Monday, June 30, 2014

Bakar perempuan simpanan suami

GAMBAR Shi sebelum cuba membunuh diri.

Yunnan: Seorang wanita menyimbah petrol dan membakar perempuan simpanan suaminya sebelum cuba membunuh diri.

Kejadian berlaku kelmarin apabila suspek yang hanya dikenali dengan nama keluarganya, Shi, menyimbah mangsa dengan petrol di luar sebuah warung kopi.

Wanita itu mendakwa perempuan simpanan suaminya memaksa dia bercerai.

Rakaman video menunjukkan seorang wanita terbakar dengan bunyi jeritan yang menakutkan.

Mangsa kemudian rebah dan mati di tempat kejadian.

Mayat itu rentung hingga tidak dapat dikenali.

Selepas serangan itu, Shi meminum racun serangga dan cuba mengelar dirinya dengan pisau tetapi berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital.

Menurut pemilik warung itu, Shi datang dengan berpakaian serba hitam dan mengekori mangsa sambil memegang baldi berisi petrol.

Apabila tiba di warung itu, Shi bertanya kepada mangsa: “Adakah kamu yang mendampingi suami saya?”

Tanpa menunggu jawapan daripada mangsa, Shi menyembur serbuk lada ke muka wanita itu dan berlari mengambil baldi berisi petrol lalu, menyimbah wanita berkenaan dan membakarnya.

-Metro

Tazkirah Ramadhan :Wangian Bau Masyithah


Diriwayatkan dari Ibnu Abbas Radhiallahu ‘anhu dia berkata, Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam bersabda,”Pada saat malam terjadinya Isra’ saya mencium bau harum, sayapun bertanya,”Ya Jibril, bau harum apakah ini?”

Jibril menjawab,”Ini adalah bau wangi wanita penyisir rambut putri Fir’aun (Masyithah) dan anak-anaknya.”

Saya bertanya, ”Bagaimana demikian?”

Jibril bercerita,”Ketika dia menyisir rambut putri Fir’aun suatu hari, tiba-tiba sisirnya terjatuh. Dia mengambilnya dengan membaca ”Bismillah (dengan nama Allah).”

Putri Fir’aun berkata,”Hai, dengan nama bapakku?”

Masyithah berkata,”Bukan, Allah adalah Tuhanku dan Tuhanmu begitu juga Tuhan bapakmu.”

Putri Fir’aun bertanya,”Kalau begitu, kamu punya Tuhan selain ayahku?

Wanita tukang sisir itu menjawab,”Ya.”

Anak putri Fir’aun berkata, ‘Akan aku lapor­kan pada ayahku.’

Wanita tukang sisir menjawab, ‘Silakan!’

Putri Fir’aun kemudian melaporkan kepada bapaknya, dan Fir’aunpun kemudian memanggil Masyithah.

Fir’aun bertanya,”Ya Masyithah, apakah kamu mempunyai tuhan selain aku?”

Masyithah menjawab,”Ya, Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah.”

Kemudian Fir’aun memerintahkan untuk mempersiapkan periuk besar dari tembaga untuk dipanaskan. Satu persatu anak wanita tukang sisir itu kemudian dilemparkan ke dalam periuk yang mendidih.

Beberapa saat kemudian, Masyithah berkata kepada Fir’aun,”Saya mempunyai satu permohonan.”

Fir’aun menjawab,”Katakanlah.”

Masyithah berkata,”Saya ingin engkau mengumpulkan tulang-tulangku dan tulang-tulang anakku dalam satu kain/kantong untuk kemudian dikuburkan.”

Fir’aun menjawab,”Akan aku penuhi permintaanmu.”

Lalu satu demi satu anaknya dilemparkan ke dalam periuk mendidih itu di depan matanya, sampai akhirnya tinggal seorang bayi yang masih menyusu. Pada saat itu wanita tukang sisir nampak ragu-ragu.

Si bayi diatas gendongan Masyithah, atas izin Allah tiba-tiba berbicara,”Terjunlah Ibu! Ayo terjunlah, adzab dunia lebih ringan daripada adzab Akhirat.” Mendengar anaknya berbicara si ibupun langsung terjun bersama bayinya.

Demikianlah sebuah kisah yang tercantum dalam Musnad Imam Ahmad, 4/291-295 dan juga tercantum dalam Majma’uz Zawa’id, 1/65. Anisul Jalabi II, Ali Al-Hazza’. Kisah dari seorang wanita bernama Mashithah yang menjadi penerang kegelapan istana Fir’aun. Dia mempertahankan kebenaran, meskipun berat dan pahit terasa. Lalu siapakah pembawa obor bagi kita di kegelapan abad dua puluh satu ini?

(Pengajaran yang dapat dipetik):

1. Anjuran untuk tetap sabar dan teguh ketika muncul fitnah.

2. Balasan itu sesuai dengan jenis amal yang dikerjakan.

3. Bagi yang bersabar dalam memegang teguh agama dan tidak takut dicela orang niscaya memperoleh pahala dan gan­jaran yang sangat besar, sebagaimana firman Allah dalam QS: Az-Zumar: 10, “Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala tanpa batas.”

4. Seorang muslim diperbolehkan mengajukan permintaan yang mengandung kebaikan sekalipun kepada thaghut, sebagai­mana kisah ini. Wanita tukang sisir anak gadis Fir’aun meminta agar tulang tubuhnya dan anak-anaknya dikubur menjadi satu.

5. Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala senantiasa memberi jalan keluar untuk para waliNya dari musibah atau bencana yang menimpa.

6. Ketetapan karamah Allah yang diberikan bagi orang shalih dan shalihah.

7. Karamah termasuk dalam kategori peristiwa langka dan luar biasa.

Sumber: - Khoirunnisaa il’aalamiina- mawaaqifa nisaaiyati masyriqotin. (terjemahan) - Sittuna Qishshah Rawaha an-Nabi Shalallahu ‘alaihi wasallam wash shahabah al-Kiram. (terjemahan)

-Posted by Muhd Afiq

Sunday, June 29, 2014

Cara mudah tanam cili di rumah


1. Pilih kawasan yang menerima cahaya matahari yang banyak di rumah.

2. Pilih kawasan yang redup akan menyebabkan pokok menjadi tinggi daripada biasa dan saiz buah menjadi kecil.

3. Cara pemilihan medium penanaman bergantung kepada kaedah penanaman yang dipilih sama ada tanaman dalam pasu atau terus dalam tanah.

4. Medium penanaman untuk pasu yang sesuai adalah tanah campuran tiga bahagian tanah merah, dua bahagian tanah hitam dan satu bahagian pasir.

5. Saiz pasu yang sesuai adalah 16 inci x 20 inci bagi musim penanaman enam bulan.

6. Sekiranya bercadang untuk musim penanaman yang lebih panjang dari enam bulan, sila guna saiz pasu yang lebih besar seperti 30 inci x 50 inci.

7. Kaedah penanaman secara terus di tanah bagi kawasan rumah teres adalah tidak digalakkan kerana tanah tidak subur.

8. Sekiranya ingin meneruskan hasrat menanam di tanah kawasan rumah teres, tanah perlu diganti dengan tanah yang baru.

9. Pastikan tiada pokok buah-buahan seperti mangga, belimbing dan jambu berdekatan dengan kawasan tanaman. Ini bagi mengelakkan serangan lalat buah.

10. Umur paling sesuai untuk memindah tanam anak pokok atau tanah adalah ketika anak pokok sudah berusia tiga ke empat minggu.

11. Kelewatan memindah tanam anak pokok yang sudah cukup umur boleh menyebabkan pokok terbantut.

12. Waktu yang sesuai pindah tanam adalah pada waktu lewat petang.

13. Jangan pindah tanam anak pokok pada waktu tengah hari kerana pokok boleh terkena kejutan haba dan layu seterusnya mati.

14. Waktu yang sesuai untuk menyiram pokok adalah pada waktu awal pagi dan lewat petang.

15. Pokok cili harus disiram dua kali sehari, sekiranya waktu hujan tidak perlu disiram.

16. Pastikan kawasan penanaman tidak menyebabkan air bertakung. Air bertakung boleh menyebabkan lembap dan menggalakkan pertumbuhan kulat.

17. Kayu pancang perlu dipasang ketika peringkat awal selepas pindah tanam untuk mengelakkan kerosakan pada akar sekiranya dipasang pada umur matang.

18. Jenis kayu pancang yang sesuai adalah seperti buluh yang boleh bertahan sehingga lebih enam bulan.

19. Pemasangan kayu pancang bertujuan untuk mengelakkan pokok rebah apabila sudah berbuah lebat.

20. Baja organik seperti baja tahi ayam amat sesuai diberikan kepada pokok untuk menggalakkan tumbesarannya.

21. Sekiranya menggunakan baja kimia, pastikan mengikut kuantiti yang disarankan.

22. Pemberian baja kimia secara berlebihan boleh menyebabkan pokok mati kepanasan daripada baja.

23. Tempoh pemberian baja yang sesuai adalah setiap 10 hingga 14 hari.

24. Kehadiran semut yang banyak pada pokok cili adalah disebabkan ia menghurungi aphid atau bena putih yang terdapat di bahagian bawah daun.

25. Gunakan larutan pencegah serangga yang dirumus daripada bahan semula jadi seperti ekstrak semambu dan bawang putih.

26. Larutan mencegah serangga daripada bahan semula jadi mudah hilang apabila hujan.

27. Selepas hujan berhenti, larutan haruslah disembur semula.

28. Waktu paling sesuai untuk menyembur larutan pencegah serangga adalah pada waktu petang menghampiri Maghrib.

29. Tahap umur cili paling sesuai untuk dituai adalah apabila 80 peratus daripada cili yang matang sudah mencapai warna kirau (warna hijau bertukar sedikit merah).

30. Waktu paling sesuai untuk menuai adalah pada jam 9 pagi ke atas iaitu ketika embun sudah kering.

31. Sekiranya cili ingin disimpan lama, jangan basuh hasil tuaian cili. Sekiranya perlu dibasuh, harus dikeringkan segera.

32. Selepas cili dituai, baja perlu segera diberikan pada waktu petang yang sama atau keesokan harinya bagi mengelakkan pokok tertekan.

-Metro

Anjing setia tunggu tuan


Beijing: Kesetiaan seekor anjing menunggu tuannya di tempat sama sejak dua tahun lalu menyentuh perasaan banyak pihak sejak ia tersebar di laman sosial.

Menurut penduduk tempatan, anjing berwarna coklat itu ditinggalkan pemiliknya atas sebab tidak diketahui.

