Sunday, January 31, 2016

Tutup patung bogel



Rome: Keputusan pegawai Itali untuk menutup beberapa patung purba bogel kerana tidak mahu menyinggung Presiden Iran, Hassan Rouhani yang melawat negara itu menerima kecaman pelbagai pihak. Menjelang sidang media bersama Perdana Menteri Itali, Matteo Renzi dan Hassan pada Isnin lalu, panel kayu dipasang bagi menutup beberapa patung Roman di Muzium Capitoline di sini.

Apabila sidang media itu disiarkan di media Itali kelmarin, ahli politik dari seluruh parti mengecam tindakan berkenaan. Pihak muzium kelmarin memberitahu, pejabat Renzi mahu semua patung yang terdapat di laluan Hassan menuju ke sidang media ditutup.

Renzi dan Hassan membuat sidang akhbar di dalam bilik yang menempatkan patung tembaga Maharaja Marcus Aurelius, yang lengkap berpakaian. Antara ahli politik yang lantang mengkritik Renzi kelmarin adalah Gianluca Peciola dari parti berhaluan kiri, SEL yang melancarkan satu petisyen bagi mendesak Renzi menjelaskan keputusan itu.

Katanya, perkara itu memalukan seni dan budaya yang difahami sebagai satu konsep universal. Ketua parti berhaluan kanan Brothers of Italy, Giorgia Meloni pula berkata, tahap penerimaan budaya Renzi telah melebihi setiap had kesopanan.

Dia mengimbau kembali peristiwa mengecewakan sebelum ini apabila sebuah patung bogel moden ditutup ketika putera mahkota Emiriah Arab Bersatu melawat dewan bandaraya Palazzo Vecchio. Dalam perkembangan berasingan, ketika pertemuan di Rome, Renzi dan Hassan komited untuk mengukuhkan hubungan budaya kedua-dua negara. Pejabat Renzi memberitahu, Muzium MAXXI di Rome berminat untuk mempamerkan hasil seni dari muzium seni kontemporari Iran.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/110766#sthash.M8wFV8YI.dpuf

Wednesday, January 27, 2016

Daun betik lebih bawa mudarat



Kuala Lumpur: Daun betik bukan penawar demam denggi, malah boleh menyebabkan kegagalan hati, jantung dan buah pinggang sekali gus membawa maut kepada yang mengamalkan pemakanan daun itu. Ahli Farmasi dan Homeopati Prof Dr A Krishnan berkata, kebanyakan pesakit demam denggi di negara ini diberikan daun betik kononnya boleh mengubati penyakit terbabit dengan lebih cepat dan berkesan. Hakikatnya, mereka tidak mengetahui bahawa daun betik tiada khasiat, malah boleh menyebabkan pesakit menghidap pelbagai penyakit lain seterusnya berisiko maut.googletag.display('div-gpt-ad-1406187945380-0');“Saya sudah membuat kajian mengenai penggunaan daun betik sebagai penawar demam denggi dan hasilnya tumbuhan itu tidak membantu, malah berbahaya kepada kesihatan kerana kandungannya mempunyai ‘cyanide’ yang berperanan seperti racun.“Oleh itu, penggunaan daun betik perlu dihentikan serta-merta kerana menjadikan pesakit demam denggi bertambah teruk, malah sistem imunisasi turut terganggu,” katanya ketika ditemui dalam sidang media, di sini, semalam. Sementara itu, beliau berkata, orang ramai perlu menitik berat mengenai pengambilan makanan yang berkhasiat dan memenuhi nutrisi badan.“Orang ramai dinasihatkan tidak mengambil sebarang makanan yang boleh memudaratkan kesihatan walaupun ia adalah daripada turun temurun kerana kesannya boleh dilihat dalam jangka panjang apabila seseorang sentiasa sakit dan menghidap penyakit kronik,” katanya.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/110636#sthash.soLPOs6L.dpuf

Tuesday, January 26, 2016

Sampai di sini saja!



