Thursday, July 24, 2014

Dr Mahathir serang Israel, gelar mereka lebih teruk daripada Nazi


Orang Yahudi lebih teruk daripada Nazi, kata Tun Dr Mahathir Mohamad, berhujah mengenai konflik terbaru Israel-Palestin dalam entri terbaru di blognya.

Dalam satu “serangan” panjang yang pedas terhadap bangsa Yahudi, bekas perdana menteri itu mengatakan orang Yahudi tidak belajar daripada kesilapan lalu.

"Bila orang Yahudi dianiayai oleh Nazi di Jerman, mereka memohon simpati dan sokongan dunia. Tetapi penderitaan mereka tidak mengajar mereka apa-apa, tidak membuat mereka lebih memahami erti penderitaan.

"Sebaliknya, sekarang mereka bertindak lebih teruk daripada Nazi, langsung tidak pedulikan kesengsaraan orang lain dan kematian yang mereka akibatkan," katanya dalam blognya chedet.cc.

Katanya, orang Yahudi sepatutnya marah kepada orang Jerman dan Eropah lain atas kekejaman yang dilakukan terhadap mereka masa lalu, sebaliknya mereka membunuh orang Arab sebab "ia lebih senang dan menyeronokkan."

Sebagai penyokong tegar Palestin, Dr Mahathir sering melepaskan kemarahannya terhadap Israel.

Negara Yahudi itu pada waktu ini sedang menyerang semenanjung sempit Gaza untuk menghentikan serangan roket Hamas berikutan penculikan dan pembunuhan tiga remaja Yahudi di Tebing Barat, dan penculikan dan pembunuhan seorang remaja Paletin dalam serangan balas.

Lebih 690 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, terkorban ketika serangan di Gaza masuk hari ke-16 hari ini.

Dalam menyenaraikan pelbagai pelanggaran dilakukan Israel dalam serangan mereka, Dr Mahathir berkata ia seakan menghantar isyarat yang negara Yahudi itu dan penduduknya adalah suci dan mereka menentang mereka mesti membayar harga yang mahal.

"Semua yang dilakukan Israel ini adalah bertentangan dengan undang-undang antarabangsa, moral dan hak asasi manusia. Mereka adalah penjenayah di sisi setiap undang-undang dunia bertamadun.

"Tetapi, Yahudi Israel sewenang-wenangnya melakukan semua ini. Mereka ada Amerika dan Eropah di belakang mereka. Mereka insan yang dipilih Tuhan, mereka tidak terikat dengan mana-mana undang-undang, kod etika, atau nilai kemanusiaan," kata Dr Mahathir.

Bekas perdana menteri itu kemudiannya menyalahkan Eropah dan Amerika kerana mencipta “raksasa” ini dan menuduh mereka memejam sebelah mata terhadap kekejaman dilakukan Israel.

"Mereka akan terus menyokong Israel walaupun kalau Israel lakukan pembunuhan beramai-ramai atau bunuh semua orang Arab. Ini cara mereka menebus semua layanan mereka terhadap Yahudi masa lalu," katanya. – 24 Julai, 2014.

-The Malaysian Insider

Wednesday, July 23, 2014

Abang kandung Nabi Musa


HARUN adalah abang kandung Nabi Musa a.s. Kisahnya di dalam al-Quran selalu disebut bersama dengan kisah adiknya itu. Baginda mendampingi Nabi Musa menemui Firaun untuk meminta agar Firaun melepaskan Bani Israel daripada perhambaan.

Mereka menyampaikan wahyu daripada Allah kepada raja Mesir itu, dan mengingatkannya serta meluruskan jalan hidupnya yang melampaui batas (tidak rela melepaskan Bani Israel daripada perhambaan) serta menyimpang daripada ajaran Allah SWT.

Dengan lemah lembut, Musa dan Harun menghadapi keangkuhan Firaun yang mengaku dirinya Tuhan. Akhirnya, Musa dan Harun berjaya membawa keluar Bani Israel dari Mesir.

Ketika sampai di sekitar Gunung Sinai, Nabi Musa meninggalkan Bani Israel selama 40 hari untuk menemui Tuhan di puncak Gunung Sinai.

Harun ditugaskan menjaga kaumnya. Baginda sempat mengingatkan mereka agar tidak menyembah berhala lagi.

Ketika Musa masih berada di Gunung Sinai, Harun mendatanginya.

Setelah mendapatkan tugas dan perintah daripada Allah SWT, kedua-duanya segera berangkat ke Mesir. Dengan ketabahan dan keteguhan iman, mereka menemui Firaun di istananya.

Dalam pertemuan itu, Nabi Musa menyampaikan wahyu Allah SWT kepada Firaun dan meminta agar Firaun membebaskan Bani Israel daripada perhambaan.

Harun memiliki kemampuan berbahasa lebih fasih daripada adiknya. Oleh hal demikian itu, Musa memohon kepada Allah SWT agar mengutuskan Harun mendampinginya menemui Firaun. Permohonan itu bermaksud untuk membenarkan kata-kata yang disampaikan Musa, kerana baginda khuatir Firaun tidak mahu menerima kata-katanya.

Harun diangkat oleh Allah SWT menjadi nabi dan rasul untuk membantu tugas kerasulan Nabi Musa a.s.

Ketika hendak mendatangi Firaun, mereka diperintahkan oleh Allah SWT agar mengaku sebagai utusan Allah SWT kepada Firaun. Mereka menghadap Firaun dengan membekalkan bukti-bukti kerasulan mereka daripada Allah.

Bani Israel menyembah patung lembu yang diperbuat daripada emas dan melupakan Tuhan ketika Musa berada di puncak Gunung Sinai untuk bertemu Tuhan. Harun tidak berdaya menggalas tugas yang diamanahkan kepadanya oleh Nabi Musa.

Ketika hendak menerima wahyu Allah SWT di Gunung Sinai, Harun diserahkan untuk memikul amanah oleh Musa untuk memimpin Bani Israel. Selama ditinggalkan oleh Musa, kaumnya membuat kekacauan.

Dalam suasana itu, muncul Samiri yang mengaku layak menjadi pemimpin Bani Israel. Dia membuat patung anak lembu emas sebagai sembahan. Melihat kaumnya yang kufur itu, Harun berusaha mengingatkan akan kesesatan mereka. Baginda berusaha menghentikan kekufuran kaumnya, namun hati mereka benar-benar keras.