Sejak itu, kata mereka, anjing berkenaan akan menunggu di tempat berkenaan di Jalan Zhonghua tanpa mengira keadaan cuaca.

Seorang daripada penduduk di situ berkata, anjing berkenaan pernah patah kakinya akibat dilanggar kereta.

“Tetapi dalam keadaan begitu pun dia masih menunggu tuannya,” katanya. Seorang pengguna Internet beberapa hari lalu merakam gambar anjing berkenaan menunggu dalam hujan lebat dan memuat naik imej itu ke Facebook dengan kapsyen “Si coklat dungu. Tuanmu tidak akan kembali untuk membawa kamu pulang, tetapi kamu masih setia menunggu!”

- Agensi/Metro

Thursday, June 26, 2014

Anak kecil berkaki tiga tiba di AS untuk pembedahan


LOS ANGELES - Seorang anak kecil berusia 22 bulan dari Panama yang mempunyai tiga kaki, Ana Paula tiba di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) bagi menjalani pembedahan untuk membuang lebihan satu kaki tersebut.

Ana lahir secara kembar siam tetapi pasangannya meninggal dunia sewaktu menjalani pembedahan memisahkan mereka ketika berusia 20 hari.

Selepas kembarnya meninggal dunia, Ana berhadapan dengan masalah kerana mempunyai satu kaki tambahan selain beberapa masalah kesihatan yang lain.

Pembedahan bagi membuang kaki tambahan itu itu akan dilakukan oleh sepasukan doktor dari Hospital Kanak-Kanak Shriners di Los Angeles.

Pakar bedah hospital berkenaan, Dr. Kit Song dalam satu sidang akhbar memberitahu, hanya kaki kiri kanak-kanak itu yang berfungsi manakala kaki kanannya akan dipotong sebelum dia boleh menggunakan kaki palsu manakala kaki tengahnya akan dibuang terus.

"Dia mungkin berbeza dari kanak-kanak lain tetapi dia akan dapat bergerak dan bermain ," kata Song.

Dalam pada itu, ibunya Illeana Monrroy berkata, dia sangat berharap anaknya sihat dan mampu untuk berjalan sendiri.

Kos pembedahan Ana ditanggung oleh sebuah pertubuhan amal yang membela nasib kanak-kanak. - Agensi

-Kosmo

Wednesday, June 25, 2014

Air perigi tidak pernah kering


LOKASINYA yang terletak bersebelahan bulatan Jalan Rasah menjadikan Masjid Jamek Datuk Bandar Ahmad, Seremban, Negeri Sembilan sebagai pilihan orang ramai untuk singgah menunaikan ibadat.

Dibina di atas tanah wakaf berkeluasan dua hektar pada tahun 1875 sekali gus menjadikan masjid di Kampung Rasah itu antara yang tertua di daerah Seremban.

Selain lokasinya yang unik di tengah-tengah laluan jalan raya, masjid itu turut mendapat perhatian orang ramai termasuk dari negeri lain kerana sejak dibina air periginya tidak pernah kering.

Rata-rata pengunjung mempercayai air perigi itu mempunyai pelbagai kelebihan termasuk menyembuhkan penyakit.

Turut ditempatkan di masjid itu ialah Makam Datuk Syahbandar Hj. Ahmad Hj. Ali yang merupakan pengasas masjid berkenaan.

Pada awal pembinaannya, Majid Jamek Datuk Bandar Ahmad hanya menempatkan seramai 60 jemaah, namun kini jumlahnya mencecah sehingga 1,300 orang selepas menjalani beberapa proses pengubahsuaian.

Pelbagai aktiviti bagi program mengimarah masjid dilakukan hampir setiap bulan dan ianya berganda di sepanjang bulan Ramadan saban tahun.

Antara program yang dijadual tahun ini ialah jamuan berbuka puasa yang diadakan setiap hari. Lebih 70 orang yang terdiri daripada pelajar kolej perubatan dan Universiti Teknologi MARA dijangka memeriahkan program ini.

Ia kemudian diikuti dengan solat tarawih yang diimamkan oleh Ustaz Syafrudin Umar dan Mohd. Yassin Shamsuddin, tadarus al-Quran dan qiamullail.

Pada Ramadan kali ini, seramai 20 pelajar bersama dua guru dari Maahad Tahfiz As-Sa’idiyyah, Senawang akan bermalam di masjid berkenaan bagi mengadakan program Iktikaf Sahur selama lima hari empat malam, bermula 19 Julai depan.

Program penghayatan Ramadan dengan pengisian ceramah agama turut diadakan setiap tahun.

Selain pengisian berbentuk rohani, pihak pengurusan Masjid Jamek Datuk Bandar Ahmad tidak pernah melupakan mereka yang tidak bernasib baik.

Penyampaian sumbangan berbentuk wang tunai akan diberikan kepada 150 individu yang layak terdiri daripada fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan mualaf.

-Kosmo

Tuesday, June 24, 2014

Oh nasib penoreh


ARAU - Kejatuhan harga getah menjadikan penoreh getah di negeri ini hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Kebanyakan penoreh di negeri ini berpendapatan antara RM500 hingga RM600 sebulan sekali gus menyebabkan mereka berada di paras kemiskinan.

Asiah Abdul Razak, 55, dari Ulu Pauh, berkata, biarpun berpendapatan kira-kira RM140 seminggu, dia tetap meneruskan kerjanya yang telah dilakukan sejak 20 tahun lalu.

