Thursday, May 25, 2017

Abdullah, Mulan bersahabat baik


ABDULLAH SHOLEH sering menghabiskan masa bersama Mulan setiap
JAKARTA 25 Mei – Siapa sangka, manusia dan harimau boleh menjadi sahabat baik sehinggakan mampu tidur sekali bersama-sama di dalam satu kandang.
Itulah yang dibuktikan oleh Abdullah Sholeh sejak 10 tahun lalu apabila ditugaskan untuk menjaga seekor harimau Bengal, dikenali sebagai Mulan Jamillah.
Lapor portal Oddity Central, Mulan didermakan ke sekolah agama di Malang, tempat Abdullah menuntut ketika haiwan berkenaan baru berusia tiga bulan pada 10 tahun lalu.
Pemilik Mulan yang terdahulu tidak mampu menjaganya namun Abdullah begitu gembira apabila diberitahu dia perlu menghabiskan kebanyakan masanya dengan haiwan itu.
Sejak itu, Abdullah sering menghabiskan masa bersama-sama Mulan dan mula menjadi rakan karib sehinggakan ramai menggelarkan Abdullah sebagai ‘Nenek’.
“Jika saya tiada di rumah, Mulan akan cuba mencari saya, dia pasti bimbang. Disebabkan itu, saya selalu bermain, tidur dan memberi makanan kepada dia,” kata Abdullah kepada Barcroft TV, tiga tahun lalu.
Walaupun Mulan begitu jinak dengan Abdullah, namun lelaki tersebut tidak mengambil mudah soal keselamatan diri terutamanya ketika bermain-main dengan haiwan berkenaan.
“Saya sedar dia merupakan haiwan yang mempunyai naluri tersendiri seperti kucing. Apabila dia bermain, Mulan boleh mencakar dan menggigit, itu adalah beberapa risiko yang perlu saya tanggung,” kata Abdullah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/abdullah-mulan-bersahabat-baik-1.486398#ixzz4iFZAGcYQ

Wednesday, May 24, 2017

Lelaki umur 40 tahun dapat zakar baharu

JOHANNESBURG – Pembedahan transplan zakar ketiga di dunia berjaya dilakukan ke atas seorang lelaki berusia 40 tahun di Afrika Selatan oleh pasukan doktor daripada Universiti Stellenbosch dan Hospital Akademik Tygerberg.
Ini merupakan transplan zakar kedua yang dilaksanakan di Afrika Selatan selepas pembedahan pertama dikendalikan pasukan sama pada Disember 2014.
Penerima organ itu dilaporkan kehilangan zakarnya sejak hampir 17 tahun lalu gara-gara komplikasi selepas berkhatan secara tradisional.
Pembedahan pemindahan zakar yang diketuai oleh Profesor Andre Van der Merwe pada 21 April lalu itu mengambil masa sembilan jam setengah, lapor portal berita tempatan, Health24.
“Dia merupakan salah seorang pesakit paling gembira yang kami lihat di wad kami. Dia semakin sembuh. “Tiada sebarang penolakan oleh sistem imunisasi badan, manakala zakar yang disambung semula pulih dengan baik,” kata Van der Merwe.
Pesakit, katanya, akan dapat menggunakan sepenuhnya zakar baharu itu dalam masa enam bulan lagi.
Namun, Van der Merwe menambah, organ baharu lelaki itu mempunyai warna berbeza memandangkan dia merupakan lelaki kulit hitam, manakala penderma organ pula berkulit putih. – Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2017&dt=0525&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz4i9hCRfDy 

Bawa buaya bersiar sebelum dijadikan sate

Shenyang (China): Seorang peniaga makanan dikecam pengguna laman sosial selepas dia dilihat membawa seekor buaya bersiar-siar di bandar ini sebelum haiwan itu dibunuh untuk dijadikan sate.
Reptilia sepanjang 1.5 meter itu menarik perhatian orang ramai ketika dibawa bersiar-siar oleh seorang lelaki di sebatang jalan di bandar ini pada Ahad lalu.
Imej yang disiarkan di media sosial menunjukkan haiwan itu ditarik dengan tali dan dibawa bersiar-siar di sepanjang jalan itu.
Orang ramai juga dilihat mengerumuni buaya yang diikat mulutnya untuk bergambar.
Selepas bersiar-siar, lelaki berkenaan kemudian membawa buaya itu ke restoran miliknya dan memberitahu orang ramai bahawa haiwan itu akan dipotong untuk dijadikan sate.
Tidak lama selepas itu, dia meletakkan daging buaya yang dicucuk pada lidi di hadapan restorannya bersama haiwan eksotik lain seperti lipan dan kala jengking.
Media tempatan melaporkan, buaya seberat 13 kilogram itu diternak di sebuah ladang untuk dijadikan makanan.
Tindakan lelaki itu dikecam pengguna media sosial dan aktivis haiwan kerana dianggap sebagai kejam.
Dalam masyarakat Cina, daging buaya dimakan untuk tujuan kesihatan kerana dipercayai mampu merawat penyakit seperti batuk dan lelah. 