Bukit Mertajam: Seorang lelaki yang menghidap kencing manis kronik bukan saja menderita apabila berat badan semakin susut dan hanya mampu terlantar umpama mayat hidup, malah jiwanya turut terluka apabila tunangnya turut memutuskan hubungan mereka, pertengahan tahun lalu. Itulah nasib Khairul Helmi Roslan, 26, anak sulung daripada tiga beradik yang disahkan doktor tidak mengalami sebarang jangkitan kuman pada organ penting, cuma badannya semakin mengecil hingga berat badan turun daripada 103 kilogram pada 2013 kepada hanya 35 kilogram. Ibunya, Rosmah Sulaiman, 45, berkata, anaknya sebelum ini sihat sebelum menghidap kencing manis menyebabkan berat badannya susut sejak Mei tahun lalu hingga menampakkan tulang rangka.
Menurutnya, anaknya sebelum ini bertunang dengan wanita dari Permatang Pauh dan selepas keadaan kesihatannya semakin merosot, pihak perempuan mahu pertunangan diputuskan supaya tidak membebankan kedua-dua pihak. Katanya, walaupun berat hati, namun Khairul bersetuju, tetapi sedih kerana keadaan menimpa dirinya. “Biarpun cukup sedih, namun Khairul reda dengan nasibnya dan menganggapnya ada hikmah tersendiri. “Mereka bertunang pada 2014 ketika Khairul masih sihat dan bekerja,” katanya. Rosmah berkata, sebelum ini, dia dan anaknya tinggal di Kampung Tok Panjang, Bukit Tengah sebelum berpindah ke Kampung Kolam, Cherok Tok Kun tahun lalu. Menurutnya, jika dilihat Khairul tidak ubah seperti mayat hidup, namun dia dan dua anak perempuan, Nurul Atirah, 24, dan Nurul Asyikin, 17, tetap setia menjaga Khairul yang mengalami masalah pergerakan terbatas untuk menguruskan diri. “Sebelum ini, Khairul bekerja secara kontrak di kilang di Perai, tetapi kini tidak bekerja dan mengharapkan bantuan orang ramai termasuk bantuan Zakat Pulau Pinang (ZPP) RM300 sebulan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM400 sebulan,” katanya. Katanya, wang itu dibelanjakan untuk membeli keperluan Khairul termasuk susu khas, insulin dan vitamin selain perlu mendapatkan rawatan susulan di Hospital Bukit Mertajam setiap bulan.

 - See more at: http://www.hmetro.com.my/node/105926#sthash.x3TuVaxa.dpuf

Bapa biar anak memandu sambil pegang pistol

Bapa biar anak memandu sambil pegang pistol

RIYADH - ARAB SAUDI . Polis Saudi menahan seorang lelaki tempatan selepas sebuah video rakam yang menunjukkan dia membiarkan anaknya yang berusia tujuh tahun memandu kereta dan memegang pistol.

Rakaman tersebut mula tersebar di media sosial mendorong polis menjalankan siasatan dan memburu lelaki berkenaan.

Lelaki berkenaan dikenalpasti dan ditahan di ibu negara Riyadh pada Isnin.

Akhbar berkata, dalam rakaman tersebut kanak-kanak berkenaan dilihat memandu kereta dan memegang pistol sementara bapanya berada di sebelahnya dan mengalakkanya menggunakan senjata.

Akhbar Sabq yang dipetik Emirates 24/7 berkata, polis bertindak memburu lelaki berkenaan selepas netizen melahirkan rasa marah dengan tindakan lelaki berkenaan yang turut dikatakan memuatnaik rakaman itu.

