Kuala Lumpur: "Buat masa ini secara realitinya, saya masih lumpuh separuh badan, tetapi alhamdulillah, saya bersyukur jika orang kata saya sudah boleh berdiri.
"Saya menganggap mereka mendoakan saya pulih dan boleh berjalan semula," kata personaliti televisyen, Ras Adiba Radzi, 48.
Beliau sebelum ini dikatakan sudah mampu berdiri ketika menyampaikan berita di saluran NTV7 tetapi sebenarnya menggunakan kerusi roda berdiri (standing wheelchair).
"Mereka mungkin nampak di TV macam saya sudah berdiri, tetapi kalau mereka tengok di Instagram saya, saya ada memuat naik gambar saya gunakan kerusi roda itu," katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Pada 1996, Ras Adiba terbabit dalam kemalangan jalan raya sehingga terpaksa menjalani pembedahan tulang belakang dan kemudiannya disahkan lumpuh separuh badan pada Julai 2002.
Sementara itu, selain tugasnya di 7Edition sebagai penyampai berita, Ras Adiba juga sibuk menguruskan perniagaannya selain gigih menjalani latihan menembak.
"Saya menjalani rutin macam biasa iaitu membuat fisioterapi dan berlatih sukan menembak untuk kelayakan Sukan Paralimpik Rio tahun ini," katanya.
Beliau mewakili negara dalam acara menembak Sukan Paralimpik dan turut beraksi di Sukan Para Asean di Singapura tahun lalu dalam kategori R3, acara 10 meter air rifle prone.
Ras Adiba turut merancang untuk menerbitkan program televisyen yang mengupas isu semasa mengenai orang kurang upaya (OKU).
"Saya bercadang untuk menerbitkan program televisyen yang akan mengangkat kisah OKU yang jarang diketengahkan di negara kita," katanya.
- Metro
No comments:
Post a Comment