Thursday, September 29, 2016

Bayi lelaki ‘berusia’ 80 tahun

SEORANG bayi di Magura, Bangladesh menghidap penyakit progeria


DHAKA 29 Sept. – Seorang bayi lelaki dilahirkan dengan keadaan yang jarang berlaku, menjadikannya kelihatan seperti berusia 80 tahun.
Laporan Mirror.co.uk menyebut, bayi tersebut seakan-akan menyerupai jalan cerita dalam filem The Curious Case of Benjamin Button yang dibintangi aktor terkenal, Brad Pitt.
Kelahiran bayi pada Ahad lalu itu mengejutkan doktor di sebuah hospital di daerah Magura, Bangladesh dan mengatakan bayi tersebut mengalami sejenis penyakit dikenali sebagai pro­geria.
Sindrom itu menyebabkan kedutan di muka, badan yang kecil dan mata berongga menampak­kan ciri-ciri seorang lelaki tua.
“Bayi itu tidak kelihatan seperti bayi yang baru lahir sama sekali kerana mempunyai tanda-tanda penuaan di seluruh badannya,” kata salah seorang doktor yang merawat bayi berkenaan.
Walaupun menerima anak yang kurang normal, namun ibu bapa kepada bayi tersebut tetap dikatakan gembira dengan kelahiran itu selain menganggapnya sebagai ‘keajaiban’.
Biswajt Patro, yang merupakan seorang petani tidak dapat menyembunyikan perasaan saat menerima kelahiran bayinya.
“Kami hanya boleh berterima kasih kepada tuhan. Kami akan menerima dia seadanya dan amat gembira mempunyai seorang bayi lelaki di dalam rumah ini,” katanya.
Dalam pada itu, para doktor juga memberitahu bahawa keada­an bayi itu sihat namun mereka masih tidak mengetahui cara sebenar untuk merawat masalah penyakit berkenaan.


- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/bayi-lelaki-8216-berusia-8217-80-tahun-1.388785#sthash.7q08nWUK.dpuf

Wednesday, September 28, 2016

Hartawan ‘belanja’ isteri jadi penyanyi



KIEV 28 . – Seorang hartawan Ukraine sanggup menghabiskan wang sebanyak 20 juta pound (RM107.6 juta) semata-mata mahu memenuhi hasrat isterinya untuk menjadi penyanyi pop terkenal dunia seperti Taylor Swift.
Menurut laporan Mail Online, hartawan berkenaan, Mohammad Zahoor, 61, yang mengumpul kekayaan melalui industri keluli, mengakui tidak kisah untuk memenuhi impian isterinya, Kamaliya yang juga seorang bekas ratu cantik dan penyanyi di Ukraine.
Malah, bagi memudahkan pergerakan Kamaliya, Mohammad menghabiskan 27 juta pound (RM145.31 juta) membeli jet peribadi bagi isterinya itu.
“Bagi memecahkan pasaran arus perdana, dia (isteri) terbang ke Los Angeles, dia mahu menakluk Hollywood. Masa adalah penting, saya membayar untuk masa dan bukannya kemewahan,” kata Mohammad.
Kamaliya, 39, telah mencipta populariti tersendiri sebagai pe­nyanyi di Ukraine namun Mohammad mahu membantu isterinya menjadi bintang dunia melalui sokongan kewangan.
Tambah Mohammad, pengalaman hidup Kamaliya yang sukar suatu ketika dahulu membuatkan dia mahu ‘memanjakan’ isterinya dengan pelbagai cara.
“Saya mempunyai keberanian untuk berkata ‘tidak’ tetapi saya tidak pandai berbuat demikian. Kamaliya ketika usianya 26 tahun, dia mengalami kehidupan yang sukar, namun dia baik dan cantik, dia layak menerima semua ini.
“Jika bukan kerana Kamaliya merupakan isteri saya, saya tidak akan mendengar sebarang lagu rakyat atau pop kerana lebih meminati muzik klasik. Tetapi disebabkan Kamaliya yang me­nyanyikannya, saya menyukai­nya,” akui Mohammad.
See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/hartawan-8216-belanja-8217-isteri-jadi-penyanyi-1.388382#sthash.f4sIVmKk.dpuf