- Agensi/Metro

Monday, May 22, 2017

Potong anu sami gatal

Kerala: Seorang wanita dipuji kerana keberaniannya memotong kemaluan seorang lelaki yang didakwa mahu memperkosanya.
Pegawai berkata, seorang sami mencabul wanita berusia 23 tahun itu sejak beberapa tahun lalu sebelum mangsa bertindak memotong kemaluannya dengan pisau yang disembunyikan di bawah bantalnya.
Wanita itu memberitahu polis, dia bertindak demikian selepas tidak tahan diperkosa sepanjang lima tahun lalu.
Bagaimanapun, sami terbabit kemudian mendakwa, dia sendiri yang memotong kemaluannya, lapor akhbar Hindustan Times.
Pinarayi Vijayan, Ketua Menteri Kerala, negeri di selatan India, tempat kejadian itu berlaku berkata: “Wanita itu bertindak berani.”
Dalam wawancara menerusi telefon, ketua polis daerah G Sparjan Kumar mengesahkan kejadian itu dengan berkata, mangsa menggunakan pisau untuk mempertahankan dirinya dan memotong kemaluan sami terbabit.
“Lelaki itu, Hari Swami yang dalam keadaan serius selepas kejadian itu dihantar ke hospital kerajaan berhampiran,” katanya.
Media tempatan melaporkan, Swami kini berada dalam keadaan stabil selepas menjalani rawatan kecemasan.
Menurut Kumar, wanita itu mendakwa dia menjadi mangsa pencabulan sami itu selama beberapa tahun dan lelaki terbabit akan berdepan tuduhan melakukan serangan seksual.
Polis berkata, ibu bapa wanita itu yang tinggal di rumah yang sama tidak menyedari tindakan sami berkenaan.
“Wanita itu memberitahu kami, ibu bapanya terlalu mempercayai sami berkenaan dan dia sering dijemput melakukan upacara khas dan bermalam di rumah keluarga itu,” kata Kumar.
Mangsa kini diletakkan di bawah perlindungan polis.
Serangan seksual membabitkan ‘orang agama’ sering berlaku di negeri di selatan India itu.
Bulan lalu, dua rahib wanita dan seorang paderi yang dituduh menyembunyikan kelahiran seorang bayi oleh seorang remaja belasan tahun yang diperkosa oleh seorang paderi lain, ditangkap.
Tahun lalu, seorang rahib dipenjara 40 tahun oleh mahkamah Kerala kerana memperkosa seorang kanak-kanak berusia 12 tahun pada 2014.

-Metro

Sunday, May 21, 2017

Kerja hidu pencemaran



Beijing: Ia mungkin kerja paling pelik. Tetapi ia juga antara tugas paling penting.
Di Shijiazhuang, bandar paling tercemar di utara China, sepasukan penghidu pencemaran bekerja keras untuk mengenal pasti pencemaran udara.
Setiap hari, udara yang diambil dari puluhan kawasan di seluruh bandar raya berkenaan diiisikan ke dalam beg plastik dan dihantar ke pusat pengawasan alam sekitar bandar itu untuk dihidu petugas.
Mereka akan mengenal pasti sama ada sampel berkenaan mengandungi pencemaran dengan menghidu udara di dalamnya.
“Bertindak balas terhadap laporan pencemaran perlu dilakukan sepantas mungkin. Menggunakan hidung adalah cara terpantas untuk menentukan sama ada wujud pencemaran atau tidak. Ia boleh juga menentukan tahap pencemaran itu, sama ada teruk atau sebaliknya,” kata Wang Haiying, penghidu kanan udara di pusat berkenaan.
Menurutnya, penghidu udara terbabit sudah menjalani latihan khusus untuk menentukan pencemaran udara dengan menggunakan deria bau mereka.
Pekerja yang mengumpulkan sampel udara itu pula menggunakan botol vakum untuk menyedut udara di kawasan yang ditetapkan.
Untuk layak menjadi penghidu pencemaran, petugas terlebih dahulu perlu memperoleh lesen yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.
Sebaik disahkan sampel itu mengandungi udara yang tercemar, tahap pencemaran akan dikira menggunakan mesin khas dan keputusannya diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan.
Ramai yang menganggap tugas menghidu udara itu berbahaya. Bagaimanapun Wang menolak kebimbangan itu. “Memang ada bahayanya. Tetapi ia tidak serius,” katanya.
Menurutnya, untuk meningkatkan keupayaan mereka menghidu pencemaran, sebahagian besar petugas mengelak memakan makanan pedas kerana mendakwa ia boleh menjejaskan deria bau mereka.
Bandar Shijiazhuang sering dilanda jerebu. Disember tahun lalu, keadaan begitu teruk sehingga memaksa sekolah dan kilang ditutup sementara penduduk diarah tidak memandu kenderaan.

