Monday, June 11, 2018

Wanita hidap kanser otak tahap akhir langsungkan perkahwinan


KENTUCKY, Amerika Syarikat – Seorang wanita yang menghidap kanser otak tahap akhir dan dijangka oleh pasukan doktor akan mati kira-kira seminggu lagi melangsungkan perkahwinan baru-baru ini.
Jessica Oldwyn, 37, didiagnosis menghidap astrositoma diffusep pada April 2010 selepas mengalami sakit kepala yang teruk dan pitam. Sejak itu, dia telah menjalani lebih daripada tiga pembedahan otak besar untuk mengekang kansernya.
Bagaimanapun, kebanyakan pakar bedah meramalkan wanita itu tidak mampu untuk hidup lama berikutan kansernya yang semakin merebak.
Melalui klip video episod terdahulu CW’s The Last Days, Jessica membuat kejutan kepada suaminya dengan membuat persiapan majlis perkahwinan mereka.
“Kami telah bekerjasama secara diam-diam di belakang Dan untuk acara ini. Terima kasih Dan kerana menyintai saya sepenuh hati,” kata Jessica. 

- Agensi/Kosmo

Sunday, June 10, 2018

Kanak-kanak dijadikan korban beramai-ramai 600 tahun lalu


WILAYAH TRUJILLO, Peru – Sekumpulan penyelidik menjumpai 56 rangka kanak-kanak yang dipercayai menjadi mangsa korban satu upacara ritual tamadun purba Chimu di bandar Huanchaco di sini baru-baru ini.
Kanak-kanak yang masih belum diketahui jantina mereka itu dikebumikan bersama 30 ekor llama. Amalan itu dipercayai dilakukan untuk menghindari hujan lebat dan banjir yang dibawa oleh fenomena perubahan cuaca yang mana ia mengakibatkan kemusnahan di wilayah berkenaan kira-kira 600 tahun lalu.
Kumpulan pengkaji yang menemui kubur purba itu pada bulan Mei lalu menganggarkan kesemua mangsa berumur antara 11 hingga 14 tahun itu dan dikebumikan antara 1200 dan 1400 Tahun Masihi. Saintis masih menjalankan ujian untuk mengenal pasti menyiasat punca kematian sebenar.
Ahli arkeologi menyatakan bahawa penemuan beberapa kubur menjadikan Huanchaco sebagai ‘salah sebuah lokasi pengorbanan manusia yang belum pernah berlaku dalam sejarah dunia’.
Pengarah Program Arkeologi Huanchaco, Dr. Gabriel Prieto Burmester memberitahu portal berita Peru, El Comercio: “Tiada tempat lain di planet ini yang mempunyai begitu banyak kubur seperti ini (kanak-kanak yang dijadikan korban).” – Agensi/Metro

Bayi ajaib hidup ditanam lapan jam



Sao Paulo: Seorang bayi perempuan dijumpai selamat selepas lapan jam ditanam hidup-hidup oleh keluarganya di Brazil.
Daily Mail melaporkan, keluarga terbabit dari puak orang asli Brazil menyangka bayi itu sudah meninggal dunia lalu mengebumikannya.
Bagaimanapun, pihak berkuasa menyiasat kelahiran berkenaan selepas dihubungi seorang jururawat yang mendapat tahu bayi itu ditanam sejurus kelahirannya, Selasa lalu, di Taman Negara Xingu di negeri Mato Grosso.
Dalam rakaman video disiarkan polis, dua anggota dilihat melutut di sebelah lubang dan menyuluhkan lampu untuk melihat ke dalamnya sebelum terkejut mendengar bayi itu merengek.
Rakaman itu menunjukkan anggota terbabit pantas mengorek pasir keluar dari lubang cetek sedalam kira-kira 50 sentimeter pada waktu malam, kemudian menarik bayi bogel yang diselaputi lumpur, dengan tali pusatnya masih ada.
Sementara itu, AFP melaporkan moyang perempuan bayi itu dari puak Kamaruya, ditahan, kata pendakwa Paulo Roberto do Prado.
“Kami menyiasat sama ada ini adalah cubaan membunuh bayi atau dia menyangka bayi berkenaan sudah meninggal dunia.
“Walaupun ditanam selama lapan jam, maklumat yang kami peroleh mengatakan bayi itu sihat,” katanya.
Bayi itu dibawa ke Cuiaba, ibu negeri Mato Grosso, kelmarin dan diletakkan dalam unit rawatan rapi neonatal.
Keluarganya memberitahu polis bayi berkenaan jatuh selepas dilahirkan dalam bilik air.
Namun, polis mengesyaki mereka cuba menyembunyikan perkara sebenar.
“Disebabkan bapanya enggan mengaku bayi itu anaknya dan ibu pula baru berusia 15 tahun, mereka disyaki cuba membunuh bayi itu,” kata polis. - Daily Mail/Metro

