Sunday, December 28, 2014

Ibu tiri layan anak tiri umpama haiwan

"SABAN minggu saya ikuti kisah-kisah dalam DCCK. Kebanyakan ceritanya adalah berkisar kehidupan dan pengalaman hidup, ada manis tapi banyak yang pahit penuh duka nestapa. Kerana itu saya ambil kesempatan bercerita bukan tentang diri saya tetapi nasib tiga orang anak saudara yang mereka ceritakan kepada saya dalam tangisan baru-baru ini. "Saya jarang bertemu mereka kerana saya berkhidmat di negeri lain. Sesekali kami bertemu bila hari raya. Tetapi mereka tidak bercerita. Mungkin ketika itu mereka takutkan ibu tiri. Mereka banyak mendiamkan diri.’’

Itu cerita Encik Kamal dalam e-melnya, dan ketika kami berbual panjang di telefon."Saya hantar e-mel kerana tertarik dengan kisah Norlaily minggu lalu, kerana ada persamaannya dengan nasib anak-anak saudara saya.’’ Untuk tidak membuang masa sila ikuti cerita Sam anak saudara Encik Kamal ini."Kisah hidup kami tiga beradik bertitik tolak dari perkahwinan ayah kami seorang pegawai anggota keselamatan di lapangan terbang dan berkahwin dengan ibu kami yang baru sahaja selesai ambil peperiksaan SPM. Dengan umur ibu semuda itu sudah lahirkan saya dan kemudian adik kedua, Sudin.

Walaupun gaji abah tak seberapa, abah berjaya bina keluarga, hinggalah adik bungsu kami Udin lahir."Mungkin kerana desakan hidup, ibu minta izin bekerja niatnya nak bantu abah. Mulanya, abah keberatan tetapi ibu mendesak, alasannya untuk hidup lebih selesa dan abah akur. Di sinilah bermulanya penderitaan kami yang tiada berpenghujung."Awalnya ibu bekerja dengan baik tetapi kerana pergaulan akhirnya ibu terlibat dengan seorang lelaki. Akibatnya ibu lupa tanggungjawab dan janjinya pada abah.

Tanpa pengetahuan abah, ibu selalu keluar rumah waktu tengah malam ketika abah kerja. Ibu keluar ketika kami sudah nyenyak tidur, dan pulang ketika subuh hampir tiba. Ibu keluar dijemput dan dihantar oleh seorang lelaki, pergi entah ke mana."Nak dijadikan cerita, suatu malam ketika ibu keluar, Udin terjaga dari tidur dan menangis minta susu, malam itu Udin tak berapa sihat. Riuhlah rumah kami dengan tangisan Udin. Lama Udin menangis hingga mengejutkan jiran tetangga. Mereka datang menjengah dan bertanya, "Msana ibu kamu?’’ Aku terdiam.

Kebetulan salah seorang jiran kenal abah dan telefon abah suruh balik."Sebentar abah tiba. Dia terkejut bercampur marah kerana ibu tiada di rumah. Dalam kekecohan itu, sebuah kereta tiba di sudut jalan menurunkan ibu. Abah tidak dapat mengawal kemarahannya maka terjadilah pertengkaran. Sedihnya ibu dengan garangnya mencabar abah menceraikannya. Pergaduhan berakhir bila ibu keluar rumah."Selaku suami dan lelaki, abah ceraikan ibu dan ambil kami bertiga.

Kemudian abah hantar kami ke rumah abangnya. Abah datang jumpa kami seminggu sekali. Kami tak pernah jumpa ibu selepas peristiwa itu. Tak lama kemudian abah bertukar kerja ke tempat lain di pantai timur. Di situlah abah berkahwin dengan gadis tempatan. Kata abah gadis itu serba boleh. Tetapi kepada kami bermulanya episod penyeksaan, sumpah seranah dan penghinaan yang terpaksa kami lalui setiap hari."Sejak itu hidup kami bertiga tidak pernah aman. Ibu tiri kami terlalu kejam, garang dan suka menyiksa kami tanpa belas kasihan.

Mula-mula dia pukul kami semasa abah tiada di rumah, tetapi lama kelamaan dia berani menampar dan merotan kami depan abah. Kami hairan abah hanya lihat macam orang tak ada perasaan. Abah diam kadang kala abah turut memukul kami. Jadi pada sapa kami nak mengadu?"Ibu tiri seorang peniaga, ada kedai di pekan, kira-kira 16 kilometer (km) dari rumah kami. Tapi hari-hari kami ikut ibu tiri kekedainya kerana dekat sekolah."Walaupun dia ada kedai tapi kami tak dibenarkan masuk, kami duduk di luar dan makan tepi longkang.

