DHAKA 29 Sept. – Seorang bayi lelaki dilahirkan dengan keadaan yang jarang berlaku, menjadikannya kelihatan seperti berusia 80 tahun.
Laporan Mirror.co.uk menyebut, bayi tersebut seakan-akan menyerupai jalan cerita dalam filem The Curious Case of Benjamin Button yang dibintangi aktor terkenal, Brad Pitt.
Kelahiran bayi pada Ahad lalu itu mengejutkan doktor di sebuah hospital di daerah Magura, Bangladesh dan mengatakan bayi tersebut mengalami sejenis penyakit dikenali sebagai progeria.
Sindrom itu menyebabkan kedutan di muka, badan yang kecil dan mata berongga menampakkan ciri-ciri seorang lelaki tua.
“Bayi itu tidak kelihatan seperti bayi yang baru lahir sama sekali kerana mempunyai tanda-tanda penuaan di seluruh badannya,” kata salah seorang doktor yang merawat bayi berkenaan.
Walaupun menerima anak yang kurang normal, namun ibu bapa kepada bayi tersebut tetap dikatakan gembira dengan kelahiran itu selain menganggapnya sebagai ‘keajaiban’.
Biswajt Patro, yang merupakan seorang petani tidak dapat menyembunyikan perasaan saat menerima kelahiran bayinya.
“Kami hanya boleh berterima kasih kepada tuhan. Kami akan menerima dia seadanya dan amat gembira mempunyai seorang bayi lelaki di dalam rumah ini,” katanya.
Dalam pada itu, para doktor juga memberitahu bahawa keadaan bayi itu sihat namun mereka masih tidak mengetahui cara sebenar untuk merawat masalah penyakit berkenaan.
No comments:
Post a Comment