MIRI – Kebimbangan kira-kira 400 penduduk Kampung Lajong di sini berikutan buaya besar yang kerap menghendap untuk mencari mangsa berakhir selepas reptilia itu termakan jerat di kawasan pam air kampung itu di sini pagi kelmarin.
Jurucakap Sarawak Forestry Corporation (SFC) memberitahu, buaya jantan daripada spesies katak sepanjang empat meter dan berat kira-kira 250 kilogram itu ditangkap pukul 9 pagi selepas memakan salah satu daripada 10 umpan ayam serta daging yang dipasang di Sungai Lajong.
Menurutnya, operasi memasang jerat bermula sejak Jumaat lalu selepas seorang penduduk sempat merakam reptilia itu yang muncul di permukaan air lalu menyebarkannya di media sosial.
“Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (Swat) segera memasang umpan selepas kebimbangan penduduk kampung semakin memuncak susulan rakaman yang menunjukkan buaya itu sedang menunggu untuk membaham mangsa.
“Kejadian itu sebenarnya sudah berlanjutan beberapa minggu, namun baru-baru ini menjadi lebih serius selepas buaya itu kerap muncul di kawasan yang menjadi tumpuan penduduk untuk mengambil air,” katanya semalam.
-Kosmo
No comments:
Post a Comment