-Sinar

Saturday, January 23, 2016

Lelaki buta nikah isteri cacat kaki, tangan



Seremban: “Saya rasa bagaikan mimpi apabila dia sudi menerima lamaran sedangkan ketika kami sama-sama berada di Bengkel Seri Sembilan, saya tidak pernah bercakap dengan dia,” kata Mohamad Rudzi Adam, 46, lelaki buta yang menikahi Siti Aishah Zubir, 26, wanita yang cacat pada tangan dan kaki. Mohamad Rudzi berasal dari Serting Hilir, Jempol, dekat sini manakala Siti Aishah berasal dari Mersing, Johor adalah penghuni Pusat Jagaan Anak-Anak Istimewa Harapan di Taman Tuanku Jaafar Senawang, di sini. Majlis persandingan pasangan orang kurang upaya (OKU) itu turut diadakan di pusat jagaan berkenaan semalam selepas majlis persandingan pihak perempuan dilangsungkan di Mersing pada 25 Disember lalu. Kira-kira 500 jemputan termasuk ibu Mohamad Rudzi, Miah Idris, 83 dan ibu Siti Aishah, Azizah Ali, 46, serta sahabat handai turut hadir meraikan majlis persandingan pasangan terbabit.
Mengimbas kembali perkenalan mereka berdua, Mohamad Rudzi berkata, mereka berdua pernah menjalani latihan kemahiran di Bengkel Seri Sembilan Mambau. Menurutnya, hubungan mereka mula rapat selepas rakan Simah Kidam, 75, yang juga pelatih di bengkel berkenaan memperkenalkan mereka berdua secara lebih dekat.“Simah rapat dengan Siti Aishah dan mengenali sikap serta perwatakan dia yang baik dan mencadangkan kepada saya supaya menjadikan dia sebagai isteri. “Saya kemudian menyatakan hasrat untuk mengahwini Siti Aishah kepada pihak pengurusan Pusat Jagaan Anak-Anak Istimewa Harapan termasuk Pengelolanya, Datuk Ali Azizan Hang Tuah dan isteri beliau, Datin Fadhilah Sharip.“Beliau kemudian menghantar rombongan merisik ke Mersing pada 26 September 2015 dan terus mengikat pertunangan,” katanya ketika ditemui pada majlis persandingan semalam. Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Norhayati Omar serta Presiden Persatuan OKU Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Bengkel Seri Sembilan Mambau, Abd Razak Abd Latif. Mohamad Rudzi yang juga anak ketujuh daripada lapan beradik berkata, dia berasa amat bersyukur dan gembira kerana dapat memiliki pasangan hidup seperti orang normal lain. Sementara itu, Siti Aishah yang juga anak bongsu daripada tiga beradik berkata, sikap lemah lembut dan penyabar yang dimiliki Mohamad Rudzi antara faktor menyebabkan dia menerima lamaran suaminya itu. Menurutnya, biarpun mempunyai jurang perbezaan umur 20 tahun, namun dia gembira kerana kesudian Mohamad Rudzi memilihnya sebagai isteri.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/109755#sthash.JAhU8qgu.dpuf

Thursday, January 21, 2016

Kena jel 4 tahun aniaya isteri


Kangar: Peniaga sate dijatuhi hukuman penjara empat tahun oleh Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, kerana melakukan hubungan seks tanpa kerelaan isterinya pada 2014. Pesuruhjaya Kehakiman Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman itu selepas menolak rayuan tertuduh, Mahathir Abu Bakar, 25, terhadap hukuman penjara setahun yang dijatuhi Mahkamah Sesyen pada tahun lalu atas pertuduhan yang sama. Tertuduh bagaimanapun bebas daripada hukuman penjara enam tahun atas tuduhan bersubahat dengan seorang remaja lelaki untuk merogol isterinya itu pada tahun yang sama.
Mengikut kertas pertuduhan, Mahathir didakwa bersubahat dengan seorang remaja lelaki merogol isterinya yang ketika itu berusia 19 tahun di dalam sebuah rumah di Kampung Belat Raja, Jalan Tambun Tulang, Arau, jam 3.15 petang, pada 1 Januari 2014. Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dalam suatu perkahwinan yang sah menyebabkan ketakutan kecederaan kepada isterinya untuk melakukan persetubuhan dengan mangsa di tempat, masa dan tarikh sama. Kedua-dua kesalahan berkenaan didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 376 kanun sama dan Seksyen 375A kanun sama. Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif manakala tertuduh diwakili peguam Fatin Hayati Abd Rahman.

