Wednesday, March 28, 2018

Sampai hati ayah, ibu...


BAYI perempuan berusia 14 hari ditemui selepas ditinggalkan di bawah pokok di bahu Jalan Kota Masai Utama, Pasir Gudang, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Superintendan Jokhiri Abd Aziz berkata, bayi seberat 3.5 klilogram itu dijumpai anggota polis bantuan ketika membuat rondaan di kawasan terbabit pada 3.11 petang.
“Ketika melakukan rondaan di kawasan berkenaan, anggota polis bantuan terbabit ternampak satu bungkusan atas rumput di tepi jalan.
“Apabila didekati, didapati seorang bayi perempuan sedang menangis dalam keadaan lengkap berpakaian dan berbalut dengan kain,” katanya mengesahkan kejadian itu, hari ini.
Katanya, berikutan itu, anggota polis terbabit menghubungi Balai Polis Taman Scientex untuk membuat laporan kejadian.

-Metro

Tamak, tidak bersyukur



Beijing: Taikun China yang mahu berbakti kepada penduduk kampungnya selepas dia menjadi jutawan dengan membina 258 banglo untuk penduduk terbabit, kecewa dengan ketamakan dan tidak tahu bersyukur.
Menurut laporan media China, lelaki itu, Chen Sheng, pengasas dan pengerusi syarikat minuman Tiandi No 1 Beverage Inc, membelanjakan 200 juta yuan (RM123 juta) bagi membina 258 banglo mewah di atas tanah disediakan pihak berkuasa tempatan di kampungnya di Guanhu, wilayah Guangdong, lima tahun lalu.
Setiap rumah merangkumi 280 meter persegi, lima bilik tidur, dua ruang tamu, garaj dan halaman kecil.
Kawasan itu juga mempunyai anak sungai dengan jambatan untuk melintasinya, gelanggang bola keranjang dan badminton, malah pentas untuk persembahan opera tradisional.
Malah Chen pernah dilaporkan mahu membina ladang ternakan babi dan kebun laici untuk memberi pekerjaan kepada penduduk supaya mereka tidak lagi perlu bimbangkan masa depan serta kos pendidikan anak-anak.
Malangnya, menurut South China Morning Post (SCMP), walaupun rumah berkenaan sepatutnya boleh dihuni akhir tahun lalu, semuanya masih kosong kerana penduduk bertelagah mengenai siapa patut menerimanya, malah ada yang mahukan dua lot.
Laporan itu tidak mengatakan bagaimana pembahagian hartanah itu dilakukan, tetapi Chen berkata, jumlah rumah dibina berdasarkan banci pada 2013 menyenaraikan 190 keluarga di kampung berkenaan.
Meskipun ada hampir 70 rumah tambahan, sejak pembinaan bermula semakin ramai tampil mendakwa layak menerimanya.
Chen yang menyuarakan kekecewaan dengan sikap penduduk kampung itu berkata: “Apabila balik kampung, semua orang membuat pelbagai tuntutan. Sekarang saya tidak mahu kembali ke sana,” katanya.
Menurut laporan itu, Chen sudah dua tahun tidak pulang ke Guanhu.
Pihak berkuasa tempatan kini sedang mencari jalan untuk menyerahkan rumah terbabit kepada mereka yang layak.

-Metro

Tuesday, March 27, 2018

10 ditahan terbabit 'balas rogol'

Islamabad: Polis di tengah Pakistan menahan 10 orang dari dua keluarga selepas mengarahkan seorang wanita dirogol sebagai balasan kerana adik wanita itu merogol saudara perempuan keluarga pertama.
Menurut polis, kejadian mengejutkan itu berlaku pada 20 Mac lalu di kampung Pir Mahal, di bandar Toba Tek Singh, wilayah Punjab.
“Seorang remaja lelaki ditangkap merogol gadis 16 tahun menyebabkan seluruh penduduk kejiranan itu berkumpul mendesak suspek dibunuh.
“Keluarga remaja lelaki itu kemudian membuat tawaran kepada keluarga gadis itu membenarkan anggota keluarga perempuan mereka diperkosa sebagai balasan bagi menyelesaikan kes itu,” kata seorang anggota polis, Naeem Yousuf kepada AFP.
Menurutnya, keluarga gadis itu kemudian memilih seorang wanita berusia 40 tahun dan mangsa dirogol oleh abang gadis berkenaan.
Kedua-dua keluarga berkenaan kemudian membuat surat perjanjian mengenai penyelesaian itu menyatakan mereka akan melupakan kejadian itu, tidak berdendam dan tidak akan membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Bagaimanapun, perjanjian itu diketahui seorang anggota polis yang kemudiannya membuat laporan kepada pegawai atasan.
Polis kemudian mengarahkan 10 orang daripada kedua-dua keluarga yang menandatanganinya, ditahan dan didakwa. - AFP/Metro

