Thursday, September 28, 2017

Arab Saudi akhirnya benarkan wanita memandu



RIYADH – Arab Saudi berkata kelmarin bahawa ia akan membenarkan golongan wanita memandu sekali gus menjadi negara terakhir di dunia berbuat demikian.
Pengumuman bersejarah itu merupakan antara transformasi Arab Saudi dalam menempuh era pascaminyak di samping memperbaiki reputasinya di mata dunia.
“Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud mengeluarkan perintah supaya wanita di negara ini dibenarkan memandu.
“Perintah ini akan berkuat kuasa pada Jun 2018,” kata pengumuman oleh stesen televisyen kerajaan.
Arab Saudi akan menggunakan ‘tempoh persediaan’ sebelum tarikh tersebut untuk menambah fasiliti perlesenan di samping membina lebih banyak infra­s­truktur bagi menampung jutaan pemandu wanita, tambah pengumuman sama.
Barisan ulama Arab Saudi, sebuah negara monarki berpandukan undang-undang syariah, sudah lama menyokong larangan memandu terhadap wanita dan berhujah pembatalannya akan mendorong kepada maksiat.
Salah seorang daripada mereka juga mendakwa bahawa memandu boleh menjejaskan rahim wanita.
Sebelum ini, ramai aktivis hak wanita dipenjarakan kerana melanggar larangan tersebut.
Namun, pengumuman mengejutkan itu dialu-alukan di Arab Saudi dan di negara luar.
“Hari yang gemilang. Sukar untuk saya menahan air mata ini,” kata ahli majlis syura, Latifah Alshaalan di laman Twitter
Aktivis Manal Al-Sharif yang menge­tuai protes Women2Drive pada tahun 2011 pula menyatakan di Twitter: “Hari ini, negara terakhir di dunia membenarkan wanita memandu, kita berjaya.”
Bagaimanapun, masih samar sama ada wanita memerlukan kebenaran mah­ram mereka untuk memohon lesen memandu.
Pengumuman bersejarah itu juga mendorong hashtag “Wanita Arab Saudi Boleh Memandu” menjadi viral di media sosial.
Dalam perkembangan sama, pakar-pakar berkata, dasar baharu Riyadh itu memberi kelonggaran kepada wanita yang selama ini bergantung kepada pemandu warga asing dan aplikasi perkongsian kenderaan sebagai kaedah pengangkutan.
Perubahan itu, kata mereka, dapat meningkatkan penyertaan wanita dalam sektor pekerjaan sekali gus membantu menjana ekonomi negara ketika harga minyak dunia merudum.
Langkah itu juga selaras dengan Wawasan 2030 kerajaan Arab Saudi bagi menjana transformasi sosial dan ekonomi.
Dekri diraja itu diumumkan ketika lebih separuh daripada populasi Arab Saudi berumur bawah 25 tahun. Pewaris takhta, Putera Mahkota Mohammed bin Salman yang juga arkitek Wawasan 2030 dilihat cuba merintis aspirasi golongan muda.
Terdapat lebih lapan juta wanita dalam usia layak mendapatkan lesen memandu daripada kira-kira 32 juta rakyat Arab Saudi. – AFP/Kosmo


Wednesday, September 27, 2017

Sampai hati ibu...