-Metro

Thursday, May 18, 2017

Anak kambing bermata satu



SEEKOR anak kambing yang dilahirkan dengan bermata satu di tengah-tengah mukanya, satu telinga di Assam, India, diramalkan tidak dapat hidup lama.
Anak kambing bermata satu yang besar itu lahir di sebuah perkampungan pada 10 Mei lalu. Doktor haiwan menjangka hayatnya hanya beberapa hari namun anak kambing itu masih hidup sampai sekarang.
Keadaan anak kambing itu digelar ‘cyclopia’, terjadi ketika dalam rahim ibunya apabila bahagian kiri dan kanan otaknya tidak berpisah pada awal kehamilan seperti sewajarnya, menyebabkan hanya berlaku satu pembentukan menyebabkan hanya satu mata terbentuk.
Menurut animals.barcroft.tv, ia juga tidak mempunyai kelopak mata dan batang hidung manakala bibirnya terlalu kecil, tanpa gigi menyebabkan lidahnya terjulur keluar.
Keadaan yang sama pernah berlaku membabitkan haiwan lain, termasuk kuda, babi, lembu, kucing dan ikan jerung.
Sejak berita anak kambing itu tersebar, kampung berkenaan dikunjungi ramai orang bagi melihat sendiri keganjilannya, malah ada penduduk yang kini menganggapnya suci.
Pemilik kambing itu, Mukhuri Das, berkata dia terkejut melihat keadaan anak kambing itu selepas dilahirkan.
“Saya meminta doktor haiwan memeriksa keadaan anak kambing itu dan mereka beritahu ia akan mati dalam masa beberapa hari namun anak kambing itu masih hidup.
“Ia bagaikan sesuatu yang ajaib dan kini ramai orang datang ke kampung kami untuk melihatnya,” katanya.

-Metro

Wednesday, May 17, 2017

Nasib baik terlepas

SEORANG lelaki terpaksa berlari mengikut kereta api laju yang sedang bergerak selepas jarinya tersangkut pada pintu kereta api itu di Changzhou, wilayah Jiangsu.
Dalam rakaman video kejadian yang berlaku semalam, lelaki itu dilihat berlari mengikut kereta api manakala orang ramai menjerit-jerit ketakutan sebelum mangsa berjaya melepaskan jarinya.
Menurut portal People's Daily, lelaki itu tersilap menaiki kereta api dan cuba keluar selepas menyedari kesilapannya namun ketika keluar, jarinya tersangkut pada pintu automatik.
Lelaki itu bagaimanapun, tidak mengalami kecederaan dan dia kemudian menaiki kereta api yang betul.