Setelah pulang dari Gunung Sinai, Musa a.s marah kepada kaumnya dan menegur abangnya, Harun.

Oleh sebab berasa marah dan sedih, seperti dikisahkan di dalam al-Quran, Musa melemparkan ‘loh-loh’ (Taurat) yang baru diterimanya daripada Allah SWT dan memegang rambut Harun, sambil menariknya ke arahnya.

Sesudah amarahnya reda, baharulah diambilnya kembali ‘loh-loh’ (Taurat) itu, kerana di dalam tulisan Taurat itu terdapat petunjuk dan rahmat untuk orang-orang yang takut kepadanya.

Nabi Harun a.s wafat terlebih dulu daripada Nabi Musa a.s dan dimakamkan/disemadikan oleh Nabi Musa a.s di Bukit Hur (Jabal Harun) di Semenanjung Sinai.

-Utusan

Tuesday, July 22, 2014

Budak 5 tahun hafal 29 juz

JURI Abi Amir (kanan) mengucup tangan hafiz cilik, Musa.

Jakarta: Seorang juri program menghafaz al-Quran di Indonesia, Hafiz Indonesia, begitu sebak dan kagum dengan bakat seorang kanak-kanak berusia 5 tahun yang mampu menghafaz 29 juzuk al-Quran.

Juri itu Abi Amir Faisol Fath dilihat pergi kepada peserta yang dikenali sebagai Musa itu dan mencium tangan kanak-kanak berkenaan bagi mengambil keberkatan mukjizat Al-Quran yang dihafalnya.

Musa yang berasal dari Bangka membuatkan penonton rancangan Hafiz Indonesia menitiskan air mata apabila mampu menjawab soalan demi soalan yang diberikan juri serta penonton.

Program itu disiarkan di stesen televisyen RCTI malah turut dimuat naik ke YouTube manakala episod membabitkan Musa dimuat naik pada 29 Jun lalu.

Menurut Abi Amir, kanak-kanak itu membuatnya kagum kerana menganggap Allah sendiri memuliakannya biarpun umurnya masih muda apabila jiwanya diindahkan dengan al-Quran.

“Tiada perkataan yang boleh saya ucapkan... Subhanallah.

“Ayah bonda semua, inilah buktinya bahawa sekali pun anak kecil masih sangat lemah kemampuannya, namun kita tunduk dengan kemuliaannya kerana al-Quran maka kerana Allah memuliakannya,” katanya.

Menurutnya, wang kertas tetap bernilai biarpun dipijak kerana manusia telah menetapkan nilai untuk wang kertas.

“Bagi Musa, Allah menetapkan nilai yang mulia ke atasnya kerana dia sudah pun menghafaz Al-Quran biarpun masih muda,” katanya.

- Agensi/Netro

Kekasih dipenggal


Wyoming: Seorang remaja perempuan yang hamil dicekik sehingga mati sementara teman lelakinya dipenggal selepas mereka dipercayai menjalin hubungan dengan seorang lelaki yang tidak dikenali menerusi laman sosial untuk mengadakan seks.

Polis di Wyoming, Michigan berkata, remaja itu, Brooke Slocum, 19, yang hamil lapan bulan ditahan beberapa hari sebelum dibunuh.

Mayatnya ditemui di belakang bonet kereta suspek.

Ketua Polis James Carmody berkata, mayat teman lelaki Brooke, Charles Oppenneer, 25, ditemui dalam keadaan mengerikan sehari sebelum itu dengan kepalanya masih belum ditemui.

Siasatan awal polis menunjukkan Brooke menjalinkan hubungan dengan suspek, Brady Oestruike, 31, menerusi laman sosial Internet sebelum mengatur pertemuan untuk mengadakan seks dengan kehadiran Oppenneer.

Polis mendapatkan waran untuk menyerbu kediaman Oestrike sebaik mereka menemui mayat Oppenneer.

Bagaimanapun, lelaki itu berjaya melarikan diri tetapi ditembak mati selepas keretanya terbabit dalam kemalangan.

Penyiasat mengumpul lebih 400 bahan bukti dari rumah Oestrike, termasuk senjata, peluru dan pisau.

Mereka juga merampas beberapa barangan elektronik milik kedua-dua mangsa.

Polis masih menyiasat untuk memastikan sama ada orang lain turut terbabit dalam pembunuhan itu.

- AFP/Metro

Monday, July 21, 2014

Berat Firdaus naik 6 kg


SEREMBAN - Genap sebulan dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar di sini, remaja OKU, Muhammad Firdaus Dullah, 15, kini semakin sihat.

Malah, berat badannya juga sudah bertambah kepada 21 kilogram berbanding 15 kilogram semasa ditemui terkurung di Taman Semarak, Nilai, 21 Jun lalu.

Firdaus ketika dikunjungi isteri Menteri Besar, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin semalam turut kelihatan ceria.

Pada kunjungan itu, Salbiah selaku Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat dan Pegawai-pegawai Kanan Negeri Sembilan (Pekerti) berkesempatan melayan karenah Firdaus termasuk menyuap kuih raya kepadanya.

Menurut Salbiah, beliau gembira melihat perkembangan Firdaus kini.

“Terima kasih Hospital Tuanku Ja'afar kerana beri penjagaan amat rapi kepadanya. Saya harap Firdaus dapat menikmati kehidupan lebih baik selepas ini,” katanya.

-Sinar

‘Maafkan mak...’


Gelang Patah: “Maafkan mak nak, maafkan mak,” rintih seorang ibu, Masirah Berutu, 34, ketika mengucup jenazah anaknya Muhammad Iskandar Marakar, 4, buat kali terakhir sebelum kanak-kanak berkenaan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu, Kangkar Pulai, di sini, semalam.

Muhammad Iskandar ditemui tidak sedarkan diri dalam bilik air rumah teres setingkat milik keluarganya di Jalan Mesra 6, Bandar Baru Kangkar Pulai di sini, manakala kakaknya Siti Aisyah, 7, berdiri sambil menangis di dalam bilik air sama ketika kediaman berkenaan terbakar kira-kira jam 2 pagi semalam.

Bapa mangsa Marakar Pekar, 45, berkata, ketika kejadian dia dan isterinya keluar ke Pasar Borong Pandan untuk membeli ikan.