Tuesday, September 27, 2016

Muslimah pertama dalam Playboy


New York: Majalah Playboy yang selama ini terkenal dengan gambar wanita telanjang atau hampir telanjang buat julung kalinya akan memaparkan seorang wanita Muslim berpakaian sopan.
Wartawan Amerika Syarikat, Noor Tagouri, 22, menjadi wanita pertama menampilkan imej jauh berbeza apabila dia muncul dalam edisi Oktober yang bertemakan ‘Renegades.’
Kemunculannya di majalah Playboy itu mendapat perhatian masyarakat di dunia maya.
Ramai yang menyatakan bangga tetapi ada juga yang mencemuhnya.
Bercakap mengenai kritikan itu, Noor berkata, dia tidak mempedulikannya.
“Ini hal negatif dan tidak baik untuk difikirkan. Saya hanya memastikan saya berada dalam lingkungan yang benar bersama orang-orang yang baik dan menyanyangi saya,” katanya.
Noor yang tampil dalam majalah itu dengan berseluar jean, jaket kulit dan kasut Converse memberitahu majalah itu, dia berazam mahu menjadi pembaca berita wanita bertudung pertama dalam rangkaian televisyen komersial Amerika Syarikat.
Dia bekerja dengan portal berita Newsy yang menghasilkan video berita pendek.
Dia percaya sebagai Muslimah dia menjadi wartawan yang lebih baik.
“Sejujurnya saya rasa menjadi wanita Muslim berhijab membuatkan orang lebih terbuka dengan saya kerana cepat mempercayai saya.
“Secara tidak langsung orang yang saya wawancara percaya saya tidak akan memutarbelit kisah mereka,” katanya.
Noor mengaku tidak semua orang menyukainya, malah kerap dikritik dan dihina di Internet.
Katanya, dia tidak mempedulikan pandangan atau persepsi orang lain yang dibuat cuma berdasarkan pakaiannya.
Malah dia sengaja menampilkan dirinya berhijab dalam setiap liputan.
“Ia memberi kekuatan kepada saya untuk menjalankan tugas seharian. Laporan berita saya tidak akan terjejas semata-mata kerana saya menutup aurat,” katanya.

-Metro

Monday, September 26, 2016

Air rebusan nasi ganti susu





Raub: Hidupnya serba kekurangan namun itu tidak pernah dijadikan alasan untuk mengabaikan kebajikan ibunya yang lumpuh sebaliknya dia cuba sedaya upaya untuk memberikan kehidupan yang terbaik untuk wanita yang melahirkannya itu.
Bagi Nazimah Mat Peah, 44, walaupun hidup dalam kesempitan sejak ditinggalkan suami lebih 10 tahun, namun dia tetap menguruskan ibunya sebaik mungkin kerana di situlah terletaknya syurga bagi seorang anak.
Menurut Nazimah yang tinggal di Kampung Panchur, ibunya, Aminah Abad, 78, tiba-tiba lumpuh pada penghujung 2014 selepas kedua-dua mata ibunya buta akibat dimasuki habuk.
“Sebelum ini, ibu pernah bekerja di ladang sawit dan pada waktu itu matanya dimasuki habuk sehingga menyebabkan kedua-dua matanya buta.
“Keadaan semakin buruk apabila ibu tidak dapat lagi melihat dan badannya juga semakin susut akibat kuman yang merebak dan akhirnya menyebabkan dia lumpuh,” katanya ketika ditemui di sini.
Ibu kepada tiga anak itu mengakui banyak perbelanjaan yang dikeluarkan sejak ibunya lumpuh apabila perlu menyediakan lampin dewasa dan susu khas bagi keperluan ibunya.
“Ibu saya kini bergantung pada tiub untuk minum susu serta membuang air. Dia sudah tidak berdaya menguruskan diri sendiri lagi,” katanya.