-Metro

https://youtu.be/M3CRUwkUH_E

Monday, May 15, 2017

Kepala pecah dihentak bata


SEORANG wanita berusia 23 tahun dibunuh kejam dengan kepalanya pecah dihentak dengan bata di Haryana, dekat New Delhi, oleh sekumpulan lelaki yang merogolnya selepas dia mengancam akan membuat laporan polis, minggu lalu.
Menurut polis hari ini, dua lelaki sudah ditahan berhubung kejadian yang berlaku di bandar Sonipat, kira-kira 40 kilometer di utara New Delhi dan enam lagi sedang disiasat selepas menerima laporan daripada ibu mangsa.
Superintendan Ashwin Shenvi berkata, wanita yang bekerja sebagai buruh itu dijemput kumpulan lelaki itu, dengan sekurang-kurangnya seorang dikenalinya dari rumah mangsa dan dibawa ke bandar Rohtak berdekatan sebelum dirogol.
“Apabila dia berkata mahu membuat laporan polis, mereka menghentak kepalanya dengan bata. Cara mereka membelasahnya mengerikan,” katanyanya.
Mayat wanita itu ditemui ditinggalkan di tengah padang, Jumaat lalu.
Ibu mangsa pernah membuat laporan polis terhadap seorang lelaki itu kerana mendesak mangsa berkahwin dengannya.
Jenayah seksual mendapat perhatian di India selepas kejadian pelajar perubatan 23 tahun maut selepas dirogol beramai-ramai dalam bas yang membawa kepada pindaan undang-udang mengenakan hukuman lebih berat bagi banyak jenayah, termasuk serangan asid dan keganasan rumah tangga.
Purata, 50 jenayah terhadap wanita direkod polis New Delhi setiap hari, termasuk sekurang-kurangnya empat kes rogol.

-Metro

Sunday, May 14, 2017

Dipaksa tanggal coli sebelum duduki peperiksaan



Kannur (Kerala): Empat guru dipecat selepas didakwa memaksa seorang pelajar menanggalkan colinya di tempat awam beberapa minit sebelum menduduki peperiksaan kemasukan ke kolej perubatan di seluruh India.
Guru itu dikatakan bertindak demikian kerana bimbang pelajar itu meniru.
Menurut pelajar itu yang namanya tidak didedahkan, pengesan logam yang digunakan untuk mengimbas pelajar berbunyi ketika dia melangkah masuk ke dewan peperiksaan.
“Mereka tidak membenarkan saya masuk kecuali saya menanggalkan coli. Saya terpaksa menanggalkannya dan memberikan kepada ibu yang menanti saya di luar,” kata pelajar berkenaan.
Lembaga Pusat Pelajaran Menengah India mengenakan syarat ketat kepada mereka yang menduduki peperiksaan berkenaan yang diadakan serentak di seluruh negara 7 Mei lalu.
Selain kejadian di Kerala, ada pelajar dikatakan diminta menanggalkan tudung mereka dan tindik hidung. Beberapa sekolah juga bertindak memotong lengan baju pelajar sebagai langkah mengelak mereka meniru.

-Metro

Thursday, May 11, 2017

Bantu namakan orang utan albino



Jakarta: Orang ramai diminta menamakan seekor orang utan albino yang sangat jarang ditemui selepas organisasi perlindungan menjadikan haiwan itu sebagai ‘duta’ spesies yang semakin terancam berkenaan.
Orang utan betina yang berbulu putih dan bermata biru itu diselamatkan di daerah Kapuas Hulu daripada penduduk kampung yang mengurungnya di dalam sangkar.
Yayasan Orang utan Borneo (BOSF) yang menjaga spesies terancam berkenaan memberitahu, ini adalah kali pertama dalam tempoh 25 tahun badan itu menerima orang utan albino.
Kata badan itu, orang utan berkenaan yang berusia lima tahun masih lemah dan dijangkiti parasit serta takutkan manusia.
Badan itu juga mahu mencari nama untuk orang utan berkenaan yang bersesuaian dengan situasi haiwan itu.
“Dia kini menjadi duta kepada spesiesnya dan sebab itu kami meminta orang ramai membantu kami untuk menamakannya,” kata BOSF dalam satu kenyataan kelmarin.
Kata kenyataan itu, orang utan berkenaan kini ditempatkan di pusat pemulihan BOSF yang memelihara hampir 500 orang utan. 

