Sunday, May 21, 2017

Kerja hidu pencemaran



Beijing: Ia mungkin kerja paling pelik. Tetapi ia juga antara tugas paling penting.
Di Shijiazhuang, bandar paling tercemar di utara China, sepasukan penghidu pencemaran bekerja keras untuk mengenal pasti pencemaran udara.
Setiap hari, udara yang diambil dari puluhan kawasan di seluruh bandar raya berkenaan diiisikan ke dalam beg plastik dan dihantar ke pusat pengawasan alam sekitar bandar itu untuk dihidu petugas.
Mereka akan mengenal pasti sama ada sampel berkenaan mengandungi pencemaran dengan menghidu udara di dalamnya.
“Bertindak balas terhadap laporan pencemaran perlu dilakukan sepantas mungkin. Menggunakan hidung adalah cara terpantas untuk menentukan sama ada wujud pencemaran atau tidak. Ia boleh juga menentukan tahap pencemaran itu, sama ada teruk atau sebaliknya,” kata Wang Haiying, penghidu kanan udara di pusat berkenaan.
Menurutnya, penghidu udara terbabit sudah menjalani latihan khusus untuk menentukan pencemaran udara dengan menggunakan deria bau mereka.
Pekerja yang mengumpulkan sampel udara itu pula menggunakan botol vakum untuk menyedut udara di kawasan yang ditetapkan.
Untuk layak menjadi penghidu pencemaran, petugas terlebih dahulu perlu memperoleh lesen yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.
Sebaik disahkan sampel itu mengandungi udara yang tercemar, tahap pencemaran akan dikira menggunakan mesin khas dan keputusannya diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan.
Ramai yang menganggap tugas menghidu udara itu berbahaya. Bagaimanapun Wang menolak kebimbangan itu. “Memang ada bahayanya. Tetapi ia tidak serius,” katanya.
Menurutnya, untuk meningkatkan keupayaan mereka menghidu pencemaran, sebahagian besar petugas mengelak memakan makanan pedas kerana mendakwa ia boleh menjejaskan deria bau mereka.
Bandar Shijiazhuang sering dilanda jerebu. Disember tahun lalu, keadaan begitu teruk sehingga memaksa sekolah dan kilang ditutup sementara penduduk diarah tidak memandu kenderaan.

-Metro

No comments:

Post a Comment