Thursday, June 7, 2018

Dah jumpa Nur Aisyah

Ibu mangsa, Siti Noorfadilah Yusofe memeluk erat anaknya, Nur Aisyah Hasmizan selepas diselamatkan oleh pihak polis apabila dilarikan individu yang memecah masuk ke kediaman keluarga mangsa di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar. - Foto Adi Safri

MUAR: Selepas hampir 15 jam dilaporkan dilarikan oleh individu tidak dikenali yang bertindak memecah masuk rumah keluarganya di Kampung Parit Lanjut, Mukim Sungai Terap di sini, akhirnya bayi perempuan berusia 17 bulan, Nur Aisyah Hasmizan berjaya diselamatkan oleh pasukan polis.
Berita itu disahkan oleh wakil keluarga, Fah Nur-Aini Syed Mustapha, 36, ketika ditemui pemberita di unit kecemasan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) yang turut dihadiri oleh saudara mara dan kenalan keluarga mangsa.
Fah Nur-Aini mewakili keluarganya juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang turut sama mendoakan keselamatan Nur Aisyah sejak dari awal hingga dia diselamatkan.
Selain itu, pihak keluarga juga mengucapkan terima kasih kepada pihak PDRM kerana berusaha keras dan bertungkus lumus mengesan kedudukan serta seterusnya menyelamatkan Nur Aisyah.
Ahli keluarga menyambut Siti Noorfadilah Yusofe dan anaknya, Nur Aisyah Hasmizan selepas berjaya diselamatkan oleh pihak polis apabila dilarikan individu yang memecah masuk ke kediaman keluarga mangsa di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar. - Foto Adi Safri
Sementara itu, suasana di Unit Kecemasan HPSF bertukar menjadi tenang apabila sanak saudara dan kenalan keluarga mangsa menarik nafas lega serta bersyukur dengan berita positif terbabit.
NSTP difahamkan, keadaan Nur Aisyah dilaporkan stabil tetapi terpaksa memerlukan pemeriksaan daripada doktor berikutan terdapat kesan gigitan serangga.
Nur Aisyah dipercayai ditemui pada kira-kira jam 4 petang oleh sepasukan polis di sebuah kawasan semak berhampiran pencawang elektrik di kawasan tidak jauh dari rumah keluarga mangsa.
Ibu mangsa, Siti Noorfadilah Yusofe,30, kini bersama Nur Aisyah di dalam wad di HPSF untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, manakala bapanya, Hazmizan Othman,35 kini berada di balai polis bagi menyelesaikan beberapa urusan berkaitan kes.
Difahamkan, pihak polis masih melakukan siasatan lanjut berhubung kes terbabit dan akan memberikan kenyataan dalam tempoh terdekat.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi tadi, Nur Aisyah dilaporkan hilang dan dipercayai dibawa lari oleh individu tidak dikenali yang juga bertindak memecah masuk ke rumah keluarganya.

-BH

Wednesday, June 6, 2018

Kari ayam punya pasal, anak bunuh ibu



NEW DELHI: Seorang lelaki India marah dan membunuh ibunya yang tua selepas wanita itu tidak menyediakan memasak lauk kari ayam untuk makan tengah hari.
Dalam kejadian di Badepuram, Guntur, Andhra Pradesh itu, Bejjam Kishore, 45, membeli ayam pada Ahad lalu dan memberi kepada ibunya, Bejjam Mariamma, 80, lapor Times of India.
Dia yang juga kaki botol pulang beberapa jam kemudian dalam keadaan mabuk sebelum naik berang selepas mendapati makanan diminta itu tidak dihidangkan.
Kishore, yang pernah bekerja sebagai pengamal perubatan tempatan, menjerit memarahi ibunya sebelum menikamnya.
Mangsa mati di tempat kejadian manakala Kishore kini diburu polis.

