ketika dia cuba mencapai barangan di dalamnya.
Kepalanya dilapor terperangkap dalam lubang kecil pada peti itu dan petugas perubatan menghabiskan masa selama 30 minit untuk membebaskannya dengan memotong peti besi itu tetapi usaha menyelamatkannya itu terlambat.
Penduduk tempatan berkata, mereka mengenali lelaki itu kerana sering melihatnya berada di peti berkenaan untuk mencari pakaian yang didermakan di dalam peti itu.
Dia dipercayai tersangkut pada peti itu sepanjang malam sebelum ditemui penduduk tempatan.
Pegawai dimaklumkan mengenai kejadian itu apabila seorang wanita yang tinggal berhampiran peti itu melihat lelaki itu tidak bergerak dan dalam keadaan membongkok ke dalam.
Shirley Williams memberitahu stesen televisyen NBC Los Angeles: “Kepalanya berada di dalam sementara anggota badannya di luar. Pasukan penyelamat terpaksa menggunakan gergaji elektrik untuk membebaskannya. Mereka memotong peti berkenaan tetapi lelaki itu sudah tidak bernyawa apabila dibebaskan.”
Penduduk di kejiranan itu berkata, peti itu diletak tanpa kebenaran dan mahukan ia dialih.
Ini bukan kali pertama kejadian seperti itu berlaku.
Februari lalu, seorang wanita di Pennsylvania mati tergantung selepas tangannya tersangkut lebih enam jam di dalam perti derma.
Menurut laporan, kejadian berlaku apabila bangku yang digunakan untuk memanjat dan mencapai barangan di dalam peti itu tumbang.

-Metro

Thursday, July 27, 2017

Jadi hantu untuk merompak




Beijing: Sebuah rakaman video menjadi tular di media sosial China menunjukkan seorang lelaki cuba melakukan rompakan dengan ‘menyamar’ hantu.
Dalam video yang dirakam di sebuah bangunan kediaman di Jinjiang, wilayah Fujian itu, perompak berkenaan dilihat mengintai di sebalik dinding selepas menaiki tangga tetapi ternampak kamera keselamatan tepat di depannya.
Dia kemudian hilang selama 20 minit sebelum kembali ke situ dengan menyelubungi dirinya menggunakan langsir yang dipotong dari tingkat pertama bangunan berkenaan dan berjalan perlahan-lahan seperti hantu, melintasi di depan kamera berkenaan.
Malangnya, usahanya itu sia-sia kerana kamera berkenaan sudah merakam wajahnya terlebih dulu.
Berdasarkan rakaman itu, polis berjaya menjejak perompak berkenaan.
Walaupun gagal mengambil apa-apa dari bangunan berkenaan, dia didapati melakukan beberapa kesalahan lain sebelum ini.


 - Agensi/Metro

Wednesday, July 26, 2017

Arnab gergasi mati, pemilik saman United Airlines

SEKUMPULAN pemilik arnab gergasi bertindak menyaman syarikat penerbangan Amerika Syarikat (AS), United Airlines berikutan kematian haiwan bernama Simon itu semasa dalam penerbangan dari London ke Iowa, AS.
Mereka mendakwa, kakitangan syarikat berkenaan bertanggungjawab atas kematian haiwan peliharaan berkenaan yang dalam perjalanan menyertai satu pameran bagi mengutip dana bagi acara tahunan itu.
Saman berkenaan difailkan di Mahkamah Daerah Polk County, Des Moines, Iowa oleh sekumpulan tiga ahli perniagaan yang membeli baka arnab dari United Kingdom (UK) berkenaan.

