Monday, June 12, 2017

Hukum mati hina Islam di Facebook

MAHKAMAH anti-keganasan di Bahawalpur, Pakistan menjatuhi hukuman mati terhadap lelaki yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW di Facebook dalam kes pertama seumpamanya di negara itu.
Hukuman mati ke atas Taimoor Raza, 30, susulan tindakan keras kerajaan Perdana Menteri Nawaz Sharif terhadap mereka yang menghina Islam di media sosial.
Pendakwa raya di Bahawalpur, Shafiq Qureshi berkata, Taimoor didapati bersalah kerana mengeluarkan kata-kata menghina terhadap Rasulullah SAW, isteri-isteri dan sahabatnya di media sosial.
“Mahkamah anti-keganasan di Bahawalpur menjatuhi hukuman mati terhadapnya. Hukuman mati pertama dalam kes membabitkan media sosial,” kata Shafiq.
Sangat jarang bagi mahkamah anti-keganasan mendengar kes seumpama itu tetapi perbicaraan Taimoor termasuk dalam kategori ini kerana dakwaan ke atasnya yang dikaitkan dengan ucapan berbaur kebencian.
Shafiq berkata, Taimoor ditangkap selepas menulis kata-kata menghina Nabi dan ucapan berbaur kebencian menerusi telefon bimbitnya di perhentian bas di Bahawalpur, tempat anggota antikeganasan menangkap dan merampas telefon bimbitnya.
“Perbicaraan diadakan di penjara Bahawapur dengan pengawalan ketat,” katanya.
Oleh kerana sabitan ke atas Taimoor di bawah mahkamah anti-keganasan, dia boleh merayu hukuman di Mahkamah Tinggi sebelum ke Mahkamah Agung.
Sekurang-kurangnya 67 pembunuhan berhubung tuduhan menghina Islam yang tidak dapat dibuktikan dilaporkan sejak 1990.

-Metro

No comments:

Post a Comment