Wednesday, February 4, 2015

Labora si polis kebal

Jayapura: Labora Sitorus mungkin hanya anggota polis berpangkat rendah, tetapi tindakannya enggan membenarkan dirinya menjalani hukuman penjara membingungkan ramai pihak. Labora termasuk dalam senarai buruan paling dikehendaki pihak berkuasa walaupun dia sebenarnya tidak pernah melarikan diri.

Akaun bank miliknya diragui kerana menyimpan wang bernilai Rp1.5 trilion (RM428 juta) dan selepas dibicarakan, didapati bersalah terbabit dalam salah guna kuasa. Mahkamah kemudian menjatuhi hukuman penjara 15 tahun dan denda Rp5 bilion (RM1.4 juta) terhadap anggota polis yang berkhidmat di Sorong, Papua Barat.

Di sebalik hukuman itu, Labora tetap bertegas dia tidak bersalah dan enggan membiarkan dirinya ditangkap. Menteri Undang-undang dan Hak Asasi Manusia Indonesia Yasonna H Laoly berkata, Labora kekal bebas kerana dilindungi orang berkuasa.“Jika tidak dilindungi kumpulan berpengaruh, mustahil dia kekal bebas,” katanya. Justeru, kata Yasonna, kerajaan bercadang menghantar Labora ke penjara di luar Papua bagi mengelakkan dia melarikan diri.

Kemewahan Labora terbongkar pada 2003 apabila Pusat Aduan dan Analisis Transaksi Kewangan membongkar akaun bank tertuduh. Labora dan ahli keluarganya didapati memiliki beberapa syarikat yang berdagang kayu haram serta subsidi bahan api. Pejabat Pendakwa Papua kini sudah membentuk satu pasukan untuk mengheretnya ke penjara.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/28634#sthash.jaVFhy9l.dpuf

No comments:

Post a Comment