Tuesday, January 26, 2016

Sampai di sini saja!



Bukit Mertajam: Seorang lelaki yang menghidap kencing manis kronik bukan saja menderita apabila berat badan semakin susut dan hanya mampu terlantar umpama mayat hidup, malah jiwanya turut terluka apabila tunangnya turut memutuskan hubungan mereka, pertengahan tahun lalu. Itulah nasib Khairul Helmi Roslan, 26, anak sulung daripada tiga beradik yang disahkan doktor tidak mengalami sebarang jangkitan kuman pada organ penting, cuma badannya semakin mengecil hingga berat badan turun daripada 103 kilogram pada 2013 kepada hanya 35 kilogram. Ibunya, Rosmah Sulaiman, 45, berkata, anaknya sebelum ini sihat sebelum menghidap kencing manis menyebabkan berat badannya susut sejak Mei tahun lalu hingga menampakkan tulang rangka.
Menurutnya, anaknya sebelum ini bertunang dengan wanita dari Permatang Pauh dan selepas keadaan kesihatannya semakin merosot, pihak perempuan mahu pertunangan diputuskan supaya tidak membebankan kedua-dua pihak. Katanya, walaupun berat hati, namun Khairul bersetuju, tetapi sedih kerana keadaan menimpa dirinya. “Biarpun cukup sedih, namun Khairul reda dengan nasibnya dan menganggapnya ada hikmah tersendiri. “Mereka bertunang pada 2014 ketika Khairul masih sihat dan bekerja,” katanya. Rosmah berkata, sebelum ini, dia dan anaknya tinggal di Kampung Tok Panjang, Bukit Tengah sebelum berpindah ke Kampung Kolam, Cherok Tok Kun tahun lalu. Menurutnya, jika dilihat Khairul tidak ubah seperti mayat hidup, namun dia dan dua anak perempuan, Nurul Atirah, 24, dan Nurul Asyikin, 17, tetap setia menjaga Khairul yang mengalami masalah pergerakan terbatas untuk menguruskan diri. “Sebelum ini, Khairul bekerja secara kontrak di kilang di Perai, tetapi kini tidak bekerja dan mengharapkan bantuan orang ramai termasuk bantuan Zakat Pulau Pinang (ZPP) RM300 sebulan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM400 sebulan,” katanya. Katanya, wang itu dibelanjakan untuk membeli keperluan Khairul termasuk susu khas, insulin dan vitamin selain perlu mendapatkan rawatan susulan di Hospital Bukit Mertajam setiap bulan.

 - See more at: http://www.hmetro.com.my/node/105926#sthash.x3TuVaxa.dpuf

No comments:

Post a Comment