Simon berusia 10 bulan itu dilaporkan memiliki ukuran badan sepanjang 1.04 meter ditemui mati pada 20 April lalu.
Menurut peguam pemilik haiwan itu, Simon diterbangkan dari UK ke Kansas City sebelum ditemui mati dalam kargo semasa penerbangan singgah di Chicago.
Kata peguam itu lagi, kemungkinan arnab gergasi itu mati selepas diletakkan dalam peti sejuk selama 16 jam semasa mendarat.
Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan United Airlines.
Plaintif mendakwa bahawa pekerja-pekerja syarikat itu segera membakar bangkai Simon tanpa kebenaran pemiliknya dan sebelum keputusan bedah siasat bagi menentukan kematiannya diperoleh.
“Keadaan dan sebab kematian Simon masih sangat mencurigakan," kata kumpulan itu dalam tuntutan 14 halamannya, yang menuduh syarikat penerbangan itu memiliki rekod buruk mengendalikan haiwan dalam penerbangannya.
Mereka menuntut pampasan yang tidak ditentukan jumlahnya.

-Metro

Terkejut aksi lucah pemandu Uber


SEORANG penumpang Uber di Chicago, Amerika Syarikat, mendapat pengalaman tidak menyenangkan apabila pemandu teksi berkenaan melakukan aksi tidak sopan bersama seorang wanita dipercayai pelacur sambil memandu.
Selepas dia membuat aduan kepada Uber, syarikat berkenaan menawarkan kredit AS$10.
Aner Manuel mendakwa antara aksi kurang sopan sepanjang dia ‘terperangkap’ bagi perjalanan sejauh 3.2 kilometer itu, ialah wanita berkenaan meraba tubuh pemandu, menciumnya sebelum melakukan seks oral.
Manuel menyiarkan rakaman kejadian kira-kira jam 3 pagi, pada 17 Julai lalu, yang dirakamnya ke media sosial.
Dalam rakaman itu, wanita terbabit dilihat mencium pemandu sebelum melakukan seks oral terhadapnya.
Selepas Uber hanya menawarkan AS$10 sebagai kredit, Manuel menyiarkan rakaman itu di media sosial bagi mendesak Uber memberi perhatian sewajarnya kepada aduannya.
Dalam emel kepada Daily Mail, jurucakap Uber berkata: “Kelakuan bekas pemandu itu tidak boleh diterima.
“Sebaik kami mendapat laporan, kami dengan segera membatalkannya sebagai pemandu Uber.”
Dalam ceritanya di media sosial, Manuel menyatakan ketika masuk ke dalam kereta, ada seorang wanita di tempat duduk penumpang depan namun menyangka ahli keluarga atau rakan pemandu.
“Wanita itu kelihatan seperti mabuk, tidak boleh duduk dengan betul dan sebaik kereta bergerak, cuba membuka pintu,” katanya.
Manuel kedengaran meminta pemandu berhenti supaya dia boleh keluar.

-Metro

Monday, July 24, 2017

Lembu laut tertua mati

Miami: Snooty, manatee tertua di dunia dalam kurungan mati akibat kejadian yang tidak diduga di sebuah akuarium di Florida sehari selepas dia diraikan sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-69.
Mamalia itu ditemui mati di Muzium Bradenton di Florida Selatan, kelmarin.
Manatee ialah haiwan mamalia marin yang juga dikenali sebagai lembu laut dan tergolong dari keluarga Sirenia yang sama seperti dugong.
Dalam kenyataan yang dikeluarkannya, pihak berkuasa muzium berkata, kematian Snooty berlaku selepas ia berenang ke tempat tinggalnya di kawasan bawah tanah yang biasanya ditutup bagi pameran haiwan itu.
Haiwan itu bagaimanapun berdepan masalah untuk keluar dari tempat itu.
“Siasatan kami menunjukkan Snooty mati kerana keadaan yang tidak disengajakan.
“Kami amat kecewa dengan kejadian itu,” kata ketua eksekutif muzium, Brynne Anne Besio, dalam satu kenyataan.
Tiga lagi manatee yang sedang dalam proses pemulihan untuk dilepaskan ke habitat asal mereka tidak mengalami kecederaan.
Snooty dilahirkan di akuarium Miami pada 21 Julai 1948 sebelum dipindahkan ke Bradenton, bandar di pinggir Tampa pada 1949.
Kira-kira 5,000 orang menghadiri majlis meraikan ulang tahun kelahirannya Sabtu lalu. - Agensi/Metro

