Wednesday, March 28, 2018

Tamak, tidak bersyukur



Beijing: Taikun China yang mahu berbakti kepada penduduk kampungnya selepas dia menjadi jutawan dengan membina 258 banglo untuk penduduk terbabit, kecewa dengan ketamakan dan tidak tahu bersyukur.
Menurut laporan media China, lelaki itu, Chen Sheng, pengasas dan pengerusi syarikat minuman Tiandi No 1 Beverage Inc, membelanjakan 200 juta yuan (RM123 juta) bagi membina 258 banglo mewah di atas tanah disediakan pihak berkuasa tempatan di kampungnya di Guanhu, wilayah Guangdong, lima tahun lalu.
Setiap rumah merangkumi 280 meter persegi, lima bilik tidur, dua ruang tamu, garaj dan halaman kecil.
Kawasan itu juga mempunyai anak sungai dengan jambatan untuk melintasinya, gelanggang bola keranjang dan badminton, malah pentas untuk persembahan opera tradisional.
Malah Chen pernah dilaporkan mahu membina ladang ternakan babi dan kebun laici untuk memberi pekerjaan kepada penduduk supaya mereka tidak lagi perlu bimbangkan masa depan serta kos pendidikan anak-anak.
Malangnya, menurut South China Morning Post (SCMP), walaupun rumah berkenaan sepatutnya boleh dihuni akhir tahun lalu, semuanya masih kosong kerana penduduk bertelagah mengenai siapa patut menerimanya, malah ada yang mahukan dua lot.
Laporan itu tidak mengatakan bagaimana pembahagian hartanah itu dilakukan, tetapi Chen berkata, jumlah rumah dibina berdasarkan banci pada 2013 menyenaraikan 190 keluarga di kampung berkenaan.
Meskipun ada hampir 70 rumah tambahan, sejak pembinaan bermula semakin ramai tampil mendakwa layak menerimanya.
Chen yang menyuarakan kekecewaan dengan sikap penduduk kampung itu berkata: “Apabila balik kampung, semua orang membuat pelbagai tuntutan. Sekarang saya tidak mahu kembali ke sana,” katanya.
Menurut laporan itu, Chen sudah dua tahun tidak pulang ke Guanhu.
Pihak berkuasa tempatan kini sedang mencari jalan untuk menyerahkan rumah terbabit kepada mereka yang layak.

-Metro

No comments:

Post a Comment