-Metro

Wanita lumpuh selepas digigit kutu


WALES UTARA, Britain – Seorang wanita menderita lumpuh dan tidak mampu bercakap selama dua tahun selepas mengalami jangkitan kuman akibat digigit kutu.
Rachel Foulkes-Davies, 43, yang berasal dari Denbighshire, dekat sini digigit serangga itu pada lehernya ketika berada di taman di hadapan rumahnya pada Jun 2015.
Pada mulanya, dia tidak berasa apa-apa, namun kemudian, bibirnya kebas dan wajahnya berubah senget. Rachel kemudian dihantar ke hospital dan doktor mengesahkan dia menghidap Bell Palsy atau lumpuh saraf muka dan diberikan rawatan steroid.
Bagaimanapun, dia gagal pulih dan keadaannya menjadi semakin teruk sehingga tidak mampu bercakap atau makan. Ibu kepada tiga orang anak itu kemudian disahkan menghidap penyakit Lyme akibat jangkitan kuman yang dibawa serangga tersebut.
“Kelumpuhan pada wajah bermula dengan bibir saya menjadi kebas beberapa hari selepas digigit. Ia menyebabkan anak-anak tidak memahami apa yang saya katakan,” kata Rachel.
Rachel kini semakin sembuh dan boleh bercakap secara perlahan-lahan.
 

- Agensi/Kosmo

Monday, June 4, 2018

Gambar puteri Arab Saudi memandu undang kontroversi



DUBAI: Muka depan majalah Vogue yang memaparkan puteri Arab Saudi memandu kereta merah tanpa bumbung mencetuskan perbahasan hangat, susulan penangkapan aktivis wanita yang memandu.
Imej Puteri Hayfa bint Abdullah al-Saud, di kerusi pemandu memakai sarung tangan kulit dan kasut tumit tinggi, disiarkan pada muka depan majalah Vogue versi Arab edisi Jun, diterbitkan ketika negara itu bersedia menarik balik larangan memandu ke atas wanita.
Isu itu ditujukan kepada wanita Arab Saudi yang inovatif dan memuji pembaharuan dilancarkan Putera Mahkota, Mohammed bin Salman, yang mahu mengendurkan sekatan sosial di negara itu dan mengekang kuasa golongan ulama.
"Di negara kami, ada golongan konservatif yang takutkan perubahan. Bagi ramai yang lain, itu sahaja yang mereka ketahui.
"Secara peribadi, saya menyokong perubahan itu dengan amat gembira," Puteri Hayfa, anak perempuan kepada Raja Abdullah, dipetik sebagai berkata oleh majalah itu.
Gambar itu dirakamkan di padang pasir di luar Jeddah.
Namun imej berkenaan tidak menarik minat kumpulan wanita yang membantah penangkapan sekurang-kurangnya 11 aktivis, kebanyakannya dikenal pasti kumpulan hak sebagai wanita yang menyokong hak memandu dan menamatkan sistem penjagaan lelaki di negara itu. - AFP/BH

'Tergamak ibu berlaku kejam...'



PENGUTIP sampah tidak menyangka objek yang disangka anak patung di dalam sebuah plastik di tapak pelupusan sampah dekat Kampung Bukit Lat, Dungun, hari ini adalah mayat bayi lelaki.
Mayat bayi yang masih bertali pusat itu ditemui wanita warga Kemboja, Suji Amin, 39, pada 2.30 petang ketika sedang mengutip sampah di tapak pelupusan itu.
Suji berkata, kebiasaannya dia akan membuka setiap bungkusan sampah untuk memeriksa jika ada sisa buangan yang boleh dikitar semula atau dijual.
“Namun, saya terkejut apabila plastik sampah yang saya koyak hari ini berisi mayat bayi lelaki yang disangka anak patung pada mulanya.
“Saya sudah enam tahun mencari rezeki dengan mengutip sampah di sini, dan menemui anak patung yang dibuang itu satu perkara biasa.
“Tetapi ini kali pertama saya menemui mayat bayi,” katanya yang sedih dengan penemuan itu.
Katanya, dia yang menggigil ketakutan melihat mayat itu kemudian memaklumkannya kepada dua rakannya, Noriati Hamzah, 49, dan Sazlina Ismail, 40.
“Saya kemudian memaklumkan kepada pihak pengurusan tapak pelupusan yang berada di lokasi sebelum mereka memaklumkan kejadian kepada polis.
“Berdasarkan keadaan mayat bayi itu, saya percaya ia sudah beberapa hari meninggal dunia dan dibuang ke dalam tong sampah awam sebelum diangkut lori dan dibuang ke tapak pelupusan ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.
Katanya, pihaknya sedang menjalankan siasatan dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat dapat menyalurkan kepada pihak polis.

-Metro

Sunday, June 3, 2018

Gadis Melayu pertama sertai Miss Universe New Zealand

Gadis Melayu pertama sertai Miss Universe New Zealand
                        Nurul Shamsul merupakan seorang penuntut di University of Waikato.