Sunday, July 23, 2017

Lelaki berambut palsu keriting pijak wanita mati

Bangkok: Seorang lelaki ditangkap selepas dirakam memakai rambut palsu keriting dan memijak mati seorang wanita di rumahnya di Muang berhubung pertengkaran hartanah, Khamis lalu.
Suparb Khongkaset, 48, dari daerah Phunphin di Surat Thani ditangkap kelmarin selepas menghilangkan diri sejak Khamis lalu susulan kejadian itu, kata ketua polis Surat Thani Major Jeneral Apichart Boonsrirote.
Menurutnya, suspek ditahan atas tuduhan bunuh selepas polis memperoleh bukti kukuh mengaitkannya dengan kematian Nantha Chanthana, 66, di rumah mangsa.
Rakaman kamera keselamatan di rumah mangsa menunjukkan seorang lelaki memakai rambut palsu keriting memijaknya sehingga mati sebelum meninggalkan lokasi itu pada petang Khamis.
Mayat Nantha ditemui pada lewat hari sama dengan tangannya diikat di belakang menggunakan tali manakala kaki diikat dengan selimut serta tuala.
Satu lagi selimut digunakan untuk melilit mulut dan leher mangsa.
“Suspek pada mulanya menafikan pembabitannya, tetapi wajahnya jelas kelihatan dalam rakaman kamera keselamatan,” kata Boonsrirote.
Menurutnya pertengkaran berlaku disebabkan rumah berkenaan yang dibeli Nantha melalui kakak serta abang ipar suspek ketika lelaki itu menjalani hukuman penjara kerana bunuh dan tipu.
Mangsa dilaporkan enggan menyerahkan semula kediaman itu walaupun pasangan terbabit menawarkan membayar semula wangnya menyebabkan suspek berang.

-Metro

Thursday, July 20, 2017

Ajal belum tiba



Beijing: Seorang wanita terselamat selepas terjun dari tingkat 18 sebuah bangunan untuk membunuh diri di wilayah Shandong, timur China apabila dia jatuh di atas kusyen angin.
Wanita berusia 21 tahun itu hanya cedera ringan, termasuk luka di mukanya.
Akhbar Qilu Evening Post melaporkan dalam kejadian pada 15 Julai lalu, wanita itu sebelum itu dilihat berdiri di belebas tingkat 17.
Polis yang dikerahkan ke tempat kejadian menghabiskan masa sejam untuk memujuk wanita berkenaan membatalkan hasratnya untuk membunuh diri sebelum dia memilih untuk terjun.
Video kejadian yang tular di Internet menunjukkan wanita berkenaan jatuh di atas kusyen yang dipasang anggota bomba.
Identiti wanita berkenaan dan punca dia mahu membunuh diri tidak diketahui. 