Katanya, dia dan isteri keluar pada jam 12.30 tengah malam selepas mendapati kedua-dua anaknya tidur dan singgah minum di sekitar Bandar Baru Uda.

“Mereka tidur di ruang tamu dan sebelum pulang, kami menerima panggilan daripada jiran memaklumkan rumah terbakar.

-Metro

Sunday, July 20, 2014

Lahir tanpa hidung


TESSA EVANS suka bermain-main di luar rumah dan memberikan ciuman kepada ibu bapanya. Tetapi tidak seperti kanak-kanak lain, dia sebenarnya menderita keadaan yang amat jarang berlaku iaitu tidak mempunyai hidung sejak lahir.

Kanak-kanak perempuan berusia 17 bulan itu disahkan menghidap arhinia. Hanya terdapat kira-kira 40 kes seperti itu dalam sejarah perubatan.

Keadaan ini bermakna Evans tiada deria bau dan sinus tetapi dia boleh batuk, bersin dan terkena selesema. Dia bernafas menggunakan mulut.

Menurut ibunya, Grainne, walaupun mempunyai masalah tersebut, Evans sentiasa tersenyum.

"Pada mulanya saya tidak faham. Bagaimana anak saya boleh tiada hidung? Adakah dia akan hidup? Adakah sesiapa yang dapat membantu?

"Tetapi sejak kami pulang ke rumah, saya dapat lihat perubahannya kerana dia sering tersenyum," katanya.

Ujarnya lagi, Evans kerap meniru perlakuan abang dan kakaknya walaupun dia kurang upaya.

"Orang yang bertemu Evans pula serta-merta jatuh cinta dengannya," jelasnya.

Hanya beberapa minggu selepas melahirkan anak ditambah lagi dengan carian di internet, Grainne terbaca artikel yang menyatakan kanak-kanak seperti Evans mempunyai pembangunan mental dan fizikal yang lemah.

Itu bermaksud ibu bapa perlu diberi pilihan untuk menamatkan kehamilan mereka.

Dia yang merupakan suri rumah sepenuh masa dari pekan Maghera di County Derry, Ireland berkata, anak perempuannya itu membuktikan pendapat itu salah.

"Sebaik melihat wajahnya, saya tahu ada sesuatu yang tidak kena.

"Saya sungguh terkejut tetapi hanya mendiamkan diri," kata Grainne.

Keadaan Evans telah dikesan semasa imbasan kandungan pada usia 20 minggu yang menunjukkan profil muka luar biasa.

Grainne dan suaminya, Nathan sudah diberitahu supaya bersedia bagi membuat keputusan yang sukar tetapi ujian susulan dan imbasan tiga dimensi mendapati Evans sihat dan normal.

Acuan hidung

Tetapi kelahiran itu sangat traumatik. Setakat ini, hanya ada 47 kes individu yang dilahirkan dengan muka separuh dicatatkan di seluruh dunia. Grainne pula begitu bimbang tentang tanggapan masyarakat terhadap muka anaknya itu.

"Meletakkan Evans di dalam kain anduh memberikan saya keyakinan untuk keluar buat pertama kali di depan khalayak ramai kerana saya sahaja yang memandangnya," tambahnya.

Evans akan memulakan rawatan di Hospital Great Ormond Street di London tidak lama lagi. Prosedur itu akan mereka bentuk acuan hidung yang boleh diletakkan di tempat sepatutnya di muka Evans.

"Dia benar-benar sempurna, tetapi kami perlu berfikir bagaimana untuk membolehkan dia menjalani kehidupan seperti biasa," katanya.

Evans turut mempunyai masalah penglihatan termasuk lubang kecil di dalam hatinya. Pada usia 11 minggu, dia memerlukan pembedahan membuang katarak mata.

Grainne rela berkongsi cerita mengenai anaknya itu selepas melihat sebuah keluarga menerima seorang kanak-kanak arhinia iaitu Cassidy Hooper di Ukraine yang sebelum itu tinggal di rumah anak yatim.

"Saya berharap kisah Evans ini akan memberi inspirasi kepada orang lain. Saya tidak mahu kanak-kanak tidak disayangi semata-mata disebabkan perbezaan fizikal dan penyakit mereka," katanya yang telah menubuhkan dana khas bagi membantu meringankan beban kewangan golongan pesakit arhinia.

-Kosmo

Thursday, July 17, 2014

Wartawan pernah masuk ke dalam gaun Ferrera mahu jadi model di Britain


LOS ANGELES - Seorang wartawan dari Ukraine, Vitalii Sediuk (gambar kecil) memohon maaf kepada beberapa selebriti Hollywood yang pernah menjadi bahan jenakanya dan mengumumkan dia akan berhijrah ke London, Britain untuk menjadi seorang model, lapor akhbar New York Daily News semalam.

Sediuk, 25, memberitahu, dia kini mahu mengubah kehidupannya dan berterima kasih kepada beberapa selebriti kerana masih bersabar dengan gurauannya.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Hollywood yang menerima kehadiran saya selama dua tahun setengah ini yang banyak mengajar saya erti kehidupan.

"Saya juga ingin memohon maaf kepada beberapa selebriti yang terlibat dengan lawak saya dan terima kasih kerana mereka masih mampu bersabar," katanya.

Menurutnya, dia membuat lawak tersebut dengan tujuan yang positif walaupun ada antaranya tidak menjadi dan gagal difahami oleh orang ramai.

"Saya tahu anda semua pasti tidak akan merindui saya," katanya.

Sediuk sebelum ini sering mencetuskan kontroversi dan terbaru dia ditangkap selepas sanggup memasukkan kepalanya ke dalam gaun aktres popular, America Ferrera di Festival Filem Cannes, Perancis pada 16 Mei lalu.

Dia juga pernah ditampar aktor terkenal, Will Smith selepas cuba mencium pelakon tersebut.

- Agensi/Kosmo

Wednesday, July 16, 2014

Bekas askar Israel ceria sebelah tahanan Palestin


BAITULMAQDIS: Seorang bekas askar wanita Israel memaparkan dalam Facebook gambarnya berpakaian seragam dan tersenyum sambil berdiri di sebelah tahanan Palestin yang ditutup mata dan diikat, dikecam hebat oleh rakannya dalam tentera dan pegawai Palestin.