Thursday, March 22, 2018

Ibu muda pangku bayi ambil peperiksaan

JAHAN TAAB menjawab peperiksaan sambil memangku anaknya di wilayah

KABUL 22 Mac – Gambar seorang pelajar wanita menduduki peperiksaan sambil memangku bayinya yang tular dalam media sosial mendapat tindak balas positif daripada netizen apabila mereka memberikan sokongan kepadanya untuk meneruskan pengajian.
BBC melaporkan, masyarakat melahirkan rasa kagum terhadap Jahan Taab yang sanggup duduk di atas tanah dan memangku bayinya yang berusia dua bulan bagi menduduki peperiksaan untuk memasuki universiti.
Jahan tinggal di perkampungan Oshto dalam wilayah Daykundi yang tidak mempu­nyai pengangkutan awam dan terletak kira-kira tujuh jam berjalan kaki dari tempat dia menduduki peperiksaan tersebut.
Keazaman dan kesungguhan ibu berusia 22 tahun itu membuahkan hasil apabila dia lulus peperiksaan tersebut dan berjaya melanjutkan pengajian ke Institut Pendidikan Tinggi Nasirkhosraw di bandar Nili.
Ibu muda itu juga berharap dapat mencari dana atau sumba­ngan bagi membolehkan dia me­nyambung pengajian dalam bidang sosiologi selama tiga tahun.
Jahan perlu membayar kira-kira 10,000 hingga 12,000 Afghanis (RM553 hingga RM664) untuk sepenggal.
Dalam pada itu, Persatuan Belia Afghan (AYA) yang berpangkalan di United Kingdom kini dalam usaha untuk membantu Jahan mendapatkan dana bagi menyambung pengajiannya.
Presiden AYA, Parwiz Karimi berkata, mereka mahu Jahan dijadikan sebagai inspirasi kepada golongan wanita di Afghanistan.
“Golongan wanita di Afghanis­tan sering dipandang rendah berbanding lelaki dan ibu bapa juga sering menghantar anak lelaki mereka ke universiti berbanding anak perempuan.
“Menjawab soalan peperiksaan sambil memangku bayi adalah satu perkara di luar jangkaan,” katanya.


 -Utusan

 

Wednesday, March 21, 2018

Derita Muaro berakhir



Jakarta: Anak orang utan berusia 15 bulan dibebaskan selepas lebih setahun dikurung dalam sangkar kayu yang sempit oleh seorang penduduk di Kalimantan Barat.
Haiwan dilindungi itu kini diberi nama Muaro.
Penduduk berkenaan, Anwar berkata, dia membawa pulang anak orang utan itu selepas menemuinya di kawasan ladang kerana kasihan.
Menurutnya, dia memberi haiwan itu minum susu dan makanan manusia, namun menempatkannya di dalam sangkar kayu yang amat sempit di rumahnya di kampung Muara Baru di daerah Sungai Raya
Menurut laporan Penyelamat Haiwan Antarabangsa (IAR) yang mendapat maklumat, kakitangannya pergi ke rumah Anwar untuk menyiasat laporan itu.
Walaupun Muaro kelihatan sihat, pemeriksaan lanjut mendapati ia mengalami penyakit kulit dan masalah pernafasan.
Pakar IAR kemudian memberi haiwan itu cecair rehidrasi dan makanan sebelum dibawa ke pusat pemuliharaan di Ketapang, Kalimantan Barat, yang mengambil masa beberapa jam menerusi feri dan jalan darat.
Menurut Daily Mail, Muaro ditempatkan dalam bilik kuarantin selama beberapa minggu dan akan menjalani pemeriksaan perubatan untuk menilai keadaan mental dan fizikalnya selain memastikan ia bebas penyakit berjangkit.
Pengarah pusat berkenaan, Alan Knight berkata: “Muaro antara yang menjadi mangsa kesan industri minyak sawit.
“Sebaik ia keluar dari bilik kuarantin, Muaro akan dihantar menyertai lebih 100 orang utan lain yang menjalani pemulihan di pusat kami,” katanya.