SEORANG kanak-kanak dua tahun yang menderita barah menangis di atas katil wad kanak-kanak di Beijing setiap hari, mengharapkan ibunya berada di samping tanpa menyedari ibunya itu sudah meninggalkan dia dan bapanya.
Kanak-kanak itu, Yangyang, dari Yicheng, wilayah Hubei, disahkan menghidap ‘hepatoblastoma’ sejenis barah hati setahun lalu.
Dia sudah menjalani 20 rawatan kimoterapi dan sembilan pembedahan manakala dua pertiga hatinya sudah dibuang namun barah itu kembali menyerang.
Bapanya, Hu Xiaofei, berkata isterinya meninggalkan mereka November lalu, ketika Yangyang hendak dibedah kali pertama.
Menurutnya, Yanyang sering menangis mencari emaknya namun Hu tidak sampai hati memberitahu perkara sebenar kepada anaknya lalu menyatakan isterinya bekerja mencari wang.
Menurut Daily Mail, Yangyang kini dijaga bapa dan datuk serta neneknya.
Kos rawatan Yangyang berjumlah satu juta yuan (RM636,407), jumlah yang terlalu besar untuk Hu menyebabkan dia dan keluarga meminjam 700,000 yuan (RM445,485) daripada saudara-mara, rakan, malah ceti haram.
Menurut Hu, ketika meninggalkan mereka, isterinya turut membawa bersama 200,000 yuan (£22,470) yang dikumpul keluarganya untuk rawatan Yangyang.
Wanita itu bagaimanapun, memulangkan wang terbabit selepas Hu mengancam mahu membuat laporan polis dan seminggu selepas itu isterinya pergi meninggalkan mereka.
Kisah Yangyang disiarkan media China dan satu tabung ditubuhkan untuknya yang sudah berjaya mengumpul lebih RM400,000.

-Metro

Monday, September 25, 2017

Wanita paling berat meninggal dunia



WANITA yang dianggap paling berat di dunia, meninggal dunia di sebuah hospital di Emirah Arab Bersatu, hari ini, 16 hari selepas umurnya genap 37 tahun.
Eman Ahmed Abd El Aty, dari Iskandariah, Mesir, yang berat badannya pernah mencapai 498.9 kilogram sebelum menjalani pembedahan awal tahun ini, tidak pernah bangun dari katilnya sejak remaja.
BBC melaporkan, menurut doktor di Hospital Burjeel, Abu Dhabi, wanita itu meninggal dunia berikutan masalah berat badannya yang menjejaskan jantung dan kegagalan buah pinggang.
Eman dirawat di hospital itu sejak Mei, selepas menjalani pembedahan oleh seorang pakar secara percuma dalam usaha mengatasi kegemukannya pada April di sebuah hospital di Mumbai, India.
Dia menjalani pembedahan pada April dan dilaporkan berjaya mengurangkan lebih 300kg daripada berat badannya.
Menurut keluarganya, wanita itu gemuk sejak kanak-kanak lagi dan ketika berusia 11 tahun, sudah sukar untuk berjalan, terpaksa merangkak.
Tidak lama kemudian dia mengalami strok menyebabkan terlantar di atas katil

-Metro

Sunday, September 24, 2017

Kucing petani lahir anak bermuka dua


SEORANG petani di China terkejut apabila mendapati kucingnya melahirkan anak bermuka dua.
Dalam kejadian di Longqiao, Fenjie, wilayah Chongqing, pada 17 September lalu, anak kucing itu bagaimanapun, hanya hidup dua hari sebelum mati pada petang 19 September.
Menurut laporan Sohu.com yang memetik Chongqing Morning Post, petani berkenaan dikenali sebagai Liu berkata, keluraga dan jirannya gembira walaupun terkejut dengan kelahiran anak kucing ganjil itu.
Menurutnya, seluruh penduduk kampung datang ke rumahnya pada 18 September lalu, untuk melihat sendiri anak kucing itu.
Anak kucing bermuka dua itu seekor daripada tiga anak dilahirkan ibunya. Ia mempunyai empat mata, dua hidung dan dua mulut.

Frankenlouie, kucing ‘Janus’ iaitu gelaran untuk kucing bermuka dua paling lama hidup di dunia iaitu selama 15 tahun sebelum mati pada 2012.
Kucing bermuka dua - digelar kucing ‘Janus’ sempena nama tuhan penjaga pintu Roman yang mempunyai dua muka melihat masa depan dan masa lampau - biasanya tidak hidup lama.
Antara kucing bermuka dua yang mendapat perhatian sebelum ini ialah Frank dan Louie atau Frankenlouie di Massachusetts, Amerika Syarikat, yang hidup selama 15 tahun sebelum mati pada 2014.

