Sebut saja Constantinople yang kini dikenali sebagai Istanbul di Turki, pasti ramai akan terkenangkan ketokohan pejuang Islam, Sultan Muhammad Al-Fateh.
Sabda Rasulullah SAW ketika menggali Parit Khandaq: “Constantinople akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera.” (Riwayat Imam Ahmad)
Pejuang Islam berusaha dan berlumba-lumba dalam cubaan untuk membebaskan Constantinople daripada empayar Byzantine bagi mendapatkan penghormatan yang dijanjikan Allah SWT.
Hadis Nabi SAW menjadi realiti kira-kira 800 tahun kemudian oleh khalifah ketujuh kerajaan Uthmaniyyah, Sultan Muhammad Al Fateh, bersama 150,000 tenteranya.
Sultan Muhammad Al-Fateh atau nama sebenar beliau Sultan Muhammad dilahirkan di Adrianapolis (sempadan Turki-Bulgaria) pada 29 Mac 1432 Masihi.
Cintakan ilmu
Terkenal dengan sifat yang sangat cintakan ilmu, beliau memiliki kepakaran dalam pelbagai bidang antaranya ketenteraan, sains, kejuruteraan, falsafah dan matematik. Beliau juga menguasai enam bahasa iaitu Arab, Latin, Greek, Serbia, Turki dan Parsi.
Beliau seorang yang sangat rendah diri sehingga ulama serta pemimpin terbabit dalam membina Benteng Bereli Hassan melihat beliau membuka serban untuk mengangkat batu dan pasir.
Bapanya, Sultan Murad menjadikan al-Quran sebagai asas utama dalam mendidik Sultan Muhammad Al-Fateh hingga beliau menjadi pemuda yang hebat.
Sejak kecil iaitu dari umur empat tahun, ibunya, Huma Hatun membawa Sultan Muhammad Al-Fateh ke atas bukit berdekatan Kota Constantinoplel bagi menanam impian dan wawasan suatu hari nanti beliau akan mampu menguasai kota itu.
Pada usia 12 tahun, Sultan Muhammad Al-Fateh dilantik menjadi pemimpin sebuah pulau kecil, Pulau Magnesia kerana bapanya ingin melihat bagaimana Sultan Al-Fateh belajar membuat keputusan serta berdikari.
Misi takluk Byzantine pada usia 21 tahun
Beliau memulakan misi penaklukan Kota Constantinople pada umur 21 tahun iaitu dua tahun selepas dilantik menjadi sultan. Sebelum beliau terdapat 12 kali percubaan telah dilakukan untuk merobohkan Empayar Byzantine.
Sebelum serangan, Sultan Muhammad Al-Fateh pernah menyamar untuk menyelinap masuk ke dalam kota bertujuan mengenal pasti selok-belok kota serta mencari sendiri kekuatan dan kelemahan kota milik Empayar Byzantine itu.
Strategi dilancarkan terhadap tentera Rom ini sama dengan strategi daripada peperangan Rasulullah SAW dan Salahuddin Al-Ayyubi kerana dua ikon hebat ini antara rujukan paling disanjungi Sultan Muhammad Al-Fateh.
Persediaan dilakukan kira-kira dua bulan termasuk mereka bentuk meriam gergasi sebagai alat perang. Berkat kesungguhan serta sifat sabar dimiliki, akhirnya pada tanggal 29 Mei 1453 Kota Constantinople berjaya ditawan kerajaan Islam dan nama Constantinople ditukarkan menjadi Istanbul (Islam keseluruhannya).
Sultan Muhammad Al-Fateh juga telah melumurkan pasir ke mukanya selepas melakukan sujud syukur di atas pembukaan kota itu menyebabkan beliau digelar sebagai Al-Fateh yang membawa maksud pembukaan.
Semangat dan sifat mulia beliau seharusnya menjadi contoh belia Islam hari ini. Kita seharusnya memanfaatkan usia muda ini dengan sebaiknya. Sebolehnya dalam diri perlu ada cita-cita tinggi. Kita juga hendaklah berusaha membangunkan dan mempertahankan bangsa, negara dan agama Islam.
-BH
No comments:
Post a Comment