“Hanya kebun getah itu yang saya ada, itulah sumber rezeki utama saya dari dahulu lagi walaupun harga getah sekarang sangat murah.

“Dalam seminggu, saya jual 60 kilogram (kg), apabila dijual dapatlah RM138, selepas itu duit itu akan habis dibelanjakan untuk beli ikan, minyak dan keperluan dapur lain,” katanya selepas menerima Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah 2.0 Peringkat Negeri Perlis di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan (Adun) Pauh di sini, semalam.

Bantuan itu disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man yang juga Adun Pauh.

Sementara itu, bagi pemilik kebun yang juga pembeli getah di Kampung Kubang Siput, Sulaiman Abdullah, 61, berkata, bukan sahaja nasib pemilik kebun dihimpit kemiskinan, penoreh yang tidak mempunyai kebun juga dalam keadaan yang sama.

Katanya, sesetengah penoreh yang datang menjual getah kepadanya hanya memperoleh RM15 selepas dibahagikan dengan pemilik kebun.

“ Saya harap mereka ini juga akan diberi bantuan kelak seperti kami,” katanya.

Seramai 2,312 pekebun kecil negeri ini menerima bantuan khas tersebut semalam dengan peruntukan sebanyak RM1.2juta.

-Sinar

Monday, June 23, 2014

Mentaliti ‘darah nyamuk


SUATU hari seorang jemaah haji dari Iraq mendatangi Abdulah bin Umar. Ahli Iraq pada masa itu terkenal dengan sifat-sifat yang sangat buruk. Mereka pernah menjanjikan pembelaan bagi Husein bin Ali, namun mereka meninggalkan cucu Nabi itu apabila tentera Bani Umayyah menyerang beliau. Husein dan ramai ahli keluarganya akhirnya terbunuh di Karbala.

Ahli Iraq itu mengajukan satu pertanyaan kepada Abdullah bin Umar: “Apa hukum darah nyamuk yang terkena pakaian?"

Sahabat Nabi ini menjawab: “Tengoklah orang ini. Ia bertanya tentang hukum darah nyamuk padahal mereka telah membunuh cucu Nabi! Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: Mereka (Hasan dan Husein) adalah kesayanganku di dunia. (riwayat al-Bukhari)

Kisah ini mengandungi pengajaran yang sangat penting dalam analisis mentaliti umat Islam. Ramai daripada kalangan kita yang memiliki set minda seperti pemuda ahli Iraq ini. Iaitu suka membesarkan perkara yang kecil dan memperkecilkan perkara yang besar.

Darah nyamuk yang terkena pada pakaian membuat mereka tidak selesa. Namun jenayah membunuh cucu Nabi SAW dilihat biasa sahaja.

Berkata Ibnu Hajar dalam Fath al-Bari: “Ibnu Umar berkata seperti itu kerana kehairanannya kepada ahli Iraq yang bertanya tentang perkara yang remeh, namun melalaikan perkara yang sangat penting."

Tangga prioriti

Merujuk kepada realiti umat Islam semasa, mentaliti ‘Darah nyamuk’ turut dijumpai dalam sesetengah masyarakat kita. Mereka sangat sibuk membincangkan perkara remeh serta meninggalkan permasalahan yang lebih perlu untuk ditangani.

Perkara-perkara remeh itu seringkali berulang-ulang setiap tahun seperti Nisfu Syaaban, bilangan rakaat terawih dan lain-lain. Padahal umat Islam sedang berhadapan dengan masalah ekonomi, politik dan sosial yang sangat besar. Belum lagi ancaman kehancuran moral dalam kalangan pemuda Islam akibat pengaruh budaya barat yang songsang.

Saya tidak menafikan perkara-perkara kecil itu pun penting. Ia memang perlu ditangani dan dicarikan jalan keluarnya. Namun sebagai Muslim kita diajarkan untuk memiliki tangga prioriti dalam menyelesaikan masalah. Dahulukan yang lebih penting sebelum memikirkan yang kurang penting.

Itulah yang cuba dilakukan oleh Abdullah bin Umar. Sahabat Nabi SAW yang menjadi rujukan ulama fikah dan hadis itu sedar tentang kepentingan aspek kesucian pakaian dalam ibadah. Namun beliau ingin mengingatkan ahli Irak ini kepada perkara lebih penting yang seharusnya mereka ambil perhatian.

Semoga Allah SWT memberikan kekuatan untuk meneladani cara berfikir Abdullah bin Umar dan memberi kita kebijaksanaan dalam mencari solusi bagi setiap permasalahan dengan tepat. Amin ya rabbal ‘alamin.

-Utusan

Sunday, June 22, 2014

Pengasuh sebak ziarah remaja OKU


SEREMBAN – Pengasuh kepada seorang remaja Orang Kelainan Upaya (OKU) yang ditemui dalam keadaan kurus kering dikurung di sebuah rumah di Flat Taman Semarak, Nilai pada Jumaat lalu tidak dapat menahan sebak ketika menziarah mangsa di Wad Kanak-Kanak Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) dekat sini semalam.

Pengasuh itu, Norfitri Radius, 42, berkata, dia bagai tidak percaya remaja yang pernah diasuhnya selama lapan tahun berada dalam keadaan sedemikian. Beliau terus bergegas dari Gemencheh, Tampin ke HTJ semalam untuk melihat sendiri keadaan mangsa.