-Metro

Wednesday, September 20, 2017

Bapa jadikan anak tebusan

KUCHING: Seorang lelaki yang dipercayai mengalami masalah mental menjadikan anak perempuannya berusia dua tahun sebagai tebusan di rumahnya di Kampung Bintawa Hilir di sini, petang tadi.
Suspek berusia 33 tahun itu bertindak demikian ketika polis dan penduduk kampung cuba menenangkannya yang mengamuk menggunakan parang.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai seorang lelaki mengamuk pada jam 5.45 petang.
Berikutan itu, sepasukan anggota kereta peronda bersama seorang pegawai dikejarkan ke lokasi.
Apabila pasukan itu tiba di lokasi, mereka mendapati lelaki terbabit menahan anaknya sambil meletakkan parang di leher budak itu.
"Anggota kami cuba memujuk namun lelaki itu terus mengancam akan mencederakan anaknya jika polis atau penduduk kampung cuba memasuki rumah," katanya.
Abang Ahmad berkata, selepas usaha memujuk lelaki itu supaya melepaskan anaknya dan menyerah diri tidak diendahkan, polis terpaksa bertindak menggunakan 'taser gun' untuk melemahkannya.
"Lelaki itu berjaya ditahan manakala anaknya yang cedera ringan dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak," katanya.
Lelaki itu dibawa ke Balai Polis Gita untuk siasatan lanjut.
Difahamkan, lelaki itu mengalami gangguan mental selepas bercerai dengan isterinya.

-Sinar

Tuesday, September 19, 2017

'Serah kalah' lepas 14 tahun



Shanghai: Selepas 13 tahun berunding, satu keluarga di sini akhirnya bersetuju menjual rumah mereka yang berada di tengah lebuh raya sejak 2004.
Xu, 87, dan lapan ahli keluarganya mengucapkan selamat tinggal kepada rumah mereka di pinggir Shanghai pada 15 September lalu.
Keluarga itu bersetuju berpindah selepas pemaju berjanji memberi empat rumah flat baru dan wang tunai 2.3 juta yuan (RM1.46 juta) pada bulan lalu.
Rumah tiga tingkat itu dirobohkan oleh pekerja dalam tempoh 90 minit pada awal pagi kelmarin.
Xu menerima notis untuk merobohkan rumah berkenaan pada 2003 oleh kerajaan tempatan untuk pembinaan lebuh raya yang baru.
Bagaimanapun, Xu dan keluarganya enggan berpindah kerana tidak berpuas hati dengan pampasan yang ditawarkan.
Rumah seperti ini dikenali sebagai ‘rumah paku’ di China apabila ia menjadi satu-satunya bangunan usang di tengah pembangunan.
Semua kediaman di sekitar rumah Xu dirobohkan untuk membina lebuh raya empat laluan.
Selama 14 tahun, rumah milik Xu itu berdiri kukuh di tengah Lebuh Raya Hu Ting Bei.
Keadaan itu menyebabkan jalan berkenaan terpaksa dikecilkan kepada dua laluan dan melingkari rumah berkenaan yang sering menyebabkan kesesakan.
Seorang ahli keluarga Xu, Zhang Xinguo berkata, tinggal di rumah yang terletak di tengah lebuh raya bukan mudah dan mereka tidak sabar untuk berpindah.
“Saya melihat kemalangan jalan raya sebanyak tiga kali dan ada sebuah teksi yang melanggar dinding rumah ini,” katanya.

