Sunday, March 4, 2018

Belasah bekas isteri enggan rujuk



LELAKI bertindak membelasah bekas isterinya sehingga cedera gara-gara wanita itu menolak pujukan bekas suami untuk bersama kembali dalam kejadian di Kampung Damai, Kuang, Rabu lalu.
Mangsa berusia 33 tahun itu, sudah bercerai dengan lelaki itu sejak setahun lalu kerana bekas suaminya adalah penagih dadah.
Menurut sumber, suspek berusia 30-an itu datang ke rumah bekas isterinya untuk merujuk kembali.
"Bagaimanapun mangsa menolak permintaan suspek kerana suspek masih lagi mengambil dadah.
"Berang permintaannya tidak ditunaikan, suspek kemudian bertindak menumbuk kepala mangsa sebelum mangsa melarikan diri ke arah rumah jirannya," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sumber berkata, suspek kemudian mengejar mangsa yang meminta bantuan daripada jirannya.
"Jiran mangsa yang berada di rumah ketika kejadian bertindak menenangkan suspek namun tidak diendahkan suspek yang terus membelasah mangsa.
"Ayah mangsa yang baru tiba kemudian berjaya menenangkan suspek sebelum dia melarikan diri," katanya.
Katanya, mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Kuang untuk tindakan lanjut.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan S Somu ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
"Suspek sudah ditahan pada hari sama dan disiasat mengikut Seksyen 323/326A Kanun Keseksaan dan Sekysen 506 Kanun Keseksaan.
"Kes dianggap selesai dengan penangkapan suspek," katanya.

-Metro

No comments:

Post a Comment