“Ketika menonton berita di televisyen, saya menitis air mata melihat keadaan remaja itu dan menatap sendiri keadaannya di HTJ membuat saya lebih sebak,” katanya ketika ditemui di HTJ di sini semalam.

-Kosmo

Pasangan warga tua ditahan khalwat selepas kelas agama


Jitra: Seorang lelaki warga tua yang hanya dibaluti selimut dari paras pinggang ke bawah tanpa berbaju, manakala pasangannya hanya berkemban, ditahan berkhalwat di rumah wanita itu di Tunjang di sini, semalam.

Lelaki berusia 61 tahun dan pasangannya yang berumur 63 tahun ditahan oleh sepasukan penguat kuasa Pejabat Agama Kubang Pasu (PADKP), kira-kira jam 1.40 pagi. Difahamkan, lelaki itu singgah di rumah wanita berkenaan sebaik selesai belajar agama di sebuah pondok berdekatan. Jurucakap PADKP berkata, ketika tiba di rumah itu selepas menerima aduan awam, mereka mendapati rumah itu dalam keadaan gelap dan pintu bertutup rapat.

Tutup badan dengan selimut

Selepas pintu diketuk beberapa kali, seorang lelaki warga tua yang hanya menutup badan menggunakan selimut dari paras pinggang ke bawah tanpa baju, membuka pintu. Setelah melakukan pemeriksaan, pasukan itu menemui seorang wanita duduk di atas katil dalam sebuah bilik dengan hanya berkemban.

“Ketika disoal siasat, pasangan itu yang segan silu akhirnya mengaku tidak mempunyai sebarang hubungan mahram atau suami isteri sehingga menimbulkan syak melakukan maksiat.

“Lelaki itu memberi alasan dia dalam proses perceraian dengan isterinya, manakala wanita itu pula mengakui kematian suami setahun lalu. Kita percaya alasan itu hanya untuk mengelak ditahan,” katanya.

Sudah lama jalin hubungan

Jurucakap itu berkata, berdasarkan maklumat penduduk setempat, pasangan terbabit sudah lama menjalinkan hubungan dan anggota keluarganya sendiri sudah berkali-kali menasihati tetapi tidak diendahkan. “Sepatutnya mereka menunjukkan contoh dan teladan yang baik kepada anak dan cucu tetapi sebaliknya pula yang berlaku,” katanya.

Pasangan itu ditahan dan dibawa ke Balai Polis Jitra untuk dibuat laporan tangkapan sebelum dibawa ke pejabat agama untuk diambil keterangan. Mereka disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan

-BH

Monday, June 9, 2014

Abai fatwa Al-Qaradawi


SHAH ALAM - Abaikan fatwa Dr Yusuf Al-Qaradawi mengenai hukum menggunakan gelatin babi, demikian nasihat Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan (JFK), Prof Emeritus Tan Sri Dr Abd Shukor Husin kepada umat Islam negara ini.

Bagaimanapun katanya, pendapat tokoh ulama itu yang menghukumkan penggunaan gelatin babi oleh orang Islam sebagai halal mengikut konsep istihalah tidak seharusnya dicurigai, cuma ia tidak sesuai dipraktikkan di negara ini.

"Malaysia bukan negara darurat (untuk dibenarkan penggunaan gelatin babi oleh orang Islam). Di sini kita masih mudah dapat bekalan makanan halal," katanya.

Menurutnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ada mengeluarkan senarai makanan halal, justeru tidak ada sebab kukuh untuk kita sampai perlu atau terpaksa menggunakan gelatin babi yang dibenarkan mengikut konsep istihalah.

Mengenai reaksi sebilangan ulama negara ini yang jelas begitu mencurigai pandangan Al-Qaradawi mengenai perkara tersebut, Abd Shukor berkata, kita tidak seharusnya cepat melatah menghadapi kenyataan kontroversi seperti itu.

"Pertamanya, jangan samakan atau bandingkan pandangan seperti itu dengan keadaan di negara kita. Pandangan beliau ada kebenarannya dan berdasarkan hujah. Cuma pada keadaan semasa, ia tidak relevan (untuk dipraktikkan) di sini," tegasnya.

Mengulas lanjut, Abd Shukor berkata, dalam melakukan sesuatu perkara yang tidak jelas hukumnya, umat Islam di negara ini seharusnya berpandu kepada fatwa yang dikeluarkan oleh JFK yang melakukan kajian dan perbincangan teliti dengan merujuk kepada kitab-kitab muktabar sebelum membuat sesuatu keputusan.

"Keputusan yang kita (JFK) buat adalah mengikut kesesuaian keadaan dalam negara kita sendiri, dan inilah yang menjadikan kenyataan (atau fatwa) sesetengah pihak (ulama) dari luar negara berbeza dengan kita," katanya.

Al Qaradawi dalam kenyataannya beberapa hari lalu menyatakan bahan yang asalnya adalah babi tertakluk kepada hukum baharu iaitu halal setelah mengalami transformasi bahan atau perubahan zat yang menghilangkan terus sifat yang ada pada unsur asal.

Mengikut hukum fiqh, hal yang seperti ini disebut sebagai istihalah.

Kenyataan ulama terkenal itu bagaimanapun tidak disanggah oleh beberapa ulama tempatan yang menyatakan bahan yang haram di sisi hukum Islam tetap dianggap haram meskipun mengalami perubahan zat.

