Wednesday, September 21, 2016

Cerita badut cemaskan penduduk AS





Kentucky: Laporan membimbangkan mengenai badut dengan wajah menakutkan semakin tersebar di Amerika Syarikat (AS) selepas seorang wanita memuat naik gambar, kononnya satu badut dilihat di tepi lebuh raya di London, Kentucky.
Ia berlaku selepas khabar angin tersebar mengenai badut cuba mengumpan kanak-kanak masuk ke dalam hutan di Carolina Selatan.
Kebimbangan mengenainya semakin menjadi-jadi apabila Jamie Hill memuat naik gambar badut yang didakwanya dilihat di lebuh raya di Kentucky.
“Saya mulanya teragak-agak untuk berkongsi gambar ini kerana menganggap tiada siapa akan percaya.
“Namun seorang rakan Facebook memberitahu saya kawannya baru melihat badut di London. Kebetulan pula saya ternampak orang menyerupai badut ini ketika pulang waktu malam. Saya tahu gambar ini tidak elok kualitinya kerana dirakam dalam keadaan kereta bergerak.
“Tetapi saya rasa penting untuk berkongsi. Ini bukan lawak dan jika kita tidak berhati-hati ada yang akan menjadi mangsa.
“Saya bukannya mahu terkenal di Internet. Saya benar-benar risau dan mahu orang ramai berhati-hati. Mungkin badut itu tidak berniat jahat tetapi kita tidak tahu tujuan sebenarnya,” katanya.
Menurutnya, dia dipersenda dan dituduh mereka-reka cerita mengenai badut untuk menakutkan orang ramai.
Polis di Carolina Selatan memberi amaran sesiapa yang berpakaian seperti badut boleh ditahan selepas laporan mengenainya menakutkan orang awam.
WTVQ melaporkan, badut juga dilihat di Carolina Utara, Georgia dan Alabama. 

- Agensi/Metro

No comments:

Post a Comment