-Metro

Monday, September 18, 2017

Kasih dicurah, kucing tunggu di kuburnya

“MASA imam baca talkin, tiba-tiba kucing putih muncul berjalan di keliling kubur. Ia kemudian duduk dan tidak mengiau pun seolah-olah tahu kami sedang bersedih.”
Itu kata pekerja Pos Malaysia Langkawi, Zarul Hisham Md Zaid, 27, menceritakan kejadian kucing berbulu putih muncul ketika pengebumian datuknya, Ismail Mat, 90, hari ini.
Lebih mengharukan kucing itu tidak berganjak dari kubur arwah dan cuba mengorek tanah selepas bacaan talkin selesai hingga mengejutkan ahli keluarga, imam serta sahabat yang hadir di Tanah Perkuburan Masjid Kelebang, Mukim Kuah, Langkawi.
Malah, Zarul Hisham turut merakam kejadian itu sebelum memuat naik video berdurasi seminit itu di Facebook di mana ia menerima pelbagai reaksi netizen.
Menurutnya, arwah datuknya yang memiliki 13 anak, meninggal dunia pada 10.14 malam semalam di rumahnya di Kampung Sanusi Junid, Kuah, akibat sakit tua selepas terlantar sakit sejak sebulan lalu.
"Arwah Tok Wan memang sayangkan kucing dan ada pelihara sembilan hingga 10 kucing di rumah.
"Di mana-mana jika jumpa kucing liar, arwah akan bagi makan. Kucing putih itu juga mungkin Tok Wan selalu bagi makan di masjid itu yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumahnya," katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.
Menurut Zarul, jenazah datuknya dikebumikan selepas zuhur kerana menunggu semua anaknya termasuk yang bertugas di Putrajaya pulang.
"Masa saya bersama-sama ahli keluarga menggali kubur tidak ada apa-apa perkara pelik berlaku.
"Tapi bila imam baca talkin, tiba-tiba kucing putih itu muncul. Dia tidak mengiau pun dan waktu itu saya duduk di belakang imam.
"Selesai bacaan talkin kucing itu tiba-tiba mengorek tanah membuang akar kayu dan rumput membuatkan kami tergamam dan sebak.
"Ketika kami hendak beredar, kucing itu masih duduk di atas kubur, hingga emak saudara saya cuba mengangkatnya," katanya sambil menambah kucing putih itu berada di kubur lebih sejam dan kini dibawa balik ke rumah datuknya untuk dipelihara.
Zarul Hisham berkata, tujuan dia memuat naik rakaman video itu hanya untuk berkongsi rasa bahawa haiwan juga bersifat penyayang.
"Saya tidak ada niat apa-apa, perkara ini terjadi spontan dan rakaman video itu bukan diedit.
"Saya juga terkesan dengan berita penyeksaan terhadap kucing dan menganggap ini bukti kekuasaan Allah SWT," katanya yang turut memelihara 15 kucing.
Dalam pada itu Zarul Hisham turut terkilan apabila ada pihak memberi komen negatif terhadap catatan dan video dikongsikannya itu.

https://youtu.be/wQZfP0aT4WM

-Metro

Sunday, September 17, 2017

Tanah jadi makanan

Beijing: Satu pasangan di sebuah kampung terpencil di China mengamalkan makanan harian yang dicampur tanah yang didakwa menjadikan mereka lebih sihat.
Pasangan suami isteri dari sebuah kampung di daerah Wuxi di wilayah Jiangxi itu memakan sejenis makanan yang disaluti serbuk tanah.
Satu video yang disiarkan laman sesawang People’s Daily Online menunjukkan cara pasangan itu menyediakan hidangan istimewa berkenaan.
Dalam rakaman berkenaan, seorang wanita dilihat mencampur telur ke dalam semangkuk tepung yang kemudian diuli menjadi doh.
Doh itu kemudian dipotong menjadi bentuk jejari sebelum digoreng.
Suami wanita itu pula dilihat mencangkul tanah sebelum ia hancurkan dan ditapis menjadi serbuk halus.
Lelaki itu memberitahu, tanah itu adalah dari jenis tanah kuning dan ia bebas daripada sebarang pencemaran.
Doh yang siap digoreng itu dibawa keluar sebelum dicampurkan ke dalam serbuk tanah yang siap ditapis berkenaan.
Selepas serbuk tanah melekat dengan sekata, makanan itu kemudian dihidang di dalam mangkuk.
Akhir sekali pasangan berkenaan dilihat menikmati hidangan yang bercampur tanah itu dengan berselera sekali.
Pasangan itu memberitahu, tanah baik untuk kesihatan dan membantu melancarkan sistem penghadaman.
Selain di China, beberapa budaya di seluruh dunia juga didapati mengamalkan makanan bercampur tanah sejak beratus-ratus tahun lalu.
Penduduk purba di Greece dan orang asli di Amerika juga menjadikan tanah sebagai sebahagian daripada diet harian mereka.

