SUATU hari seorang jemaah haji dari Iraq mendatangi Abdulah bin Umar. Ahli Iraq pada masa itu terkenal dengan sifat-sifat yang sangat buruk. Mereka pernah menjanjikan pembelaan bagi Husein bin Ali, namun mereka meninggalkan cucu Nabi itu apabila tentera Bani Umayyah menyerang beliau. Husein dan ramai ahli keluarganya akhirnya terbunuh di Karbala.
Ahli Iraq itu mengajukan satu pertanyaan kepada Abdullah bin Umar: Apa hukum darah nyamuk yang terkena pakaian?"
Sahabat Nabi ini menjawab: Tengoklah orang ini. Ia bertanya tentang hukum darah nyamuk padahal mereka telah membunuh cucu Nabi! Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: Mereka (Hasan dan Husein) adalah kesayanganku di dunia. (riwayat al-Bukhari)
Kisah ini mengandungi pengajaran yang sangat penting dalam analisis mentaliti umat Islam. Ramai daripada kalangan kita yang memiliki set minda seperti pemuda ahli Iraq ini. Iaitu suka membesarkan perkara yang kecil dan memperkecilkan perkara yang besar.
Darah nyamuk yang terkena pada pakaian membuat mereka tidak selesa. Namun jenayah membunuh cucu Nabi SAW dilihat biasa sahaja.
Berkata Ibnu Hajar dalam Fath al-Bari: Ibnu Umar berkata seperti itu kerana kehairanannya kepada ahli Iraq yang bertanya tentang perkara yang remeh, namun melalaikan perkara yang sangat penting."
Tangga prioriti
Merujuk kepada realiti umat Islam semasa, mentaliti Darah nyamuk turut dijumpai dalam sesetengah masyarakat kita. Mereka sangat sibuk membincangkan perkara remeh serta meninggalkan permasalahan yang lebih perlu untuk ditangani.
Perkara-perkara remeh itu seringkali berulang-ulang setiap tahun seperti Nisfu Syaaban, bilangan rakaat terawih dan lain-lain. Padahal umat Islam sedang berhadapan dengan masalah ekonomi, politik dan sosial yang sangat besar. Belum lagi ancaman kehancuran moral dalam kalangan pemuda Islam akibat pengaruh budaya barat yang songsang.
Saya tidak menafikan perkara-perkara kecil itu pun penting. Ia memang perlu ditangani dan dicarikan jalan keluarnya. Namun sebagai Muslim kita diajarkan untuk memiliki tangga prioriti dalam menyelesaikan masalah. Dahulukan yang lebih penting sebelum memikirkan yang kurang penting.
Itulah yang cuba dilakukan oleh Abdullah bin Umar. Sahabat Nabi SAW yang menjadi rujukan ulama fikah dan hadis itu sedar tentang kepentingan aspek kesucian pakaian dalam ibadah. Namun beliau ingin mengingatkan ahli Irak ini kepada perkara lebih penting yang seharusnya mereka ambil perhatian.
Semoga Allah SWT memberikan kekuatan untuk meneladani cara berfikir Abdullah bin Umar dan memberi kita kebijaksanaan dalam mencari solusi bagi setiap permasalahan dengan tepat. Amin ya rabbal alamin.
-Utusan
No comments:
Post a Comment