ENYERTAAN peserta wanita beragama Islam dan berhijab dalam pertandingan ratu cantik bukanlah sesuatu yang baharu.
Halima Aden, peserta separuh akhir Miss Minnesota USA 2016, merupakan contoh terbaik yang berjaya membawa imej ratu cantik beragama Islam yang berhijab dengan sempurna.
Begitu juga dengan pertandingan Puteri Indonesia, di mana saban tahun beberapa peserta yang dipilih mewakili wilayah tertentu juga tampil berhijab. Namun pertama kali dalam sejarah, apabila seorang gadis Melayu berdarah campuran Indonesia yang berasal dari Malaysia berjaya disenarai pendek sebagai peserta Top 20 dalam pertandingan Miss Universe New Zealand.
Nurul Shamsul, 20 tahun, dilahirkan di Ampang, Selangor, dan dibesarkan di New Zealand, merupakan peserta berhijab pertama yang berjaya mara ke pentas akhir pertandingan ratu cantik tersebut.
Menerusi beberapa entri di laman media sosial miliknya, Nurul menyifatkan penyertaannya itu sebagai sesuatu yang memecahkan stereotaip dan berharap agar niatnya itu tidak disalah tafsir.
Beliau mengakui mempunyai ibu berketurunan Indonesia dan ayahnya seorang rakyat Malaysia. - Astro Awani.

-Sinar

Thursday, May 31, 2018

'Kurang asam punya kuli'

PERBUATAN ala samseng sekumpulan empat lelaki, termasuk dua remaja membelasah seorang pemilik restoran di Miri akhirnya memakan diri sendiri selepas ditahan polis, petang kelmarin.
Difahamkan, suspek berusia antara 16 sehingga 23 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan, masing-masing di Taman Tunku dan Jalan Chia Tze, pada 1 tengah hari dan 12 tengah malam.
Sumber memberitahu NSTP, suspek membelasah mangsa berusia 40 tahun itu, yang juga pengusaha sebuah restoran di Jalan Miri ByPass, pada 11.30 malam, Sabtu lalu.
Katanya, ia dipercayai selepas tidak berpuas hati berhubung isu bayaran gaji.
Katanya, mangsa mengalami kecederaan di beberapa anggota badan akibat dibelasah kumpulan terbabit menggunakan objek keras yang masih belum dikenal pasti.
"Hasil siasatan awal mendapati kejadian berpunca akibat tidak puas hati seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang juga pekerja restoran itu berkaitan gaji.
“Remaja terbabit mendakwa gajinya dipotong oleh mangsa.
"Berdasarkan laporan yang diterima, mangsa terpaksa memotong gaji suspek kerana suspek tidak datang bekerja sebelum ini.
“Ini mengundang rasa tidak puas hati sebelum suspek membawa tiga lagi rakannya membelasah mangsa," katanya
Katanya, suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.- Metro

Wednesday, May 30, 2018

Lindsay Lohan ucap selamat berpuasa



Los Angeles: Pada tahun lalu, Lindsay Lohan sempat menyampaikan ucapan selamat menyambut Ramadan kepada peminatnya dan pada tahun ini, aktres popular Hollywood itu turut tidak ketinggalan membuat ucapan sama.
Menerusi akaun Instagram miliknya, Lohan memuat naik satu gambar lama keluarganya dan menyelitkan ucapan selamat menyambut Ramadan.
“Saya baru saja bercakap melalui telefon dengan nenek, Nona Sullivan yang berusia 94 tahun. Percakapannya masih penuh dengan gurauan dan nasihat bijak.
“Betapa bersyukur saya saat ini, ini adalah sesuatu yang saya inginkan dalam hidup. Saya bersyukur dengan kehidupan saya dan kita semuanya harus begitu. #ramadankareem,” tulis Lohan.
Lohan yang popular dengan filem “Mean Girls”, “Herbie” itu dilaporkan sedang mendalami Islam dan beberapa kali dilihat memegang al Quran serta memakai tudung.
Dia juga kerap menulis pelbagai ayat yang berbau keislaman di laman sosial miliknya.
Pada Februari lalu, gambar Lohan memakai tudung dan memegang beg plastik tular di media sosial.
Menurut akaun media sosial yang memuat naik gambar itu, Lohan baru saja membeli alat solek halal.

