Beijing: Seorang mangsa culik yang diikat dan disumbat ke dalam bonet kereta diselamatkan secara tidak sengaja oleh pemandu lain yang terlanggar bahagian belakang kereta terbabit, Isnin lalu.
Media China melaporkan, akibat kemalangan itu, mangsa wanita berkenaan berjaya menyelamatkan diri selepas terjatuh dari bonet kereta terbabit.
Beijing Youth Daily melaporkan, kejadian yang berlaku di Chengdu, wilayah Sichuan itu dilihat beberapa saksi yang menceritakan wanita itu terjatuh keluar dalam keadaan kaki dan tangannya terikat.
Rakaman video diterbitkan laman web btime.com menunjukkan wanita terbabit duduk di atas jalan selepas terjatuh keluar dari kereta Audi putih yang membawanya.
Sebelum itu, pada Selasa lalu polis daerah Qingyang mengeluarkan notis dalam talian memaklumkan terdapat kejadian culik berhampiran jambatan Gaosheng pada 21 Mei lalu.
Mangsa dikenali sebagai Lei Mo dan suspek dikenal pasti sebagai lelaki berusia 30 tahun dengan nama Chen memandu ke arah Chengdu dari bandar Mianyang, Sichuan.
Menurut laporan, tidak ada individu yang mengalami sebarang kecederaan dalam insiden berkenaan, manakala suspek berjaya ditahan dan membuat pengakuan ketika disoal siasat polis.
Sementara itu, Today Online melaporkan, rakaman video yang tersebar itu turut mendapat perhatian netizen yang mendakwa mereka turut melihat kejadian terbabit.
“Ini bukan seperti dalam filem! Mujur ada kereta di belakang kalau tidak, tidak ada siapa yang tahu nasib perempuan itu!” kata seorang pengguna
Seorang lagi berkata: “Penculik itu melihat kemalangan yang berlaku dan melarikan diri sebelum menyedari dia terlupa mengenai barangannya sebelum kembali ke kereta”.
Satu lagi komen netizen mendakwa wanita itu bekerja di hospital wilayah dan disumbat ke dalam kereta oleh lelaki terbabit ketika ingin keluar bekerja.
-Metro
No comments:
Post a Comment