- Agensi/Metro

Wednesday, July 19, 2017

75 tahun beku di Alps

MAYAT suami isteri yang dilaporkan hilang 75 tahun lalu akhirnya ditemui di glasier di Alps di Switzerland.
Marcelin dan Francine Dumoulin telah pergi ke padang di Chandolin di Valais untuk memberi makanan kepada lembu sebelum hilang pada 15 Ogos 1942.
Marcelin yang berusia 40 tahun ketika itu, bekerja sebagai tukang kasut manakala, Francine, 37, seorang guru.
Mereka meninggalkan lima anak lelaki dan dua anak perempuan.
Dalam kenyataan malam tadi, polis Valais berkata, dua mayat dengan kertas pengenalan ditemui pada ketinggian 2,615 meter, 13 Julai lalu oleh pekerja resort ski Les Diablerets di glasier Tsanfleuron berhampiran resort itu.
Sebahagian mayat itu tenggelam di dalam lubang dalam ais. Ujian DNA dan bedah siasat akan dijalankan bagi mengesahkan identiti pasangan itu.
Sementara itu, pengarah syarikat kereta kabel Glacier 3000, Bernhard Tschannen berkata, mayat itu ditemui baring bersebelahan.
“Mayat seorang lelaki dan seorang wanita itu berpakaian zaman Perang Dunia Kedua dan dipelihara sempurna di glasier bersama beg galas, botol, buku dan jam tangan.
“Mereka mungkin terjatuh ke dalam celah dan kekal di situ sehingga kini. Apabila glasier menyusut, ia mendedahkan mayat mereka," katanya kepada akhbar Tribune de Geneve.
Sementara itu, anak perempuan bongsu pasangan itu, Marceline Udry-Dumoulin, 79, berkata, penemuan itu akhirnya memberikan ketenangan kepadanya.
“Kami mencari mereka sepanjang kehidupan tanpa henti dengan harapan dapat memberi pengebumian yang sewajarnya satu hari nanti,” katanya kepada akhbar Le Matin.
“Ia kali pertama ibu mengikuti ayah untuk kerja itu. Sebelum ini dia sentiasa hamil dan tidak dapat memanjat glasier.
“Selepas hilang, saya dan adik beradik dipisahkan dan dijaga keluarga lain. Saya bernasib baik ditempatkan dengan ibu saudara.
“Walaupun kami tinggal di kawasan sama, kami terputus hubungan,” katanya.
Pasangan itu antara 280 individu yang dilaporkan hilang di Alps atau sungai Valais sejak 1925.
Ketua perubatan forensik bagi kawasan itu, Bettina Schrag memberitahu stesen radio Switzerland, RTS, mereka menjangka lebih banyak penemuan lain dengan penyusutan glasier semasa.

-Metro

Monday, July 17, 2017

27 kanta lekap tersangkut dalam mata

London: Pakar bedah di sebuah hospital di sini menemui 27 kanta lekap melekat pada mata seorang wanita ketika hendak melakukan pembedahan katarak ke atasnya.
Kanta berkenaan yang terkumpul pada mata pesakit berusia 67 tahun itu menyebabkan wanita berkenaan tidak selesa dan menyangka ia berpunca daripada matanya yang kering dan usianya yang sudah lanjut.
Kejadian berlaku November lalu tetapi hanya didedahkan dalam edisi terbaru Jurnal Perubatan Britain.
Pakar oftalmologi, Rupal Morjaria yang mengangani kes itu di Hospital Solihull berhampiran Birmingham memberitahu majalah Optometry Today: “Kami tidak pernah menemui kes seperti ini. Ia sungguh tebal. Semua 17 kanta lekap itu melekat di dalam matanya. “Kami sungguh terkejut apabila pesakit berkata, dia tidak menyedarinya walaupun ia menyebabkan rasa amat tidak selesa.”
Mulanya, pakar mata menemui 17 kanta berkenaan sebelum pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 10 lagi kanta melekat di dalam mata pesakit itu.
Pesakit itu berkata, dia memakai kanta lekap sejak 35 tahun lalu tetapi jarang menjalani pemeriksaan.
Hasil daripada penemuan itu, wanita berkenaan yang berkata dia tidak sedar kanta lekapnya hilang, terpaksa menangguhkan pembedahan katarak bagi mengelak risiko radang pada bahagian dalam mata.
Menurut Rupal: “Pesakit itu terkejut. Selepas dua minggu saya membuang kanta itu, dia berkata, matanya lebih selesa.” - Agensi/Metro

