Sunday, June 8, 2014

Jual anak RM700


Kerana terdesak, seorang ibu empat anak menjual bayi yang baru dilahirkannya dengan harga RM700.

Gauri Shah, 32, yang tinggal di kawasan setinggan berhampiran landasan kereta api di sebuah kampung di Jalpaiguri, Benggala Barat bersama-sama-sama tiga anak berusia tiga dan lapan tahun, ditinggalkan suaminya lapan bulan lalu ketika dia hamil anak keempat.

Dia menjual bayi lelaki itu kepada pasangan yang tidak mempunyai zuriat.

Gauri melahirkan bayi itu pada 25 Mei, dan menjual bayi yang masih tidak bernama itu tujuh hari kemudian kerana tidak mampu membesarkannya.

Bagaimanapun, berita mengenainya tersebar dan kerajaan segera bertindak menyelamatkan bayi itu.

Wanita itu enggan menerima semula anaknya menyebabkan pihak berkuasa terpaksa menyerahkannya kepada rumah kebajikan buat sementara waktu.

Punca pendapatan keluarganya hanya datang daripada ibunya yang berusia 70 tahun, hasil meminta sedekah di jalanan.

Gauri sedikit pun tidak kesal dengan tindakannya sebaliknya berpendapat keputusan yang diambilnya tepat bagi menyelamatkan bayi itu dan tiga anak perempuannya yang lain.

“Suami saya meninggalkan saya dan tiga anak lapan bulan lalu.

Kami bergantung dengan hasil wang sedekah yang diperoleh ibu saya.

Saya terpaksa meminjam Rs100 (RM5) dari jiran untuk bersalin.

“Bagaimana saya harus membesarkan anak sedangkan saya tidak mempunyai wang?” katanya.

Menurut Gauri, sepasang suami isteri yang tidak mempunyai zuriat datang dan menawar mengambil anaknya dengan membayar 1,300 rupi (RM700).

“Saya menerima tawaran itu kerana tiada pilihan lain,” katanya.

Dia hanya bersedia mengambil semula bayinya sekiranya kerajaan memberinya bantuan.

Pihak berkuasa tempatan memberinya tempoh 60 hari untuk berfikir sama ada menerima bayi berkenaan semula atau mereka akan menyerahkannya kepada keluarga angkat.

-Metro

No comments:

Post a Comment