-Metro

Thursday, September 14, 2017

Selena jalani pembedahan pindah buah pinggang


SELENA Gomez yang lama tidak aktif sebenarnya menjalani pembedahan pemindahan buah pinggang dan penderma organ terbabit ialah kawan baiknya, Francia Raisa.
Penyanyi berusia 25 tahun itu membuat pendedahan itu melalui Instagram untuk memberi penghargaan tertingginya kepada Francia kerana memberi ‘hadiah’ tidak ternilai itu kepadanya.
Menurut Daily Mail, bersama mesej itu, Selena turut menyiarkan gambarnya di atas katil di sebelah Francia berpegangan tangan.
Menurutnya, dia menjalani pembedahan itu pada musim panas lalu dan menghabiskan beberapa bulan kebelakangan ini, pulih daripada pembedahan itu.
Beliau juga menyiarkan gambar parut pembedahan pada perutnya.
Dalam kenyataan penuh emosi, Selena berkata: “Saya tahu peminat menyedari saya tidak aktif sejak musim panas dan tertanya-tanya kenapa tidak lagi mempromosi lagu baru.
“Sebenarnya saya memerlukan pemindahan buah pinggang akibat Lupus dan kini sedang pulih.
“Saya berterima kasih kepada keluarga dan pasukan doktor dan tiada perkataan untuk menggambarkan untuk berterima kasih kepada kawan saya, Francia Raisa.
“Dia berkorban untuk memberi hadiah tidak ternilai dengan mendermakan buah pinggangnya kepada saya. Saya sayang kamu sangat-sangat ‘sis’.”
Selena juga menyertakan alamat laman sesawang Lupus Research Alliance.
Pada Mei 2016, Selena mengumumkan jualan tiket konsert jelajahnya, Revival, kepada Alliance for Lupus Research, namun beberapa bulan kemudian terpaksa membatalkan konsert jelajah itu kerana masalah kesihatan.
Selena dilaporkan kini tinggal bersama teman lelakinya, The Weeknd, di sebuah apartmen mewah di Greenwich Village, New York. selepas mereka mula menjalin hubungan sejak Januari lalu.
Pada 2015, Justin Bieber berkata dia tinggal bersama Selena ketika mereka remaja dan ia adalah saat terindah dalam hidupnya. Bintang pop itu menjalin hubungan dengan Selena antara 2011 hingga 2015.
Sejak beberapa minggu lalu, Selena dilihat di Manhattan, New York, terbabit dalam filem Woody Allen.

-Metro

Wednesday, September 13, 2017

'Bos tak boleh lagak macam bos'