Laman web dan blog Israel menunjukkan dua gambar wanita terbabit. Dalam salah satunya, dia duduk bersila bersebelahan lelaki Palestin yang ditutup mata dan tersembam pada halangan konkrit. Muka lelaki itu ditolak ke bawah manakala wanita berkenaan merapatkan dirinya pada tahanan itu dengan mukanya mendongak ke atas.

Satu lagi gambar menunjukkannya tersenyum pada kamera dengan tiga lelaki Palestin yang diikat tangan mereka dan ditutup mata, di belakang wanita terbabit.

Kejadian itu mengingatkan kejadian yang pernah berlaku sebelum ini mengenai layanan buruk askar Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat di bawah kawalan mereka.

Ia juga mengimbas kembali kejadian pada 2003 apabila askar Amerika di penjara Abu Ghraib di Iraq menunjukkan tahanan Iraq berbogel, dimalukan dan ditakutkan. Dalam kes berkenaan, beberapa askar dipenjarakan selepas gambar itu dihebahkan.

Askar Israel pernah menghadapi masalah sebelum ini dalam laman web sosial seperti Facebook dan YouTube. Terbaru sekumpulan askar perang dikenakan tindakan kerana menari mengikut rentak secara berkumpulan ketika bertugas di bandar Hebron di Tebing Barat. Tarian itu dipaparkan dengan jelas dalam YouTube.

Jurucakap Pihak Berkuasa Palestin, Ghassan Khatib mengutuk gambar itu dan berkata ia membuktikan kesan pendudukan Israel selama 43 tahun di kalangan rakyat Israel yang menguatkuasakannya. “Ia menunjukkan pemikiran mereka yang menceroboh Palestin, yakni berasa bangga menimbulkan aib kepada rakyat Palestin. Pendudukan Israel adalah tidak adil, tidak bermoral dan seperti yang dipaparkan menerusi gambar itu, perbuatan keji,” kata Ghassan.

Tentera Israel juga mengecam wanita muda itu, yang dikenal pasti oleh media dan blogger daripada Facebooknya sebagai Eden Aberjil dari bandar pelabuhan Ashdod di selatan Israel.

– AP/BH

Ugut isteri dengan tembikai


Hartford: Seorang lelaki berdepan dengan tuduhan mengugut isterinya selepas dia ‘menikam’ sebiji tembikai dan sengaja meninggalkannya di dapur untuk membolehkan si isteri melihatnya.

Ketua Jabatan Polis Thomaston James Campbell berkata, Carmine Cervellino, 49, dihadapkan ke mahkamah kelmarin atas tuduhan mengugut dan juga salah laku.

Cervellino ditahan Sabtu lalu dan dibebaskan selepas membayar wang ikat jamin sebanyak AS$500 (RM1,600) bon.

Menurut Campbell, rumah tangga pasangan itu mula berantakan 4 Julai lalu apabila isteri Cervellino membuat laporan polis setelah menemui pil dan ganja yang disembunyikan di dalam kotak peralatan tukang milik suaminya.

Pasangan berkenaan dikatakan dalam proses untuk bercerai ketika itu.

Wanita itu menganggap dirinya diancam setelah pulang dari balai polis dan menemui tembikai berkenaan bersama-sama pisau pemotong daging pada buah itu.

Sejurus selepas itu, Cervellino masuk ke dapur dan tanpa berkata apa-apa, memotong tembikai itu.

“Kami menganggap perbuatan lelaki itu sebagai sesuatu yang serius,” kata Campbell, semalam.

Cervellino akan dibicarakan 28 Ogos depan.

Dia bagaimanapun tidak berdepan dengan sebarang tuduhan berkait dengan dadah.

- Agensi/Metro

Tuesday, July 15, 2014

Di manakah kita akan berakhir...


KETIKA Ramadan memasuki hari ke-8 pada hari ini, banyak kematian yang telah berlaku dan demikian juga, banyak orang baru, bayi, yang lahir untuk menghuni dunia ini.

Manusia pergi dan manusia datang, untuk silih berganti meninggalkan dunia ini dan kedatangan yang baru untuk menggantikan yang telah pergi, selama mana dunia ini belum berakhir dan hari kiamat belum menjelma.

Ketika Ramadan baru melangkah masuk ke hari ini, hari ke-7, kita melihat beberapa kematian berlaku di hadapan mata kita, atau di dalam pengalaman dan pengetahuan kita.

Baru semalam, kita mendengar Allahyarham Datuk Sharifah Aini meninggal dunia. Subuh Jumaat lalu, seorang anggota keluarga, juga meninggal, minggu lepas seorang ahli keluarga meninggal, dan beberapa hari yang lalu, seorang kawan sekerja jemaah surau kami meninggal dunia, semuanya di dalam bulan puasa, di samping banyak lagi yang pergi di atas jalan raya seperti yang dapat kita baca dalam media.

Yang meninggal pula, maka kematiannya berlaku ditakdirkan oleh ALLAH SWT di dalam beberapa keadaan yang tertentu. Kawan sekerja yang meninggal, rebahnya ketika berada di pasar Ramadan pada petang hari, sedang menunaikan kewajipan untuk mencari makanan bagi keluarga berbuka puasa.

Ibu seorang anggota keluarga, meninggal ketika baring di atas katil, dengan kakinya sudah pun terjuntai, untuk bangun sahur agaknya. Arwah pada malamnya sempat berjemaah terawih dengan anak menantu dan sempat dihantar ke tempat tidur setelah itu. Apabila anak menantu pergi untuk mengejutnya bersahur seperti biasa dalam jam 5 pagi, Allahyarham kelihatan masih nyenyak, terlalu nyenyak tidurnya. Rupa-rupanya tidur yang terakhir, dia telah pergi buat selama-lamanya dalam bulan baik, Ramadan, dan pada pagi yang baik juga, hari Jumaat.

Suami cucu saudara, yang dalam perjalanannya ke tempat kerja, tiba-tiba jatuh sakit di dalam feri yang membawanya ke Pulau Pinang dan sesampainya di seberang, dia telah pergi menyahut penggilan ALLAH SWT.