-Metro

Tuesday, March 20, 2018

Kimba baham penjaga zoo

Mexico City: Seorang penjaga zoo maut dibaham singa selepas dia terlupa mengunci sangkar haiwan berkenaan ketika membersihkan kandang di sebuah zoo di Mexico.
Kejadian berlaku ketika Gustavo Serrano Carabajal, 28, membersihkan kandang singa berkenaan di Zoo Nicolas Bravo di Tulancingo di negeri Hidalgo, minggu ini.
Carabajal bagaimanapun, tidak mengunci sangkar dengan kemas menyebabkan singa itu keluar menyerang dengan menggigit lehernya.
Mayat Carabajal yang berlumuran darah ditemui pekerja lain terbaring dalam kandang singa betina berusia 22 tahun itu yang dikenali sebagai ‘Kimba’.
Anggota paramedik yang tiba mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
Sementara itu, ahli majlis perbandaran Tulancingo, Fernandez Perez Romero memberitahu wartawan, singa berkenaan tidak akan dibunuh walaupun ia membunuh penjaganya.
Menurutnya, pihak berkuasa akan meningkatkan langkah keselamatan ketika mengendalikan haiwan dalam kurungan.
Tambahnya, zoo itu baru-baru ini melaksanakan kerja-kerja untuk meningkatkan langkah keselamatan.
Kerja itu termasuklah mengubahsuai kandang harimau dan membina pagar baru.

-Metro

Monday, March 19, 2018

Hantu isteri laksamana lawat kapal perang

KELIBAT hantu wanita (dalam bulatan) yang dikatakan isteri panglima kapal perang HMS Victory.







PORTSMOUTH, BritainSatu rakaman menyeramkan mendakwa hantu isteri seorang laksamana kapal perang dilihat berkeliaran di sekitar kapal HMS Victory sebelum hilang menembusi dinding.
Tony Ferguson, 33, berkata, dia berjaya merakam hantu Frances Fanny Nelson, isteri kepada Laksamana Horatio Nelson itu ketika menerokai kapal itu pada waktu siang.
Klip video itu menunjukkan kelibat wanita tersebut memakai gaun labuh dan kasut tumit tinggi sambil berjalan melalui ruang atas kapal perang tersebut.
“Saya tiba di dalam kapal HMS Victory pada waktu pagi dan ketika melihat sekitar kawasan itu, saya terasa seperti diekori seseorang. Saya mengeluarkan kamera untuk merakam dan mendapati terdapat seorang wanita memakai gaun,” katanya.
Kapal HMS Victory pernah terlibat dalam Pertempuran Trafalgar di Cape Trafalgar, Sepanyol pada 21 Oktober 1805.
Kapal perang yang berusia lebih 250 tahun itu telah berada di Pelabuhan Bersejarah Portsmouth sejak tahun 1922. Ia terkenal kerana didakwa berhantu dan ramai berkata mereka pernah melihat kelibat Nelson dan isterinya melawat kapal itu. 