-Metro

Sunday, May 27, 2018

Tragedi susu ibu dicemari bisa ular



DUA beranak meninggal dunia apabila si ibu yang tidak menyedari beliau dipatuk ular ketika tidur, menyusukan anak perempuannya tanpa menyedari ia sudah dicemari bisa reptilia berkenaan.
Wanita berusia 35 dari Uttar Pradesh itu tidak menyedari beliau dipatuk apabila bangun dan menyusukan anaknya.
Kanak-kanak berusia tiga tahun dan ibunya jatuh sakit semalam dan kedua-duanya meninggal dunia sebelum tiba di hospital, kata Inspektor Vijay Singh.
Keluarganya mengesan ular itu dalam bilik lain tetapi reptilia itu menyusur keluar.
Bedah siasat akan dilakukan tetapi polis mendaftarkan kes itu sebagai kematian mengejut.
India mempunyai kira-kira 300 spesies ular dan 60 daripadanya amat berbisa termasuk tedung India dan ular kapak.
Ia mencatatkan 46,000 daripada 100,000 kematian akibat patukan ular seluruh dunia setiap tahun, menurut kajian pada 2011 oleh Persatuan Perubatan Tropika dan Kesihatan Amerika. 

–Metro

Thursday, May 24, 2018

Kemalangan penyelamat mangsa culik



Beijing: Seorang mangsa culik yang diikat dan disumbat ke dalam bonet kereta diselamatkan secara tidak sengaja oleh pemandu lain yang terlanggar bahagian belakang kereta terbabit, Isnin lalu.
Media China melaporkan, akibat kemalangan itu, mangsa wanita berkenaan berjaya menyelamatkan diri selepas terjatuh dari bonet kereta terbabit.
Beijing Youth Daily melaporkan, kejadian yang berlaku di Chengdu, wilayah Sichuan itu dilihat beberapa saksi yang menceritakan wanita itu terjatuh keluar dalam keadaan kaki dan tangannya terikat.
Rakaman video diterbitkan laman web btime.com menunjukkan wanita terbabit duduk di atas jalan selepas terjatuh keluar dari kereta Audi putih yang membawanya.
Sebelum itu, pada Selasa lalu polis daerah Qingyang mengeluarkan notis dalam talian memaklumkan terdapat kejadian culik berhampiran jambatan Gaosheng pada 21 Mei lalu.
Mangsa dikenali sebagai Lei Mo dan suspek dikenal pasti sebagai lelaki berusia 30 tahun dengan nama Chen memandu ke arah Chengdu dari bandar Mianyang, Sichuan.
Menurut laporan, tidak ada individu yang mengalami sebarang kecederaan dalam insiden berkenaan, manakala suspek berjaya ditahan dan membuat pengakuan ketika disoal siasat polis.
Sementara itu, Today Online melaporkan, rakaman video yang tersebar itu turut mendapat perhatian netizen yang mendakwa mereka turut melihat kejadian terbabit.
“Ini bukan seperti dalam filem! Mujur ada kereta di belakang kalau tidak, tidak ada siapa yang tahu nasib perempuan itu!” kata seorang pengguna
Seorang lagi berkata: “Penculik itu melihat kemalangan yang berlaku dan melarikan diri sebelum menyedari dia terlupa mengenai barangannya sebelum kembali ke kereta”.
Satu lagi komen netizen mendakwa wanita itu bekerja di hospital wilayah dan disumbat ke dalam kereta oleh lelaki terbabit ketika ingin keluar bekerja.

-Metro

Wednesday, May 23, 2018

Ponteng sebab sibuk jadi 'dewa'


SEORANG jurutera kanan di agensi kerajaan di India yang ponteng kerja sejak lapan bulan lalu memberikan alasan dia terlalu sibuk melaksanakan tugas sebagai jelmaan dewa ketika diarahkan memberi tunjuk sebab kepada majikannya.
Times of India melaporkan, Rameshchandra Fefar mendakwa dia jelmaan ke-10 dewa Vishnu dan disebabkan itu tidak dapat menghabiskan masa melakukan ‘kerja remeh’ di pejabat.’
“Saya melakukan penebusan dosa di rumah dan memasuki dimensi kelima untuk melakukannya. Saya tidak dapat berbuat demikian di pejabat. Hasilnya, India sejak kebelakangan ini mengalami cuaca baik dengan hujan yang banyak.
“Jadi fikirkan yang mana lebih penting, untuk saya duduk di pejabat membuang masa atau melakukan kerja yang memang boleh menyelamatkan negara kita daripada kemarau?” soalnya.
Russia Today melaporkan, Fefar - antara jurutera paling kanan di Gujarat - cuma bekerja 16 hari sejak lapan bulan lalu.
Laporan terhadapnya sedang diproses sebelum kes itu diserahkan kepada kerajaan Gujarat.