Tidak ada sesiapa yang mengetahui di manakah dia akan meninggal, seperti yang difirmankan oleh ALLAH SWT di akhir surah Luqman "Tidak ada seseorang pun yang tahu di bumi manakah dia akan mati" maka tidak mungkin di antara arwah, orang yang telah pergi menyahut panggilan ALLAH itu yang mengetahui di manakah hayatnya akan berakhir, malah ALLAH sahaja yang tahu dan ALLAH sahaja yang memutuskan tentang masa dan tempatnya.

Keputusan yang dibuat oleh manusia di atas muka bumi ini, boleh dibantah, dikritik, dikecam dan di benci, atau sebaliknya dijunjung, dipuji, dihormati dan ditaati. Hal inilah yang berlaku ketika pemerintah sesebuah negara membuat keputusan tentang satu-satu dasar, atau sebuah pertubuhan membuat keputusan, malah sesuatu kaum dan penganut agama membuat tindakan tertentu, semuanya boleh dibantah, atau disokong, atas dasar bahawa keputusan itu adalah keputusan manusia dan "kita juga manusia, yang punya akal, punya pemikiran dan punya pertimbangan"...

Tetapi keputusan ALLAH SWT akan tetap berlaku, walau pun dibantah dan tidak disukai, kerana apa-apa yang diputuskan dan ditakdirkan oleh ALLAH itu adalah sesuatu yang muktamad mengikut kebijaksanaan ALLAH SWT, malah kalau dibantah, dan diusahakan untuk menghalang keputusan, atau takdir-NYA, maka hal itu akan tetap berlaku, walau pun seluruh manusia dan jin membantah dan tidak menyukainya, kerana lebih mengetahui rahsia kejadian alam dan makhluk-NYA ini, lebih berkuasa, dan Maha Adil.

Dalam perlawanan bola sepak Piala Dunia ini, hampir keseluruhan keputusan pengadil akan cuba dibantah oleh pemain atau pegawai pasukan yang dihukum, cuba menegakkan kebenarannya dan menyalahkan musuhnya, termasuk di dalam beberapa kes yang terang-terang merupakan kesalahan pasukannya, tetapi tetap dibantahnya.

Inilah tabiat manusia, kelemahan mereka, dan sifat subjektiviti mereka, semuanya semakin banyak merungut, membantah, memberontak, revolosi di sana, demonstrasi di sini, semua pihak dianggapnya tidak benar, tidak adil, zalim dan sebagainya, kecuali dirinya sahaja yang adil, benar, saksama dan paling ideal...

Sebab itulah puasa mengajar kita untuk menjadi umat bijaksana, mengata orang di belakangnya, walau pun perkara itu benar, tetapi menjatuhkan air muka dan mengaibkannya, adalah mengumpat, dan sifat ini amat dilarang oleh ALLAH SWT. Apa lagi mengata orang, mengumpat orang, sedangkan apa-apa yang diperkatakan itu tidak benar, maka hal ini adalah fitnah, membawa dosa yang lebih besar.

Semoga puasa yang mendidik kita selama sebulan ini, akan dapat meninggalkan akhlak yang baik kepada umat Islam dalam membangunkan masyrakatnya yang kuat dan berpadu, bekerja keras dan berusaha secara bersepadu untuk menonjol dan memperbaiki nasib mereka di dunia ini, menjadi umat yang sejahtera dan bahagia di akhirat, dirahmati dan diberikan ganjaran syurga insya-ALLAH.

Semoga akan datang Ramadan seterusnya yang dapat menyaksikan umat Islam yang kuat dalam semua aspek kehidupannya, sejahtera dalam berkeluarga dan bermasyarakat, aman di dalam diri, keluarga dan di dalam negaranya, hapuskan permusuhan, yang kadang kala membawa kepada pertumpahan darah, pembunuhan, pengebom berani mati, dan seribu satu macam mala petaka yang mencabar kesucian agama dan ketamadunan umah seperti yang berlaku di dalam bulan Ramadan ini, dan bulan-bulan Ramadan yang lalu....

-Sinar/Datuk Dr Ismail Ibrahim, bekas Ketua Pengarah Ikim

Daging burger undang kematian


KAJIAN daripada Institut Karolinska di Stockholm, Sweden mendapati pengambilan daging proses seperti sosej dan burger akan meningkatkan masalah kegagalan jantung.

Ini kerana daging proses mengandungi banyak bahan pengawet nitrat yang berbahaya kepada kesihatan.

Kajian yang dimuatkan dalam jurnal Circulation: Heart Failure itu melibatkan ujian ke atas 37,035 lelaki berumur dalam lingkungan 45 hingga 79 tahun.

Hasil kajian tersebut mendapati, seramai 2,891 orang mengalami kegagalan jantung dengan 266 orang meninggal akibat masalah tersebut.

Lelaki yang mengambil daging proses kira-kira 75 gram atau lebih pada setiap hari berisiko sebanyak 28 peratus untuk terkena serangan tersebut. Manakala mereka yang gemar mengambil makanan tersebut tanpa mengira waktu berisiko dua kali ganda.

=Kosmo

Sunday, July 13, 2014

Fenomena menakjubkan bulan 'Supermoon'


BULAN 'Supermoon' yang boleh dilihat di sebalik kawasan perumahan di Olvera, di wilayah Cadiz, selatan Sepanyol kelmarin. --------------------------------------------------------------------------------

WASHINGTON - Kejadian bulan penuh atau dikenali sebagai 'Supermoon' berjaya dirakamkan kelmarin dengan bentuk dan saiz yang luar biasa, lapor Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).

Menerusi imej yang dirakam, kedudukan bulan itu kelihatan dekat dengan bumi dan bersaiz lebih besar serta lebih cerah daripada biasa.

Menurut NASA, kejadian 'Supermoon' akan dilihat berada lebih dekat berhampiran bumi pada 10 Ogos ini. Fenomena yang sama dijangka juga dapat disaksikan pada 9 September ini.

Bulan dan Bumi yang mempunyai jarak sejauh 356,577 kilometer kali terakhir dilihat berlakunya fenomena 'Supermoon' adalah pada tahun 1993, dengan 20 peratus lebih cerah serta 15 peratus lebih besar berbanding saiz bulan biasa.

- AP/Kosmo

Datuk 48 cucu khalwat dengan isteri orang


KUALA TERENGGANU - Seorang datuk kepada 48 cucu dan empat cicit didenda RM2,400 selepas didapati bersalah atas pertuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Terengganu, semalam.

Alias Salleh, 78, yang masih beristeri dan mempunyai 18 anak itu turut berdepan hukuman penjara tiga bulan jika gagal membayar denda.

Bagaimanapun, dia yang juga seorang bekas guru dan berkahwin sebanyak 25 kali itu memilih menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Syarie Kamalruazmi Ismail menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh didapati bersalah berkhalwat mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.

Berdasarkan pertuduhan, Alias didapati berkhalwat dengan seorang tukang cuci berstatus isteri orang, Zalina Ismail, 31, di sebuah rumah di Taman Perumahan Wakaf Tengah, di sini, kira-kira jam 5 pagi pada 10 Mei lalu.

Sebelum kejadian, Alias dan wanita terbabit yang berasal dari Kampung Mengabang Telong, Batu Rakit, ditahan berdua-duaan di dalam rumah berkenaan oleh sepasukan polis, yang kemudian mendapati mereka tiada sebarang hubungan suami isteri atau mahram.

Pendakwaan dibuat Timbalan Ketua Pendakwa Syarie, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Nik Mohd Shahril Irwan Mat Yusof, manakala Alias tidak diwakili peguam syarie.

Terdahulu, Kamalruazmi dalam penghakimannya menasihatkan warga emas itu bertaubat atas kesalahannya, apatah lagi pada usia emas seperti itu kesalahan sedemikian tidak sepatutnya dilakukan.

“Dengan peringkat umur kamu ini, bukan waktu yang munasabah dan sesuai untuk kamu buat kesalahan seperti ini. Kamu nak balik menghadap ALLAH dah...hukuman yang mahkamah jatuhkan kepada kamu tidak boleh menebus kesalahan yang kamu lakukan ini. Insaf dan bertaubatlah,” katanya.

-Sinar

Monday, July 7, 2014

Pasaran gelap untuk kerusi roda, air zamzam menjadi-jadi


JEDDAH 7 Julai - Penjualan air zamzam dan kos menyewa kerusi roda melambung tinggi dalam pasaran gelap di sini sempena kedatangan bulan Ramadan, menyebabkan rungutan dalam kalangan jemaah.

Seorang jemaah, Faisal Al-Saadi yang ditemu bual Saudi Gazette memberitahu, dia kerugian sebanyak 150 riyal (RM127) kerana menyewa kerusi roda untuk anaknya selepas ditipu seorang lelaki.

"Lelaki itu memberitahu saya, saya akan diberi keistimewaan menggunakan laluan yang tidak sesak jika seorang daripada ahli keluarga saya menaiki kerusi roda.

"Jadi saya menyewanya untuk anak saya yang sihat," katanya.

Faisal berkata, dia sedar dirinya ditipu selepas gagal mencari individu itu semasa mahu memulangkan kerusi roda tersebut.

"Saya kemudian mendapat tahu, kerusi roda itu sebenarnya disediakan secara percuma kepada para jemaah di Masjidilharam," ujarnya.

Pegawai bertanggungjawab di Masjidilharam, Nasir Mohammed Al-Obaidi berkata, kerusi roda boleh didapati secara percuma di pejabat berhampiran dengan Bukit Safa, tetapi penyewa perlu mengisi borang.

Selain perkhidmatan kerusi roda, individu tertentu turut mengambil kesempatan menjual air zamzam pada harga mahal sehingga mencecah 15 riyal (RM12) berbanding harga sebenarnya, 5 riyal (RM4.20).

Jemaah umrah, Hussain Bahrawi berkata, oleh kerana keletihan dan tidak mahu beratur panjang untuk membeli air zamzam di sebuah kilang, dia membeli minuman tersebut pada harga mahal daripada penjual haram di luar kilang berkenaan.

-Utusan

Sunday, July 6, 2014

Kembar siam jatuh cinta


New Delhi: Selepas mengharungi perit getir hidup bersama tanpa merasai indahnya percintaan, kembar siam Ganga dan Jamuna Mondal akhirnya jatuh cinta dengan lelaki yang sama.

Kembar siam berusia 45 tahun itu terkenal dengan gelaran ‘Adik-beradik labah-labah’ hidup sebatang kara sepanjang hidup kerana masyarakat tidak dapat menerima penampilan luar biasa mereka.

Namun, selepas bertemu dengan pemuda yang baik, Jasimuddin Ahmad kehidupan mereka menjadi indah.

“Ia cinta pandang pertama. Apabila bertemu dengan Jasimuddin, kami dapat merasakan dia akan menyayangi kami dan dia ikhlas,” kata Jamuna.

Tambahnya, kehadiran Jasimuddin membuat mereka gembira.

“Dulu, kami menderita dan tidak mahu menempuh kehidupan seperti itu lagi.

“Kami berharap dapat menghabiskan sepanjang hidup kami bersamanya,” katanya.

Kembar itu dilahirkan dengan empat tangan dan mempunyai tiga kaki.

Selain itu, mereka yang berkongsi perut, tetapi mempunyai jantung, buah pinggang dan hati berlainan dilahirkan dalam keluarga daif berhampiran Kolkata, Bengal barat.

Malangnya ibu bapa kembar siam itu tidak mampu membayar kos perubatan lalu meninggalkan mereka ketika usia baru mencecah remaja kerana menganggap kehadiran mereka petanda dilaknat Tuhan.

Disebabkan tiada pendidikan, Jamuna dan Ganga menyara hidup dengan menyertai sarkas malah memperoleh pendapatan boleh dianggap lumayan sebanyak £25 (RM140) sehari.

Pasangan itu pernah cuba melakukan pembedahan, namun menolak idea itu kerana khuatir membahayakan nyawa dan mengakibatkan hilang sumber pendapatan.

Mereka bertemu Jasimuddin, 36, guru sekolah yang bekerja sambilan di sarkas sebagai jurutera bunyi.

“Kami terkejut mengetahui dia memahami dan membalas perasaan kami,” kata Ganga.

Sementara itu, Jasimuddin mengakui kehidupannya lebih bermakna sejak mengenali kekasih uniknya itu.

“Sejak bertemu dengan Ganga dan Jamuna, saya memahami derita yang mereka alami.

Saya sudah biasa begini. Saya sentiasa menganggap derita orang lain milik saya dan cuba memperbaiki keadaan,” katanya.

Ganga berkata, Jasimuddin berhati mulia dan pandai berjenaka.

“Dia sangat baik dan sering menghiburkan kami. Kami menggelarnya Mr India,” katanya.

Ditanya mengenai hubungan kelamin, Ganga dan Jamuna tidak mengulas lanjut namun mengakui hubungan mereka dengan Jasimuddin intim.

Menurut mereka, hubungan dijalin sama seperti hubungan lain malah lebih mementingkan persahabatan dan keseronokan.

Jasimuddin dan dua kekasihnya itu hidup bersama sejak tujuh bulan lalu. Mereka bertiga menolak untuk berkahwin kerana menganggap tidak dapat diterima masyarakat.

- Agensi/Metro

Thursday, July 3, 2014

Panggil media mengaku utusan tuhan


PORT DICKSON - Tanpa diketahui apa motif sebenarnya, seorang lelaki menjemput media menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) ke satu sidang media tergempar di bandar ini, semalam.

Menerusi SMS yang dihantar kepada beberapa wartawan media tempatan di daerah ini kelmarin, lelaki dikenali sebagai Balu, 40-an, mendakwa kononnya ada berita menarik mengenai Islam untuk dikongsikan bersama.

Bagaimanapun, sidang media yang diadakan di sebuah pekarangan masjid itu bertukar sesuatu tidak masuk akal apabila Balu mendakwa dirinya sebagai utusan tuhan untuk menyebarkan agama Islam.

Menurutnya, dia telah lama mendapat perintah dari tuhan, namun baru sekarang mahu mendedahkannya kepada umum.

Namun, Balu mengelak untuk memberitahu nama sebenarnya serta melarang jurugambar mengambil gambarnya dengan alasan ia larangan kepada dirinya.

“Saya sudah lama dilantik jadi utusan, semasa saya muda lagi, tapi sekarang baru saya nak beritahu orang ramai.

“Tapi sekarang ini, saya belum boleh beritahu bagaimana saya dilantik jadi utusan tuhan. Tetapi yang pasti, saya diutuskan untuk keselamatan dunia,” katanya.

Dia yang mendakwa sebagai seorang anggota tentera yang sedang dalam cuti peralihan untuk bersara, bagaimanapun kelihatan resah dan tidak selesa apabila diasak pelbagai soalan wartawan yang hadir pada sidang media berkenaan.

Akibat asakan demi asakan, sidang media itu hanya berlangsung kira-kira 15 minit apabila dia kemudian bergegas meninggalkan lokasi.

Sementara itu, Ketua Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Ahmad Zaki Hamzah berkata, pihaknya belum menerima sebarang laporan atau aduan berhubung kejadian berkenaan.

“Sekiranya individu berkenaan bukan beragama Islam, pihak kami tiada kuasa untuk ambil tindakan.

“Ia disebabkan kami bergantung kepada enakmen jenayah syariah yang hanya boleh diguna pakai untuk mereka beragama Islam sahaja,” katanya, semalam.

-Sinar

Wednesday, July 2, 2014

Penjawat awam terima RM500 sempena Aidilfitri


KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 sebagai persiapan Aidilfitri kepada penjawat awam bagi Gred 1 hingga Gred 54.

Perdana Menteri turut mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM250 kepada 684,000 pesara kerajaan bagi menghargai jasa, bakti dan perkhidmatan mereka.

"Pembayaran bagi bantuan khas itu akan dibuat pada 15 Julai ini," katanya dalam kenyataan di sini.

Bayaran Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam dan pesara kerajaan ini membabitkan peruntukan kewangan sebanyak RM890 juta, katanya.

Kerajaan berharap bantuan khas kewangan itu dapat meringankan beban kewangan penjawat awam dan pesara bagi persiapan menyambut hari lebaran pada hujung bulan ini, katanya.

- Bernama

Ubi kentang dapat sembuh penyakit kulit


Lazimnya sayur-sayuran sememangnya bagus untuk kesihatan kerana mempunyai pelbagai khasiat-khasiat yang baik untuk tubuh badan, dan sayuran juga menjadi salah satu bahan dalam rawatan tradisional untuk merawat penyakit batu karang.

Ubi kentang juga sebenarnya boleh menyembuh kulit bermasalah seperti kulit berjerawat dan bisul.

Dipetik dari portal Mingguan Wanita, untuk merawat penyakit tersebut adalah dengan mengadunkan ubi kentang dengan sedikit air kemudian disapukan ke atas jerawat dan bisul yang sudah pecah sebelum ditutup atau dibalut dengan kain bersih.

Selain itu, ubi kentang juga dikatakan mampu mengubati luka atau kudis yang berpunca daripada penyakit kencing manis dengan menggunakan kaedah yang sama seperti merawat jerawat dan bisul.

-By Azwa Iela

Tuesday, July 1, 2014

Pahala Terakhir Seorang Isteri


Kisah benar- petikan dari majalah NUR- cahaya keinsafan. Untuk renungan bersama… insyaAllah…

… .Peristiwa yang menimpa diri saya kira-kira dua tahun yang lalu sering datang meragut ketenangan yang cuba di pupuk hari demi hari. Saya selalu kecundang. Justeru saya masih belum dapat memaafkan kesalahan yang telah dilakukan. Kesalahan yang disangka ringan, tetapi rupa-rupanya mendatangkan rasa bersalah yang tidak pernah berkesudahan hingga ke hari ini.

Ingin saya paparkan peristiwa yang menimpa diri ini untuk tatapan anda sekalian, untuk dijadikan teladan sepanjang hidup. Untuk pengetahuan semua… … …

… .di kalangan sahabat-sahabat dan saudara-mara,saya dianggap sebagai seorang isteri yang baik. Tetapi keterlaluan jika dikatakan saya menjadi contoh teladan seorang isteri bekerja yang begitu taat berbakti kepada suami.

Walau bagaimana penat dan sibuk sekalipun, urusan rumahtangga seperti melayan suami dan menguruskan anak-anak tidak pernah saya abaikan.Kami dianggap pasangan romantik. Suami saya seorang lelaki yang amat memahami jiwa saya, berlemah lembut terhadap keluarga, ringan tulang untuk bersama-sama menguruskan rumah apabila pulang dari kerja dan lain-lain sifat yang baik ada pada dirinya.Waktu sembahyang dan waktu makan merupakan waktu terbaik untuk mengeratkan ikatan kekeluargaan dengan sembahyang berjemaah dan makan bersama. Pada waktu inilah biasanya beliau akan memberi tazkirah dan peringatan kepada kami agar menjadi hamba yang bertakwa.