Begitu juga di rumah. Tepi longkang itu meja makan kami.Hidup kami lebih terseksa setelah dia lahirkan anak hingga tiga orang. Kami makan makanan lebihan mereka. Tidur di dapur, pakaian cuci sendiri dengan air sabun yang keluar dari mesin pencuci pakaian. Kata ibu tiri, baju kami kotor dan mesti cuci sendiri. Lebih penting jangan bazirkan air. Namun lebih menyakitkan hati setiap hari kami disumpah seranah dan dipukul jika dia tidak puas hati melihat muka kami.Mengadu"Kerana sering ditarik telinga, belakang cuping telinga kami tersiat dan berkudis. Belum sempat sembuh ditarik lagi. Hanya Allah yang tahu bagaimana sakitnya.

Dan lebih sakit bila dilibas dan diketuk dengan batang paip di badan juga di kepada hingga berdarah. Tapi ayah buat tak nampak sahaaja. Pada siapa kami nak mengadu?"Peristiwa yang masih segar dihati kami bila ibu tiri sengaja tinggalkan kami depan kedainya. Hingga jam 8 malam semua kedai di pekan dah tutup kami masih menunggu ibu tiri atau ayah ambil kami pulang. Kerana takut, penat dan kelaparan menunggu, kami bertiga beranikan diri balik jalan kaki ke rumah sejauh 16 km. Ketika itu saya berusia 9 tahun Sudin 8 tahun dan Udin 6 tahun. Sampai di rumah jam sudah 11 malam. Penatnya, laparnya hanya Allah yang tahu.

Tapi sampai di rumah ibu tiri marahkan kami dituduh leka bermain lupa balik ke kedainya. Sedangkan kami nampak dia naik kereta tinggalkan kami ketika kami menunggu di tepi longkang."Kerana abah percayakan lakonannya kami bertiga dibelasah dan tak diberi makan. Malam itu kami tidur di dapur dalam tangisan, dengan pakaian sekolah basah berpeluh, sakit dipukul dan kelaparan yang amat sangat. "Untuk makluman kalian, dengan sumpah seranah, di tarik telinga, diketuk, dipukul dengan rotan, batang penyapu dan batang paip itulah kami membesar. Seperti biasa waktu sarapan, makan tengah hari mahupun malam kami diberi makan ditepi longkang belakang dapur.

Sedangkan adik-adik tiri makan di meja di ruang makan. Kami makan apa aja yang diberikan terkadang makanan kami macam makanan kucing."Pernah Udin ketika umur 7 tahun dimarahi kerana tak makan sayur, ibu tiri suruh kutip dan makan sayur sawi dalam longkang yang Udin buang. Udin menangis tak mahu makan tapi disuruh telan, Udin termuntah-muntah. Kami cuma melihat sambil menangis. Kalau ditolong kami sekali kena belasah.

Ketika berusia 12 tahun Udin dituduh curi gelang tangan ibu tiri. Udin tak mengaku apa lagi dia teruk dibelasah. Bukan saja ibu tiri, tapi adik beradik ibu tiri dan nenek tiri pukul sama."Sedangkan kami tak boleh masuk dalam rumah, tempat kami di dapur dan belakang rumah sahaja. Lagipun macam mana nak masuk biliknya yang sentiasa berkunci. Sebenarnya gelang itu dia tersalah letak. Tapi Udin jadi mangsa, polis bawa Udin masuk sekolah budak jahat. Sedihnya selama tiga tahun Udin di sana sekali pun abah tidak menjengahnya. Saya dan Sudin dihantar sekolah agama pondok di pinggir hutan di situlah kami belajar.

Selepas itu amanlah hidup ibu tiri bersama anak-anaknya tanpa kami."Nasib Udin baik dia dilatih di bidang komputer di sekolah budak jahat. Bila keluar dia tidak dibenarkan balik ke rumah. Dia dihalau. Udin terpaksa menumpang tidur di bangsal kebun sayur milik kawannya, orang Cina. Akhirnya dia dapat kerja di sebuah siber cafe. Kalau nak diceritakan banyak lagi seksaan yang kami lalui, tapi cukuplah setakat ini, hati kami terlalu sedih bila mengingatkan kekejaman ibu tiri kepada kami."Kini abah sudah meninggal dunia.

Episod seterusnya ibu tiri ambil semua harta dan duit simpanan EPF abah, kami tak diberi sesen pun. Malah diharamkan menjejakkan kaki ke rumah abah. Kami pasrah. Kini kami berusia lebih 20 tahun dan menjalani hidup sendiri serta bersyukur kami semua dapat kerja di syarikat besar di KL.

Walaupun kami cuba lupakan kekejaman itu tetapi agak mustahil. Terutama bila kami lihat parut di merata tubuh badan kami akibat perbuatan ibu tiri."Harapan kami penderitaan hidup ini menjadi teladan dan iktibar kepada ibu-ibu dan ayah tiri. Sayangi dan didiklah anak-anak dengan baik. Mereka tidak berdosa tetapi mereka mangsa perceraian. Janganlah jadikan kami mangsa kekejaman kalian.’’ Itu cerita Sam tentang pengalaman pahit mereka tiga beradik beribu tiri.

- See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/ibu-tiri-layan-anak-tiri-umpama-haiwan-1.41758#sthash.yVyAodH5.dpuf

No comments:

Post a Comment