– Agensi/Kosmo



Lelaki durjana hempas anak kucing


Beijing: Berang gagal mendapatkan kembali wangnya untuk anak kucing yang dibeli untuk teman wanitanya, seorang lelaki bertindak kejam menghempas haiwan itu di depan kedai.
Kejadian berlaku di sebuah kedai haiwan peliharaan di Nanjing, China, Jumaat lalu.
Menurut media China, lelaki berkenaan membeli kucing itu beberapa minggu lalu untuk dihadiahkan kepada teman wanitanya.
Namun, pemberiannya ditolak menyebabkan dia mahu memulangkan haiwan itu bagi mendapatkan kembali wangnya.
South China Morning Post melaporkan, kedai terbabit mempunyai polisi tiada pemulangan dan mereka enggan menerima kucing berkenaan, namun bersedia membantu lelaki terbabit menjaga kucing itu untuk beberapa hari.
Lelaki itu yang kembali dua minggu kemudian, berkeras mahukan kembali wangnya, malah mendakwa kedai berkenaan menjual kucing sakit kepadanya.
Selepas permintaannya ditolak, dia keluar dari kedai dan menghentak kepala haiwan terbabit ke kaki lima sebelum membuang bangkainya.
Perbuatan kejam lelaki itu turut dilihat pekerja di kedai berkenaan yang kemudian membuat laporan polis.

-Metro

Sunday, March 18, 2018

'Basuh' kucing dalam mesin


Madrid: Seorang wanita berdepan hukuman penjara selepas merakamkan perbuatannya membunuh kejam kucing jantan yang mahu mengawan dengan haiwan peliharaannya dengan ‘membasuhnya’ dalam mesin basuh dua kali sebelum memuat naik video itu ke media sosial.
Rakaman diambil wanita tidak diketahui identitinya di Jaen, Andalusia, Sepanyol, itu dikongsikan ke Instagram.
Apabila kucing berkenaan tidak mati ketika pusingan pertama dia mengulangi proses membasuh kali kedua tanpa menghiraukan haiwan berkenaan mengiau ketakutan.
Wanita itu didengar berkata: “Kenapa? Ngiau? Duduklah dalam tu! Inilah padahnya jantan yang mahu mengawan dengan kucing kesayangan saya.”
The Mirror melaporkan dia turut menyertakan emoji ketawa seolah-olah perbuatannya menggelikan hati dengan rakaman diberi tajuk ‘Gatolavadora’ (mesin basuh kucing).
Selepas selesai dia menunjukkan kucing itu pada jarak dekat dan berkata: “Kucing pembawa sial sudah mati.”
Perbuatannya dikecam hebat pengguna media sosial tetapi wanita berkenaan langsung tidak rasa bersalah malah mengancam membunuh anjing pula selepas ini.
Daily Mail memetik organisasi pegawai kebajikan haiwan berkata, wanita itu kini dilaporkan menghilangkan diri kerana diburu pihak berkuasa.

-Metro

Thursday, March 15, 2018

Lelaki tanam kereta belakang rumah



Beijing: Seorang lelaki yang melakukan kesalahan langgar lari, menanam keretanya di belakang rumah untuk menghapuskan bukti selepas diburu pihak berkuasa di bandar Dali, wilayah Shaanxi.
Menurut laporan media China, dalam kejadian Khamis lalu, suspek melarikan diri selepas kereta dipandunya melanggar seorang pejalan kaki dan tiga mangsa berbasikal elektrik hingga cedera.
Susulan kejadian itu, polis berusaha mengesannya menggunakan serpihan bumper kereta yang ditemui di tempat kejadian serta meneliti rakaman CCTV.
Portal berita Cnwest.com melaporkan, polis turut menyebarkan gambar suspek di media sosial dan wakil beberapa kampung.
Suspek yang menyerah diri Ahad lalu, selepas dipujuk bapanya memberitahu dia menanam kereta berkenaan kerana bimbang dipenjara. 

