Tuesday, June 24, 2014

Oh nasib penoreh


ARAU - Kejatuhan harga getah menjadikan penoreh getah di negeri ini hidup ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Kebanyakan penoreh di negeri ini berpendapatan antara RM500 hingga RM600 sebulan sekali gus menyebabkan mereka berada di paras kemiskinan.

Asiah Abdul Razak, 55, dari Ulu Pauh, berkata, biarpun berpendapatan kira-kira RM140 seminggu, dia tetap meneruskan kerjanya yang telah dilakukan sejak 20 tahun lalu.

“Hanya kebun getah itu yang saya ada, itulah sumber rezeki utama saya dari dahulu lagi walaupun harga getah sekarang sangat murah.

“Dalam seminggu, saya jual 60 kilogram (kg), apabila dijual dapatlah RM138, selepas itu duit itu akan habis dibelanjakan untuk beli ikan, minyak dan keperluan dapur lain,” katanya selepas menerima Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah 2.0 Peringkat Negeri Perlis di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan (Adun) Pauh di sini, semalam.

Bantuan itu disampaikan Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man yang juga Adun Pauh.

Sementara itu, bagi pemilik kebun yang juga pembeli getah di Kampung Kubang Siput, Sulaiman Abdullah, 61, berkata, bukan sahaja nasib pemilik kebun dihimpit kemiskinan, penoreh yang tidak mempunyai kebun juga dalam keadaan yang sama.

Katanya, sesetengah penoreh yang datang menjual getah kepadanya hanya memperoleh RM15 selepas dibahagikan dengan pemilik kebun.

“ Saya harap mereka ini juga akan diberi bantuan kelak seperti kami,” katanya.

Seramai 2,312 pekebun kecil negeri ini menerima bantuan khas tersebut semalam dengan peruntukan sebanyak RM1.2juta.

-Sinar

No comments:

Post a Comment