 - See more at: http://www.hmetro.com.my/node/109288#sthash.H4qP9KJS.dpuf

Isteri nekad kerat alat sulit suami



JEMPOL – Gara-gara tidak tahan bersuamikan lelaki yang gemar melakukan seks ganas, seorang wanita nekad memotong kemaluan suaminya hingga putus dalam kejadian di sebuah rumah kedai di Batu Kikir dekat sini semalam.

Kejadian malang itu berlaku pada pukul 1.55 pagi ketika mangsa seorang warga Pakistan berusia 44 tahun sedang tidur di rumah mereka yang terletak di Jalan Beringin 3.

Mangsa yang terasa sakit terjaga daripada tidur sebelum terkejut dengan tindakan isterinya yang menggunakan pisau cukur memotong alat sulitnya.

Berang dengan tindakan isterinya yang berusia 51 tahun, mangsa terlebih dahulu pergi ke Balai Polis Batu Kikir yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari rumah untuk melaporkan tindakan isterinya.

Mangsa difahamkan ke balai polis dalam keadaan berlumuran darah dengan memandu sendiri kere­tanya.

Dari Balai Polis Batu Kikir, mangsa yang dalam keadaan kesakitan dihantar ke Hospital Jempol bagi menjalani rawatan sebelum dia dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Difahamkan, mangsa selamat menjalani pembedahan menyambung semula kemaluannya yang terputus di HKL dan keadaannya kini semakin stabil.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0121&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm#ixzz3xreOX69h

Tuesday, January 19, 2016

Dua beradik kebulur sanggup makan bata


Bogota: Seorang wanita merantai dua anak perempuannya yang sudah dewasa di bilik bawah tanah rumahnya sejak beberapa tahun.
Dia juga tidak memberi mereka makan secukupnya sehingga mereka makan bata kerana terlalu lapar.
Pihak berkuasa mendapat panggilan daripada orang tidak dikenali memaklumkan kedua-dua mangsa ditahan di sebuah rumah di Pacora, Caldas, barat laut Colombia.
Ketika polis tiba, mereka mendapati pintu rumah berkunci dan ibu mangsa tiada kerana bercuti.
Hanya datuk mangsa berusia 90 tahun ditinggalkan untuk menjaga mereka.
Polis menemui dua beradik berusia 32 dan 34 tahun itu dalam keadaan comot dan kotor.
Kedua-duanya mempunyai masalah mental serta kognitif selain tidak tahu bercakap.
Pihak berkuasa berkata, seseorang menelefon memberitahu dia sering mendengar orang mengerang dan meraung di bilik bawah tanah rumah itu.
Gambar disiarkan menunjukkan kedua-dua beradik itu dibebaskan pekerja kebajikan dari bilik tempat mereka dikurung dalam keadaan dirantai dan dimangga.
Jurucakap pihak berkuasa Caldas, Jazmin Gomez Agudelo berkata: “Keadaan rumah terlalu buruk, malah hampir roboh.
“Seluruh kehidupan mereka hanya di bilik itu. Mereka tidak ubah seperti haiwan dalam kurungan.
“Paling mengejutkan, apabila memasuki bilik itu, kami melihat seorang daripada mereka dengan bata di dalam mulutnya. Malah mereka kerap makan serpihan bata dan kayu, selain najis sendiri.”
Mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut.
Doktor dan pendakwa kini menimbang untuk mendakwa ibu mereka yang masih bercuti atas tuduhan membahayakan nyawa anaknya. - Agensi/Metro

Monday, January 18, 2016

Cari pekerja wangi



Jakarta: Persaingan sengit dalam perkhidmatan aplikasi motosikal teksi di Indonesia menyebabkan sebuah syarikat mengambil langkah luar biasa untuk menarik pelanggan.
Pengasas syarikat UberJek yang baru dilancarkan, Aris Wahyudi menemui cara unik untuk mengatasi pesaingnya iaitu pemandu yang badannya tidak berbau busuk.

“Kami mengambil keputusan membuat ujian bau badan bagi kepuasan hati pelanggan,” katanya.
Ketika proses temuduga syarikat itu, berpuluh-puluh calon berbaris dan bahagian bawah lengan mereka dihidu seorang pemeriksa.
Hampir 40 syarikat aplikasi motosikal teksi beroperasi di Indonesia selepas kejayaan Go-jek, firma pertama yang menggunakan telefon pintar bagi menyediakan perkhidmatan itu.

-Metro

Sunday, January 17, 2016

Gadis sentiasa kenyang



London: Seorang budak perempuan berusia tujuh tahun dianggap gadis ‘bionik’ kerana memiliki kebolehan luar biasa yang menyebabkan dia jarang makan, tidur dan tidak berasa lapar, sakit, letih serta takut.
Olivia Farnsworth yang berasal dari Huddersfield dilahirkan seperti kanak-kanak normal yang lain, tetapi keistimewaannya mula dikesan selepas dia dilanggar sebuah kereta beberapa tahun lalu. Ibu Olivia, Niki Trepak, 32, berkata, dia menjerit ketakutan selepas anaknya berlari ke jalan raya sebelum dilanggar sebuah kereta dan diseret sejauh beberapa meter.
“Bagaimanapun, Olivia langsung tidak menangis dan dia terus bangun sebelum berlari ke arah saya lalu bertanya mengapa saya menjerit.
“Saya terus membawa Olivia ke hospital kerana bimbang kemalangan seperti itu pasti menyebabkannya mengalami kecederaan parah.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/107960#sthash.7nCSzfrP.dpuf

Wednesday, January 13, 2016

Semangat kental Ras Adiba



Kuala Lumpur: "Buat masa ini secara realitinya, saya masih lumpuh separuh badan, tetapi alhamdulillah, saya bersyukur jika orang kata saya sudah boleh berdiri.

"Saya menganggap mereka mendoakan saya pulih dan boleh berjalan semula," kata personaliti televisyen, Ras Adiba Radzi, 48.
Beliau sebelum ini dikatakan sudah mampu berdiri ketika menyampaikan berita di saluran NTV7 tetapi sebenarnya menggunakan kerusi roda berdiri (standing wheelchair).
"Mereka mungkin nampak di TV macam saya sudah berdiri, tetapi kalau mereka tengok di Instagram saya, saya ada memuat naik gambar saya gunakan kerusi roda itu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Pada 1996, Ras Adiba terbabit dalam kemalangan jalan raya sehingga terpaksa menjalani pembedahan tulang belakang dan kemudiannya disahkan lumpuh separuh badan pada Julai 2002.
Sementara itu, selain tugasnya di 7Edition sebagai penyampai berita, Ras Adiba juga sibuk menguruskan perniagaannya selain gigih menjalani latihan menembak.
"Saya menjalani rutin macam biasa iaitu membuat fisioterapi dan berlatih sukan menembak untuk kelayakan Sukan Paralimpik Rio tahun ini," katanya.

Beliau mewakili negara dalam acara menembak Sukan Paralimpik dan turut beraksi di Sukan Para Asean di Singapura tahun lalu dalam kategori R3, acara 10 meter air rifle prone.
Ras Adiba turut merancang untuk menerbitkan program televisyen yang mengupas isu semasa mengenai orang kurang upaya (OKU).

"Saya bercadang untuk menerbitkan program televisyen yang akan mengangkat kisah OKU yang jarang diketengahkan di negara kita," katanya.

- Metro

Tuesday, January 12, 2016

Adik rasa kelakar kenakan kakak

Adik rasa kelakar kenakan kakak

USIKAN melampau pelawak YouTube, Kristen Hanby sebagai 'prankster' menyebabkan kakaknya, Natalie tidak menegurnya selama beberapa hari.
Insiden bermula selepas Kristen menipu Natalie untuk membawanya keluar membeli hadiah ulang tahun kelahiran, tetapi sebaliknya yang berlaku.
Kristen mengatur rancangan untuk memalukan kakaknya.
Dalam sebuah video yang dimuat naik Sabtu lepas, Natalie terhantuk ke cermin kereta selepas Kristen bertindak menghentikan kenderaan secara tiba-tiba.
Natalie langsung tidak kelihatan 'terhibur' dengan tindakan Kristen.
Rancangan Kristen diteruskan dengan menolak Natalie ke dalam semak, merampas makanannya malah menolak kakaknya tersebut jatuh ke dalam air di sebuah jeti.
Aksi prank itu berakhir dengan Natalie diselimuti bedak talkum yang diletakkan di dalam alat penghawa dingin kenderaan yang sedang mereka naiki.
Kristen yang berasal dari St Helier, kepulauan Jersey dan bekerja sebagai tukang kayu berkata, Natalie tidak menegurnya selepas kejadian tersebut.
"Itu kali pertama saya kenakan kakak saya. Saya sudah kenakan ramai orang banyak kali. Saya mula merakam video sejak lima bulan lepas," kata Kristen kepada Dailymail.
Kata Kristen, beliau memang kuat berjenaka di kalangan ahli keluarga dan kawan-kawannya.
"Saya kini merakam dua video seminggu selepas mendapat sambutan di YouTube. Saya suka buat orang ketawa," kata Kristen tanpa rasa bersalah.
Kristen juga mendedahkan beliau menerima ugutan bunuh selepas video melibatkan Natalie dimuat naik, Sabtu lepas dan menarik perhatian hampir 12,000 pelayar.
Di YouTube, terbukti hanya sebilangan kecil pelayar menyukai 'jenaka kasar' Kristen.
Seorang pelayar, Steven Pinglaux menyifatkan jenaka Kristen sebagai kelakar tetapi sangat kasar.
Seorang kawan sekolah Kristen, Jesper Wahl pula menggelar video pelawak berkenaan sebagai 'sampah'.

-Sinar

Monday, January 11, 2016

Anggota polis ditikam janda muda

Anggota polis ditikam janda muda
SUNGAI PETANI - Seorang anggota polis trafik cedera ditikam kekasih berusia 19 tahun di rumahnya di Bandar Sri Astana D Park Home, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa yang berusia 39 tahun bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara mengalami kecederaan di kepala dan beberapa bahagian badan.
Kejadian itu dipercayai berlaku akibat perselisihan faham antara mangsa dan kekasihnya yang berpunca daripada perasaan cemburu.
Pertelingkahan itu menyebabkan kekasih yang merupakan seorang janda bertindak menikam mangsa menggunakan sebilah pisau kerambit di bilik tidur rumah berkenaan.
Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim oleh penduduk taman perumahan berkenaan manakala teman wanitanya ditahan anggota Balai Polis Komuniti Bandar Puteri Jaya.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, janda itu sendiri menghubungi Pusat Kawalan Daerah IPD Kuala Muda memaklumkan dia menikam anggota polis menggunakan pisau.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang merupakan seorang duda mengenali janda itu sejak Februari lalu dan percintaan mereka terputus pada Mei tahun lepas namun berbaik semula sejak dua minggu lalu.
“Pada hari kejadian, didapati berlaku selisih faham antara mereka kerana janda itu terlihat gambar dan mesej daripada bekas isteri mangsa di telefon bimbit mangsa.
“Janda itu menuduh mangsa menipunya dan bertindak menikam lelaki berkenaan menggunakan sebilah pisau kerambit,” katanya.
“Mangsa kini dirawat di hospital itu akibat kecederaan di bahagian kepala, tepi perut, lengan dan bahu.
“Manakala suspek direman sehingga 17 Januari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan. Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan,” katanya.

-Sinar

Sunday, January 10, 2016

Maut nak sembuh

             
Manila: Dua maut manakala beratus-ratus lagi cedera apabila ribuan penganut agama Kristian berasak-asak untuk menyentuh patung Jesus yang dipercayai mempunyai kuasa untuk menyembuhkan penyakit, kata pihak berkuasa semalam. Lebih sejuta pengunjung menghadiri festival Black Nazarene kelmarin untuk melihat patung berkenaan diarak di sepanjang jalan di Manila. Pengunjung yang tidak memakai kasut dan melaungkan slogan ‘panjang umur’ berasak-asak menyentuh patung berkenaan. Reaktor gereja Manila, Douglas Badong berkata, seorang peniaga meninggal dunia akibat serangan jantung ketika menyertai festival itu.

"Pengunjung yang terlalu ramai dan cuaca panas menyebabkan lelaki itu mengalami serangan jantung,” katanya. Ujarnya, seorang lelaki berusia 27 tahun yang dilaporkan menderita penyakit hati juga meninggal dunia ketika berebut untuk menarik patung berkenaan. Kira-kira 1.5 juta pengunjung hadir untuk menyaksikan patung itu diarak sejauh tujuh kilometer dari sebuah gereja di Quiapo.

Ramai percaya patung itu mempunyai kuasa penyembuhan luar biasa dan mereka yang sakit sering berusaha keras untuk menyentuhnya. Setiausaha agung Palang Merah Filipina, Gwendolyn Pang berkata, agensi itu menempatkan sebuah hospital sementara di festival itu.“Kami merawat lebih 1,600 pengunjung yang cedera ketika menyertai festival ini, meningkat dua kali ganda berbanding tahun lalu.“Seramai 55 pengunjung mengalami kecederaan serius seperti patah tulang akibat dirempuh dan strok haba akibat cuaca panas,” katanya.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/106295#sthash.S8G8inO1.dpuf

Thursday, January 7, 2016

RM2,500 'dikunyah' anjing



Beijing: Malang bagi seorang lelaki yang cuba menyorokkkan wang berjumlah 3,800 yuan (RM2,500) daripada isterinya di dalam kuilt apabila ia musnah dimamah anjing rakannya. Anjing jenis golden retriever bernama Hali itu memakan wang itu ketika lelaki berkenaan sedang tidur di rumah mereka di Lushun, lapor Huanqiu.com.

Sebaik terjaga mereka melihat anjing itu di sisi mereka dengan wang nota 100 yuan berteraburan di kelilingnya. Isterinya terus bertanya dari mana datang wang itu menyebabkan lelaki terbabit terpaksa mengaku ia miliknya yang disorok di dalam selimut tebal di bilik tidur tetamu.

Dia tidak menyangka Hali yang dijaga sepanjang ketiadaan rakannya akan memakan wang itu. Bagaimanapun, isterinya tidak marah sebaliknya menganggap kejadian itu kelakar. - Agensi

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/105638#sthash.C3YQefHW.dpuf

Wednesday, January 6, 2016

Bukan sebarang kocak



Alor Gajah: Kecekapan Masitah Shahudin, 29, menangkap ikan keli pada pertandingan mengocak ikan sempena Fiesta Sukan Bendang 2016 Kampung Gadek, di sini, semalam, melayakkan diisytiharkan sebagai juara bagi kategori wanita. Sejurus pertandingan dimulakan, wanita itu terus menangkap ikan keli di lumpur sehingga mengagumkan peserta lelaki dan pengunjung. Kesungguhannya membolehkan dia menangkap 17 ikan keli, sekali gus menjadi juara dan mengetepikan peserta lain dalam acara itu.googletag.display('div-gpt-ad-1406187945380-0'); “Ini adalah kali pertama saya sertai pertandingan mengocak, cuma sebelum ini sudah biasa meletakkan ikan keli sebagai umpan pada mata kail ketika memancing. “Acara ini mungkin sukar bagi peserta wanita selain terpaksa meredah lumpur, walaupun hadiah sekadar hamper saya berasa amat seronok selepas mencubanya,” katanya. Tempat kedua dimenangi Mirza Aisy Huda Sabirin manakala ketiga, Nur Irmairah Airen Mohd Sabaru. Juara kategori lelaki dimenangi Mohd Faizol Samian, 30, naib juara, Mohd Firdaus Harun, 30, dan ketiga, Mohd Khairil Edy Herman, 17.