- Agensi/Metro

Tuesday, March 13, 2018

Lahir anak dalam Laut Merah



DETIK mengagumkan seorang bayi dilahirkan di dalam Laut Merah di Mesir menjadi tular di media sosial negara itu, hujung minggu lalu.
Beberapa gambar menunjukkan bayi yang masih bertali pusat itu dibawa keluar dua lelaki dengan uri ditadah dalam mangkuk kecil di Dahab.
Seorang daripadanya dipercayai ayah kanak-kanak itu manakala yang kedua lebih berusia.
Ada pihak merumuskan lelaki yang berusia yang menemani mereka adalah ayah wanita terbabit atau doktor yang jika benar bererti kelahiran dalam laut itu memang dirancang.
Gambar kemudian menunjukkan wanita terbabit menyusuli dua lelaki berkenaan. Semuanya dipercayai pelancong Russia.
Tidak jelas sama ada wanita itu memang berniat melahirkan anaknya di dalam laut ataupun kelahiran itu tidak dijangka.
Gambar berkenaan diambil dari balkoni apartmen berhampiran, dan tidak jelas sama ada keluarga itu tahu detik indah mereka sedang dirakam. Identiti keluarga itu tidak diketahui, tetapi ibu dan bayinya nampak dalam keadaan sihat.

-Metro

Pelancong bogel timbul kemarahan



PERBUATAN pelancong wanita berbogel dan menggeselkan tubuhnya pada batu besar menyerupai kemaluan lelaki di Koh Samui, Thailand, menimbulkan kemarahan kerana batu itu dianggap suci oleh penduduk.
Mereka mendesak polis menahan wanita berambut perang itu dan mahukan dia memohon maaf secara terbuka.
Menurut Daily Mail, dalam kejadian semalam, wanita berkenaan berbogel di tepi batu Hin Ta arau Batu Datuk dan dilihat menggesel tubuhnya pada batu berkenaan ketika gambarnya dirakam.
Batu setinggi kira-kira 12 meter itu dianggap penduduk tempatan melambangkan semangat seorang lelaki tua.
Peniaga di pulau itu, Sutida Wongyai, berkata: “Batu berkenaan istimewa bagi kami, melambangkan pulau ini. Satu penghinaan dia berbuat demikian.”
Pengurus hotel, Suriya Promsri, berkata tiada sesiapa sepatutnya berbogel kerana menyalahi undang-undang.
“Polis perlu mencari wanita itu dan mendakwanya agar orang lain tidak melakukan perbuatan itu,” katanya.
Batu Hin Ta yang menjadi tarikan pelancong di pulau itu terletak berdekatan batu Hin Yai yang berbentuk seperti kemaluan wanita.
Penduduk tempatan percaya pasangan tua itu belayar ke Koh Samui untuk meminang bakal isteri anak mereka namun bot mereka karam dipukul ribut dan dilahirkan semula sebagai batu lelaki dan wanita terbabit.
Polis di pulau itu mengesahkan menerima laporan pelancong berbogel itu dan sedang menyiasat.

-Metro

Monday, March 12, 2018

Terhempas sebelum kahwin


ANAK perempuan ahli perniagaan terkenal Turki, Mina Basaran antara 11 mangsa yang dilaporkan terbunuh selepas pesawat Bombardier Challenger 604 yang dinaiki terhempas di kawasan pergunungan di Zagros, Iran semalam.
Turut terkorban, tiga anak kapal, termasuk dua juruterbang wanita pesawat itu yang dipercayai dimiliki oleh Basaran Holding, iaitu syarikat yang diterajui bapa mangsa, Huseyin.
Ketika kejadian, pesawat persendirian itu dalam perjalanan menuju Istanbul dari Sharjah, selepas Mina dan tujuh lagi rakannya bercuti di Emiriah Arab Bersatu (UAE), bagi meraikan majlis perkahwinannya.
Media tempatan Turki melaporkan, Mina, 28, bertunang pada Oktober lalu dan percutian di UAE bersama rakannya diadakan sebelum beliau menamatkan zaman bujangnya.
Malah, mereka dilaporkan memuat naik gambar percutian di Dubai itu di media sosial sehari sebelum kejadian.
Sementara itu, Mina dilantik menganggotai lembaga pengarah syarikat miliknya bapanya pada 2013.
Syarikat yang berpangkalan di Istanbul itu dilaporkan terbabit dalam sektor tenaga, pembinaan dan pelancongan, serta memiliki beberapa hotel.
Dalam pada itu, Jabatan Penerbangan Awam Sharjah dalam satu kenyataan berkata, pesawat itu tidak memohon prosedur penyenggaraan ketika berada di lapangan terbang itu.
“Pesawat itu berlepas pada 5.16 petang (waktu tempatan) dan didapati hilang dari skrin radar pada 7.30 malam (waktu tempatan),” lapor agensi berita WAM yang memetik kenyataan Jabatan Penerbangan Awam Sharjah.
Walaupun punca kejadian masih belum diketahui, namun menurut beberapa laporan insiden berlaku ketika hujan lebat.

