Sunday, June 21, 2015

'Dunia semakin tua'

KOTA BHARU - Walaupun lebih kepada fenomena alam, namun gempa bumi di Ranau Jumaat lalu disifatkan sebagai peringatan daripada ALLAH kepada umatnya tentang usia dunia yang semakin tua.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, kejadian itu memerlukan umat manusia sentiasa dalam keadaan bersedia dengan melipat gandakan amal ibadah.

“Fenomena alam boleh berlaku di mana sahaja dan kepada sesiapa sahaja. Dari segi akidahnya, ia adalah peringatan daripada ALLAH bahawa dunia sudah tiba di penghujungnya.

“Bila kita didatangkan dengan musibah, ingatkan setiap individu dan masyarakat untuk lebih mentaati ALLAH sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya kepada Sinar Harian ketika mengulas tragedi yang meragut kira-kira 20 nyawa sehingga petang semalam.

Menurutnya, gempa bumi pada jam 7.15 pagi itu juga adalah tanda-tanda kecil kiamat, sekali gus memberi petanda agar umat Islam sentiasa bersedia kembali menemui ALLAH apabila tiba masanya.

“Setiap yang berlaku ada pengajaran yang perlu kita ambil kerana ia melibatkan semua kumpulan tanpa mengecualikan sesiapa. Setiap orang akan kena walau siapa pun,” katanya.

Mohamad Shukri berkata, peringatan ALLAH didatangkan dalam pelbagai bentuk, bukan sahaja gempa bumi, malah bencana alam lain seperti banjir yang berlaku penghujung tahun lalu, kemarau panjang dan kemalangan.

“Itu kehendak ALLAH, sebab itu dalam kehidupan seharian, kita diingatkan supaya sentiasa berzikir dan bila ditimpa bencana seperti ini, perlu lebih banyak berzikir dan berfikir,” katanya.

Mengulas kepercayaan sesetengah pihak yang mengaitkan kejadian itu dengan ‘kemarahan’ Gunung Kinabalu terhadap beberapa pelancong bogel, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan kepercayaan bertentangan dengan akidah.

“Kita kena banyak berzikir, ingatkan ALLAH dan jauhi kepercayaan khurafat.

"Gempa bumi ini adalah isyarat, petanda kiamat yang ingin ditunjukkan kepada umat Islam. Jangan sampai kita lakukan perkara khurafat, kena ingat tidak ada kuasa lain selain kuasa ALLAH SWT,” katanya.

-Sinar

No comments:

Post a Comment