Sunday, July 16, 2017

Nasib lelaki kurita




Beijing: Seorang lelaki buta dan miskin terpaksa hidup bersendirian selepas dipulaukan penduduk kampung yang menggelarnya kurita.
Chi Zhoujing yang menetap di kawasan pedalaman di tenggara China menjalani kehidupan bersendirian sejak beberapa tahun lalu selepas ketumbuhan misteri di kepalanya menyebabkan dia kelihatan amat hodoh.
Chi yang kini berusia 24 tahun dilahirkan dengan ketumbuhan itu yang membesar dengan cepat, menyebabkan seluruh mukanya cacat dan juga menyebabkan dia buta.
Walaupun dibesarkan keluarganya, mereka tidak dapat membiayai kos rawatan kerana miskin.
Akhirnya, mereka tidak tahu apa yang menyebabkan ketumbuhan itu.
Keadaan yang dialami lelaki China itu sama dengan nasib seorang kanak-kanak berusia lapan tahun di Alamaba Amerika Syarikat.
Amare Stober digelar makhluk asing oleh pembuli kejam kerana dia dilahirkan dengan neurofibromatosis jenis satu (NF1).
Selain menyebabkan mukanya herot, Stober menghadapi masalah untuk belajar dan juga menyebabkan sebelah matanya buta.
Kes sama juga berlaku pada seorang wanita berusia 39 tahun di Casablanca, Maghribi.
Samira Benhar, 39, cacat akibat ketumbuhan besar pada sebelah kanan mukanya, yang menutup matanya.
Bagaimanapun, dia lebih bernasih baik kerana berjaya menjalani pembedahan membuang ketumbuhan itu dan mukanya ‘dibina’ semula.

-Metro

Thursday, July 13, 2017

'Tolong! Saya terperangkap dalam ATM'

PENGGUNA mesin ATM di Corpus Christ, Texas, Amerika Syarikat terkejut apabila nota meminta tolong dikeluarkan mesin itu, semalam.
Nota itu ditulis pekerja penyelenggaraan yang terkunci di dalam bilik mesin ATM itu.
Jurucakap polis Corpus Christi, Leftenan Chris Hooper berkata, lelaki itu terperangkap ketika melakukan kerja membaiki tombol pintu yang rosak.
Katanya, mangsa tidak membawa telefonnya serta peranti yang digunakan untuk membuka pintu tersebut.
Mangsa menulis beberapa nota meminta tolong tetapi tidak diketahui jumlah nota yang ditulis.
Satu daripada nota yang ditulis berkata: “Minta tolong. Saya terperangkap di sini dan tidak mempunyai telefon. Tolong panggil bos saya” dengan nombor telefon tertera di bawah.
Seorang pengguna yang mendapat nota itu menyerahkannya kepada polis yang sedang melakukan rondaan berhampiran.
Anggota polis yang menyiasat pada mulanya mempercayai kejadian itu satu gurauan seperti plot rancangan televisyen lawak.
Namun, tiba-tiba mesin itu “mula bercakap.”
“Memang betul kami mendengar suara dari dalam mesin ATM itu,” kata anggota polis Corpus Christi, Richard Olden.
Seorang anggota polis menendang pintu dan menemui penulis nota yang terperangkap di belakang mesin ATM.
Selepas maklumat dan kerjanya disahkan polis dan disebabkan tiada kejadian jenayah, lelaki itu dibebaskan.
Polis percaya dia terperangkap selama dua jam.

-Metro

Tuesday, July 11, 2017

Pemilik kediaman Airbnb tolak penghuni dari atas tangga

Amsterdam: Seorang pemilik kediaman Airbnb berdepan kemungkinan didakwa atas tuduhan cubaan membunuh selepas dilaporkan mencederakan seorang penghuni yang ditolak dari atas tangga ketika pertengkaran mengenai daftar keluar.
Menurut polis, mangsa, wanita Afrika Selatan, Siba Nkumbi mendapat rawatan di hospital dan sudah memfailkan laporan terhadap lelaki berkenaan.
Pegawai pejabat pendakwa berkata, pihaknya masih menyiasat kes itu dan mempertimbangkan tuduhan cubaan membunuh.
Rakaman video tersebar di media sosial menunjukkan Siba jatuh terjunam selepas ditolak pemilik kediaman berkenaan.
Dalam video itu, lelaki terbabit dilihat menjerit ‘keluar, keluar’ sambil membaling baju dan bagasi Siba dan rakan-rakannya dari atas tangga.
Dia kemudian didengar menjerit ‘keluar sekarang’ sebelum menolak Siba jatuh. Lelaki itu panik menjerit supaya seseorang menghubungi ambulans apabila melihat Siba tidak bergerak.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Airbnb Brian Chesky berkata, pihaknya akan menghubungi Siba.
“Tindakan buruk dan tidak berperikemanusiaan seperti ini bertentangan dengan pendirian kami di Airbnb.
“Kami akan mengambil tindakan sewajarnya jika         kejadian itu didapati benar-benar berlaku, termasuk menyenaraihitamkan pihak terbabit serta membantu siasatan sepenuhnya.
“Sesiapapun tidak patut dilayan seperti ini dan perbuatan berkenaan tidak akan dipandang ringan,” kata pegawai Airbnb, David King.
Airbnb amat popular di Belanda dengan 1.4 juta penghuni asing pada 2016.
-Metro