Menurut Abd Shukor, istihalah yang disebut Al-Qaradawi boleh diguna pakai berdasarkan kedudukan, keadaan dan kemaslahatan di tempat-tempat tertentu.

"Di negara ini, seperti yang saya katakan tadi, ia tidak sesuai," tegasnya.

Menurutnya, istihalah lebih sesuai dipraktikkan di negara Barat yang umat Islam adalah golongan minoriti serta sukar untuk mendapatkan bekalan halal.

"Apa pun, yang paling perlu bagi kita adalah mengelak makanan yang berstatus meragukan atau syubhah," katanya.

-Sinar

Isteri cilik maut pada malam pertama


SANAA - YEMEN.Seorang kanak-kanak perempuan lapan tahun di bandar Meedi, wilayah Hajjah, barat laut Yaman meninggal dunia pada malam pertama perkahwinannya dengan lelaki berumur 40 tahun, pada minggu lalu.

Ketua Dewan Rakyat Yaman dan aktivis hak asasi manusia, Arwa Othman berkata, mangsa yang dikenali sebagai Rawan mengalami pendarahan dalaman yang teruk dan rahimnya turut pecah selepas melakukan persetubuhan pertama dengan suaminya.

"Mereka membawanya ke klinik tetapi doktor gagal menyelamatkannya.

"Pihak berkuasa juga belum mengambil sebarang tindakan terhadap keluarga pengantin cilik itu mahupun suaminya. Pemimpin puak juga dikatakan cuba untuk menutup kes tersebut selepas ia tersebar secara meluas," jelasnya lagi.

Menurut Al-Arabiya, difahamkan kebanyakan keluarga miskin di negara itu mengahwinkan anak perempuan mereka pada usia yang muda kerana ingin menjimatkan kos selain mahu mendapatkan wang hantaran bagi menyara hidup pada masa depan.

-Sinar

Sunday, June 8, 2014

Isteri disetubuhi jin


Panggilan yang diterima lewat malam itu benar-benar memberi kesan. Sepanjang malam saya tidak dapat melelapkan mata kerana asyik memikirkan potongan ayat lelaki tersebut.

“Isteri saya enak disetubuhi jin, sedangkan saya keseorangan di sofa ruang tamu dengan hanya ditemani nyamuk-nyamuk yang menggila seolah-olah mengejek-ejek diri saya," ungkap pemanggil tersebut.

Teruja untuk mengetahui dengan lebih lanjut, saya telah mengaturkan satu pertemuan dengan pemanggil tersebut. Ridzwan, 31, (bukan nama sebenar) telah berjaya mengubah dimensi saya tentang kewujudan alam lain di muka bumi ini.

Melihat secara luaran, perwatakan Ridzwan sama seperti lelaki-lelaki lain malah dia kelihatan kemas dan segak, sesuai dengan profesionnya sebagai seorang pengurus di sebuah syarikat terkemuka. Nyata telahan saya tersasar kerana menyangka Ridzwan seorang lelaki yang tidak terurus ekoran masalah yang sedang dialaminya itu.

“Tujuan saya berkongsi pengalaman ini bukanlah mahu membuka aib keluarga mahupun isteri saya, tetapi amat berharap agar perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada suami-suami yang mungkin menerima nasib yang sama seperti saya tetapi masih tertanya-tanya apakah musibah yang sedang melanda mereka," ujar Ridzwan membuka bicara.

Menurut Ridzwan, peristiwa ini berlaku lima tahun lalu selepas usia perkahwinan mereka mencecah tiga tahun. Menurutnya, keganjilan yang mula melanda isterinya itu berlaku sekembalinya mereka dari percutian di Tawau, Sabah kerana mengikutinya bekerja di luar kawasan.

Kesempatan bekerja di kawasan itu telah dimanfaatkan oleh mereka untuk terus pergi bercuti. Apatah lagi mereka masih belum dikurniakan anak setelah tiga tahun berkahwin menyebabkan mereka sentiasa mengisi setiap kesempatan yang ada untuk bersama.

“Sejak pulang dari Tawau, isteri saya mula berubah perangai setiap hari selepas pukul 10 malam. Pada mulanya, saya tidak menyangka apa-apa kerana dia sendiri mengakui kadang-kadang mood seseorang itu sentiasa berubah-berubah. Namun, keadaan itu berpanjangan sehinggalah tiga bulan," ujar Ridzwan lagi.

Apa yang ganjilnya, isterinya di waktu siang berkelakuan normal sahaja seperti biasa. Dia amat suka jika Ridzwan sentiasa merapatkan dirinya dan saling bersentuhan, malah dia jugalah yang sentiasa merangsang Ridzwan supaya melayaninya pada malam hari.

Namun setelah jam menunjukkan oukul 10 malam, isterinya itu terus tidur dan memalingkan diri ke arah bertentangan dengannya.

“Pernah sekali saya cuba juga untuk bermesra dengannya sambil membelai-belai rambut dan memeluknya dari belakang namun dia menepis tangan saya sambil mendengus," tambah Ridzwan sambil pandangan matanya dilemparkan jauh-jauh seolah-olah cuba menyembunyikan perasaanya hiba.