- AFP/Metro

Wednesday, May 10, 2017

Nanas dipamerkan sebagai hasil seni



Aberdeen (Scotland): Dua pelajar yang meninggalkan sebiji buah nanas di satu pameran seni terkejut apabila mendapati buah berkenaan dipamerkan sebagai hasil kreatif.
Ruairi Gray dan rakannya, Lloyd Jack meninggalkan nanas berkenaan yang dibeli di sebuah pasar di galeri seni di Universiti Robert Gordon sebagai satu gurauan.
Mereka meninggalkan nanas berkenaan di atas satu meja pameran kosong yang dikelilingi dengan hasil seni di pameran berkenaan.
Apabila Gray dan Jack kembali semula ke galeri berkenaan empat hari kemudian, mereka terkejut melihat nanas itu diletakkan di dalam cermin pameran dan ramai pengunjung beranggapan ia adalah hasil seni.
“Saya mendapati ada satu meja pameran yang kosong dan sengaja meletakkan nanas itu untuk melihat berapa lama ia akan berada di sana atau ia disangka sebagai satu hasil seni.
“Selepas beberapa hari kami datang semula dan terkejut apabila mendapati nanas itu diletakkan di dalam cermin pameran seperti hasil seni yang lain,” kata Gray.
Penganjur pameran berkenaan Natalie Kerr berkata, kejadian itu adalah misteri kerana tiada siapa tahu siapa yang meletakkan nanas berkenaan ke dalam cermin pameran itu.
“Kami sedang mengalihkan pameran berkenaan dan apabila kembali 10 minit selepas itu kami dapati nanas itu berada di dalam cermin kaca.
“Penyelia saya melihat nanas itu dan bertanya kepada pensyarah seni adakah ia asli kerana dia sendiri tidak mempercayainya,” katanya.

-Metro

Monday, May 8, 2017

Lelaki miliki kaki seberat 150 kilogram

Wuhan (China): Seorang lelaki mengalami sejenis penyakit yang menyebabkan kakinya membesar secara luar biasa hingga mencecah berat 150 kilogram.
Liu Zhongqiu, 27, yang berasal dari Fuxing juga diberitahu dia tidak mungkin hidup melebihi usia 20 tahun akibat penyakit elefantiasis atau kaki gajah yang dihidapinya.
Elefantiasis yang juga dikenali sebagai penyakit untut berpunca daripada sejenis jangkitan cacing bawaan nyamuk.
Bagaimanapun, Liu yang menghidap penyakit itu sejak kanak-kanak, hidup mengatasi ramalan berkenaan dan terus berjuang untuk hidup.
Liu berkata, dia sudah berputus asa untuk melihat kakinya kembali normal dan kini berjuang untuk terus hidup.
“Saya paling takut apabila bangun pada waktu pagi dan melihat kaki saya ini meletup.
“Doktor memberitahu saya mungkin tidak sempat menyambut ulang tahun kelahiran saya yang ke-20. Tetapi kini saya berusia 27 tahun dan saya percaya itu satu keajaiban,” katanya.
Menurutnya, sejak beberapa tahun lalu, dia merantau dari satu bandar ke satu bandar di China untuk mencari doktor yang mampu merawatnya.
Liu kini meminta sedekah di jalan raya di Wuhan di wilayah Hubei dan menggunakan wang itu bagi membiayai rawatan di sebuah hospital di situ.

 - Agensi/Metro

Thursday, May 4, 2017

Janji 'si janda'

Kuala Lumpur: Mengaku sebagai janda dan berjanji mahu mengikat tali pertunangan. Itu antara ayat manis ditaburkan seorang lelaki bagi memerangkap mangsanya dengan menyamar sebagai wanita melalui dua akaun palsu di Facebook.
Bagaimanapun kegiatan suspek berusia 23 tahun dan berasal dari Kampung Belakang Pendang, Kedah, itu terbongkar apabila ditahan seorang mangsa yang mengetahui helahnya.
Malah kisah pembohongan lelaki itu turut menjadi tular di laman sosial selepas rakaman video serta bukti transaksi pemberian wang terhadapnya didedahkan melalui status dimuat naik seorang wanita sejak kelmarin.
Menurut maklumat dilaporkan, lelaki itu dipercayai menipu beberapa mangsa membabitkan lelaki tempatan dan warga Indonesia dengan nilai kerugian dianggarkan lebih RM17,000.
Sumber berkata, suspek aktif menipu menggunakan dua akaun palsu di Facebook dengan nama ‘Chinta Chanduri’ dan ‘Syarifah Syakilla’.