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin

SUBANG JAYA – Kejayaan pasar raya Mydin hari ini bukan diraih dengan mudah, sebaliknya dalam tempoh 20 tahun ini, banyak liku ranjau perlu ditempuhi.
Apatah lagi empayar Mydin adalah bisnes keluarga. Jika silap percaturan, sudah pasti ia tidak dapat bertahan lama.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin membuktikan Mydin berbeza dengan pasar raya lain.
Kesemua empat adik-beradik lelakinya bersama-sama meneruskan legasi ditinggalkan bapa mereka, Allahyarham Mydin Mohamed Ghulam Hussein itu.
Dari hanya sebuah kedai runcit, ia mengorak langkah sebagai pasar raya, kemudian berubah kepada gedung lebih besar dan kini, Mydin sudah mempunyai 322 cawangan di seluruh negara.
Ameer Ali berkata, biarpun Mydin merupakan bisnes keluarga, namun tanggungjawab diberikan kepada setiap adik-beradiknya membuatkan masing-masing tahu kerja sendiri dan paling penting tidak pernah menyalahgunakan jawatan mereka sebagai ‘big boss’.
“Kita bos, tapi kita tak boleh nak berlagak macam bos, kita juga sebenarnya sama-sama pekerja. Makan gaji. Sama macam pekerja yang lain.
“Kalau kita nak berlagak macam bos, masuk jam 11 pagi dan balik jam 3 petang, susahlah. Lagi pula, tiada siapa yang (berani) nak tegur silap kita, sebab apa... kita kan bos,” katanya.
Bercakap di hadapan adik beradiknya yang juga merupakan orang penting dalam struktur pentadbiran Mydin, Ameer Ali berkata, toleransi diamalkan mereka merupakan tunggak kejayaan hari ini.
“Walaupun dalam syarikat kedudukan kita semua tinggi, tidak bermakna kita boleh buat sesuka hati. Kalau nak pekerja hormat pada kita, sudah pasti kita harus menghormati dan memahami tugasan kita.
“Kenapa dalam empat adik-beradik saya ni, hanya saya yang selalu bercakap, mereka tidak? Bercakap kepada orang ramai dan media adalah skop kerja saya. Bukan makna saya ni nak berlebih-lebih pula, kami semua ada tugasan sendiri dan kami menghormatinya,” katanya.
Menurutnya, keempat-empat mereka sudah dididik untuk menjadi ketua yang bagus dan mengikut kerja ditetapkan.
“Kita semua masuk (kerja) pagi, minta cuti, (perlu) isi borang. Saya pun isi borang, abang atau adik yang luluskan. (Bolehkah) saya nak kata NO. Pandai-pandai dia la,kan. Semua orang ada cuti sendiri.
“Sebagai bos, kita kena jadi contoh. Kita sendiri ada grup WhatsApp. Kena maklumkan pergerakan kita, bukan nak sibuk, cuma perlu tahu, supaya senang,” katanya.
Selain Ameer Ali, tiga lagi adik beradiknya yang bersama-sama mengusahakan Mydin adalah abangnya, Datuk Murad Ali, Ahimmat dan Salim.
Sebagai ‘tauke’ sudah pasti, setiap produk dijual, boleh diambil tanpa membayarnya, namun, itu bukanlah amalan Ameer Ali dan adik-beradiknya.
Sepanjang mengusahakan Mydin, beliau tidak pernah mengambil kesempatan dengan mengambil aoa-apa barang secara percuma.   
“Nak apa-apa barang pun kita kena beli, sama dengan harga pekerja. Walaupun saya tahu harga asal.
“Contoh, harga asal barang tu cuma RM10, harga pekerja RM12, dan kita jual RM15. Tapi, saya tak ada ambil sahaja atau bayar RM10, sebaliknya kami bayar pada harga pekerja. Itu penting,” jelasnya.
Beliau berkata, jika perkara itu tidak menjadi amalan mereka, mungkin perniagaan Mydin sukar untuk bertahan lama.
“Untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan pada masa sama, perniagaan turut menjadi keutamaan, kami semua sentiasa menyokong antara satu sama lain.
“Nak pastikan tidak pecah belah walaupun semua bekerja satu tempat, semua ada tanggungjawab berlainan. Masing-masing ada pendapat. Pendapat ni, tak ada betul atau salah. Ia hanya pendapat. Kita semua sama. Ego kita tolak tepi,” katanya.
Empayar Mydin kini diuruskan oleh generasi kelima.