Katanya, akibat kesempitan hidup menyebabkan dia kini tidak lagi mampu membeli susu khas untuk ibunya sebaliknya menggantikannya dengan air rebusan nasi sahaja.
“Sebelum ini, ibu ada menerima bantuan RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), beban kurang dirasai kerana keperluannya masih boleh ditampung dengan wang yang diterima.
“Namun, bantuan berkenaan terhenti sejak setahun lalu disebabkan ibu lambat mengemas kini maklumat kerana keadaannya yang semakin uzur.
“Saya juga tidak boleh bekerja kerana perlu menjaga ibu dan hanya mengharap bantuan dua anak yang kerja kampung untuk menghulur sedikit bantuan bagi menampung keperluan,” katanya.
Nazimah mengakui banyak bantuan yang cuba dipohon, termasuk zakat bagi membantu kehidupannya sebagai ibu tunggal namun semuanya gagal.
“Sudah puas saya naik turun pejabat berkaitan untuk mohon bantuan, tapi tiada yang peduli.
“Bekas suami adalah warganegara asing, dia meninggalkan saya dan tiga anak begitu saja tanpa sebarang khabar. Saya tidak mempunyai surat cerai, jadi status itu menjadi faktor saya tidak layak menerima apa-apa bantuan,” katanya.

-Metro


Sunday, September 25, 2016

Majlis kahwin untuk singa





Dhaka: Sebuah zoo di Bangladesh mengadakan majlis perkahwinan untuk dua singa, termasuk menyediakan kek daging berbentuk hati dengan harapan dapat menarik lebih ramai pengunjung dan menggalakkan haiwan itu mengawan.
Kira-kira 400 tetamu hadir pada majlis itu yang diserikan dengan hiasan belon kelmarin.
Singa betina, Nova, yang sudah sekian lama mendiami zoo di Chittagong itu diraikan bersama Nabha, singa jantan yang dibawa dari zoo lain.
“Ini memang majlis luar biasa. Dan kami berusaha memastikan zoo ini ceria untuk menggalakkan singa itu mengawan,” kata pegawai daerah Chittagong, Mesbah Uddin.
Menurutnya, pihak berkuasa tempatan membawa singa jantan Badsha yang kemudian dinamakan semula Nabha dari zoo di Rangpur untuk menemani Nova dengan tujuan melahirkan anak.
Satu majlis praperkahwinan juga diadakan untuk murid sekolah.
Bagaimanapun, kemuncak perayaan ialah sajian kek 10 kilogram yang dibuat daripada daging lembu dan ayam serta dicampur dengan telur untuk kedua-dua haiwan itu.
Singa itu akan tinggal di kandang berasingan yang terletak bersebelahan selama tiga hari untuk membolehkan mereka membiasakan diri antara satu sama lain. 

- AFP/Metro

Thursday, September 22, 2016

Buat Transformer dari kereta BMW





Ankara: Sekumpulan jurutera Turki berjaya menghasilkan robot gergasi Transformer dari sebuah kereta BMW, lengkap dengan tangan dan kaki - hanya dengan menekan butang.
Dalam proses yang mengambil masa beberapa saat, pintu kereta itu akan terbuka dan menjulur menjadi dua bilah seperti tangan.
Kemudian, muncul kepala robot dari bumbung kereta, membentuk jentera yang kelihatan garang.
Seramai 12 jurutera dan empat jurutenik dari syarikat Letvision menghasilkan prototaip robot berkenaan yang mereka namakan Antimon.
Syarikat berkenaan merancang menjual Transformer itu pada masa depan. Bagaimanapun, setakat ini, harganya belum ditetapkan.
Pada masa sama, ia juga masih belum mempunyai kebenaran untuk dipandu di jalan raya, tetapi terdapat rancangan untuk melengkapkannya dengan enjin elektrik.
Antimon itu tidak boleh berjalan. Namun, menurut syarikat berkenaan, fungsi itu boleh ditambah jika ada pembeli yang sanggup membayarnya. 