-Metro

Monday, May 21, 2018

Suami mungkin dipenjara jika cerai isteri dengan talak tiga

PARA suami yang menceraikan isteri mereka dengan talak tiga di
PARA suami yang menceraikan isteri mereka dengan talak tiga di India mungkin berdepan hukuman penjara sehingga tiga tahun tidak lama lagi. -GAMBAR HIASAN/BBC
NEW DELHI 2 Dis. - Para suami di India yang menceraikan isteri mereka dengan talak tiga sekaligus mungkin berdepan dengan hukuman penjara sehingga tiga tahun tidak lama lagi.
Hukuman itu digariskan dalam draf undang-undang terbaharu yang sedang digubal untuk masyarakat Islam di sini, lapor BBC.

Pada 22 Ogos lalu, Mahkamah Agung India memerintahkan supaya amalan perceraian tersebut tidak lagi diamalkan selepas mendapati ia tidak mengikut perlembagaan dan ajaran Islam yang sebenar.
Bagaimanapun, amalan terus dikatakan masih berleluasa hingga ke hari ini.
Justeru, undang-undang lebih tegas termasuk mendenda atau memenjarakan pesalah terpaksa digubal semula dalam usaha melindungi hak-hak wanita Islam di India.

-Utusan

106 kapsul kokain ditemukan dalam perut wanita

106 kapsul kokain bernilai AS$900,000 (RM3,582,064) ditemukan
106 kapsul kokain bernilai AS$900,000 (RM3,582,064) ditemukan dalam perut seorang wanita Brazil yang cuba menyeludup dadah tersebut ke ibu kota India. -AGENSI
NEW DELHI 21 Mei - Polis India terpaksa menggunakan julap selama beberapa hari untuk mengeluarkan 106 kapsul kokain yang bernilai AS$900,000 (RM3,582,064) daripada perut seorang wanita Brazil yang cuba menyeludup dadah tersebut ke negara itu, kata pegawai hari ini.
Wanita berusia 28 tahun bersama-sama kapsul berkenaan dibawa ke sebuah mahkamah New Delhi yang mengenakan tahanan ke atasnya di bandar Tihar Jalil.

Menurut superintenden Biro Kawalan Narkotik, Vishwa Vijay, wanita itu telah ditahan pada 14 Mei lalu selepas tiba di lapangan terbang Delhi dari Sao Paulo.
Kapsul yang mengandungi kira-kira 930 gram kokain asli Amerika Selatan tersebut sepatutnya diserahkan kepada para pengedar di ibu kota India. 

-AFP/Utusan


Sunday, May 20, 2018

Beberapa foto dalam media sosial palsu



KUALA LUMPUR 20 Mei – Beberapa gambar jam tangan mewah, beg tangan dan susunan bungkusan wang tunai yang tular dalam media sosial kononnya dari kediaman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah palsu.
Menurut laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan, berdasarkan carian pantas di Google Image menunjukkan beberapa gambar berkenaan merupakan gambar stok enjin carian itu.
Hakikatnya, kata laporan akhbar itu, imej foto yang menunjukkan satu dulang yang mengan­dungi enam utas jam tangan Rolex dikongsi secara meluas dalam media sosial terdapat dalam laman Pinterest sementara imej beg yang berisi susunan wang tunai mata wang dolar Amerika Syarikat adalah bertarikh Jun 2016 iaitu wang hasil kes rompakan yang pernah berlaku di negara itu.
Paling tersebar luas adalah foto 27 beg pelbagai warna Hermes Birkin yang diletakkan dengan kemas di lantai ruang tamu.
Foto ini sebelum ini pernah dikongsi dalam halaman Facebook Sarawak Report iaitu gambar yang tidak disahkan sama ada beg berjenama milik isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang dianggarkan bernilai RM20 juta atau milik orang lain.
Semalam, kedai barangan mewah dari Singapura, Shopfirstluxury mengesahkan bahawa gambar itu sebenarnya telah diambil di bilik pameran mereka.
“Jika sesiapa menerima gambar tular ini, tolong jangan sebarkannya lagi. Dalam era maklumat pantas sekarang, marilah kita menjadi pembaca berita yang lebih bertanggungjawab dan berfikir dua kali sebelum berkongsi dengan rakan-rakan dan ahli keluarga,” kata Shopfirstluxury seperti yang ditulis dalam Instagram.
Laporan akhbar itu turut me­nyatakan bahawa foto yang menunjukkan koleksi beg tangan mewah menjadi tular beberapa hari lalu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 adalah serentak dengan beberapa ahli PPBM membuat laporan polis yang mendakwa mereka memiliki maklumat mengenai 50 beg tangan Hermes Birkin cuba diselin­dung dan diangkut di sebuah kediaman mewah Kuala Lumpur yang didakwa milik Rosmah.
Polis telah menggeledah enam premis yang berkaitan dengan Najib dalam siasatan mereka membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sejak 16 Mei lalu.