Monday, July 10, 2017

Jokowi guna wang sendiri bawa keluarga ke luar negara



Jakarta: Presiden Joko Widodo atau Jokowi menggunakan wang sendiri untuk membawa keluarganya ke Turki dan Jerman dari 5 hingga 9 Julai lalu.
Ketua Biro Media dan Penerangan Sekretariat Presiden, Bey Machmuddin memberitahu wartawan di Jakarta demikian.
Menurutnya, selain pegawai, turut menyertai Jokowi ialah isteri, tiga anak, seorang menantu dan seorang cucu.
Menurut Bey, anggota keluarga presiden itu juga berada di bahagian kompartmen yang dikhaskan untuk Jokowi dan isterinya, Iriana dan kehadiran mereka tidak mengganggu perwakilan kepresidenan yang lain.
Presiden Jokowi melakukan kunjungan ke Turki sebagai membalas undangan kunjungan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan sekaligus meningkatkan hubungan diplomatik dan kerja sama antara kedua-dua negara.
Dia kemudian ke Hamburg, Jerman untuk menghadiri sidang kemuncak G20.
Setiausaha Negara, Praktino berkata, Jokowi lebih selesa menggunakan Pesawat Kepresidenan Indonesia yang hanya boleh memuatkan 42 penumpang walaupun kerajaan mampu membayar sewa pesawat lebih besar. 

- Agensi/Metro

Sunday, July 9, 2017

Mata kail 'melekat' di kelopak mata


SEORANG nelayan terpaksa menahan kesakitan selama beberapa jam selepas kelopak mata kirinya tertusuk mata kail di Pantai Sabak, Kota Bharu hari ini.
Dalam kejadian 8 pagi itu, Ibrahim Mat, 44, terpaksa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk rawatan lanjut sebelum bomba dipanggil untuk membantu memotong umpan tiruan pada mata kail itu dengan peralatan khas.
Pegawai Bomba Kanan II Mohd Azlan Zainal dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu berkata, pihaknya menerima panggilan jam 11.28 pagi sebelum enam anggota dikejarkan ke hospital berkenaan.
"Sebaik tiba kami mendapati lelaki itu berada di ruang menunggu. Kami mengambil masa hampir 20 minit untuk memotong umpan tiruan menggunakan pemotong khas.
"Mangsa kemudian diserahkan semula kepada pihak hospital untuk pembedahan bagi mengeluarkan mata kail yang masih berada di kelopak matanya," katanya ketika dihubungi.
Sementara itu adik ipar mangsa Meryati Hamid, 35, berkata, sebelum kejadian mangsa bersama tiga lagi rakannya keluar mengail ikan di laut.
Katanya, kejadian berlaku semasa abang iparnya hendak mengeluarkan mata kail pada mulut ikan tenggiri sebelum ikan itu meronta-ronta mengakibatkan mata kail tercabut dan tertusuk di kelopak mata kirinya bersama dengan umpan tiruan digunakan.
"Dia kemudian dibawa ke HRPZ II untuk rawatan lanjut dan terpaksa menerima lapan jahitan selepas mata kail itu berjaya dikeluarkan menerusi pembedahan.
"Mangsa kini berada dalam keadaan stabil," katanya

