Bersyukur kepada Allah SWT ialah tanda pertama hikmah. Sesiapa yang bersyukur kepada Allah SWT bermakna dia bersyukur untuk dirinya. Bermula daripada kelahiran, maka nikmat Allah SWT yang tidak boleh dihitung terus-menerus dianugerahkan kepada manusia dalam segala segi.
Bumi tempat tinggal manusia
Kesihatan, makanan, tempat tinggal, pasangan, udara, matahari, ilmu, bakat, kepakaran, harta, zuriat, haiwan ternakan, emas, perak, ladang dan sebagainya. Bumi yang menjadi tempat tinggal manusia dijadikan Allah SWT sebagai tempat kediaman yang sesuai lagi menenangkan jiwa.
Bulan yang menyinari waktu malam memberi cahaya serta panduan hitungan musim dan kalendar. Graviti yang ditakdirkan ke atas bumi sangat sesuai untuk kehidupan manusia dan makhluk lainnya. Bijirin dan makanan dikeluarkan tumbuhan selepas siraman air hujan yang turun sepanjang tahun.
Perhatikan pula seluruh haiwan, besar atau kecilnya dipermudahkan untuk kegunaan manusia. Ini nikmat kurniaan yang besar kepada manusia. Gajah yang besar tunduk kepada manusia, apatah lagi binatang ternak yang memenuhi padang rumput dengan mudah dikawal manusia.
Nikmat Allah kepada manusia
Kuda ditunggangi untuk perjalanan dan peperangan. Unta menyeberangi padang pasir dengan penuh kesabaran. Anjing mengikut perintah tuannya. Ayam itik menjadi makanan harian manusia. Ini sebahagian nikmat Allah SWT untuk manusia.
Apabila manusia merenungi dirinya pula maka timbul rasa kesyukuran yang sangat tinggi terhadap setiap anggota dan pancaindera kurniaan Ilahi. Merenungi anatomi mata manusia yang begitu kompleks, deria dan fungsi setiap komponen serta saraf yang berkaitan dengan penglihatan, meninggalkan rasa kagum yang tidak berkesudahan ke atas nikmat kurniaan Ilahi.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, Kami pasti menambah (nikmat) kepada kamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), sesungguhnya azab-Ku pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7).
-BH
No comments:
Post a Comment