-Metro

Sunday, March 11, 2018

Kaki putus jadi bantal



New Delhi: Kaki seorang lelaki yang terputus akibat kemalangan jalan raya dijadikan bantal ketika dia dimasukkan ke wad kecemasan kerana hospital di Jahnsi itu kekurangan bantal, kelmarin.
Susulan itu, kerajaan mengarahkan siasatan dilakukan terhadap kejadian yang berlaku di Hospital Kolej Perubatan Maharani Laxmi Bai Jhansi terbabit.
Menurut laporan media India, Ghanshyam, 28, yang bekerja sebagai pencuci bas sekolah dihantar ke hospital dalam keadaan kritikal selepas terbabit dalam kemalangan di Mauranipur.

Hindustan Times melaporkan, pengetua kolej perubatan itu, Dr Sadhna Kaushik berkata, jawatankuasa empat ahli ditubuhkan untuk mengenal pasti kakitangan hospital yang bertanggungjawab dalam kejadian berkenaan.
“Dr Rajeev Sinha (ketua jabatan pembedahan) yang mengetuai jawatankuasa itu akan menyediakan laporan dalam tempoh 48 jam. Tindakan akan diambil berdasarkan keputusan laporan terbabit.
“Saya sudah menemui 30 orang di wad kecemasan namun, tidak seorang pun melihat siapa melakukannya,” katanya yang menganggap kes itu sebagai khianat.
Kolej perubatan itu juga akan melihat rakaman CCTV untuk mengesan kakitangan yang bertanggungjawab melakukan tindakan yang disifatkan sebagai memalukan.
Menurut Times of India, Sadhna berkata, ahli keluarga mangsa termasuk abang dan ibunya menemani ke hospital sambil membawa kakinya yang terputus itu.
Namun menurutnya, seorang daripada mereka tidak menyerahkan kaki itu kepada doktor atau kakitangan lain selepas selesai formaliti undang-undang.
Keluarga itu membawa sebiji bantal yang digunakan pihak hospital untuk melapik paha mangsa yang berada di atas pengusung.
Ibu mangsa, Devki memberitahu pihak berkuasa, doktor meletakkan kaki yang terputus itu untuk mengalas kepala memandangkan mereka tidak cukup bantal.
Ketua perubatan, Harish Chandra Arya berkata, pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas sebaik selesai siasatan.

-Metro

Kambing dua muka dilahirkan di Pakistan



Islamabad: Satu rakaman video yang memaparkan seekor anak kambing yang dilahirkan dengan dua muka termasuk dua mulut dan empat mata di Pakistan kini tular di media sosial.
Rakaman video berkenaan menunjukkan haiwan itu yang dipercayai baru dilahirkan diberi minum susu oleh pemiliknya.
Video itu dipercayai dirakamkan di satu lokasi di Rawalpindi, Pakistan tetapi keadaan haiwan berkenaan tidak diketahui.
Pakar memberitahu, keadaan anak kambing itu dikenali sebagai dicephalic parapagus iaitu dilahirkan dengan dua kepala dan satu badan.


Setiap kepala haiwan itu mempunyai otak yang berasingan dengan ia berkongsi kawalan pada organ dan anggota badan lain.
Biasanya, haiwan yang dilahirkan dengan keadaan seperti itu hanya hidup selama beberapa bulan.
Menurut laman sesawang Newsflare, walaupun keadaan itu sangat jarang ditemui, haiwan yang dilahirkan dengan dua kepala direkodkan sejak 1800-an lagi.
Sebelum ini beberapa video yang tular memaparkan kambing yang dilahirkan dengan dua kepala tetapi mati tidak lama selepas dilahirkan. 

