Sunday, June 18, 2017

Denda kerana zalimi udang karang


ROM – Mahkamah atasan Itali kelmarin memutuskan bahawa udang karang tidak harus diletakkan di atas ais di dapur restoran kerana tindakan itu mengakibatkan penderitaan yang tidak boleh dibenarkan sebelum ia dijadikan suatu hidangan lazat.
Sekumpulan hakim membenarkan aduan daripada kumpulan hak asasi manusia ke atas pemilik sebuah restoran berhampiran bandar Florence, Itali yang menyimpan haiwan krustasia secara hidup-hidup di atas ais. Pemilik restoran berkenaan didenda sebanyak 2,000 Euro (RM9,600) dan tambahan 3,000 Euro (RM14,400) bagi yuran guaman.
Sambil mengekalkan keputusan terdahulu oleh mahkamah bawahan, mahkamah rayuan memutuskan bahawa udang karang lazimnya dimasak ketika ia masih hidup tidak bermaksud hidupan laut itu boleh dizalimi terlebih dulu.
“Walaupun kaedah memasak tertentu boleh dibenarkan undang-undang kerana ia menjadi kebiasaan, namun menyiksa haiwan sementara menunggu untuk dimasak adalah tidak wajar,” kata barisan hakim tersebut.
Mahkamah menyatakan sudah menjadi kelaziman restoran-restoran mewah dan pasar raya untuk menyimpan hidupan laut di dalam tangki air dengan gas oksigen pada suhu bilik. 

– Reuters/Kosmo


Thursday, June 15, 2017

Telefon dalam perut, dubur



Brasilia: Tiga banduan ditangkap dengan 19 telefon bimbit di dalam badan mereka selepas dikesan alat pengesan logam di penjara mereka.
Mereka diarahkan menjalani X-ray selepas penggera alat pengesan itu berbunyi ketika pemeriksaan di penjara di Presidente Bernardes, Sao Paulo.
Seorang banduan ditemui dengan lima telefon bimbit kecil di dalam duburnya manakala rakannya menyembunyikan empat.
Banduan ketiga mempunyai 10 alat berkenaan di dalam perutnya malah turut ditemui fon kepala dan terpaksa menjalani pembedahan untuk mengeluarkan semuanya.
Dua banduan yang menyorokkan telefon bimbit di dalam dubur tidak memerlukan sebarang rawatan.