- Agensi/Metro

Wednesday, September 21, 2016

Cerita badut cemaskan penduduk AS





Kentucky: Laporan membimbangkan mengenai badut dengan wajah menakutkan semakin tersebar di Amerika Syarikat (AS) selepas seorang wanita memuat naik gambar, kononnya satu badut dilihat di tepi lebuh raya di London, Kentucky.
Ia berlaku selepas khabar angin tersebar mengenai badut cuba mengumpan kanak-kanak masuk ke dalam hutan di Carolina Selatan.
Kebimbangan mengenainya semakin menjadi-jadi apabila Jamie Hill memuat naik gambar badut yang didakwanya dilihat di lebuh raya di Kentucky.
“Saya mulanya teragak-agak untuk berkongsi gambar ini kerana menganggap tiada siapa akan percaya.
“Namun seorang rakan Facebook memberitahu saya kawannya baru melihat badut di London. Kebetulan pula saya ternampak orang menyerupai badut ini ketika pulang waktu malam. Saya tahu gambar ini tidak elok kualitinya kerana dirakam dalam keadaan kereta bergerak.
“Tetapi saya rasa penting untuk berkongsi. Ini bukan lawak dan jika kita tidak berhati-hati ada yang akan menjadi mangsa.
“Saya bukannya mahu terkenal di Internet. Saya benar-benar risau dan mahu orang ramai berhati-hati. Mungkin badut itu tidak berniat jahat tetapi kita tidak tahu tujuan sebenarnya,” katanya.
Menurutnya, dia dipersenda dan dituduh mereka-reka cerita mengenai badut untuk menakutkan orang ramai.
Polis di Carolina Selatan memberi amaran sesiapa yang berpakaian seperti badut boleh ditahan selepas laporan mengenainya menakutkan orang awam.
WTVQ melaporkan, badut juga dilihat di Carolina Utara, Georgia dan Alabama. 

- Agensi/Metro

Ular sawa pengganti cincin perkahwinan: Usaha pasangan pengantin promosi hidupan liar China

BEIJING 20 Sept. - Kebiasaannya, pasangan yang berkahwin akan bertukar-tukar cincin sebagai simbol terjalinnya ikatan rasmi antara mereka.
PASANGAN pengantin yang menjadikan ular sawa berwarna keemasan sebagai ganti kepada cincin semasa melangsungkan perkahwinan di Jilin, China, bulan lalu. AGENSI
Bagaimanapun, keadaan berbeza dilaporkan berlaku di China apabila pasangan pengantin yang melangsungkan perkahwinan menjadikan dua ekor ular sawa sebagai pengganti cincin.
Daily Mail yang memetik laporan People’s Daily Online berkata, kejadian itu berlaku di sebuah dewan bankuet di Jilin pada Jumaat lalu.
Kedua-dua mereka yang juga pencinta reptilia dikatakan membawa dua ekor ular sawa berwarna keemasan yang ma­sing-masing seberat 30 kilogram dan 15 kilogram sebagai pertukaran.
Rakaman video berdurasi 24 saat mengenai majlis itu kemudian dimuat naik ke dalam laman sosial Weibo.
Dalam rakaman itu, pengantin lelaki dilihat menghadap pa­sa­ng­annya dengan ular sawa yang terlilit di bahagian leher sebelum pengantin wanita pula menye­rahkan ular sawa kedua sebagai pertukaran.
Pasangan tersebut kemudian berpelukan dalam belitan salah seekor daripada ular sawa itu.
Pengantin lelaki, Wu Jianfeng berkata, apa yang mereka lakukan itu merupakan sebahagian daripada usaha mempromosikan hidupan liar di China.
“Jangan pukul ular sawa jika anda menemuinya di mana-mana kerana reptilia ini sangat jinak,” kata Jianfeng dalam satu lagi rakaman video yang dimuat naik ke dalam sebuah laman perkongsian video Miaopai.
Kedua-dua reptilia itu berasal daripada baka ular sawa Burma yang jarang ditemukan dan boleh membesar sepanjang tujuh meter.
Selain ular, pasangan tersebut menjadikan cicak, labah-labah dan burung sebagai binatang peliharaan.
Dalam pada itu, Biro Ke­selamatan Awam di Jabatan Perhutanan China dilaporkan telah merampas kedua-dua ekor ular itu selepas gambar dan rakaman video pada majlis perkahwinan itu menjadi viral.
Walaupun reptilia tersebut tidak terdapat dalam Senarai Hidupan Liar Utama Kebangsaan yang dilindungi, penduduk China tetap tidak dibenarkan menyimpan hidupan liar termasuk repti­lia terbabit sebagai haiwan peliharaan.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/ular-sawa-pengganti-cincin-perkahwinan-1.385341#sthash.b5KPhzDP.dpuf:

Monday, September 19, 2016

8 tahun simpan mayat anak dalam loteng





New York: Seorang ibu menyimpan mayat anak lelakinya selama lapan tahun dalam kejadian tidak ubah seperti filem jenayah klasik Psycho.
Mayat anaknya itu cuma ditemui selepas si ibu dibawa ke hospital kerana cedera akibat terjatuh.
Seorang anggota keluarga yang pulang ke rumah itu di Brooklyn, New York, untuk mengambil sesuatu menemui sisa mayat berkenaan di dalam loteng sebelum menghubungi polis.
Lelaki terbabit, pemandu teksi yang menghidap penyakit yang tidak dinyatakan, dan sepatutnya berusia 51 tahun tahun ini, lapor New York Daily News.
Kali terakhir lelaki itu dilihat ialah pada 2008 selepas dia terbabit kemalangan jalan raya.
Keretanya pula diletakkan di depan rumah berkenaan dan sudah sekian lama tidak bergerak. Dia juga dilaporkan sentiasa mengasingkan diri daripada keluarga selain ibunya.
Seorang jiran yang tidak mahu dikenali berkata, wanita itu sering menyendiri.
“Dia tidak pernah bertegur sapa dengan kami dan cuma dilihat ketika keluar membeli barang dapur.
“Wanita itu memang pelik. Dia hanya tunduk ketika berjalan,” katanya.
Dalam filem Psycho, watak penjenayahnya Norman Bates menyimpan mayat ibunya di dalam loteng di rumahnya selepas membunuh wanita itu serta teman lelakinya.

- Agensi/Metro

Bunuh zuriat kerana dengki

New York: Seorang bapa membunuh sebelum membakar mayat anak perempuannya yang berusia 21 bulan kerana cemburu dengan perhatian yang diterima mangsa yang baru pulih daripada kanser mata.
Ryan Lawrence, 25, mengaku memukul anaknya, Maddox dengan kayu besbol sebelum membakar mayat mangsa di dalam longkang selama tiga jam pada 20 Februari lalu.
Dia kemudian mengikat mayat mangsa dengan batu sebelum mencampakkannya ke dalam sebuah tasik di Syracuse.
Isterinya, Morgan memberitahu polis, Lawrence sepatutnya menjemputnya pulang daripada kerja tetapi sebaliknya meninggalkan kereta dengan kunci di dalamnya di tempat letak kenderaan.
Apabila sampai di rumah, Morgan menemui satu nota yang memberitahu kemungkinan Lawrence mencederakan Maddox dan dirinya sendiri.
Morgan terus menghubungi polis yang segera melancarkan operasi bagi mengesan kanak-
kanak berkenaan.
Polis kemudian berjaya menjejak Lawrence sebelum menahannya di Baldwinsville.
Ketika disoal siasat Lawrence mengaku membunuh anaknya sebelum membawa polis ke lokasi dia membuang mayat mangsa.
Mayat Maddox akhirnya ditemui oleh pasukan penyelam polis kira-kira 36 jam selepas kanak-kanak itu dilaporkan hilang.
Pendakwa raya daerah, Bil Fitzpatrick berkata, berdasarkan keterangan Lawrence menunjukkan lelaki terbabit cemburu dengan perhatian yang diterima anaknya berbanding dirinya sendiri.
Mahkamah dijangka menjatuhkan hukuman terhadap Lawrence pada bulan depan dan dia berdepan hukuman penjara minimum 25 tahun.

