Phoenix (Amerika Syarikat): Pasangan suami isteri ditahan polis selepas membiarkan anak mereka di luar rumah tanpa pemantauan kerana terlalu asyik bermain permainan Pokemon Go.
Jurucakap polis, Paul Babeu berkata, Brent Daley, 27, dan isterinya, Brianne, 25, membiarkan anak mereka yang berusia dua tahun keseorangan di rumah pada minggu lalu ketika pasangan itu keluar memburu karakter Pokemon.
Seorang jiran menghubungi polis selepas melihat seorang kanak-kanak lelaki yang hanya memakai baju dan lampin berada di luar rumah pasangan itu di Lembah San Tan pada jam 10.30 malam waktu tempatan.
“Cuaca ketika itu sangat panas dan kanak-kanak berkenaan cuba masuk ke dalam rumah yang tidak berkunci,” katanya.
Sejam selepas itu, pasangan berkenaan akhirnya pulang ke rumah dan memberitahu polis mereka keluar mengisi minyak kereta ketika kanak-kanak itu sedang tidur.
Bagaimanapun, selepas disoal siasat pasangan itu akhirnya mengaku mereka merayau di seluruh bandar bagi memburu karakter Pokemon.
“Tindakan pasangan ini tidak dapat diterima akal,” katanya.
Menurutnya, pasangan itu ditahan dan didakwa atas tuduhan membahayakan kanak-kanak dan cuai.
Anak lelaki pasangan berkenaan kini ditempatkan di Jabatan Perkhidmatan Kanak-Kanak.
- Agensi/Metro
No comments:
Post a Comment