-Metro

Thursday, July 6, 2017

Cara kejam peroleh wang

New Delhi: Penduduk di negara miskin memang diketahui melakukan pelbagai perkara pelik untuk mendapatkan wang.
Ada ibu bapa yang sanggup memaksa anak perempuan mereka melacur. Tetapi di India, apa yang dilakukan sebahagian keluarga di situ amat mengejutkan.
Apabila ada anggota keluarga mereka mencapai usia tua, ahli keluarga yang lebih muda didakwa akan membawa mereka masuk ke dalam hutan simpan harimau untuk dibaham hingga mati sebelum sisa mayat mereka dicampakkan di ladang berhampiran hutan berkenaan untuk mendapatkan pampasan daripada kerajaan.
Kawasan menjadi tumpuan ialah Hutan Simpan Harimau Pilibhit di Uttar Pradesh.
Menurut laporan, anggota keluarga yang tua akan dibawa ke situ supaya mereka mati dibaham haiwan berkenaan sebelum sisa mayat mangsa di campakkan di kawasan lapang berhampiran.
Penduduk tidak boleh menuntut pampasan sekiranya anggota keluarga mati di hutan itu, tetapi jika kematian akibat serangan harimau di luar hutan berkenaan, mereka berhak mendapatkan wang daripada kerajaan.
Sejak Februari lalu, tujuh kematian dilaporkan di kawasan sekitar hutan terbabit - semuanya akibat dibaham harimau.
Pendedahan mengenai kekejaman itu dibuat seorang pegawai Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar, Kalim Athar.
Menurutnya, pihaknya mengambil keputusan merujuk perkara itu kepada Pihak Berkuasa Pemuliharaan Harimau Kebangsaan untuk tindakan lanjut.
Seorang petani tempatan, Jarnail Singh, 60, memberitahu wartawan: “Memandangkan penduduk tidak dapat meraih hasil daripada hutan, itulah lah satu-satunya cara mereka boleh membebaskan diri daripada kemiskinan.”
Kes terbaru membabitkan seorang wanita berusia 55 tahun yang sisa mayatnya ditemui di ladang berhampiran hutan simpan itu dengan kesan dibaham harimau 1 Julai lalu.
Pegawai menolak dakwaan dia mati di ladang tempat mayatnya ditemui.
Menurut mereka, pakaian mangsa ditemui kira-kira satu setengah kilometer dari ladang berkenaan.
Bukti dan kesan tayar traktor menunjukkan mayat wanita itu dibawa keluar dari hutan simpan itu dan dicampakkan di ladang terbabit.

-Metro

Wednesday, July 5, 2017

Robot seks undang pelbagai isu kompleks


WASHINGTON – Kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) kini merintis jalan untuk memasuki pasaran seks global, membawa bersama revolusi dalam teknologi robotik untuk menawarkan hubungan intim hampir me­nyamai sentuhan manusia, kata beberapa pakar.
Dalam satu laporan mengenai perkembangan pasaran robot seks, Yayasan Tanggungjawab Robotik berkata, kepesatan teknologi membawa kepada ciptaan “anak patung cinta android” untuk ditiduri.
Ia ditawarkan pada harga antara AS$5,000 (RM21,512) hingga AS$15,000 (RM64,536) seunit.
Kemunculan robot itu menimbulkan isu kompleks yang memerlukan pertimbangan pembuat dasar dan orang awam, kata laporan tersebut termasuk sama ada penggunaannya perlu digalakkan dalam klinik terapi seksual, untuk pesalah seks ataupun orang kelainan upaya.
Profesor robotik dan AI daripada Universiti Sheffield di Britain, Noel Sharkey berkata, sukar untuk meramalkan sejauh mana pasaran robot itu akan berkembang atau kesannya kepada masyarakat pada masa akan datang.
“Adakah (pasaran) patung robot ini terhad? Atau adakah ia akan mengubah norma sosial dan berkembang pesat?” soalnya pada satu taklimat media.
Laporan itu turut menyentuh beberapa isu paling kontroversi dan meminta ahli akademik, anggota masyarakat dan industri seks menyuarakan pandangan mereka misalnya, sama ada robot tersebut mungkin dapat mengurangkan kes jenayah seksual. 