-Metro

Tuesday, June 13, 2017

'Kesungguhan mak cik penjual rebung,' kongsi Asri

'Kesungguhan mak cik penjual rebung,' kongsi Asri
SHAH ALAM - "Ketika jam hampir 12 malam, mak cik ini masih di kaki lima menjual rebung dan beberapa jenis makanan segera," demikian coretan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin di Facebooknya mengenai kisah kesungguhan seorang mak cik penjual rebung.
Mohd Asri atau lebih dikenali sebagai Dr Maza berkata, pada awalnya beliau, bertemu dengan anaknya yang masih kecil berniaga di hadapan bangunan KFC Kangar.
"Dia anak istimewa. Dia memberitahu ibunya juga berniaga di sana. Saya mencari ibunya. Saya dapati wanita yang sudah berusia berniaga di kaki lima," ujar Mohd Asri
Ujar Mohd Asri, tatkala beliau bertamu mata dengan mak cik itu, emak kepada anak OKU itu, beliau bertanya kepadanya sama ada, dia ada mendapat bantuan zakat.
"Dia menjawab: Ya! Mak cik ada terima zakat secara bulanan dan bantuan Badan Kebajikan juga. Cumanya mak cik tidak mahu duduk sahaja sebab ada tanggungjawab tiga anak OKU di rumah," jelas wanita itu kepadanya.
"Saya lihat dia menjual sekarong rebung yang dimasukkan dalam bungkusan-bungkusan kecil. Agak banyak dan berat," katanya.
Saya bertanya: "Dari mana modal mak cik ambil untuk berniaga?" Dia menjawab: "Mak cik cari dan potong sendiri dari hutan".
Rebung yang dijual makcik berkenaan.
Mendengar luahan mak cik itu, Mohd Asri berkata, hatinya tersentuh.
"Saya sedih mendengar kesungguhan beliau berusaha agar tidak meminta-minta. Itulah kemuliaan dan itulah ibadah yang hebat," katanya.
Oleh itu, kata Maza lagi terkesan dengan luahan itu, beliau menghulurkan sedikit sumbangan kemudian beliau membeli kesemua rebungnya sebagai tanda sokongan.
"Hampir 40 bungkus rebong beliau. Saya bukan penggemar rebung. Namun saya pasti pagi esok saya akan cari masjid yang sudi terima semua rebung ini untuk dibuat menu berbuka puasa," katanya.
Ujar Mohd Asri lagi, sebelum beliau dan keluarga beredar, beliau ada bertanyakan kepada mak cik itu, "Mak Cik tinggal di mana?" Jawabnya: "Di Chuping". Saya tanya lagi: "Macam mana semua barang ini dibawa ke sini?"
"Dia menunjukkan motosikalnya yang uzur. Dia beritahu semalam tayar motorsikalnya pecah, dia terpaksa menolak motorsikal itu sehingga ke rumah. Dari jam 12 malam, jam 4 pagi baru sampai rumah. Amat sedih saya mendengar".
Berbicara lanjut, ujat Maza sebelum beliau masuk ke keretanya, beliau bertanya lagi, "Mak cik tahu pejabat Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) di mana? Dia agak terpinga-pinga. Saya tanya lagi: Mak Cik tahu pejabat zakat kat mana? Dia jawab: Tahu! Saya kata kepadanya: "Di situlah pejabat MAIPs. Esok pergi ke situ bagitahu kat kaunter tu mufti suruh mak cik mohon zakat tambahan". Dia mengangguk,".
Menyimpulkan peristiwa itu Mohd Asri berkata, "orang sepertinya yang kuat berusaha tidak duduk saja layak ditambah peruntukan bantuan. Insya-ALLAH MAIPs akan menambahkan bantuan untuknya,".
"Saya beredar dalam jiwa yang sedih. Semoga ALLAH ampuni saya dan segala dosa serta kelemahan saya. Semoga ALLAH memberikan rezeki kepadanya yang banyak. Melihat kepada kesusahan dan kesungguhan orang yang seperti ini, menjadikan kita insaf betapa kita tidak cukup bersyukur kepada ALLAH atas segala kurniaanNYA dan betapa sedikitnya ujian yang kita terima," katanya.

-Sinar

Monday, June 12, 2017

Buaya ‘intai’ mangsa ditangkap


MIRI – Kebimbangan kira-kira 400 penduduk Kampung Lajong di sini berikutan buaya besar yang kerap menghendap untuk mencari mangsa berakhir selepas reptilia itu termakan jerat di kawasan pam air kampung itu di sini pagi kelmarin.
Jurucakap Sarawak Forestry Corporation (SFC) memberitahu, buaya jantan daripada spesies katak sepanjang empat meter dan berat kira-kira 250 kilogram itu ditangkap pukul 9 pagi selepas memakan salah satu daripada 10 umpan ayam serta daging yang dipasang di Sungai Lajong.
Menurutnya, operasi memasang jerat bermula sejak Jumaat lalu selepas seorang penduduk sempat merakam reptilia itu yang muncul di permukaan air lalu menyebarkannya di media sosial.
“Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (Swat) segera memasang umpan selepas kebimbangan penduduk kampung semakin memuncak susulan rakaman yang menun­jukkan buaya itu sedang menunggu untuk membaham mangsa.
“Kejadian itu sebenarnya sudah berlanjutan beberapa minggu, namun baru-baru ini menjadi lebih serius selepas buaya itu kerap muncul di kawasan yang menjadi tumpuan penduduk untuk mengambil air,” katanya semalam.