-utusan

Arwah 'minta' gali kubur

Bulukumba, Indonesia: Satu keluarga di sini bertindak menggali semula kubur seorang ketua kampung yang baru meninggal dunia selepas sering bermimpi saudara mereka itu masih hidup.
Kira-kira 3,000 penduduk berkumpul di tanah perkuburan kampung Tanah Harapan di Rilau Ale pada Rabu lalu untuk melihat kubur itu digali semula.
Ketua kampung yang dikenali sebagai Umar itu dilaporkan meninggal dunia pada 13 Disember lalu akibat sakit.
Bagaimanapun, kuburnya digali semula selepas ahli keluarganya sering bermimpi lelaki itu masih hidup dan merayu dia segera dikeluarkan dari kubur.
Isteri Umar, Mira, 40, berkata, dia dan beberapa ahli keluarganya yang lain sering bermimpi suaminya masih hidup di dalam kubur.

-Metro

Thursday, May 17, 2018

3 beradik maut ditetak

MANGSA yang maut ditetak di Kampung Sungai Haji Muhammad di sini hari ini dalam bulatan Nur Ziah Fas

BAGAN DATUK 17 Mei - Tiga beradik iaitu dua lelaki dan seorang perempuan berusia lima hingga dua tahun maut akibat ditetak dengan parang oleh seorang lelaki yang menceroboh masuk ke dalam rumah mereka di Kampung Sungai Haji Muhammad di sini hari ini.
Dalam kejadian pada kira-kira pukul 2.30 petang itu menyebabkan kesemua tiga mangsa maut di tempat kejadian iaitu Mohammad Faqhqih Zahirulhaq Mohd. Fadzil, 5, dan dua adiknya, Nur Ziah Fasihah, 2, dan Muhanmad Firash Zaffril, 3.
Ibu mangsa, Zuraidah Md. Ali, 35, mengalami kecederaan parah pada tangan dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur manakala kakak sulung mangsa, Nur Zuryn Faziera, 9, serta bapa mangsa, Mohd. Fadzil Mohammad, 34, cedera ringan.
Kesemua mangsa yang maut dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.
Difahamkan kejadian itu berlaku setelah suspek yang dikenali sebagai ‘Rambo’ yang merupakan kawan kepada bapa mangsa telah memecah masuk ke rumah keluarga berkenaan dan menyerang mereka.
Kesemua mangsa yang maut dan cedera dibawa ke Hospital Teluk Intan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd. Marzukhi Mohd. Mokhtar berkata, suspek telah menceroboh masuk dalam rumah mangsa dan menetak tiga mangsa sehingga menyebabkan kematian dan ibu kepada kanak-kanak tersebut cedera parah.
“Selepas itu, pada kira-kira pukul 2.3O petang, suspek menghala ke Sekolah Kebangsaan Sungai Haji Muhammad dan telah menetak dua pelajar sekolah dan seorang awam.
“Suspek ditangkap oleh polis dekat kawasan sekolah iaitu kira-kira 20 meter dari rumah mangsa. Polis turut merampas sebilah parang,” katanya.
Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Fadli berkata, ketika kejadian dia sedang tidur bersama anak dan isterinya di ruang tamu rumah mereka dan tiba-tiba dia terdengar jeritan suspek memintanya membuka pintu sambil menetak pintu rumah.
“Suspek berjaya masuk ke dalam rumah lalu meluru ke arah saya dan melibas parang ke arah saya, namun saya sempat elak sebelum suspek melarikan diri ikut pintu belakang dan selepas itu saya tidak sedar apa-apa,” katanya yang amat sedih dengan kejadian yang meragut nyawa tiga anaknya sekali gus pada hari pertama Ramadan.
“Anak-anak saya semua cantik-cantik, Allah tolong saya, tenangkan jiwa saya,” katanya.

-Utusan

Wednesday, May 16, 2018

'Pitam anak mengandung lapan bulan...'



SEORANG ibu yang curiga melihat perubahan saiz tubuh anak gadisnya, hampir pitam apabila anaknya itu disahkan mengandung lapan bulan selepas menjalani ujian kehamilan, semalam.
Susulan itu, ibu mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, jam 4.49 petang semalam mendakwa anaknya dirogol oleh teman lelaki.
Anak perempuannya dipercayai dirogol seorang lelaki berusia 20-an yang dikenali di rumah sepupu suspek di kawasan Country Heights, di Penampang, pada November lalu.
Difahamkan, ketika kejadian, suspek mengambil mangsa di Kinarut dan membawa ke rumah sepupunya di Country Heights.
Gadis itu kemudian diambil oleh ibunya selepas tiga hari berada di rumah sepupu suspek dan selepas itu mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku berikutan perubahan tubuh mangsa.
Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan.
"Ibu gadis terbabit ada menghubungi suspek untuk bertanyakan hal berkenaan, namun suspek tidak mengakui perbuatannya. Susulan itu, ibu gadis terbabit membuat laporan polis, semalam.
"Polis kini giat mengesan suspek yang masih bebas dan kes disiasat mengikut seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol," katanya.

-Metro

67 tahun baru boleh pencen?



BRUSSELS: Puluhan ribu penunjuk perasaan berarak di ibu negara Belgium semalam untuk membantah rancangan kerajaan negara itu untuk melaksanakan reformasi terhadap sistem persaraannya.
Polis berkata, kira-kira 55,000 orang menyertai tunjuk perasaan itu menentang sistem persaraan berdasarkan mata dan rancangan untuk meningkatkan umur persaraan daripada 65 tahun kepada 67 tahun menjelang 2030.
Beberapa kesatuan sekerja berkata, kira-kira 70,000 menyertai tunjuk perasaan itu. Polis berkata, dalam tunjuk perasaan sama pada Disember lalu, kira-kira 25,000 orang turut serta.
“Kami mahu skim persaraan yang mencukupi untuk hidup, bukan bekerja lebih banyak untuk manfaat persaraan lebih rendah,” kata pemimpin kesatuan sekerja CSC, Marie-Helene Ska kepada agensi berita Belga.

-Metro

Tuesday, May 15, 2018

Catat rekod pandu bangsal bergerak

ARMARTHENSIRE, Wales – Seorang lelaki berjaya memecahkan rekod sendiri dengan memandu sebuah bangsal bergerak selaju 162.5 kilometer sejam (km/j) di Pendine Sands di sini.
Sebelum ini, bangsal bermotor yang sah digunakan untuk pemanduan di atas jalan raya itu pernah mencatat rekod Guinness World of Records dengan kelajuan 128.7km/j.
Pemilik bangsal itu, Kevin Nicks, 53, dari Chipping Norton di Oxfordshire, Britain melahirkan rasa gembira dengan rekod yang dicipta pada Sabtu lalu.
Nicks, seorang tukang kebun, pada awalnya menghabiskan masa selama 12 bulan untuk membina bangsal itu bagi membawa anak perempuannya ke sekolah.
Dia membelanjakan lebih £13,000 (RM69,600) untuk membina bangsal berkenaan dengan menggunakan sebahagian komponen daripada sebuah kereta Volkswagen Passat.
Bapa kepada seorang anak itu kemudian menggantikan enjin bangsal itu kepada jenis Audi RS4 serta melakukan talaan suspensi untuk membantu ciptaan rekod baharu tersebut. 

– Agensi/Kosmo


Sunday, May 6, 2018

'Selfie' dengan beruang undang maut


NEW DELHI: Tindakan berani seorang pemandu teksi menghentikan kenderaannya semata-mata mahu mengambil swafoto dengan seekor beruang memakan diri apabila haiwan buas itu membahamnya sehingga mati.
Daily Mail melaporkan, Prabhu Bhatara dalam perjalanan menghantar penumpang pulang dari satu majlis perkahwinan di Kotapad apabila dia berhenti di tepi jalan berhampiran hutan untuk membuang air kecil di wilayah Odisha, Rabu lalu.
Dia ternampak beruang yang cedera itu dan memutuskan mahu mengambil swafoto, walaupun dihalang berbuat demikian oleh penumpang teksinya. Malangnya dia tergelincir menyebabkan haiwan itu menarik dan menerkam sebelum membahamnya.
Menurut Sun-Times, ketika kejadian, beruang itu minum air dari sebuah kolam di kawasan berkenaan apabila Bhatara mendekatinya.
Rakaman video dirakam saksi menunjukkan seorang lelaki berusaha menyelamatkan Bhatara dengan menuruni cerun untuk memukul beruang itu dengan batang kayu, tetapi gagal. Turut kelihatan seseorang membaling sesuatu. Seekor anjing juga cuba menyerang beruang terbabit untuk menyelamatkan mangsa.
Hindustan Times melaporkan, pegawai perhutanan segera dihubungi ke tempat kejadian tetapi malangnya mangsa sudah mati. 

- Agensi/Metro