-Metro

Thursday, September 8, 2016

Rela dipenjara elak hidup dengan isteri



Kansas City (Amerika Syarikat): Seorang lelaki merompak bank di sini semata-mata mahu masuk penjara kerana tidak sanggup tinggal bersama isterinya lagi.
Menurut dokumen mahkamah, lelaki itu, Lawrence John Ripple, 70, bergaduh dengan isterinya pada 2 September lalu.
Dalam pertengkaran berkenaan, Ripple berkata kepada isterinya, ”Saya lebih rela berada di dalam penjara daripada tinggal bersama kamu.”
Ripple kemudian menulis satu nota yang memberitahu dia membawa pistol dan mahukan wang sebelum masuk ke sebuah bank dan menyerahkan kertas berkenaan kepada juruwang.
Juruwang berkenaan yang terkejut terus menyerahkan wang tunai berjumlah lebih AS$3,000 (RM12,129) kepada Ripple.
Selepas mendapatkan wang, Ripple tidak melarikan diri sebaliknya duduk di lobi dan menunggu kedatangan pihak berkuasa.
Ripple turut memberitahu seorang pengawal keselamatan dia yang merompak bank berkenaan.
Selepas beberapa minit satu pasukan polis yang tiba di bank berkenaan terus menahan Ripple.
Ketika disoal siasat Ripple memberitahu polis, dia mahu dipenjara kerana mahu menjauhkan diri daripada isterinya.
Lelaki itu didakwa atas tuduhan merompak di sebuah mahkamah di sini pada Selasa lalu dan ditahan di penjara sementara menunggu perbicaraan seterusnya.
Sehingga kini Ripple belum melantik peguam dan dokumen mahkamah juga tidak mendedahkan punca dia bergaduh dengan isterinya. 

- Reuters/Metro

Wednesday, September 7, 2016

'Lagi gemuk, lagi seksi'


Austin (Amerika Syarikat): Majoriti wanita mengimpikan tubuh badan yang kurus dan langsing tetapi lain pula cerita seorang wanita di sini yang berazam menjadi perempuan paling gemuk di dunia.
Berat badan Monica Riley, 27, mencecah 315 kilogram (kg) tetapi wanita yang berasal dari Fort Worth, Texas itu berusaha menaikkan berat badannya sehingga mencecah 450kg.
Bagi mencapai impiannya, Monica dibantu teman lelakinya, Sid Riley, 25, yang memasak dan menyediakan makanan untuknya.
Riley juga menyediakan satu jag minuman campuran yang mempunyai kira-kira 3,500 kalori dan diminum Monica menerusi corong.
Monica yang juga model bertubuh gemuk untuk laman web merancang menggemukkan badannya sehingga tidak mampu berdiri lagi.
“Saya merancang menaikkan berat badan saya mencecah 450kg dan sehingga tidak mampu bergerak lagi.
“Apabila cita-cita itu tercapai saya bakal menjadi permaisuri kerana semua kehidupan saya diuruskan teman lelaki saya,” katanya.
Menurutnya, dia bertemu Riley empat bulan lalu dan ketika itu berat badannya hanya mencecah 290kg.
“Riley memberi saya makanan sepanjang masa dan saya tidak perlu melakukan apa-apa.
“Dia memberitahu semakin gemuk, saya kelihatan semakin seksi,” katanya. 

