Brasilia: Seorang wanita mengupah sekumpulan samseng untuk membunuh seorang ibu mengandung sebelum membelah perut mangsa bagi mencuri bayinya.
Wanita itu dilaporkan mengupah kumpulan samseng wanita berkenaan kerana terdesak mahukan anak selepas memberitahu teman lelakinya bahawa dia mengandung.
Polis berkata, enam samseng mencekik Greiciara Belo Vieira, 19, hingga mati sebelum membelah perut mangsa untuk mengeluarkan bayi dikandungnya.
Bayi itu kemudian diserahkan kepada wanita berusia 31 tahun berkenaan yang merancang pembunuhan itu semata-mata untuk menipu teman lelakinya.
Mayat Greiciara ditemui terapung dalam keadaan perut terbelah di tasik di Minas Gerais pada Ahad lalu.
Susulan penemuan mayat berkenaan, polis menahan empat wanita pada Selasa lalu manakala dua lagi masih bebas.
Polis juga menemui seorang bayi perempuan dipercayai anak Greiciara dalam keadaan sihat di sebuah rumah di Ituiutaba.
Sementara itu, kakak mangsa, Greiciele, 21, berkata, keluarganya sangat terkejut dengan kematian tragik Greiciara.
“Greiciara sangat gembira dengan kehamilannya dan dia juga sangat teruja serta tidak sabar untuk bertemu dengan anak yang dikandunginya itu.
“Apa yang dilakukan mereka (suspek) terhadap Greiciara sangat kejam,” katanya.
- Agensi/Metro
No comments:
Post a Comment