-Metro

Wednesday, May 3, 2017

Artis Mesir tulis Al-Quran 700 meter



Gharbia: Seorang artis Mesir yang belajar sendiri selepas gagal meneruskan persekolahannya, menghabiskan masa tiga tahun untuk menghasilkan apa yang diharapkannya sebagai kitab suci Al-Quran terbesar di dunia.
Saad Mohammed yang sebelum ini menghasilkan lukisan bertemakan Islam pada dinding dan siling rumahnya di Gharbia, bandar di utara Kaherah, berjaya menyalin ayat suci Al-Quran pada kertas sepanjang 700 meter.
Dia mempamerkannya dalam kotak kayu besar yang dilengkapkan dengan roda pada setiap hujungnya.
“Al-Quran ini sepanjang 700 meter dan sudah pasti saya menggunakan kertas yang banyak. Saya membiayai sendiri projek ini dan menghabiskan masa tiga tahun untuk menyiapkannya,” katanya dalam wawancara dengan Reuters Television.
Saad yang berkata dia tidak mempunyai sebarang harta merancang mengemukakan Al-Quran itu untuk dimasukkan ke dalam Rekod Dunia Guinness.
Menurut Guinness, rekod Al-Quran yang dicetak yang terbesar di dunia sudah ada tetapi setakat ini belum ada pemegang rekod untuk versi tulis tangan.

-Metro

Tuesday, May 2, 2017

Cerai isteri rakam gambar makanan


Amman: Gara-gara merakam gambar makanan, seorang lelaki bertindak menceraikan isterinya.
Kejadian berlaku di sebuah restoran di barat bandar raya ini apabila wanita itu mencetuskan kemarahan suaminya setelah memaksa dia berhenti makan untuk membolehkan dia merakam gambar makanan itu dan menghantar gambar berkenaan kepada rakannya menerusi Snapchat.
Menurut laporan media tempatan, lelaki itu membawa isterinya makan malam di sebuah restoran mewah Sabtu kelmarin.
Kerana terlalu ramai pelanggan, mereka terpaksa menunggu setengah jam untuk makanan tiba, menyebabkan si suami terlalu lapar.
Bagaimanapun, apabila hendak menyentuh makanan itu, isterinya meminta dia bersabar sementara dia merakam gambar makanan berkenaan.
Keadaan menjadi tegang apabila lelaki itu menghalang isterinya berbuat demikian.
Si suami meninggikan suara diikuti dengan lafaz talak sebelum meninggalkan restoran itu tanpa membayar harga makanan itu. 

- Agensi/Metro

Monday, May 1, 2017

‘Gorila’ tamatkan maraton selepas 6 hari

Tom Harrison diiringi dua anaknya, Nicholas dan Alex merangkak

LONDON 1 Mei - Seorang pegawai polis Bri­tain yang sanggup merangkak di sepanjang laluan acara London Marathon dengan memakai kostum gorila telah ber­jaya mengutip dana berjumlah AS$42,700 (RM185,360) sele­pas mengharungi perjalanan sejauh 42.16 kilometer.
Menurut portal berita Huf­fington Post, Tom Harrison yang bertugas di Jabatan Polis Me­tropolitan dilaporkan berjaya me­lintasi garisan penamat semalam, enam hari selepas perlumbaan bermula.
Anggota polis berusia 41 tahun yang kini mendapat gelaran Encik Gorila, bertindak memakai kostum berkenaan demi me­ngum­pul dana untuk Pertubuhan Gorila, yang menjalankan usaha bagi melindungi spesies terancam itu.
“Walaupun usaha ini kelihatan sukar dan aneh, tetapi saya benar-benar gembira kerana berjaya melakukan,” katanya kepada akhbar The Guardian selepas melengkapkan matlamat luar biasa itu.
Harrison yang memakai sut lengkap bersama topeng dan kasut berbulu, berjalan kira-kira 7.2 kilometer sehari dan terpaksa tinggal di rumah beberapa rakannya sebelum menamatkan misi tersebut.
Akhbar The Guardian mela­porkan, ketika berada di garisan penamat, Harrison disambut oleh Pengerusi Pertubuhan Gorila, Ian Redmond; pelawak terke­nal, Bill Oddie, serta dua anak lelakinya yang turut memakai sut gorila.
Harrison mengakui merasa ter­haru dengan sokongan pelbagai pihak dan tidak menjangka dana yang dikumpulkan itu melebihi 20 kali ganda dari matlamat asal sebanyak AS$1,900 (RM8,247) yang disasarkan menerusi inisiatif tersebut.
Susulan kejayaan itu, anggota polis berkenaan kini merancang menyertai siri jelajah berbasikal Ride London sejauh 160 kilome­ter Julai ini dengan memakai kos­tum sama.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/8216-gorila-8217-tamatkan-maraton-selepas-6-hari-1.476466#ixzz4fzIoVymC
© Utusan Melayu (M) Bhd