-Metro

Tuesday, September 12, 2017

Bunuh ibu tak dibenar pelihara anjing



SEORANG remaja berusia 19 tahun menembak mati ibunya ketika mangsa sedang tidur di Michigan, hanya kerana tidak dibenarkan memelihara anak anjing, hujung minggu lalu.
Menurut Daily Mail yang memetik laporan Lansing State Journal, Andrew Wilson dihadapkan ke mahkamah semalam, untuk menghadapi tuduhan membunuh ibunya, Lisa Marie Wilson, 51, ketika mangsa sedang tidur di rumah mereka di Wheatfield Township, awal pagi Sabtu lalu.
Menurut polis, remaja itu menghubungi talian kecemasan 911 kira-kira 7 pagi, melaporkan menemui mayat ibunya sebaik pulang ke rumah.
Polis menemui mayat wanita berkenaan dalam bilik tidurnya dengan satu kesan tembakan di belakang kepala.
Remaja itu ditahan selepas siasatan mendapati tiada orang lain dalam rumah berkenaan kecuali wanita berkenaan dan anaknya pada malam kejadian.
Polis mendapati sehari sebelum kejadian, wanita itu memberitahu anaknya itu dia perlu menempatkan anak anjing yang ditemuinya di rumah bapa remaja itu di Dansville.
Remaja itu kemudian mengaku kepada polis mengambil senapang .22 Magnum dari tempat simpanan, masuk ke dalam bilik ibunya dan menembak wanita itu.
Andrew kemudian memandu di sekitar kawasan berkenaan untuk membuat senapang itu namun ia kemudian ditemui polis.

-Metro

Thursday, September 7, 2017

Pasang periuk api halang Rohingya pulang



MYANMAR dikesan memasang periuk api sepanjang sempadannya dengan Bangladesh, terutama yang menjadi laluan pelarian Rohingya dipercayai bagi menghalang pelarian terbabit pulang ke perkampungan mereka.
Sumber-sumber kerajaan di Dhaka menyatakan Bangladesh akan memfailkan bantahan rasmi terhadap tindakan Myanmar memasang periuk api terlalu hampir dengan sempadannya.
Menurut Reuters sumber terbabit mempunyai akses terus kepada maklumat mengenai keadaan itu.
“Mereka memasang periuk api bersama pagar kawat duri,” kata satu sumber.
Kedua-dua sumber itu menyatakan Bangladesh tahu mengenai pemasangan periuk api itu berdasarkan bukti bergambar dan pemberi maklumat.


Pelarian Rohingya, termasuk kanak-kanak berjalan merentasi hutan, sungai dan sawah untuk menyeberang ke Bangladesh, melarikan diri dari perkampungan mereka di Rakhine yang sedang dimusnahkan tentera Myanmar. - Foto REUTERS (Danish Siddiqui)
“Tentera kami (Bangladesh) juga nampak tiga, empat kumpulan memasang sesuatu dalam tanah.
“Kami kemudian mengesahkannya dengan pemberi maklumat bahawa mereka memasang periuk api,” kata satu lagi sumber.
Semalam, Ketua Pengawal Sempadan Bangladesh, Manzurul Hassan Khan, berkata dua letupan berlaku di sebelah Myanmar menyebabkan dua kanak-kanak, seorang putus kaki dan seorang wanita cedera dipercayai akibat terpijak periuk api.
Rakaman video oleh seorang pelarian Rohingya yang pergi ke tempat letupan itu menunjukkan sesuatu yang kelihatan seperti periuk api, logam bulat bergaris pusat 10 sentimeter tertanam dalam lumpur.