– Reuters/Kosmo

Tuesday, July 4, 2017

Tertembak anu dalam kereta


LELAKI cedera selepas tertembak kemaluannya sendiri apabila duduk di atas senjata api yang diletakkan di tempat duduk pemandu keretanya di Florida, Amerika Syarikat, Jumaat lalu.
Dalam kejadian itu, polis Jacksonville berkata, Cedrick Jelks, 38, tidak menyedari pistol berkenaan berada di kerusi pemandu ketika memasuki keretanya.
Menurut akhbar The Florida Times-Union, Jelks dibawa ke Hospital Memorial oleh teman wanitanya, Shanekia Roberts, 25.
Katanya, selepas terkena tembakan, Jelks dalam keadaan panik memasuki rumahnya dan terus berlari ke bilik air.
Roberts yang mengikuti Jelks ke bilik air mendapat tahu keadaannya dan terus membawa Jelks ke hospital di mana dia menjalani pembedahan.
Sementara itu, menurut Miami Herald, Jelks mungkin menghadapi tuduhan memiliki senjata api kerana dia bekas banduan.
Polis mendapati Jelks pernah didakwa memiliki dadah kokain pada 2004.

-Metro

Monday, July 3, 2017

Tak sangka lahir bayi 6.5kg

Lexington (Amerika Syarikat): Seorang suri rumah di sini melahirkan bayi antara yang terbesar di dunia.
Colin Austin Keisler dilahirkan Jumaat lalu dengan berat 6.5 kilogram dan besarnya sama dengan seorang kanak-kanak berusia lima bulan.
Ibu bapanya, Arthur dan Cindy tahu mereka bakal mempunyai anak yang besar tetapi tidak menjangka ia begitu besar hingga tidak muat untuk diletakkan di atas penimbang hospital di Carolina Selatan.
Arthur, 38, berkata: “Doktor dan jururawat terkejut melihat anak saya. Sebaik dilahirkan mereka cuba menimbangnya tetapi tidak muat kerana Colin begitu besar.
“Memang kami jangka dia besar kerana perut isteri saya begitu besar ketika dia hamil.”

-Metro

Sunday, July 2, 2017

Budak umur 50 tahun



Bhopal, India: Apabila melihat tubuhnya yang kecil, ramai beranggapan Basori Lal masih seorang budak tetapi lelaki itu sebenarnya berusia 50 tahun.
Basori yang memiliki ketinggian 74 sentimeter berhenti membesar ketika berusia lima tahun dan sehingga kini keluarganya tidak tahu mengapa keadaan itu berlaku.
Keadaan tubuhnya yang kecil menjadikan Basori seorang selebriti di kampungnya di negeri Madhya Pradesh dan ramai yang datang untuk bertemu dengannya.
Ketika remaja, Basori sering dibuli rakan sebaya kerana tubuhnya yang kecil tetapi kini dia menjalani kehidupan seperti orang lain.
Abangnya, Gopi Lal, 55, berkata, keluarganya berasa dirahmati kerana memiliki Basori.
“Pengunjung dari wilayah lain datang ke sini semata-mata mahu bertemu dengan Basori. Itu satu rahmat kepada kami.
“Kami bangga ramai orang yang menyayangi dan prihatin dengan Basori,” katanya.
Basori yang tinggal dengan abangnya itu berkata, dia gembira dengan kehidupannya walaupun badannya seperti kanak-kanak.
“Saya tiada masalah dengan ketinggian saya. Saya bekerja, hidup, tidur dan makan seperti orang lain,” katanya.
Basori gembira tinggal bersama keluarga abangnya dan dia juga bekerja di sebuah kilang untuk menambah pendapatan mereka.
Ketika kecil, Basori membesar sama seperti kanak-kanak yang lain tetapi keluarganya perasan dia berhenti membesar ketika berusia lima tahun.
Kerana keluarganya yang miskin, Basori tidak pernah dibawa berjumpa doktor dan keluarganya tidak tahu mengapa dia berhenti membesar.


-Metro