Laman web Hindustan Times melaporkan, sejak beberapa hari lalu laman web kerajaan tempatan di Xinjiang telah menerbitkan berita dan mengeluarkan notis yang menggesa anggota parti, penjawat awam, pelajar dan guru-guru supaya tidak menyambut bulan Ramadan, sama seperti tahun lalu.
Tindakan tersebut diambil susulan daripada kejadian serangan ganas di wilayah berkenaan sejak tiga tahun lalu sehingga mengakibatkan beratus-ratus orang terkorban, dengan Beijing mendakwa serangan dilancarkan oleh militan Islam.

Kerajaan dalam laman webnya berkata, pegawai keselamatan makanan minggu lalu sebulat suara bersetuju untuk ‘membimbing dan menggalakkan’ restoran halal beroperasi pada bulan Ramadan di daerah Jinghe berhampiran sempadan Kazakhstan.

Mana-mana restoran yang mendengar arahan tersebut tidak akan diperiksa secara kerap oleh pegawai keselamatan makanan.

Media tempatan melaporkan, penjawat awam di daerah Maralbexi berjanji secara lisan dan bertulis untuk tidak menyambut bulan Ramadan, tidak menyertai sebarang aktiviti keagamaan serta tidak berpuasa.

Kongres Uighur Sedunia dan aktivis hak asasi manusia berkata, polisi berbentuk penindasan yang dilaksanakan oleh kerajaan di wilayah Xinjiang, termasuk sekatan ke atas amalan agama menjadi punca utama kekacauan berlaku, dakwaan yang dinafikan oleh Beijing.

“China meningkatkan larangan dan pemantauan menjelang bulan Ramandan. Nasib bangsa Uighur sering dipolitikkan dan peningkatan kawalan akan menyebabkan berlaku banyak penentangan,” kata jurucakap Kongres Uighur Sedunia, Dilxat Raxit dalam satu kenyataan.

-Utusan