WASHINGTON – Kemajuan teknologi kecerdasan buatan (AI) kini merintis jalan untuk memasuki pasaran seks global, membawa bersama revolusi dalam teknologi robotik untuk menawarkan hubungan intim hampir menyamai sentuhan manusia, kata beberapa pakar.
Dalam satu laporan mengenai perkembangan pasaran robot seks, Yayasan Tanggungjawab Robotik berkata, kepesatan teknologi membawa kepada ciptaan “anak patung cinta android” untuk ditiduri.
Ia ditawarkan pada harga antara AS$5,000 (RM21,512) hingga AS$15,000 (RM64,536) seunit.
Kemunculan robot itu menimbulkan isu kompleks yang memerlukan pertimbangan pembuat dasar dan orang awam, kata laporan tersebut termasuk sama ada penggunaannya perlu digalakkan dalam klinik terapi seksual, untuk pesalah seks ataupun orang kelainan upaya.
Profesor robotik dan AI daripada Universiti Sheffield di Britain, Noel Sharkey berkata, sukar untuk meramalkan sejauh mana pasaran robot itu akan berkembang atau kesannya kepada masyarakat pada masa akan datang.
“Adakah (pasaran) patung robot ini terhad? Atau adakah ia akan mengubah norma sosial dan berkembang pesat?” soalnya pada satu taklimat media.
Laporan itu turut menyentuh beberapa isu paling kontroversi dan meminta ahli akademik, anggota masyarakat dan industri seks menyuarakan pandangan mereka misalnya, sama ada robot tersebut mungkin dapat mengurangkan kes jenayah seksual.
– Reuters/Kosmo
No comments:
Post a Comment