- Agensi/Metro

Tuesday, March 6, 2018

Buat 'live' di Facebok selepas bunuh isteri



Berlin: Pengguna media sosial dikejutkan dengan tindakan seorang lelaki Syria di Muhlacker, dekat sini, membuat siaran video melalui Facebook Live dengan darah pada mukanya selepas membunuh isterinya dengan kejam.
Dalam siaran langsung itu, lelaki berkenaan menyatakan akibat begitu yang akan diterima wanita jika mereka menimbulkan kemarahan suami.
Menurut laporan media, termasuk Al Arabiya, lelaki itu yang menunjukkan darah pada muka dan luka pada tangannya, berkata: “Inilah akibat yang akan diterima,” katanya.
Dalam kejadian Sabtu lalu, seorang budak lelaki dilihat berada di belakangnya, dipercayai anaknya dan dia berserta budak itu kemudian meminta penonton berkongsi video berkenaan.
Menurut Daily Mail, lelaki berkenaan dikenali sebagai Abu Marwan, 41, dilaporkan menikam isterinya berusia 37 tahun antara empat hingga lima kali di leher sebelum lari meninggalkan rumah isterinya bersama budak lelaki itu.
Bagaimanapun, menurut ketua pendakwa raya kes terbabit berkata, lelaki berkenaan berjaya ditahan polis tidak lama kemudian.
Arab News melaporkan, ketika kejadian, anak perempuan mereka turut berada di rumah dan menghubungi polis.
Abu Marwan berpisah dengan isterinya dan dia dihalau keluar dari rumah oleh wanita berkenaan. Namun, tidak dapat dipastikan sama ada mereka sudah bercerai atau tidak.
Menurut media Jerman, dia sering menghubungi isterinya itu untuk meminta wang. 

- Agensi/metro

Monday, March 5, 2018

Ibu derma rahim

Beijing:Demi kebahagiaan anak, seorang wanita mendermakan rahimnya kepada anak perempuannya agar anaknya yang rahim tidak berfungi itu berpeluang mengandung dan melahirkan anak
Pembedahan wanita itu, Liang Juan, 29, dan ibunya, 51, berlangsung selama 15 jam di Hospital Xijing, wilayah Xi’an, pada 23 Disember lalu, membabitkan sepasukan 20 pakar bedah dari 10 jabatan.

Pembedahan itu turut menggunakan robot yang mengeluarkan rahim daripada ibu Liang sebelum dipindahkan kepadanya.
Menurut laporan Daily Mail, wanita itu mengalami masalah rahim tidak subur menjadikan rahim seseorang wanita itu tidak berfungsi atau tiada.
Menurut laman web tentera China, 81.cn, antara 30,000 hingga 40,000 bayi perempuan dilahirkan tanpa rahim atau kemaluan setiap tahun.
Liang Juan ialah wanita kedua di China yang berjaya menjalani pembedahan pemindahan rahim.
Wanita pertama, Yang Hua, yang ketika itu berusia 22 tahun, juga menjalani pembedahan di hospital yang sama pada November 2015. Dia menerima rahim daripada ibunya yang berusia 41 tahun.
South China Morning Post melaporkan, Liang Juan berkata, harapannya untuk memiliki anak sebelum ini musnah kerana dilahirkan tanpa rahim.
“Saya amat berterima kasih kepada ibu dan doktor. Ini usaha mereka bersama untuk saya mencapai impian menjadi seorang ibu,” katanya yang sedang pulih daripada pembedahan.
Liang akan menerima rawatan kesuburan persenyawaan (IVF) selepas pulih daripada pembedahan.
Sementara itu, Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi hospital berkenaan, Dr Chen Biliang berkata, kes kedua itu agak rumit berbanding pembedahan pertama sebelum ini.
“Ibunya sudah menopaus menyebabkan saluran darah keras. Ia rumit kerana sebaik rahimnya dipindahkan kepada anaknya, darah perlu mengalir lancar,” katanya.
Pada Mei tahun lalu, wanita 43 tahun di Pune, India, mendermakan rahimnya kepada anak perempuannya yang berusia 21 tahun melalui pembedahan pertama di India.
Menurut Dr Mats Brannstrom, seorang profesor perubatan di Universiti Gothenburg, Sweden, hanya enam bayi dilahirkan melalui rahim pindahan dengan dua oleh ibu yang sama.
Brannstrom mengetuai pasukan melakukan pembedahan pemindahan pertama yang berjaya pada 2014.
Malin Stenberg dari Sweden menjadi wanita pertama dunia melahirkan anak hasil pemindahan rahim yang diderma rakan keluarganya berusia 60-an. Dia melahirkan anak lelaki ketika berusia 36 tahun pada 2014.
Emelie Eriksson, juga dari Sweden, ialah wanita pertama penerima rahim ibunya melahirkan anak lelaki ketika berusia 28 tahun pada 2014.
Pembedahan pemindahan rahim yang berjaya amat jarang kerana prosesnya kompleks serta rumit dan pembedahan kedua di China ini, ialah yang ke-31 di seluruh dunia, termasuk di Amerika Syarikat, Brazil, Sweden, India, Jerman, Serbia, Republik Czech, Arab Saudi dan Turki.

