Thursday, May 26, 2016

Sokong hukuman mati, kembiri


Jakarta: Pengenalan hukuman mati dan suntikan kimia kembiri untuk perogol kanak-kanak mendapat sokongan rakyat.
Bagaimanapun, aktivis hak asasi manusia semalam memberi amaran hukuman berkenaan bukan langkah pencegahan yang berkesan.

Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) kelmarin meluluskan satu dekri mengenai hukuman berkenaan termasuk memasang alat pemantau terhadap perogol yang dibebaskan dari penjara.
Hukuman berkenaan diperkenalkan susulan kejadian rogol dan bunuh seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun oleh 14 lelaki mabuk di Bengkulu, Sumatera pada April lalu.
Kes itu mencetuskan perdebatan mengenai keganasan seksual dan tekanan terhadap kerajaan semakin meningkat selepas banyak lagi kes rogol dilaporkan media.
“Hukuman kembiri bertujuan mewujudkan kesan pencegahan dan menghalang perogol mengulangi kesalahan yang sama,” kata ahli Parlimen dari Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), Abdul Malik Haramain.
Katanya, hukuman berkenaan tidak melanggar hak asasi manusia kerana pesalah perlu melalui proses undang-undang sebelum hukuman dijatuhkan.
Pengguna laman sosial di Indonesia juga menyuarakan pendapat mereka dengan majoriti menyokong pelaksanaan hukuman berkenaan.
“Kepada mereka yang mendakwa hukuman ini melanggar hak asasi manusia, adakah anda fikir merogol dan membunuh tidak melanggar hak asasi manusia juga?” kata seorang pengguna Twitter.
Bagaimanapun, beberapa aktivis hak asasi manusia tidak bersetuju dengan hukuman berkenaan yang dianggap mereka sebagai tindakan terburu-buru.
Seorang aktivis gay di Indonesia, Hartoyo berkata, hukuman itu secara keseluruhannya bersifat dendam.

-Metro

No comments:

Post a Comment