-Kosmo

Hukum mati hina Islam di Facebook

MAHKAMAH anti-keganasan di Bahawalpur, Pakistan menjatuhi hukuman mati terhadap lelaki yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW di Facebook dalam kes pertama seumpamanya di negara itu.
Hukuman mati ke atas Taimoor Raza, 30, susulan tindakan keras kerajaan Perdana Menteri Nawaz Sharif terhadap mereka yang menghina Islam di media sosial.
Pendakwa raya di Bahawalpur, Shafiq Qureshi berkata, Taimoor didapati bersalah kerana mengeluarkan kata-kata menghina terhadap Rasulullah SAW, isteri-isteri dan sahabatnya di media sosial.
“Mahkamah anti-keganasan di Bahawalpur menjatuhi hukuman mati terhadapnya. Hukuman mati pertama dalam kes membabitkan media sosial,” kata Shafiq.
Sangat jarang bagi mahkamah anti-keganasan mendengar kes seumpama itu tetapi perbicaraan Taimoor termasuk dalam kategori ini kerana dakwaan ke atasnya yang dikaitkan dengan ucapan berbaur kebencian.
Shafiq berkata, Taimoor ditangkap selepas menulis kata-kata menghina Nabi dan ucapan berbaur kebencian menerusi telefon bimbitnya di perhentian bas di Bahawalpur, tempat anggota antikeganasan menangkap dan merampas telefon bimbitnya.
“Perbicaraan diadakan di penjara Bahawapur dengan pengawalan ketat,” katanya.
Oleh kerana sabitan ke atas Taimoor di bawah mahkamah anti-keganasan, dia boleh merayu hukuman di Mahkamah Tinggi sebelum ke Mahkamah Agung.
Sekurang-kurangnya 67 pembunuhan berhubung tuduhan menghina Islam yang tidak dapat dibuktikan dilaporkan sejak 1990.

-Metro

Thursday, June 8, 2017

'Bas Pelancong' keliling Madinah


Madinah: ‘Bas Pelancong’ melakukan perjalanan ujian pertamanya di bandar suci ini, kelmarin.
Sebuah syarikat yang pakar mengenai pelancongan akan mengendalikan bas berkenaan bagi pihak Lembaga Pembangunan Al-Madinah Al-Munawarah.
Pegawai perhubungan awam lembaga itu, Fahad Al-Bayti berkata, perjalanan julung kali itu yang disertai wakil media, ahli perniagaan dan wanita adalah sebagai persiapan untuk pelancaran rasmi projek berkenaan dalam masa beberapa hari lagi.
Menurutnya, peserta memuji kelengkapan yang digunakan dan acara yang diatur.
Bas dua tingkat itu mesra orang kurang upaya bagi membolehkan golongan itu juga mendapat faedah daripada projek unik itu.
Perjalanan itu yang akan bermula dari Masjid Nabawi, akan membawa pelawat ke 11 tempat di Madinah, termasuk kawasan bersejarah seperti Tanah Perkuburan Al-Baqwa, Gunung Uhud, Masjid Dua Kiblat, Jalan Sultanah dan pusat komersial.
Menurut Fahad, pertimbangan khas diberikan ketika menetapkan harga supaya perkhidmatan itu dalam kemampuan semua.
Untuk memberi kepuasan kepada pelawat yang datang dari pelbagai pelusuk dunia, lawatan itu menawarkan jurupandu yang bercakap dalam lapan bahasa.
Projek itu akan bermula dengan lima bas sebelum ia ditingkatkan kepada 15 dan perkhidmatan berkenaan akan berjalan selama 14 jam sehari.