 - Agensi/Metro

Sunday, March 4, 2018

Belasah bekas isteri enggan rujuk



LELAKI bertindak membelasah bekas isterinya sehingga cedera gara-gara wanita itu menolak pujukan bekas suami untuk bersama kembali dalam kejadian di Kampung Damai, Kuang, Rabu lalu.
Mangsa berusia 33 tahun itu, sudah bercerai dengan lelaki itu sejak setahun lalu kerana bekas suaminya adalah penagih dadah.
Menurut sumber, suspek berusia 30-an itu datang ke rumah bekas isterinya untuk merujuk kembali.
"Bagaimanapun mangsa menolak permintaan suspek kerana suspek masih lagi mengambil dadah.
"Berang permintaannya tidak ditunaikan, suspek kemudian bertindak menumbuk kepala mangsa sebelum mangsa melarikan diri ke arah rumah jirannya," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sumber berkata, suspek kemudian mengejar mangsa yang meminta bantuan daripada jirannya.
"Jiran mangsa yang berada di rumah ketika kejadian bertindak menenangkan suspek namun tidak diendahkan suspek yang terus membelasah mangsa.
"Ayah mangsa yang baru tiba kemudian berjaya menenangkan suspek sebelum dia melarikan diri," katanya.
Katanya, mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kuang untuk tindakan lanjut.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan S Somu ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
"Suspek sudah ditahan pada hari sama dan disiasat mengikut Seksyen 323/326A Kanun Keseksaan dan Sekysen 506 Kanun Keseksaan.
"Kes dianggap selesai dengan penangkapan suspek," katanya.

-Metro

Thursday, March 1, 2018

Akibat susah sangat nak menang



Taipei: Seorang wanita yang berang kerana gagal mendapat hadiah walaupun beberapa kali bermain satu mesin permainan di Taiwan bertindak masuk ke dalam mesin itu untuk mencuri anak patung di dalamnya.
Dalam kejadian di sebuah pasar raya di Taichung, barat Taiwan itu, wanita yang dikenali sebagai Tsai, 34, itu ditahan polis selepas gelagatnya dirakam kamera keselamatan.
Dalam rakaman video itu, Tsai bermain satu permainan mesin cakar untuk mendapatkan hadiah anak patung tetapi selepas beberapa kali berusaha dia masih gagal memenangi sebarang hadiah.
Kerana kecewa Tsai dilihat mengambil sebatang penyapu untuk mengeluarkan anak patung daripada mesin berkenaan tetapi tidak berhasil.
Selepas usahanya masih tidak berhasil, Tsai akhirnya bertindak memasuki lubang berukuran 25 sentimeter di bahagian bawah mesin berkenaan untuk mengambil anak patung di dalamnya.
Polis berkata, wanita itu sempat mencuri tujuh anak patung dalam tempoh 30 minit hingga sejam.
Ketika disoal siasat, Tsai memberitahu tidak mengingati perkara itu kerana dia mengambil ubat tidur dan ubatan lain yang menyebabkan ingatannya terganggu.
Bagaimanapun, polis tetap meneruskan siasatan berhubung kes berkenaan dan Tsai bakal didakwa atas tuduhan mencuri.

-Metro