Sunday, July 20, 2014

Lahir tanpa hidung


TESSA EVANS suka bermain-main di luar rumah dan memberikan ciuman kepada ibu bapanya. Tetapi tidak seperti kanak-kanak lain, dia sebenarnya menderita keadaan yang amat jarang berlaku iaitu tidak mempunyai hidung sejak lahir.

Kanak-kanak perempuan berusia 17 bulan itu disahkan menghidap arhinia. Hanya terdapat kira-kira 40 kes seperti itu dalam sejarah perubatan.

Keadaan ini bermakna Evans tiada deria bau dan sinus tetapi dia boleh batuk, bersin dan terkena selesema. Dia bernafas menggunakan mulut.

Menurut ibunya, Grainne, walaupun mempunyai masalah tersebut, Evans sentiasa tersenyum.

"Pada mulanya saya tidak faham. Bagaimana anak saya boleh tiada hidung? Adakah dia akan hidup? Adakah sesiapa yang dapat membantu?

"Tetapi sejak kami pulang ke rumah, saya dapat lihat perubahannya kerana dia sering tersenyum," katanya.

Ujarnya lagi, Evans kerap meniru perlakuan abang dan kakaknya walaupun dia kurang upaya.

"Orang yang bertemu Evans pula serta-merta jatuh cinta dengannya," jelasnya.

Hanya beberapa minggu selepas melahirkan anak ditambah lagi dengan carian di internet, Grainne terbaca artikel yang menyatakan kanak-kanak seperti Evans mempunyai pembangunan mental dan fizikal yang lemah.

Itu bermaksud ibu bapa perlu diberi pilihan untuk menamatkan kehamilan mereka.

Dia yang merupakan suri rumah sepenuh masa dari pekan Maghera di County Derry, Ireland berkata, anak perempuannya itu membuktikan pendapat itu salah.

"Sebaik melihat wajahnya, saya tahu ada sesuatu yang tidak kena.

"Saya sungguh terkejut tetapi hanya mendiamkan diri," kata Grainne.

Keadaan Evans telah dikesan semasa imbasan kandungan pada usia 20 minggu yang menunjukkan profil muka luar biasa.

Grainne dan suaminya, Nathan sudah diberitahu supaya bersedia bagi membuat keputusan yang sukar tetapi ujian susulan dan imbasan tiga dimensi mendapati Evans sihat dan normal.

Acuan hidung

Tetapi kelahiran itu sangat traumatik. Setakat ini, hanya ada 47 kes individu yang dilahirkan dengan muka separuh dicatatkan di seluruh dunia. Grainne pula begitu bimbang tentang tanggapan masyarakat terhadap muka anaknya itu.

"Meletakkan Evans di dalam kain anduh memberikan saya keyakinan untuk keluar buat pertama kali di depan khalayak ramai kerana saya sahaja yang memandangnya," tambahnya.

Evans akan memulakan rawatan di Hospital Great Ormond Street di London tidak lama lagi. Prosedur itu akan mereka bentuk acuan hidung yang boleh diletakkan di tempat sepatutnya di muka Evans.

"Dia benar-benar sempurna, tetapi kami perlu berfikir bagaimana untuk membolehkan dia menjalani kehidupan seperti biasa," katanya.

Evans turut mempunyai masalah penglihatan termasuk lubang kecil di dalam hatinya. Pada usia 11 minggu, dia memerlukan pembedahan membuang katarak mata.

Grainne rela berkongsi cerita mengenai anaknya itu selepas melihat sebuah keluarga menerima seorang kanak-kanak arhinia iaitu Cassidy Hooper di Ukraine yang sebelum itu tinggal di rumah anak yatim.

"Saya berharap kisah Evans ini akan memberi inspirasi kepada orang lain. Saya tidak mahu kanak-kanak tidak disayangi semata-mata disebabkan perbezaan fizikal dan penyakit mereka," katanya yang telah menubuhkan dana khas bagi membantu meringankan beban kewangan golongan pesakit arhinia.

-Kosmo

No comments:

Post a Comment