- Agensi/Metro

Sunday, September 4, 2016

Padah putus cinta di udara



Beijing: Seorang lelaki cuba membunuh diri dengan membuka pintu kecemasan di dalam pesawat yang berada ribuan meter di udara selepas bertengkar dengan teman wanitanya yang mahu memutuskan hubungan mereka.
Kejadian itu berlaku kelmarin dalam penerbangan Air China dari Chongqing ke Beijing, selepas teman wanita lelaki dikenali sebagai Zhang, 18, itu tiba-tiba memberitahu dia mahu berpisah.
Disebabkan itu Zhang hilang pertimbangan dan cuba membunuh diri dengan membuka pintu kecemasan pesawat. Tindakan itu bagaimanapun gagal apabila dia ditahan kakitangan pesawat.
Kerana tindakannya itu, Zhang dipenjara 15 hari manakala kekasihnya, Wu, didenda 200 yuan (RM120) selepas didapati bersalah mengganggu ketenteraman di dalam pengangkutan awam.
Wu memberitahu polis, pertengkaran tercetus selepas dia cuba memutuskan hubungan dengan Zhang ketika penerbangan selama tiga jam itu.
Katanya, dia rasa tidak serasi dengan Zhang dan tidak mahu berhubung untuk beberapa hari, tetapi tanpa disangka kekasihnya bertindak di luar dugaan.
“Dia bangun dan berkata ‘saya mahu mati di depan kamu’,” katanya.
Namun Zhang terus meluru ke pintu keselamatan menyebabkan anak kapal bertindak pantas mengawalnya.
Pegawai keselamatan udara yang berada dalam pesawat itu mengesahkan kejadian berkenaan.

-Metro

Thursday, September 1, 2016

Sejam terperangkap dalam lubang tandas



Oslo: Seorang lelaki terperangkap di dalam tangki septik hampir satu jam selepas dia masuk ke dalam lubang tandas untuk menyelamatkan telefon rakannya yang terjatuh.
Cato Berntsen Larsen, 20, berkata, rakannya meminta tolong selepas telefon pintar jenis iPhone miliknya terjatuh di dalam lubang jamban di sebuah tandas awam di Drammen dekat sini.
Tandas itu tidak bersambung dengan sistem pembetungan, tetapi menggunakan tangki septik yang dikosongkan setiap kali ia penuh.
Katanya, tanpa berfikir panjang dia terus masuk ke dalam lubang jamban berkenaan, tetapi terperangkap di dalamnya ketika mahu keluar.
“Apabila masuk ke dalam lubang tandas itu, saya terus termuntah kerana baunya terlalu busuk.
“Ia sangat menjijikkan dan pengalaman yang paling teruk pernah saya alami. Ada haiwan dalam tangki itu dan ia menggigit saya,” katanya.
Selepas terperangkap selama beberapa minit akhirnya rakan Larsen terpaksa menghubungi bomba untuk meminta bantuan.
Bomba yang tiba tidak lama selepas itu terpaksa memecahkan mangkuk tandas bagi menyelamatkan Larsen.
Walaupun sudah berusaha keras, Larsen gagal menemui telefon pintar rakannya. 

- Agensi/Metro

Remaja tidak bermaya ditembak 16 kali

Chicago: Ketua polis Chicago Superintendan Eddie Johnson mencadangkan kepada Lembaga Chicago supaya anggota polis Jason Van Dyke yang dengan sengaja menembak mati remaja kulit hitam Laquan McDonald, 17, pada 2014, dipecat bersama empat lagi anggota.
Van Dyke yang melepaskan 16 tembakan dalam kejadian itu, kini ditahan dipenjara menunggu perbicaraan tuduhan membunuh. Empat lagi anggota, Sarjan Stephen Franko, Janet Mondragon, Daphne Sebastian dan Ricardo Viramontes menghadapi tuduhan membuat laporan palsu bagi menutup kejadian itu.
Kejadian tembakan itu menggemparkan Amerika Syarikat dan mencetuskan bantahan besar-besaran selepas rakan video kamera papan pemuka kereta disiarkan setahun selepas kejadian, memaksa Datuk Bandar Rahm Emanuel memecat Superintendan Garry McCarthy sebagai ketua polis Chicago.
Rakaman video itu menunjukkan Van Dyke terus melepaskan tembakan ke arah McDonald dari jarak dekat yang ketika itu sudah terbaring di atas jalan selepas tembakan pertama. Van Dyke dan anggota polis lain menegaskan kononnya mangsa cuba menerpa ke arah polis dengan bersenjatakan pisau.
Keluarga remaja itu menerima ganti rugi AS$5 juta daripada kerajaan pada 2015.
-Metro