Pernah juga mereka bertengkar pada malam tersebut kerana isterinya seolah-olah tidak rela disentuh oleh Ridzwan dan menganggap seolah-olah suaminya itu cuba untuk merogolnya. Setiap malam juga Ridzwan akan kecewa dan membawa dirinya tidur berseorangan di ruang tamu rumah mereka.

Seperti biasa, pada sebelah pagi, isterinya akan bangun dengan begitu segar sekali dan penuh bersemangat. Dia seringkali memberitahu Ridzwan bahawa perasannya setiap kali bangun seolah-olah mereka telah bersama pada malam tersebut.

Hal ini menyebabkan Ridzwan mulai curiga dan risau. Tidak mungkin isterinya itu curang kerana setiap malam isterinya akan pulang ke rumah dan di sebelah siangnya mereka adalah pasangan yang paling bahagia.

Isterinya juga sering mengadu yang seringkali melihat kesan lebam di pangkal paha setiap kali bangun tidur dan pada lebam itu terdapat lima lubang halus.

“Pada mulanya, saya tidak menghiraukan aduan yang dibuat oleh isteri saya itu dan menganggap mungkin itu hanyalah gigitan serangga di malam hari. Tambahan pula perasaan yang kecewa pada malam hari menyebabkan saya tidak menghiraukan aduan-aduan isteri saya itu," tambah Ridzwan.

Pernah juga dia terfikir untuk menjalankan hubungan sulit dengan perempuan lain, namun itu sekadar angan-angan kosong bagi menyedapkan hati kerana jauh di sudut hatinya, dia terlalu sayangkan isterinya itu.

Keadaan ini berlarutan sehingga mencecah hampir setahun.

Untuk mengatasi masalah tersebut, Ridzwan terpaksa mendatangi isterinya pada waktu siang sebelum ke pejabat kerana menganggap isterinya hanya bernafsu pada waktu itu.

Disebabkan keadaan ini menyebabkan isterinya semakin lama semakin susut tubuhnya dan matanya mulai cengkung seolah-olah tidak mendapat rehat yang secukupnya walhal isterinya tidur nyenyak seawal pukul 9 malam dan tidak akan diganggu.

Pernah juga Ridzwan membawa isterinya berjumpa doktor, namun doktor mengesahkan yang isterinya sihat dan hanya menasihat supaya memperbanyakkan rehat.

Semakin hari isterinya mula mengalami kemurungan dan tidak seceria dulu. Dia semakin menjadi pasif, takut untuk berhadapan dengan orang ramai, rendah diri, tiada keyakinan dan prestasi kerjanya mula merosot.

Ridzwan cuba mendapatkan ikhtiar lain dengan cara menggunakan pendekatan rawatan secara Islam.

Perjumpaan dengan seorang ustaz yang terkemuka di ibu kota telah merungkaikan segala persoalan yang selama ini tidak terfikir oleh Ridzwan.

Menurut ustaz tersebut, isterinya itu sedang didampingi oleh jin dan menyetubuhinya setiap malam dan semakin lama jin itu semakin ketagih.

Ketika proses perubatan dilakukan, Ridzwan melihat sendiri bagaimana interaksi antara ustaz tersebut dengan jin yang menumpang dalam badan isterinya.

“Jin tersebut mula terpikat dengan isteri saya semasa mereka menginap di sebuah hotel di Tawau dan ketika itu isteri saya sedang mandi berbogel di dalam bilik air hotel tersebut. Sejak itu jin berkenaan mula mendampingi isteri saya dan amat benci kepada saya dan inginkan kami berpisah," tambah Ridzwan.

Namun, kecekalan hati Ridzwan serta rasa cintanya terhadap isteri menyebabkan mereka berjaya mengekalkan hubungan tersebut walaupun seringkali bercakaran.

Setelah pertemuan demi pertemuan diadakan dengan ustaz tersebut selama sebulan, akhirnya jin itu berjaya dikeluarkan dan isterinya itu kembali normal dan ceria seperti biasa. Kini perhubungan Ridzwan dan isterinya kembali normal.

Nasihat Ridzwan, jika terdapat sebarang tingkah laku atau perbuatan-perbuatan ganjil yang dilakukan oleh seorang isteri, segera mendapatkan rawatan sama ada secara moden atau Islam.

“Jangan pandang ringan akan hal ini kerana mungkin akan membawa kemudaratan jika dibiarkan berpanjangan. Ramai dalam kalangan isteri seringkali tidak menyedari yang dirinya telah ditiduri dan dirogol oleh jin akibat mengabaikan doa sebelum tidur sebagai pelindung diri. Ini akan menyebabkan jin mudah masuk ke dalam tubuh dan mendampingi mereka tanpa disedari.

“Naluri seorang isteri adalah sentiasa berkehendakkan layanan suaminya, dan jika dia mula menolak, mungkin ada sesuatu yang mengganggu dirinya. Mungkin yang mengganggu itu datangnya dari alam lain, ataupun yang mengganggu itu datangnya dari alam kita sendiri," kata-kata terakhir Ridzwan yang mendalam mengakhiri pertemuan tersebut.

-Utusan

Jual anak RM700


Kerana terdesak, seorang ibu empat anak menjual bayi yang baru dilahirkannya dengan harga RM700.

Gauri Shah, 32, yang tinggal di kawasan setinggan berhampiran landasan kereta api di sebuah kampung di Jalpaiguri, Benggala Barat bersama-sama-sama tiga anak berusia tiga dan lapan tahun, ditinggalkan suaminya lapan bulan lalu ketika dia hamil anak keempat.

