LONDON 1 Mei - Seorang pegawai polis Britain yang sanggup merangkak di sepanjang laluan acara London Marathon dengan memakai kostum gorila telah berjaya mengutip dana berjumlah AS$42,700 (RM185,360) selepas mengharungi perjalanan sejauh 42.16 kilometer.
Menurut portal berita Huffington Post, Tom Harrison yang bertugas di Jabatan Polis Metropolitan dilaporkan berjaya melintasi garisan penamat semalam, enam hari selepas perlumbaan bermula.
Anggota polis berusia 41 tahun yang kini mendapat gelaran Encik Gorila, bertindak memakai kostum berkenaan demi mengumpul dana untuk Pertubuhan Gorila, yang menjalankan usaha bagi melindungi spesies terancam itu.
“Walaupun usaha ini kelihatan sukar dan aneh, tetapi saya benar-benar gembira kerana berjaya melakukan,” katanya kepada akhbar The Guardian selepas melengkapkan matlamat luar biasa itu.
Harrison yang memakai sut lengkap bersama topeng dan kasut berbulu, berjalan kira-kira 7.2 kilometer sehari dan terpaksa tinggal di rumah beberapa rakannya sebelum menamatkan misi tersebut.
Akhbar The Guardian melaporkan, ketika berada di garisan penamat, Harrison disambut oleh Pengerusi Pertubuhan Gorila, Ian Redmond; pelawak terkenal, Bill Oddie, serta dua anak lelakinya yang turut memakai sut gorila.
Harrison mengakui merasa terharu dengan sokongan pelbagai pihak dan tidak menjangka dana yang dikumpulkan itu melebihi 20 kali ganda dari matlamat asal sebanyak AS$1,900 (RM8,247) yang disasarkan menerusi inisiatif tersebut.
Susulan kejayaan itu, anggota polis berkenaan kini merancang menyertai siri jelajah berbasikal Ride London sejauh 160 kilometer Julai ini dengan memakai kostum sama.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/8216-gorila-8217-tamatkan-maraton-selepas-6-hari-1.476466#ixzz4fzIoVymC
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment