Sunday, July 6, 2014

Kembar siam jatuh cinta


New Delhi: Selepas mengharungi perit getir hidup bersama tanpa merasai indahnya percintaan, kembar siam Ganga dan Jamuna Mondal akhirnya jatuh cinta dengan lelaki yang sama.

Kembar siam berusia 45 tahun itu terkenal dengan gelaran ‘Adik-beradik labah-labah’ hidup sebatang kara sepanjang hidup kerana masyarakat tidak dapat menerima penampilan luar biasa mereka.

Namun, selepas bertemu dengan pemuda yang baik, Jasimuddin Ahmad kehidupan mereka menjadi indah.

“Ia cinta pandang pertama. Apabila bertemu dengan Jasimuddin, kami dapat merasakan dia akan menyayangi kami dan dia ikhlas,” kata Jamuna.

Tambahnya, kehadiran Jasimuddin membuat mereka gembira.

“Dulu, kami menderita dan tidak mahu menempuh kehidupan seperti itu lagi.

“Kami berharap dapat menghabiskan sepanjang hidup kami bersamanya,” katanya.

Kembar itu dilahirkan dengan empat tangan dan mempunyai tiga kaki.

Selain itu, mereka yang berkongsi perut, tetapi mempunyai jantung, buah pinggang dan hati berlainan dilahirkan dalam keluarga daif berhampiran Kolkata, Bengal barat.

Malangnya ibu bapa kembar siam itu tidak mampu membayar kos perubatan lalu meninggalkan mereka ketika usia baru mencecah remaja kerana menganggap kehadiran mereka petanda dilaknat Tuhan.

Disebabkan tiada pendidikan, Jamuna dan Ganga menyara hidup dengan menyertai sarkas malah memperoleh pendapatan boleh dianggap lumayan sebanyak £25 (RM140) sehari.

Pasangan itu pernah cuba melakukan pembedahan, namun menolak idea itu kerana khuatir membahayakan nyawa dan mengakibatkan hilang sumber pendapatan.

Mereka bertemu Jasimuddin, 36, guru sekolah yang bekerja sambilan di sarkas sebagai jurutera bunyi.

“Kami terkejut mengetahui dia memahami dan membalas perasaan kami,” kata Ganga.

Sementara itu, Jasimuddin mengakui kehidupannya lebih bermakna sejak mengenali kekasih uniknya itu.

“Sejak bertemu dengan Ganga dan Jamuna, saya memahami derita yang mereka alami.

Saya sudah biasa begini. Saya sentiasa menganggap derita orang lain milik saya dan cuba memperbaiki keadaan,” katanya.

Ganga berkata, Jasimuddin berhati mulia dan pandai berjenaka.

“Dia sangat baik dan sering menghiburkan kami. Kami menggelarnya Mr India,” katanya.

Ditanya mengenai hubungan kelamin, Ganga dan Jamuna tidak mengulas lanjut namun mengakui hubungan mereka dengan Jasimuddin intim.

Menurut mereka, hubungan dijalin sama seperti hubungan lain malah lebih mementingkan persahabatan dan keseronokan.

Jasimuddin dan dua kekasihnya itu hidup bersama sejak tujuh bulan lalu. Mereka bertiga menolak untuk berkahwin kerana menganggap tidak dapat diterima masyarakat.

- Agensi/Metro

No comments:

Post a Comment