Dari sudut layanan seorang isteri terhadap suami, saya amat memahami akan kewajipan yang harus ditunaikan. Itulah peranan asas seorang isteri terhadap suaminya. Allah menciptakan Hawa semata-mata unutk melayan Adam dan menghiburkannya. Meskipun syurga dipenuhi dengan kekayaan dan kemewahan, namun tidak mampu mengisi jiwa Adam yang kosong melainkan dengan diciptakan Hawa. Oleh itu saya menganggap tugas mengurus rumahtangga, mengurus anak-anak dan bekerja di pejabat adalah tugas nombor dua setelah tugas pertama dan utama, iaitu melayani suami.Sebagai seorang yang juga sibuk di pejabat, adakalanya rasa penat dan letih menghambat sehingga saya pulang ke rumah. Tetapi saya bersyukur kerana suami amat memahaminya.Berkat tolong-menolong dan bertolak-ansur,hal tersebut tidak pernah menjadi masalah di dalam rumahtangga. Bahkan sebaliknya menumbuhkan rasa kasih dan sayang antara satu sama lain kerana masing-masing dapat menerimanya dan mengorbankan kepentingan masing-masing.

Sehinggalah tiba pada satu hari yang mana pada hari itu datangnya ketentuan Allah yang tidak dapat diubah oleh sesiapa pun. Hari itu merupakan hari bekerja. Agenda saya di pejabat amat sibuk, bertemu dengan beberapa orang pelanggan dan menyelesaikan beberapa tugasan yang perlu disiapkan pada hari itu juga. Pukul lima petang saya bersiap-siap untuk pulang ke rumah. Penat dan letih tidak dapat digambarkan.Apabila sampai di rumah, saya lihat suami telah pulang dari pejabat.Dia telah membersihkan dirinya dan sedang melayani anak-anak,bermain-main dan bergurau senda. Dia kelihatan sungguh gembira pada pada petang itu.

Saya begitu terhibur melihat telatah mereka, kerana suasana seperti ituj arang berlaku pada hari bekerja. Maklumlah masing-masing penat. Suami sedarsaya amat penat pada hari itu. Oleh itu dia meminta agar saya tidak memasak,sebaliknya mencadangkan agar kami makan di sebuah restoran makanan laut dipinggir bandar. Dengan senang saya dan anak-anak menyetujuinya. Kami pulang ke rumah agak lewat, kira-kira jam 11 malam. Apa tidaknya,kami berbual-bual panjang ketika makan, bergurau-senda dan usik-mengusik.Seperti tiada hari lagi untuk esok. Selain anak-anak,suami sayalah orang yang kelihatan paling gembira dan paling banyak modal untuk bercakap pada malam itu. Hampir jam 12 barulah masing-masing merebahkan badan di katil.

Anak-anak yang kekenyangan segera mengantuk dan lelap. Saya pun hendak melelapkan mata, tetapi belaian lembut suami mengingatkan saya agar tidak tidur lagi. Saya cuba menggagahkan diri melayaninya, tetapi hati saya hanya separuh saja jaga, separuh lagi tidur. Akhirnya saya berkata kepadanya sebaik dan selembut mungkin, “Abang, Zee terlalu penat,” lalu saya menciumnya dan memberi salam sebagai ucapan terakhir sebelum tidur.Sebaliknya suami saya terus merangkul tubuh saya. Dia berbisik kepada saya bahawa itu adalah permintaan terakhirnya. Namun kata-katanya itu tidak meresap ke dalam hati saya kerana saya telah berada di alam mimpi.Suami saya perlahan-lahan melepaskan rangkulannya.

Keesokannya di pejabat, perasaan saya agak tidak menentu. Seperti ada perkara yang tidak selesai. Saya menelefon suami, tetapi tidak berjawab.Sehinggalah saya dapat panggilan yang tidak dijangka sama sekali – panggilan dari pihak polis yang menyatakan suami saya terlibat dalam kemalangan dan dikehendaki datang segera ke hospital. Saya bergegas ke hospital,tetapi segala-galanya sudah terlambat. Allah lebih menyayangi suami saya dan saya tidak sempat bertemunya. Meskipun redha dengan pemergian suami,tetapi perasaan terkilan dan bersalah tidak dapat dikikis dari hati saya kerana tidak melayaninya pada malam terakhir kehidupannya didunia ini.Hakikatnya itulah pahala terakhir untuk saya sebagai seorang isteri. Dan yang lebih saya takuti sekiranya dia tidak redha terhadap saya pada malam itu,maka saya tidak berpeluang lagi untuk meminta maaf d aripadanya.

Sabda Rasulullah s.a.w, “Demi Allah yang jiwaku di tangan-Nya,tiada seorang suami yang mengajak isterinya tidur bersama di tempat tidur,tiba-tiba di tolak oleh isterinya, maka malaikat yang di langit akan murka kepada isterinya itu, hingga dimaafkan oleh suaminya.”

Sehingga kini,setiap kali saya terkenang kepadanya, air mata saya akan mengalir ke pipi.Saya akan bermunajat dan mohon keampunan daripada Allah.

Hanya satu cara saya fikirkan untuk menebus kesalahan itu, iaitu dengan mendidik anak-anak agar menjadi mukmin sejati. Agar pahala amalan mereka akan mengalir kepada ayah mereka. Hanya itulah khidmat yang dapat saya berikan sebagai isterinya

-by Muhd Afiq/Ihsan dari Dakwah2U

Budak mati dikelar bapa saudara


TELUPID - Kegembiraan sebuah keluarga untuk berbuka puasa bersama bertukar menjadi mimpi ngeri apabila seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun mati dikelar bapa saudaranya di sebuah restoran di Kampung Gambaron dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu, mangsa, Mohamad Khairul Aize Abdullah dan ahli keluarganya yang lain termasuk suspek sedang berkumpul di restoran milik ibu mangsa untuk berbuka puasa.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintendan V. Sivanathan berkata, lelaki berusia 23 tahun itu yang dipercayai mempunyai penyakit mental kemudian mengambil sebilah parang pemotong daging sebelum memanggil mangsa yang sedang bermain di dalam restoran berkenaan.

-Kosmo