Dia menjual bayi lelaki itu kepada pasangan yang tidak mempunyai zuriat.

Gauri melahirkan bayi itu pada 25 Mei, dan menjual bayi yang masih tidak bernama itu tujuh hari kemudian kerana tidak mampu membesarkannya.

Bagaimanapun, berita mengenainya tersebar dan kerajaan segera bertindak menyelamatkan bayi itu.

Wanita itu enggan menerima semula anaknya menyebabkan pihak berkuasa terpaksa menyerahkannya kepada rumah kebajikan buat sementara waktu.

Punca pendapatan keluarganya hanya datang daripada ibunya yang berusia 70 tahun, hasil meminta sedekah di jalanan.

Gauri sedikit pun tidak kesal dengan tindakannya sebaliknya berpendapat keputusan yang diambilnya tepat bagi menyelamatkan bayi itu dan tiga anak perempuannya yang lain.

“Suami saya meninggalkan saya dan tiga anak lapan bulan lalu.

Kami bergantung dengan hasil wang sedekah yang diperoleh ibu saya.

Saya terpaksa meminjam Rs100 (RM5) dari jiran untuk bersalin.

“Bagaimana saya harus membesarkan anak sedangkan saya tidak mempunyai wang?” katanya.

Menurut Gauri, sepasang suami isteri yang tidak mempunyai zuriat datang dan menawar mengambil anaknya dengan membayar 1,300 rupi (RM700).

“Saya menerima tawaran itu kerana tiada pilihan lain,” katanya.

Dia hanya bersedia mengambil semula bayinya sekiranya kerajaan memberinya bantuan.

Pihak berkuasa tempatan memberinya tempoh 60 hari untuk berfikir sama ada menerima bayi berkenaan semula atau mereka akan menyerahkannya kepada keluarga angkat.

-Metro

Tuesday, June 3, 2014

Jurutera tak mandi 12 tahun


London: Seorang jurutera kimia tidak mandi sejak 12 tahun lalu.

David Whitlock sebaliknya menggunakan bakteria bakteria pengkosidaan ammonia (AOB) untuk membersihkan badannya setiap hari.

Whitlock, warga Amerika, mula tertarik dengan kuasa mikro-organisme itu yang hidup di tanah, sungai dan lautan apabila teman wanitanya bertanya mengapa kudanya sering berguling di kawasan berlopak.

Whitlock yang menjalankan kajian mendapati haiwan berkenaan bertindak demikian bagi memastikan mereka memperoleh bakteria secukupnya bagi mengelak peluh mereka berbau pada musim panas.

Peluh manusia bertindak serupa pecah menjadi ammonia dan berbau, tetapi boleh dineutralkan dengan kehadiran AOB.

Masalahnya, kata Whitlock, kebanyakan manusia tidak lagi mempunyai bakteria yang baik pada tubuh mereka ketika ini.

Sejak 12 tahun lalu dia menyembur tubuhnya dengan AOB yang dikumpulkan dari tanah di ladang ternakan haiwan.

Dia juga menghasilkan produk itu untuk mereka yang tidak berminat mandi.

- Agensi/Metro

Sunday, June 1, 2014

JKM cari ibu bapa Nur Qalesya Husna


KUALA SELANGOR - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Selangor memohon kerjasama orang ramai supaya dapat membantu mencari ibu bapa atau waris kepada seorang kanak-kanak yang kini masih di bawah jagaan jabatan itu.

Penolong Pegawai JKM, Hamzalina Haris berkata, seorang kanak-kanak perempuan yang ditemui di pekarangan Rumah Tunas Harapan Kuala Selangor ketika masih bayi dengan hanya balutan kain berwarna merah jambu dan tasbih.

Menurutnya, kanak-kanak itu ditinggalkan keluarganya pada 8 November 2011 pada jam 11.45 malam manakala orang awam yang menemuinya terus membawa ke Hospital Tanjong Karang untuk tindakan lanjut.

“Kanak-kanak perempuan itu diberi nama sementara sebagai Nur Qalesya Husna dan tarikh lahir dianggarkan pada 7 November 2011 berikutan dilahirkan secara sendiri kerana tali pusatnya diikat mengunakan benang...tidak seperti yang diuruskan pihak hospital.

“Sehingga kini, waris atau ibu bapanya masih gagal dikesan untuk menuntut semula hak penjagaan kanak-kanak perempuan itu yang kini sudah berusia dua tahun,” katanya kepada Sinar Harian.

Hamzalina menjelaskan, sebaran media perlu dilaksanakan beberapa kali sebagai makluman kepada orang ramai mengenai status kanak-kanak perempuan itu sekiranya ada waris terdekat yang ingin menuntut hak penjagaan.

“Prosedur ini amat penting sebelum JKM mengambil keputusan untuk menyerahkan kanak-kanak perempuan itu kepada keluarga angkat yang sudi menjaganya seperti anak sendiri.

“Sekiranya dalam tempoh sebaran media ini tiada sesiapa yang tampil membuat tuntutan samada ibunya atau waris terdekat yang mengesahkan ada pertalian dengan kanak-kanak perempuan ini tindakan lanjut akan diambil.

“Kemungkinan kita akan menyerahkan kepada keluarga angkat yang dipilih,” katanya yang memaklumkan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi talian 03-32891495 dengan segera.

-Sinar