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/104622#sthash.gRKNw2Wc.dpuf

Tuesday, January 5, 2016

Kucing pakai kostum monyet makan pisang



TOKYO, Jepun – Video seekor kucing memakai kostum monyet menjadi viral di internet dan mendapat 6.7 juta tontonan dalam masa dua hari selepas dimuat naik baru-baru ini.

Video dengan tajuk Cat + Monkey 2016 yang dimuat naik di laman perkongsian video, YouTube pada sambutan malam tahun baru dan turut dikongsi di laman sosial Facebook keesokannya turut menerima kira-kira 100,000 Like.

Kucing berkenaan dipakai dengan kostum seekor monyet dengan hanya memperlihatkan mukanya dan diberikan sebiji pisang sebelum muncul di atas sebuah meja yang dipenuhi dengan buah-buahan.

Rakaman video dengan durasi 14 saat itu mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna internet. Sebahagian besar daripada 50,000 komen menyatakan bahawa apa yang dilakukan itu sebagai kejam dan merupakan penganiayaan terhadap binatang.

“Mari pakaikan kamu kostum monyet, baling pisang ke arah kamu dan rakamkan...,” komen seorang pengguna internet, Cheryl Anderson Carter.

Video terbabit dimuat naik oleh seorang pengguna YouTube dari Jepun yang mendakwa tinggal bersama 10 ekor kucing dan sering memuat naik klip video ragam kucing yang kelakar. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0105&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3wQyYvKAV

Monday, January 4, 2016

Budak mati diduduk bapa

Florida: Seorang lelaki seberat 112 kilogram berdepan tuduhan menyebabkan kematian tanpa niat membunuh selepas didakwa duduk di atas anaknya yang berusia enam tahun sambil bermain permainan video.
James ‘Rick’ Dearman, 31, dan teman wanitanya Ashley Cole memberitahu polis, mereka cuba mendisiplinkan dua anak mereka yang enggan tidur sehari sebelum Krismas.

Dia mengarahkan kedua-dua anaknya berdiri menghadap dinding. Apabila melihat seorang daripada mereka menyaksikan dia bermain, Dearman memaksanya meniarap di atas sofa dan dia duduk di atasnya sambil meneruskan permainan.
Polis berkata, pasangan itu tidak mempedulikan jeritan kanak-kanak berkenaan yang meminta tolong kerana sukar benafas.
Lima minit kemudian mereka menyedari mangsa tidak bergerak sebelum mengambil keputusan memanggil ambulans.
Paramedik membawa budak itu ke hospital, tempat dia disahkan mati.
Ketika ditanya mengenai kejadian itu, anak Dearman yang berusia tujuh tahun memberitahu polis: “Bapa duduk di atasnya dan dia mati.” - Agensi/Metro

Sunday, January 3, 2016

Cerai kerana air teh

Baghdad: Seorang lelaki di sini bertindak menceraikan isteri yang baru 23 hari dikahwininya selepas wanita itu tertumpahkan air teh di kaki ibunya.
Menurut laporan media tempatan, wanita itu berkata, dia tidak sengaja, tetapi suaminya begitu marah dan mendakwa isterinya sengaja melakukannya.

Dia bertindak menceraikan wanita berkenaan.
Media tempatan tidak menyebut nama pasangan suami isteri itu atau bila dan di mana ia berlaku.
Bagaimanapun, kisah itu yang menjadi viral di media sosial mengundang pelbagai reaksi.
Ada pengguna bersetuju dengan tindakan lelaki itu dengan berkata, isterinya perlu diceraikan kerana tidak menghormati ibu mentua.
Sekumpulan pengguna lain bagaimanapun menyalahkan lelaki itu dengan berpendapat, kejadian itu mungkin tidak disengajakan dan jika ia berlaku dengan sengaja sekalipun, ia boleh diselesaikan tanpa menceraikan isterinya. - Agensi/Metro