Seremban: “Saya rasa bagaikan mimpi apabila dia sudi menerima lamaran sedangkan ketika kami sama-sama berada di Bengkel Seri Sembilan, saya tidak pernah bercakap dengan dia,” kata Mohamad Rudzi Adam, 46, lelaki buta yang menikahi Siti Aishah Zubir, 26, wanita yang cacat pada tangan dan kaki. Mohamad Rudzi berasal dari Serting Hilir, Jempol, dekat sini manakala Siti Aishah berasal dari Mersing, Johor adalah penghuni Pusat Jagaan Anak-Anak Istimewa Harapan di Taman Tuanku Jaafar Senawang, di sini. Majlis persandingan pasangan orang kurang upaya (OKU) itu turut diadakan di pusat jagaan berkenaan semalam selepas majlis persandingan pihak perempuan dilangsungkan di Mersing pada 25 Disember lalu. Kira-kira 500 jemputan termasuk ibu Mohamad Rudzi, Miah Idris, 83 dan ibu Siti Aishah, Azizah Ali, 46, serta sahabat handai turut hadir meraikan majlis persandingan pasangan terbabit.
Mengimbas kembali perkenalan mereka berdua, Mohamad Rudzi berkata, mereka berdua pernah menjalani latihan kemahiran di Bengkel Seri Sembilan Mambau. Menurutnya, hubungan mereka mula rapat selepas rakan Simah Kidam, 75, yang juga pelatih di bengkel berkenaan memperkenalkan mereka berdua secara lebih dekat.“Simah rapat dengan Siti Aishah dan mengenali sikap serta perwatakan dia yang baik dan mencadangkan kepada saya supaya menjadikan dia sebagai isteri. “Saya kemudian menyatakan hasrat untuk mengahwini Siti Aishah kepada pihak pengurusan Pusat Jagaan Anak-Anak Istimewa Harapan termasuk Pengelolanya, Datuk Ali Azizan Hang Tuah dan isteri beliau, Datin Fadhilah Sharip.“Beliau kemudian menghantar rombongan merisik ke Mersing pada 26 September 2015 dan terus mengikat pertunangan,” katanya ketika ditemui pada majlis persandingan semalam. Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Datuk Norhayati Omar serta Presiden Persatuan OKU Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Bengkel Seri Sembilan Mambau, Abd Razak Abd Latif. Mohamad Rudzi yang juga anak ketujuh daripada lapan beradik berkata, dia berasa amat bersyukur dan gembira kerana dapat memiliki pasangan hidup seperti orang normal lain. Sementara itu, Siti Aishah yang juga anak bongsu daripada tiga beradik berkata, sikap lemah lembut dan penyabar yang dimiliki Mohamad Rudzi antara faktor menyebabkan dia menerima lamaran suaminya itu. Menurutnya, biarpun mempunyai jurang perbezaan umur 20 tahun, namun dia gembira kerana kesudian Mohamad Rudzi memilihnya sebagai isteri.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/109755#sthash.JAhU8qgu.dpuf
No comments:
Post a Comment