-Metro

Tuesday, June 6, 2017

Berebut jenazah anak akibat perkahwinan berlainan agama

Berebut jenazah anak akibat perkahwinan campur
JAKARTA - Kejadian kematian seorang aktres, di sini cukup memberi pengajaran kepada masyarakat Indonesia yang berkahwin berlainan agama.
Mana tidaknya, dek kerana si ayah Islam dan emak Kristian, jenazah aktres berkenaan Yana Zein menjadi rebutan kedua-dua orang tuanya untuk disemadikan mengikut ajaran agama masing-masing.
Memetik laporan media tempatan, kekecohan berlaku tatkala ayah Yana, Nurzaman Zein yang datang ke hospital RS Fatmawati untuk melawat jenazah anaknya, lantas menentang agar jenazah disemadikan mengikut ajaran Kristian.
Nurzaman yang hadir ditemani beberapa rakan terdekat, lantas melaungkan azan dan membaca satu surah al-Quran, dan dengan tegas menegaskan anaknya seorang Islam, dan tiada seorang pun boleh menentang perkara itu.
Tindakan, Nurzaman itu ditentang seketika oleh ibu Allahyarham, Swetlana Zein, bekas isteri Nurzaman.
Namun, kekalutan terlerai selepas semua pihak berlapang dada untuk menerima agar jenazah disemadikan mengikut Islam.
Allahyarham Yana Zein, 44, meninggal dunia Khamis lalu akibat kanser payu dara, beliau dikebumikan di Bulak Leebar, Cinere, Depok.
Bekas kekasih Yana, Steve Emmanuel mengatakan bahawa Yana telah mengucap dua kalimat syahadat, sebelum meninggal dunia.
Difahamkan Indonesia membenarkan perkahwinan berbeza agama.

-Sinar

Sunday, June 4, 2017

Badan ditembusi batang besi

Laiwu (China): Seorang pemandu sangat bernasib baik kerana masih hidup walaupun badannya ditembusi batang besi dalam satu kemalangan di bandar ini baru-baru ini.
Satu rakaman video menunjukkan lelaki itu terlekat di tempat duduk keretanya selepas dadanya ditembusi batang besi sepanjang hampir dua meter.
Pemandu itu dilihat masih sedar dan bercakap dengan anggota bomba yang berusaha memotong batang besi berkenaan.
Media tempatan melaporkan, kejadian berlaku apabila kereta dipandu mangsa terbabas dan melanggar pagar besi.
Rempuhan kuat itu menyebabkan satu batang besi menembusi cermin hadapan kereta sebelum menusuk badan mangsa.
Anggota bomba terpaksa memotong batang besi berkenaan kerana bimbang mangsa mungkin mengalami kecederaan lebih parah sekiranya ia ditarik keluar.
Selepas batang besi itu dipotong, lelaki itu dipapah keluar dari kereta menuju ke sebuah ambulans untuk dibawa ke hospital.
Doktor memberitahu, batang besi itu berjaya dikeluarkan melalui pembedahan.
Katanya, lelaki itu terselamat kerana batang besi berkenaan tidak mengenai organ penting dalam badan mangsa.

-Metro

Minta bantuan polis halau kucing garang




Singapura: Seorang lelaki di sini terpaksa meminta bantuan polis dan Angkatan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) selepas seekor kucing menceroboh kediamannya.
Harris Abu Bakar yang memuat naik gambar kejadian itu di Facebook memberitahu, seekor kucing hitam masuk ke rumahnya di Punggol pada jam 1 pagi (waktu tempatan), Rabu lalu.
“Saya tidak tahu ilmu hitam apa yang membolehkan kucing hitam ini masuk ke rumah walaupun semua pintu dan tingkap ditutup dan dikunci.
“Selama dua jam saya cuba menghalau kucing ini keluar tetapi ia sangat agresif, berbunyi dengan kuat dan cuba mencakar saya,” katanya.
Menurutnya, dia pada mulanya mahu menghubungi beberapa agensi haiwan tetapi membatalkan niatnya itu kerana tidak mahu kucing itu dibunuh.
Dia kemudian menghubungi polis dan SCDF untuk bantuan.
Jurucakap polis memberitahu akhbar The Straits Times, pihaknya menerima panggilan meminta bantuan pada jam 2.13 pagi (waktu tempatan) dan beberapa anggota dihantar ke lokasi kejadian.
Beberapa anggota polis dan SCDF cuba menangkap kucing itu tetapi haiwan berkenaan berjaya keluar dari rumah dan terus menghilangkan diri.

-Metro