Tuesday, December 2, 2014

Indiana Jones ditelan anaconda


AMAZON 2 Dis. – Seorang peminat haiwan liar yang merakamkan adegan dirinya dimakan hidup-hidup oleh seekor anaconda menyatakan, dia lebih risaukan tentang keselamatan haiwan berkenaan berbanding keselamatannya ketika penggambaran itu berlangsung.

Portal berita Mail Online melaporkan, rakaman adegan berbahaya yang dilakukan oleh Paul Rosolie, 26, itu merupakan sebahagian daripada rancangan televisyen terbaharu Discovery Channel yang diberi nama Eaten Alive yang akan disiarkan pada 7 Disember ini. Rosolie berkata, dia langsung tidak pernah hiraukan tentang keselamatan dirinya yang akan dimakan oleh seekor anaconda gergasi berukuran sembilan meter panjang tetapi lebih cenderung memikirkan apa yang bakal berlaku kepada haiwan tersebut. “Saya kalau boleh tidak mahu meregangkan kulit ular tersebut terlalu banyak, saya mahu pastikan baju khas yang saya gunakan dapat masuk ke dalam perut haiwan itu dengan baik tanpa mencederakannya. “Sebelum rakaman dijalankan kami menguji baju berkenaan beberapa kali bagi memastikan segala yang dirancang berjalan dengan lancar,” jelas Rosolie.

Tambah Rosolie, dia menolak dakwaan kumpulan pencinta alam yang menyifatkan tindakannya itu sebagai satu penganiayaan dan menegaskan semua ini dilakukan semata-mata mahu mengumpul dana bagi membantu memelihara habitat haiwan berkenaan. “Jika anda mengenali saya, saya tidak pernah mencederakan haiwan liar. Anda seharusnya menyaksikan rancangan ini terlebih dahulu, sebelum membuat kritikan,” jelas Rosolie, yang juga dikenali sebagai Indiana Jones Amazon dalam laman sosial Twitternya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/indiana-jones-ditelan-anaconda-1.31962#sthash.CexIGBJF.dpuf

No comments:

Post a Comment