-Metro

Wednesday, September 6, 2017

Badan jadi belon



Pisco, Peru: Badan seorang nelayan menggelembung akibat satu keadaan luar biasa selepas timbul ke permukaan terlalu cepat ketika menyelam di lautan baru-baru ini.
Berat badan Alejandro Ramos Martinez juga meningkat hampir 30 kilogram selepas dada dan tangannya menggelembung.
Martinez berkata, dia menyelam di dasar lautan untuk menangkap udang dan ikan sebelum naik ke permukaan terlalu cepat.
Kesilapan itu menyebabkan gas nitrogen di dalam darahnya bertukar menjadi gelembung, satu keadaan yang dikenali sebagai ‘bends’ atau penyakit dekompresi.
Keadaan itu yang berpunca daripada naik ke permukaan terlalu cepat boleh membawa maut dan sangat ditakuti oleh penyelam.
Bagaimanapun, dalam kes Martinez, gelembung nitrogen terperangkap di sekitar ototnya dan ia sangat jarang berlaku serta unik.
Doktor juga masih berusaha mendapatkan rawatan yang sesuai untuk Martinez.
Martinez kini diberi rawatan oksigen dalam kebuk tekanan tinggi.
Seorang doktor di Hospital San Juan de Dios, Miguel Alarcon berkata, pihaknya sehingga kini berjaya mengeluarkan 30 peratus nitrogen daripada badan lelaki itu.
“Kami juga menjalankan kajian terhadap penyakit dekompresi yang dialami Martinez kerana kami tidak pernah melihat keadaan seperti itu sebelum ini,” jelasnya.
Keadaan itu menyebabkan Martinez sering berasa sakit dan sukar berjalan serta mengalami tekanan darah tinggi.

-Metro

Tuesday, September 5, 2017

RM735,000 'harga' gambar separuh bogel Kate



MAHKAMAH Perancis mengarahkan sebuah majalah selebriti membayar ganti rugi lebih 100,000 euro (RM506,960) kepada Putera William dan isterinya, Catherine atau Kate, kerana menyiarkan gambar separuh bogel Kate pada 2012.
Mahkamah juga mengarahkan pengarang dan pemilik majalah Closer masing-masing membayar denda 45,000 euro (RM228,132).
Gambar yang tidak berapa jelas itu menunjukkan Kate Middleton berjemur dengan hanya berseluar bikini ketika bercuti di selatan Perancis bersama suaminya pada September 2012.
Gambar berkenaan dirakam menggunakan lensa panjang ketika William dan Kate bersantai di sebuah villa milik Viscount Linley, anak saudara lelaki Ratu Elizabeth.
Closer adalah majalah gosip pertama menyiarkan gambar itu di muka depan sebelum disiarkan beberapa penerbitan lain di Eropah.
William dan Kate yang sedang menunggu kelahiran anak ketiga mereka, memfailkan tuduhan jenayah kerana menceroboh hak peribadi mereka.

-Metro

Monday, September 4, 2017

Jumpa buaya berehat'di ruang tamu


Houston (Amerika Syarikat): Seorang mangsa Taufan Harvey di Texas terkejut apabila menemui seekor buaya sepanjang hampir tiga meter di ruang tamu rumahnya.
Brian Foster menemui reptilia berkenaan ketika kembali ke rumahnya di Humble berhampiran Tasik Houston pada Jumaat lalu.
Foster memberitahu, dia memeriksa kerosakan pada rumahnya susulan bencana berkenaan sebelum menemui haiwan itu ‘berehat’ di ruang tamu.
Katanya, kerana bimbang haiwan itu menyerang keluarganya dia segera menghubungi polis untuk meminta bantuan.
“Selang beberapa minit beberapa anggota polis dan pegawai perlindungan haiwan datang ke rumah saya.
“Pasukan itu mengambil masa hampir 20 minit untuk menangkap buaya berkenaan,” katanya.
Jurucakap polis berkata, haiwan itu ditangkap sebelum dilepaskan di habitat asalnya.
“Banyak haiwan liar menjadikan kediaman dan bangunan sebagai tempat berlindung daripada taufan dan banjir yang melanda negeri ini.
“Kami menerima banyak laporan mengenai haiwan liar seperti babi hutan, ular dan buaya yang ditemui berlindung di kediaman penduduk,” katanya. 

- Agensi/Metro